SARA Raihana tekun menulis di dalam bilik guru.
Hampir kesemua nama guru dan staf, ditulis di
atas kad undangan perkahwinannya. Dia ingin
memastikan semua guru dan staf mendapat
undangan itu. Ustazah Habsah yang berada selang
dua meja hanya memerhati tingkah laku Sara Raihana
menyusun kad undangan itu.
“Kad Kak Habsah tak ada ke?”
“Ada. Ini untuk Kak Habsah.”
Sara Raihana menghampirinya.
“Nanti jemputlah hadir seisi keluarga ke rumah saya kat
Bukit Mertajam.”
Kad bertukar tangan. Ustazah Habsah membuka sampul
kad itu dan meneliti isi kandungannya. Berkali-kali dia
mencium kad itu kerana baunya yang wangi.
“Terima kasih. Kalau tak ada aral, Insya-ALLAH Kak
Habsah pergi.”
“Kad untuk saya tak ada ke, cikgu?”
Tiba-tiba saja Chan Chee Hong muncul di situ
mengejutkan Sara Raihana.
“Kamu ni Chan, buat saya terkejut aje,” ujar Sara
Raihana.
“Maaf, maaf cikgu. Saya
bukan sengaja nak mengejutkan
Cikgu.” Ada riak cemas di wajah Chan Chee Hong. Mungkin
rasa bersalah.
“Tak apa. Jemputlah nanti ke rumah saya, Sabtu depan.
Ini kad untuk Chan.”
Gembira sungguh Chan Chee Hong mendapat undangan
itu. Paling tidak, cikgu kesayangannya tetap mengingatinya.
“Ustazah Habsah nak pergi ke kenduri ni nanti? Kalau
ustazah pergi, boleh saya ikut sekali,” soal Chan Chee
Hong.
“Boleh. Nanti Ustazah beritahu yang lain,” jawab Ustazah
Habsah.
Pengakuan itu cukup menyeronokkan Chan Chee
Hong. Dia memang teringin melihat bakal suami cikgu yang
disukainya itu. Bertuah sungguh lelaki yang dapat berkahwin
dengan Cikgu Sara, bisik hati kecil Chan Chee Hong.
“Teringin lihat Cikgu Sara bersanding.” Chan Chee
Hong bersuara lagi.
“Saya tak bersanding, Chan.”
“Kenapa? Bukan ke orang Melayu selalu bersanding pada
hari perkahwinan mereka?”
“Mungkin bagi orang lain tapi bagi saya, tak. Bersanding
tu hanyalah satu adat aje. Tak kena gaya, berdosa pulak.”
“Berdosa? Maksud cikgu?” tanya Chan Chee Hong lagi.
Dia memang berminat jika dapat bersoal jawab dengan
Sara Raihana tentang Islam walaupun Ustazah Habsah yang
mengajarnya mata pelajaran Pendidikan Islam. Dia sendiri
tidak pasti perasaannya, tapi dia tahu yang dia suka cara Sara
Raihana menerangkan sesuatu perkara. Malah apa sahaja
tutur kata cikgu itu amat disenangi.
“Terdapat unsur-unsur khurafat dan syirik dalam
persandingan seperti penggunaan beras kunyit untuk
memberi semangat kepada pengantin dan penggunaan jampi
mantera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin
mengganggu majlis tu,” terang Sara Raihana.
“Oh, begitu rupanya. Betul ke lepas kenduri nanti cikgu
nak pergi ke Mekah?Honeymoon?”
“Hai, Chan! Mengalahkan pemberita TV3 awak ni. Mana
awak tahu? Ustazah yang duduk tak jauh daripada Cikgu
Sara pun tak tahu,” soal Ustazah Habsah kehairanan.
“Cikgu Maimunah yang beritahu,” jawab Chan Chee
Hong jujur.
“Amboi! Cikgu Maimunah ni tak boleh sorokkan apaapa
maklumat pada awak. Saya nak ke Mekah buat umrah
tapi bukanlah lepas kenduri. Mungkin masa cuti pertengahan
penggal nanti,” jawab Sara Raihana.
“Kalau saya nak melawat ke Mekah boleh tak ustazah?
Bila Ustazah Habsah cerita tentang sirah nabi, teringin rasa
nak tengok sendiri.”
“Kalau Chan nak pergi, ustazah sudi temankan,” jawab
Ustazah Habsah sambil tersenyum.
“Betul ke? Seronoknya. Tapi lebih seronok kalau Cikgu
Sara ikut sekali,” ujar Chan Chee Hong cuba berseloroh
walaupun jauh di sudut hati, itulah harapannya.
“Ada-ada ajelah Chan ni,” ujar Sara Raihana ketawa
kecil.
“Ustazah, sebenarnya saya nak tanya tentang...” Sebelum
sempat Chan Chee Hong menghabiskan ayat, tiba-tiba
telefon Sara Raihana berbunyi.
Sara Raihana segera menjawab dengan ceria. Dia terus
berlalu ke mejanya meninggalkan Chan Chee Hong yang
termangu-mangu di hadapan Ustazah Habsah. Chan Chee
Hong terasa resah. Bagai ada sembilu menusuk kalbu apabila
melihat Sara Raihana berbual mesra di telefon. Tentu tunang
Cikgu Sara yang telefon, sebab tu ceria semacam, bisik hati
Chan Chee Hong. Cemburukah dia?
“Chan nak tanya apa tadi?” soal Ustazah Habsah
mengejutkan Chan Chee Hong daripada lamunan.
“Err... saya nak masuk
Islam. Macam mana caranya?”
jawab Chan Chee Hong teragak-agak tapi cukup untuk
mengejutkan Ustazah Habsah.
“Mari duduk sini,” arah Ustazah Habsah sambil
menunjukkan sebuah kerusi yang kosong di hadapannya.
Chan Chee Hong duduk di kerusi itu tetapi tidak terlalu
dekat dengan Ustazah Habsah. Dia tahu batas-batas yang
perlu dijaga.
“Chan, betul ke kamu nak memeluk Islam?”
Chan Chee Hong mengangguk yakin.
“Bapa kamu dah tahu?”
Chan Chee Hong menggeleng-geleng.
“Saya takut kalau saya beritahu, dia akan halang niat saya.
Walaupun dia benarkan saya belajar Pendidikan Islam tapi tak
bererti dia akan benarkan saya memeluk agama Islam dengan
mudah. Dulu dia pernah berpesan, belajar Pendidikan Islam
bukan bermakna kamu akan masuk agama mereka. Dia bagi
belajar Pendidikan Islam pun hanya kerana dia ingin buktikan
kepada nazir dan pengetua sekolah yang pernah menolak
kaedah dia dulu,” terang Chan Chee Hong panjang lebar.
“Alhamdulillah. Ustazah gembira sangat dengan
keputusan kamu. Kamu tunggu kat sini sekejap. Ustazah nak
panggil Ustaz Hadi untuk bincangkan apa yang perlu kita
lakukan seterusnya.”
Ustazah Habsah melangkah ke arah meja Ustaz Hadi
yang terletak di bahagian kanan bilik guru itu. Walaupun bilik
guru itu tiada dinding pemisah, tetapi bahagian kiri bilik guru
diduduki guru perempuan yang bilangannya lebih ramai dan
di sebelah kanan bilik didiami guru lelaki.
Chan Chee Hong memerhatikan Ustazah Habsah yang
tampak sungguh gembira dari kejauhan. Ekor matanya masih
dapat memerhatikan gelagat Sara Raihana yang sedang
leka berbual-bual di telefon. Butir-butir percakapan tidak
jelas tetapi telinganya dapat menangkap beberapa patah
perkataan. Dia tahu Sara Raihana sedang berbincang tentang
majlis pernikahan yang akan diadakan pada hari Jumaat akan
datang.
Semoga cikgu berbahagia, bisik hati Chan Chee Hong.
Dia pasrah. Sara Raihana tidak mungkin menjadi miliknya.
Dari kejauhan dia melihat Ustazah Habsah melambai-lambai
memberi isyarat agar dia bergerak ke arah mereka. Chan
Chee Hong segera mengatur langkah. Dia pasti Ustaz Hadi
dan Ustazah Habsah akan memberi khabar gembira.
“Chan, Ustaz Hadi boleh bantu kamu. Disebabkan kamu
masih di bawah umur, kita rahsiakan dahulu pengislaman
kamu daripada pengetahuan bapa kamu,” kata Ustazah
Habsah.
“Chan, kita tak perlu daftarkan pengislaman kamu buat
seketika sehingga umur kamu mencapai 18 tahun. Kamu
boleh mengamalkan ajaran Islam secara senyap-senyap dan
jangan timbulkan kecurigaan keluarga,” sambung Ustaz Hadi
pula.
Ustaz Hadi tahu implikasi yang bakal ditempuhi
saudara Muslim yang memeluk Islam semasa berumur 18
tahun ke bawah kerana tidak ada pertubuhan kerajaan
atau individu yang menjaga kebajikan mereka. Oleh itu ahli
keluarga boleh menuntut mereka di mahkamah atas alasan
melanggar Perlembagaan Persekutuan. Ibu bapa atau penjaga
mempunyai hak memaksa saudara Muslim itu untuk kembali
kepada agama asal tanpa ada perlindungan undang-undang
terhadap mereka untuk mengekalkan agama yang dianuti.
Mereka amat maklum yang Chan Chee Hong tidak
akan pulang setiap hari ke rumahnya kerana semua pelajar
sekolah berasrama penuh perlu tinggal di asrama sepenuh
masa. Dia hanya akan pulang bila cuti persekolahan atau
pulang bermalam. Jadi, untuk merahsiakan hal ini mungkin
akan berjaya.
“Saya pun rasa begitu, ustaz,” ujar Chan Chee Hong
penuh yakin.
Kali ini dia akan tetap dengan pendiriannya. Dia tidak
mahu berpaling lagi. Islam yang dipelajarinya amat sempurna.
Dia amat kagum dengan keperibadian Rasulullah. Hatinya
sentiasa tenang bila mendengar pengajaran Ustazah Habsah
sewaktu pelajaran Pendidikan Islam. Ketenangan yang tidak
dapat digambarkan dengan kata-kata.
Ustazah Habsah pernah meminjamkan sebuah
buku tentang Islam. Hatinya tersentuh apabila membaca
terjemahan ayat al-Quran dalam Surah Muhamad ayat 19
yang bermaksud, ‘Ketahuilah sesungguhnya tidak ada TUHAN
melainkan ALLAH dan
mintalah ampun atas dosa-dosa kamu
dan dosa-dosa orang Islam.’ Pada ketika itu dia tahu yang
cahaya iman telah tumbuh di hatinya.
“Semoga segala urusan dipermudahkan ALLAH dan
moga kamu mendapat petunjuk dan hidayah ke jalan yang
lurus, jalan yang diredai ALLAH,” doa Ustaz Hadi sambil
menepuk-nepuk bahu Chan Chee Hong dengan penuh
mesra.
“Insya-ALLAH” jawab Chan Chee Hong disambut
senyuman lebar daripada kedua-dua ustaz dan ustazah itu.