Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 9

CHAN Chee Hong pulang dari tanah

perkuburan Islam dengan perasaan sedih.

Hasrat hati untuk melihat majlis perkahwinan

Melayu telah bertukar ke pengurusan jenazah.

Dia pernah belajar tentang pengurusan jenazah

di dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah, tetapi

tidak pernah melihat secara langsung. Hari ini pengetahuan

itu telah bertukar menjadi amali tetapi bila melibatkan insan

kesayangan, segala-galanya menjadi perit dan pedih.

Longlai langkah Chan Chee Hong memasuki rumah

setelah meletakkan motosikal di bawah pokok. Papanya

sedang duduk di sofa sambil membaca akhbar. Adiknya pula

sedang memasak sesuatu di dapur untuk makan tengah

hari.

“Chee Hong, papa ucapkan takziah untuk cikgu kamu.”

“Terima kasih, pa. Mana papa tahu?” soal Chan Chee

Hong kehairanan kerana sewaktu dia keluar pagi tadi

papanya masih tidur. Mungkin adiknya yang memberitahu

akan hal itu.

“Ada dalam akhbar ni beritanya,” jawab Chan Koon

Cheng sambil membuka helaian akhbar yang memuatkan

berita itu.

Chan Chee Hong menghampiri papanya dan melihat

berita ringkas yang ditulis di dalam akhbar berbahasa

Mandarin itu.

Matanya leka membaca ayat yang tertera di dada akhbar

itu. Adiknya yang telah siap menghidang makanan, memanggil

mereka berdua untuk makan tengah hari. Akhbar diletakkan

dan mereka bergerak menuju meja makan. Chan Lee Fong

memang boleh memasak walaupun kadangkala masakannya

tidak sedap. Dia tetap akan memasak untuk mereka apabila

pulang bercuti. Mungkin itu sahajalah caranya dan masa

untuk mereka berada bersama-sama. Selebihnya mereka

akan membuat hal masing-masing.

Di atas meja telah terhidang ketam masak Kam Heong

atau Golden Fragrance yang dihidangkan dengan nasi putih

dan dipadankan dengan kailan sos tiram. Chan Lee Fong

sememangnya lebih gemar memasak makanan laut dan

seolah-olah menjaga pemakanannya. Papanya pula tidak

banyak kerenah tentang soal makan dan apa sahaja yang

dimasak anaknya dia akan makan. Ini cukup melegakan Chan

Chee Hong kerana secara tidak langsung dia tidak perlu

mencari alasan menghindari makanan tidak halal.

Chan Chee Hong menolong adiknya membersihkan

meja makan dan membasuh pinggan. Sesekali mereka

bercerita sambil ketawa mesra. Papanya telah keluar tanpa

memberitahu arah tujuan, suatu kebiasaan dalam hidup

mereka. Tiba-tiba mereka terdengar suara perempuan

memanggil-manggil nama mereka dari arah hadapan. Mereka

segera mendapatkan perempuan itu. Perempuan itu berdiri

sambil memegang pintu pagar yang terkunci.

Perempuan semalam, bisik hati Chan Chee Hong. Siapa

dia sebenarnya? Kenapa dia ke mari lagi?

“Chee Hong, Lee Fong, inimummy,” ujar perempuan itu

memperkenalkan diri.

Mummy?” tanya mereka kehairanan.

“Ya,mummy.Ibu kamu berdua. Kamu tak ingat

mummy?

Kedua-duanya menggeleng serentak. Tergambar

kekecewaan pada wajah perempuan yang berpenampilan

moden dan bergaya itu. Perempuan itu meminta mereka

membukakan pintu pagar supaya dia dapat berbicara dengan

lebih selesa. Kedua-dua mereka teragak-agak untuk membuka

pintu pagar kerana papa mereka pernah berpesan agar tidak

menerima tetamu yang tidak dikenali jika dia tiada di rumah.

Mummyrindukan anak-anakmummy. Tahun baru ni,

mummynak beraya dengan kamu berdua sebab tumummy

pulang ke Malaysia,” jelas Mary, ibu kandung mereka berdua.

Mereka makin keliru apabila perempuan itu mengatakan

dia terpaksa meninggalkan mereka sewaktu masih kecil

kerana ingin mencari rezeki di luar negara.

Mummykesal kerana tinggalkan kamu berdua.

Sepatutnyamummyberkeras bawa kamu berdua ke Amerika

sejak dulu lagi. Sekarangmummydah senang danmummy

bercadang untuk ajak kamu berdua tinggal denganmummy

kat Amerika,” jelas Mary sambil tersenyum.

Chan Chee Hong dan adiknya saling berpandangan.

Tiada kata yang terkeluar daripada mulut mereka. Hanya

wajah yang keliru menyapa ibu mereka.

“Mary! Berapa kali aku kata, jangan ganggu mereka!”

sergah Chan Koon Cheng setelah memberhentikan

kenderaan secara terburu-buru.

Mereka bertiga terkejut terutama sekali Mary kerana

dia tidak menyangka bekas suaminya itu akan segera pulang

sebelum sempat dia memujuk anak-anaknya. Dia sebenarnya

telah memerhatikan dari jauh rumah itu dan bila melihat

bekas suaminya itu keluar, peluang untuk dia berjumpa anakanak

terbuka luas. Tapi kini peluang itu tertutup dengan

kehadiran bekas suaminya.

Chan Koon Cheng segera mengarahkan mereka

berdua masuk ke dalam rumah dan arahan itu dipatuhi

mereka. Mereka mengintai di sebalik tirai pertikaman lidah

yang berlaku antara papa dan ibu mereka. Tanpa sedar, kini

mereka telah menjadi rebutan antara ibu yang tidak dikenali

dan papa yang disayangi. Seketika kemudian pertengkaran

itu berakhir dan Mary menaiki kereta dengan marah. Pedal

minyak sengaja ditekan kuat, tanda protes.

Chan Koon Cheng masuk ke dalam rumah dan

mendapatkan anak-anaknya yang sedang menikus di

sofa. Hatinya berasa hiba melihat mereka berdua. Kasih

sayangnya pada mereka tidak berbelah bahagi walaupun

dia sedar kekurangan dirinya sebagai seorang papa. Dia

rasa bangga kerana anak-anaknya menurut kata dan lebih

bersopan semenjak bersekolah di sekolah berasrama penuh

bermula dari tingkatan satu. Mungkin pendidikan di situ telah

membentuk sikap mereka.

“Lain kali jika perempuan tu datang lagi, jangan keluar.

Papa tak suka kamu berdua jumpa dia. Dia perempuan jahat,”

kata Chan Koon Cheng, beremosi.

Mereka hanya memerhati wajah papa mereka tetapi

seketika kemudian mengangguk.

“Siapa perempuan tu, pa? Kenapa dia mengaku yang dia

mummykami?” tanya Chan Lee Fong.

Mummy?Orang tu tak layak dipanggilmummy. Dia

sanggup lari ke Amerika ikut jantan kulit putih, tinggalkan

kamu berdua yang masih kecil semata-mata untuk kesenangan

diri dia. Kamu tahu tak, masa tu abang kamu baru berusia

enam tahun dan kamu tiga tahun. Tapi dia sanggup tinggalkan

kamu. Kenapa sekarang baru dia nak mengaku kamu berdua

anaknya? Papa betul-betul sakit hati dan terhina dengan

perbuatannya. Padanya, papa ni ibarat sampah.”

Chan Koon Cheng meraup wajah. Ada penderitaan

yang berat di dalam hatinya. Selama ini dia merahsiakan

dengan baik kewujudan Mary daripada pengetahuan anak

anaknya. Apabila mereka bertanya, dia memberitahu bahawa

ibu mereka telah meninggal dunia ketika mereka kecil lagi.

Maklumat itu dimasukkan ke minda anak-anak sejak dulu

dan semenjak itu anak-anaknya tidak pernah bertanyakan

ibu mereka lagi.

Sebenarnya Marylah punca dia memabukkan diri sejak

dahulu lagi. Lama-kelamaan tabiat itu menular dan melekat

menjadi sebahagian hidupnya pula. Tanpa minuman keras,

hidupnya tidak lengkap. Bukan dia tidak pernah menghentikan

tabiat itu tetapi dia tidak mempunyai kekuatan diri. Apa yang

mampu dilakukan ialah mengawal diri agar tidak mabuk

apabila bertugas di sekolah tetapi sesekali terbabas juga.

Apabila dia melihat anak-anaknya masih dalam

kebingungan, dia berasa simpati kepada mereka. Mereka

kekurangan kasih sayang seorang ibu dan dia selaku papa

pun tidak banyak membantu.

“Papa sayangkan kamu berdua walaupun papa sedar

yang papa bukanlah papa yang terbaik untuk kamu berdua.

Janji pada papa, walau apapun yang terjadi jangan tinggalkan

papa,” rayu Chan Koon Cheng meruntun jiwa. Ada air jernih

yang mengalir di pipi.

Chan Chee Hong dan Chan Lee Fong bangun serentak

dan terus memeluk papa mereka.

“Pa, walau apapun terjadi kami tetap sayangkan papa. Papa

adalah papa terbaik untuk kami kerana telah membesarkan

kami sendirian sejak kecil,” kata Chan Chee Hong dan diakui

adiknya.

“Kami sayangkan papa.” Mereka menyebutnya secara

serentak.

Chan Koon Cheng merasakan pelukan yang kemas

daripada kedua-dua anaknya. Dia berasa bahagia dengan

pengakuan itu. Senyuman terukir di bibirnya lantas dia

mencium kepala mereka yang berada dipelukannya kiri dan

kanan.

“Pergi siapkan beg pakaian kamu. Kita pulang rumah

datuk petang nanti. Papa tak nak perempuan tu datang

ganggu kita lagi,” arah Chan Koon Cheng sambil meleraikan

pelukan.

“Baiklah. Kami pergi siapkan sekarang,” jawab Chan Lee

Fong mewakili abangnya.

Chan Chee Hong agak tidak selesa dengan keputusan

bapanya. Pulang awal ke rumah datuk akan menyukarkannya

menunaikan solat dan juga mengelakkan diri daripada

makanan tidak halal. Persoalan itu tiba-tiba menyerbu di

kalbu. Mereka melangkah ke tingkat atas dan masuk ke bilik

masing-masing.

Chan Lee Fong menyedari perubahan air muka abangnya

apabila papa mereka ingin pulang awal ke rumah datuk. Dia

tidak pasti kenapa tetapi di dalam dirinya juga merasakan

ketidakselesaan itu.

Chan Chee Hong berbaring di atas katil sambil memicitmicit

kepala yang tidak sakit. Dia mesti mencari jalan untuk

menangani masalah yang dialaminya itu. Tangannya mencapai

telefon dan mendail nombor ibu angkatnya, Ustazah Habsah.

Pada Ustazah Habsah dia mengadukan masalahnya dan

meminta pendapat bagaimana hendak melakukan solat

tanpa diketahui orang lain dan mengelakkan diri daripada

memakan makanan haram.

“Sekiranya ragu-ragu tentang status halal makanan yang

dihidang, jangan makan makanan yang disyaki tu dan makan

makanan lain yang ada pada ketika tu. Makan seperti biasa

dengan mereka secara penuh sopan, mesra dan berhikmah.

Chan kena bijak sesuaikan diri dan kalau boleh belilah

makanan halal yang siap dimasak atau Chan makan kat luar

aje.

Bila nak solat, kunci pintu bilik. Boleh buat Solat Jamak

dan Qasar kerana jarak rumah datuk Chan cukup memenuhi

syarat Solat Jamak dan Qasar. Rujuk buku panduan solat.

Kalau Chan tak faham apa-apa lagi nanti telefon ummi atau

babah,” terang Ustazah Habsah. Ummi dan babah adalah

merujuk kepada diri Ustazah Habsah dan suaminya, Ustaz

Ramli.

“Baiklah ummi, insya-ALLAH saya akan ikut semua

pesanan tu. Tolong doakan saya agar selamat dan sentiasa

dipelihara ALLAH,” jawab Chan Chee Hong.

“Insya-ALLAH, mudah-mudahan Chan sentiasa dilindungi

ALLAH dan dijauhkan daripada segala bahaya.”

“Saya mintak diri dulu ummi, nak Solat Zohor dan

berkemas-kemas.”

“Baiklah. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Talian dimatikan. Sebelum sempat dia melangkah ke bilik

air, pintu bilik dibuka secara mengejut. Terhenti langkahnya

dan dia memerhatikan wajah adiknya yang sedang memandang

dengan penuh tanda tanya. Chan Lee Fong telah terdengar

perbualan abangnya itu ketika dia hendak memasuki bilik

abangnya yang tidak berkunci.

“Abang cakap dengan siapa tadi? Siapa ummi? Solat?

Abang...”

Chan Chee Hong terus menutup mulut adiknya dengan

telapak tangan dan memberi isyarat agar diam. Apabila

adiknya mengangguk, tangannya dilepaskan dan terus

mengunci pintu bilik. Adiknya disuruh duduk di kerusi.

“Lee Fong, abang harap awak tak dedahkan rahsia abang

kepada papa atau mana-mana ahli keluarga yang lain. Abang

dah memeluk agama Islam, tapi tak boleh didaftarkan lagi

sehingga umur abang cukup 18 tahun. Islam agama kebenaran

dan abang telah mendapat hidayah ALLAH. Ummi sebenarnya

adalah emak angkat dan jugak guru agama abang.”

“Saya tak terkejut dengan pilihan abang. Kita sama-sama

belajar tentang agama Islam kat sekolah. Saya pun pernah

terfikir untuk memeluk agama Islam tetapi takut tekanan

keluarga. Mereka tentu marah dan bencikan kita.”

Jawapan Chan Lee Fong agak melegakan hati Chan

Chee Hong.

“Tolong abang rahsiakan hal ni. Bila abang dah berumur

18 tahun dan dah mendaftar sebagai seorang Islam, baru

abang beritahu papa.”

“Abang jangan takut, saya akan tolong abang rahsiakan

hal ni dan saya berjanji bila kita ke rumah datuk, saya akan

bantu abang dalam soal makanan halal. Saya sendiri pun cuba

elakkan makanan yang sebegitu. Kalau abang perasan, saya

hanya makan makanan laut tetapi tidak jenis-jenis daging.”

“Terima kasih, Lee Fong. Abang akan balas segala jasa

baik awak dan jika suatu hari nanti awak memilih Islam, abang

akan lindungi awak daripada segala tekanan dan masalah

yang datang,” kata Chan Chee Hong penuh keazaman sambil

menggenggam tangan adiknya dan dicium bertalu-talu.

Chan Lee Fong terharu dengan pengakuan abangnya

dan kini teka-teki tentang agama abangnya telah terjawab.

“Okeylah, abang. Saya nak kemas baju dulu. Ini CD yang

saya pinjam semalam.”

Chan Lee Fong menyerahkan CD lagu kepunyaan

abangnya. Tujuan asalnya ke bilik itu adalah untuk

memulangkan CD itu tetapi tidak disangka dapat mengetahui

rahsia abangnya pula. Chan Chee Hong mengunci pintu

dan terus ke bilik air untuk berwuduk. Dia memanjatkan

rasa syukur kerana adiknya dapat memahami situasi dirinya

sekarang.

Previous: Bab 8
Next: bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.