Hampir tiga jam
aku bertarung nyawa. Sakit yang kualami terasa begitu mencengkam. Bagai hendak
tercabut segala urat sendiku menahan sakit yang tidak pernah aku alami sebelum
ini. Sakit yang tidak terperi dan hanya orang yang mengalaminya sahaja yang
tahu. Genggaman tanganku semakin erat hingga melekat kesannya di lengan
suamiku. Suamiku kehabisan kata. Wajahnya juga menampakkan kerisauan. Habis
segala doa dan ayat suci al-Quran yang terhafal, kubacakan. Namun anak sulungku
ini masih enggan keluar menjenguk dunia.
Kenapa bayi ni tak nak keluar lagi? Mungkinkah kerana dosa-dosaku? Ya,
ALLAH jika ada dosa yang telah aku lakukan sama ada sengaja atau tidak sengaja,
aku bermohon pada-MU agar diampunkan segalanya. Permudahkanlah Ya, ALLAH
kelahiran ini, bisik hatiku.
“Rozy, kuatkan semangat! Ingatkan ALLAH banyak-banyak,” terdengar
suamiku berkata di hujung kepalaku.
Bagaikan mendapat suntikan semangat, aku berazam untuk meneruskan
proses melahirkan yang terlalu sukar dan memenatkan. Aku mengumpul sisa tenaga
yang ada. Tiba-tiba aku rasakan sakit secara mendadak. Sakit yang amat sangat. Terasa bayi di dalam
perutku mulai melonjak untuk keluar.
“Okey. Push!” terdengar
suara Doktor Azni memberi arahan.
Aku menurut arahan doktor muda itu dan dengan kekuatan yang bersisa,
akhirnya aku berjaya melahirkan seorang bayi lelaki. Penat yang kurasakan
bagaikan hilang apabila mendengar tangisan pertamanya. Bayi yang masih
berlendir diletakkan di atas dadaku. Hangat tubuh kecil dan degupan jantungnya
bagai irama menenangkan jiwaku. Jari-jarinya yang kecil kupegang bersama
linangan air mata. Alangkah indahnya anugerah Tuhan buat diriku. Syukur kepada
ILAHI yang memberi rezeki sehebat ini.
“Terima kasih Rozy kerana melahirkannya untuk abang.” Suamiku
memberikan ciuman di dahiku sambil tangannya turut memegang tangan bayi yang
baru dilahirkan itu.
Doktor Azni sibuk menjahit lukaku dan memberikan bayiku kepada
jururawat untuk dibersihkan. Suamiku kemudiannya dibenarkan untuk mengazan dan
menqamatkan bayi kami. Kegembiraan jelas terbayang di wajahnya. Kebahagiaan meresap
ke seluruh sanubariku. Kuberharap dengan adanya bayi ini, kasih sayang antara
kami akan terjalin dengan lebih kukuh. Aku sedar aku bukanlah isteri pilihannya
tetapi pilihan ibu bapanya. Dia menerimaku setelah dua kali pinangannya ditolak
oleh keluarga kekasih hatinya. Walaupun dia tidak pernah mengungkapkan kata
cinta kepadaku tetapi aku tahu dia sudah menerima kehadiranku di dalam
hidupnya.
Aku dibenarkan pulang setelah dua hari berada di hospital. Suamiku
membawa beg dan barang-barangku ke kereta manakala aku yang mengendong bayiku
berjalan perlahan-lahan di belakangnya.
“Am!... Ammar!” tiba-tiba aku mendengar suara perempuan memanggil
suamiku.
Pantas aku menoleh dan melihat seorang perempuan berambut perang
menghampiri kami berdua. Aku melihat wajah suamiku agak terkejut tetapi
senyuman tetap terukir di bibirnya.
Siapa perempuan ni? Tak pernah nampak sebelum ni, bisik hatiku,
curiga.
“Tak sangka I boleh jumpa you di sini. You, apa khabar?” tanya perempuan itu sambil tangannya cuba
memegang tangan suamiku.
“I sihat Elisa.
Kenalkan... ini isteri I, Roziah dan
anak lelaki kami Raziman.” Suamiku mengelak pegangan tangan Elisa lalu memegang
bahuku.
Wajah Elisa sedikit berubah tetapi dia tetap menghulurkan tangan
kepadaku dengan senyum sinis. Aku menyambut huluran tangannya tanpa kata. Dalam
hati hanya ALLAH yang tahu betapa meluatnya aku dengan aksi terlebih gediknya.
Walaupun dia boleh dikategorikan sebagai perempuan yang cantik tetapi sikapnya
membuatkan aku terasa menyampah. Aku tahu dia cuba menggoda suamiku. Mungkinkah
dia bekas kekasih suamiku seperti yang pernah suamiku ceritakan?
“Am, I nak cakap sikit
dengan you boleh tak? Sekejap pun
jadilah.”
Hatiku mulai tidak senang dengan permintaannya itu.
“Maaf ya, Cik Elisa. Kami
perlu balik. Takkan Cik Elisa tak nampak saya perlukan rehat. Lain kali sajalah
kalau nak berbual.” Pintasku sebelum sempat suamiku bersuara.
“Err... Rozy tunggu abang di kereta. Kejap lagi abang datang.
Hidupkan enjin dulu,” arah suamiku sambil menyerahkan kunci kereta kepadaku.
Terkebil-kebil mataku mendengar kata-kata itu. Kunci yang dihulur
tetap kusambut. Aku dapat melihat senyuman kemenangan di bibir Elisa. Tanpa
berlengah, aku meneruskan langkah menuju ke tempat letak kereta dalam terik
matahari. Walaupun jarak kereta hanya lima meter tetapi dalam keadaanku begini,
menyukarkan pergerakanku. Sakit yang kurasa kutahankan sahaja. Aku menutup
sedikit tubuh anakku agar tidak terkena panas. Perlahan-lahan kubuka pintu
kereta di bahagian belakang dan kuletakkan anakku di atas kerusi. Mataku pejam
seketika ketika sakit di bahagian penjahitku mengilukan. Tanpa sedar air mataku
mengalir. Kuseka alirannya.
Kemudian aku membuka pintu di sebelah pemandu. Enjin kereta kuhidupkan
dan aku membuka penghawa dingin sehabis kuat. Panas terasa membahang, tetapi
panas di hatiku telah mendidih. Aku masuk ke bahagian belakang kereta dan
memangku anakku. Dari dalam kereta, aku nampak mereka berbual mesra dan
sesekali suamiku menganggukkan kepalanya. Sempat juga kulihat suamiku
mengeluarkan telefonnya. Mungkin mereka bertukar-tukar nombor telefon, fikirku.
Tapi untuk apa? Adakah suamiku masih menaruh harapan untuk bersamanya semula?
Persoalan itu menyesakkan dadaku.
Setelah setengah jam menunggu, suamiku masuk ke dalam kereta. Ringan
sahaja mulutku ingin bertanya tetapi apabila melihat wajahnya yang tidak
mengukir senyum kepadaku, aku pendamkan sahaja. Bimbang jika dia mengherdikku
jika tidak kena gaya. Aku cuba mengawal emosiku. Perlahan-lahan aku kucup pipi
Raziman yang berada di pangkuan. Hanya anak menjadi penguat semangatku ketika
itu. Aku cuma mampu berdoa agar suamiku tidak akan mengabaikan kami berdua.
..........................................................
Aku berbaring
di katil setelah menyusukan Raziman. Suamiku masih berada di bilik air, sedang
mandi. Tiba-tiba telefon suamiku berdering. Bimbang mengejutkan si kecil,
lantas telefonnya kuangkat. Sebelum sempat aku memberi salam, terdengar suara
perempuan di hujung talian.
“Sayang! I dah tunggu you lama tau. You janji nak jumpa Ihari
ni, kenapa you tak sampai lagi?”
Rengekkan manjanya memualkan tekakku.
“Siapa ni?” soalku walaupun aku dapat meneka suara itu.
“Elisa! Am mana? Kenapa kau pula yang jawab? Bagi phone pada dia!” kata Elisa tanpa rasa
bersalah. Malah boleh marah-marah. Bukankah sepatutnya aku yang marah?
“Abang Am tengah mandi. Ada apa-apa pesanan?” tanyaku dengan nada
yang masih terkawal, sabar.
“Nama kau apa eh?”
“Rozy”
“Ha! Rozy, aku nak beritahu kau yang Am dan aku akan kahwin tak lama
lagi. Dia akan ceraikan kau sebab aku tak mahu berkongsi. Anak Am, aku akan
jaga sebagaimana anak aku sendiri. Kau bolehlah pilih mana-mana lelaki sebagai
ganti Am aku.”
Bagaikan peluru berpandu dilepaskan, setiap patah kata Elisa menghancur
leburkan hatiku. Kenapa Ammar tidak memberitahuku sendiri? Kenapa melalui mulut
Elisa? Apa salahku? Hinakah aku di mata suamiku sendiri? Persoalan demi
persoalan menghantui fikiranku. Tapi, boleh percayakah kata-kata Elisa?
Mungkinkah dia berbohong?
“Jangan kau berangan nak ambil anak aku! Aku akan pastikan anak aku
tetap milik aku. Aku yang separuh nyawa lahirkan dia. Kau ingat senang-senang
aku nak beri pada kau? Satu lagi, aku masih isteri Abang Am. Selagi aku
bergelar isteri, akan aku pastikan rumah tangga kami kekal wujud walaupun badai
melanda.” Nada suaraku mulai meninggi.
Terdengar hilai tawa Elisa di hujung sana, seolah-olah mengejek aku.
Begitu menyakitkan hatiku. Apa dia fikir dengan statusnya sebagai bekas kekasih
suamiku, dia layak untuk menghancur leburkan hidupku?
“Hey Rozy! Aku cuma ingatkan kau. Selama ni kau dah rampas kekasih
aku. Kau buat kami terpisah dan dia lupa pada janji dia. Tapi kini aku gembira
kerana dia akan tunaikan janji dia pada aku. Janji untuk mengambil aku sebagai
isterinya kerana aku pernah bersumpah tidak akan mengizinkan orang lain
menyentuhku selain dirinya. Diriku hanya untuk Am dan Am untuk aku.” Terang
Elisa dengan bangga.
“Akukah yang bersalah atau keluarga kau? Bukankah keluarga kau dah
tolak pinangan dia? Bukan sekali malah dua kali! Adakah kau begitu yakin
keluarga kau akan terima suami dan juga bapa orang sebagai calon suami kau?”
Radangku makin meningkat.
“Soal tu tak timbul lagi. Keluarga aku dah boleh terima dia tapi
dengan syarat dia ceraikan kau. Am akan datang berjumpa dengan keluarga aku
sikit masa lagi. Jadi, aku harap kau bersedialah untuk menjadi janda,”
kata-kata Elisa menghiris tangkai hatiku. Tapi kutahankan jua.
“Jangan terlalu sombong Elisa. Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan
ALLAH. Kita hanya mampu merancang. Jika tersurat hingga akhir hayatku Abang Am
adalah suamiku, tak mungkin kau dapat meruntuhkan suratan itu. Aku berserah
kepada Allah menentukan segalanya. Assalamualaikum!” kataku lalu talian kuputuskan.
Aku membaringkan kembali badanku. Air mataku laju merembes di pipi.
Terdengar pintu bilik air di buka. Aku berpura-pura tidur setelah air mata
kuhapuskan. Ammar, kulihat sedang berpakaian. Tentunya dia akan keluar kerana
dia menyembur pewangi badan. Kebiasaan yang dilakukannya jika ingin keluar
berjalan-jalan atau bekerja. Ammar mencapai telefonnya dan mendail nombor
seseorang. Dia hanya memandang aku sekilas. Mungkin padanya aku sedang nyenyak
tidur padahal kelopak mataku yang renggang melihat gerak gerinya.
“Hello sayang! I nak
pergilah ni. You tunggu. Kejap lagi I sampai.” Walaupun ungkapan itu agak
perlahan tetapi telingaku masih dapat mendengar bait-bait yang terluncur daripada
bibir Ammar. Ammar melangkah keluar bilik dan tidak lama selepas itu deruman
enjin kereta kedengaran meninggalkan pekarangan rumahku.
Aku tahu Ammar meninggalkan aku untuk bersama-sama Elisa. Air mataku
bagaikan empang yang pecah. Alirannya makin laju setelah mataku tertancap ke
tubuh kecil Raziman. Sepatutnya ketika ini aku bergembira kerana melahirkan
zuriat buat suamiku. Suamiku pula sepatutnya berbangga kerana telah menjadi
seorang bapa. Sepatutnya sakit tubuhku yang melahirkan Raziman diambil peduli.
Tetapi tidak buat Ammar. Di sana dia tega memadu kasih dan membiarkan aku di
sini menelan pahitnya hempedu.
“Sayang, mama tak akan biarkan sesiapa pun mengambil sayang daripada
mama. Mama berhak ke atas sayang. Jika papa nak buang mama, mama boleh terima.
Mama sedar siapa diri mama. Mama tak secantik Elisa malah papa tak pernah ucap
kata sayang buat mama. Segala yang papa buat, hanyalah semata-mata jalankan
tanggungjawabnya saja, tak lebih daripada tu. Sekarang papa dah dapat apa yang
dikejarnya selama ni. Kekasih hatinya dah kembali. Haruskah mama pertahankan
sedangkan di hati papa, mama hanyalah melukut di tepi gantang? Jika dibuang tak
merugikan apa-apa buat papa.” Aku berbicara dalam sendu walaupun aku tahu
Raziman tidak mungkin memahaminya.
Pada siapa harus aku mengadu? Tak mungkin aku ceritakan masalah
rumah tanggaku kepada kedua orang tuaku, malah aku juga tak sanggup bercerita
kepada keluarga mentuaku. Oleh itu aku mengambil keputusan untuk bertahan
selagi mampu. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Suara gembira ibuku di hujung
talian menyapa gegendang telingaku. Aku mengawal suaraku dan membalas kata-kata
ibuku dengan ria.
“Bila kau nak balik Rozy? Suruhlah Am hantar kau segera. Mak dah
tempah tukang urut untuk kau. Abah kau dah pun carikan kambing untuk cucu dia.
Nanti bolehlah dibuat Aqiqah.”
“Rozy akan balik esok. Terima kasih kerana mak dan abah dah bersusah
payah untuk Rozy. Tak terbalas rasanya jasa mak dan abah.” Ucapku bersama sebak
di dada. Bapaku bersusah payah mencari kambing untuk Aqiqah sedangkan Ammar
yang sepatutnya berbuat begitu seolah-olah lepas tangan.
“Janganlah fikir begitu. Mak dan abah cuma tumpang gembira kerana
kami dapat cucu lelaki pertama. Anak-anak Along dan Ngah semuanya perempuan.
Jadi bila dapat hero, abah secara
sukarela nak carikan kambing.” Aku tahu ibu dan bapaku terasa sangat gembira
dengan kelahiran Raziman. Malah ibu bapa mentuaku pun begitu juga.
“Baiklah mak. Rozy ikut saja mana yang baik.” Tuturku sebelum
menamatkan perbualan dengan ibuku.
Tanpa sedar aku mengeluh. Mahukah Ammar menghantarku pulang
sedangkan ketikaku memberitahunya akan hal itu, dia hanya mendiamkan diri. Malah
sejak bertemu kembali dengan Elisa di hospital tempoh hari, Ammar makin kurang
berbual denganku. Sepatah kutanya sepatahlah dijawabnya. Akibat bosan, aku
turut mendiamkan diri. Bercakap bila perlu.
............................................................................
Ammar kelihatan
resah gelisah setelah menghantarku pulang ke kampung. Dia seolah-olah tidak
betah duduk berlama-lama di kampungku. Hanya sehari, Ammar telah memberitahuku
bahawa dia perlu pulang ke Bandar kerana kerjanya banyak dan itu minggu
sibuknya.
Yalah...sibuk dengan Elisa, bisik hatiku.
Kenapa hatiku seolah tidak berperasaan ketika dia memberi alasan
begitu? Telah matikah perasaan aku setelah terang-terang suamiku curang
kepadaku? Layakkah aku menahan perasaan cintanya kepada Elisa sedangkan selama
ini aku sedar aku tidak memiliki cintanya?
“Abang, jika abang ada kelapangan jenguklah kami di sini terutama
hari Aqiqah Raziman nanti,” ucapku sambil memerhati Ammar menyiapkan dirinya
untuk pulang ke Bandar.
“Tengoklah. Kalau abang sibuk, abang tak balik. Rozy tunggu sini
hingga abang jemput. Selagi abang tak jemput jangan ke mana-mana.” Ammar
mengeluarkan arahan yang sekali gus menyekat pergerakan aku. Hatta untuk pulang
ke rumahku sendiri!
“Abang, jika apa yang ingin Rozy katakan ini menyinggung hati abang,
Rozy minta ampun dan maaf. Rozy tak akan menyekat apa saja yang akan abang
lakukan. Jika abang fikir janji abang pada Elisa lebih penting, abang
kahwinlah dengan dia. Abang boleh batalkan janji abang sewaktu akad nikah kita.
Rozy harap, abang pulangkan Rozy kepada ibu bapa Rozy sebagaimana abang ambil
Rozy dulu. Rozy akan terima dengan rela hati. Tapi Rozy tak akan sekali-kali
menyerahkan anak Rozy kepada Elisa. Rozy dah separuh nyawa lahirkannya. Jadi,
Rozy harap abang pertimbangkan permintaan Rozy. Elisa boleh berikan abang lebih
ramai anak. Tapi Rozy hanya ada Raziman. Biarkan Raziman di sisi Rozy,” kataku
menahan air mata yang bergenang.
Tanpa kata Ammar bangun lalu mencium pipi Raziman. Tangannya dihulur
kepadaku. Aku tunduk menyalaminya. Setelah kepalaku dipanggung, Ammar mencium
dahiku. Perlakuan yang sering dilakukannya. Tertanya juga di dalam hatiku, apa
sebenarnya yang tersemat di hati suamiku ini? Kenapa dia tidak membalas
kata-kataku tadi? Adakah dia bersetuju dengan permintaanku? Bermakna sedikit
masa lagi aku akan bergelar janda beranak satu. Satu gelaran yang tidak mahuku
terima.
Ammar meninggalkan aku dan Raziman tanpa khabar berita. Berhari-hari
aku tunggu panggilan telefonnya tetapi dia tidak menghubungi aku. Beberapa kali
aku menghantar mesej tetapi semuanya tidak berbalas. Malah panggilan telefonku
juga tidak dijawab. Bencikah dia pada diriku? Mungkin dia sedang berbahagia
dengan Elisa, maka aku dilupakannya. Ramadhan kali ini begitu hambar terasa.
Sudahlah aku tidak dapat berpuasa walaupun sehari, suamiku pula semakin
menjauh. Apa yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa dan berzikir di dalam hati.
Moga doaku di bulan barakah ini membuahkan hasilnya. Moga istanaku tidak roboh
di tengah jalan.
.................................................................
Kenduri Aqiqah
Raziman tetap diadakan meskipun Ammar tidak pulang. Disebabkan bulan Ramadhan,
kenduri Aqiqah tersebut dilakukan di masjid kampungku. Aku bersyukur kerana ibu
bapaku tidak banyak soal apabila ku nyatakan Ammar tidak dapat pulang kerana
kesibukan kerjanya. Alasan yang dia perlu bekerja lebih masa agar memudahkan
dia pulang berhari raya diterima oleh keluargaku tanpa curiga.
Pada sangkaan mereka, Ammar kerap menelefonku walhal yang kerap kali
berbuat begitu adalah kawan baikku, Soleha yang juga merupakan teman sekerjaku.
Padanya aku ceritakan serba sedikit masalah aku dan dia banyak memberikan
nasihat agar aku bersabar dan berdoa kepada ALLAH. Pada pendapat Soleha, doa
orang yang teraniaya akan dimakbulkan oleh ALLAH. Adakah aku juga tergolong
dalam kalangan orang yang teraniaya?
“Rozy, kau harus tabah. Jangan cepat berputus asa. Ingat, ALLAH itu
Maha Adil dan Maha Mendengar. Jika memang telah tertulis, Ammar kekal dengan
kau Insya ALLAH tak ke mana suami kau. ALLAH uji kita bertujuan meningkatkan
keimanan kita. ALLAH mahu kita bergantung harap kepada ALLAH dan bukannya
kepada orang. Orang yang paling hampir kepada ALLAH ketika dia diuji, maka
martabatnya di sisi ALLAH akan meningkat. Jadilah orang itu, Rozy. Mampirkan
diri kau pada ALLAH.” Nasihat Soleha.
“Insya ALLAH, Ha. Aku akan cuba sedaya upaya. Syukur aku mempunyai
kawan sebaik kau yang mampu memberi nasihat ketika jiwa aku kacau. Aku sedar,
Ammar adalah pinjaman ALLAH kepadaku. Bila tiba masa, pasti pinjaman tu akan
diambil semula. Jika tidak berpisah hidup, pasti berpisah mati. Aku akan pasrah
dan redha dengan ketentuan ILAHI.”
Telinga aku dapat mendengar bunyi panggilan masuk. Segera aku
memberitahu Soleha yang aku ingin menjawab panggilan tersebut. Alangkah
terkejutnya hatiku, Ammar menelefonku. Terubat rinduku mendengar suaranya. Ya, ku
akui aku memang merinduinya. Rindu setengah mati.
“Rozy, abang akan balik malam ni sebab nak ambil Rozy dan Raziman.
Esok pagi kita bertolak balik. Siapkan semua pakaian dan barang Rozy.” Arah
Ammar setelah memberi salam kepadaku. Kelopak bunga di taman hatiku terasa
berkembang. Tapi, kenapa perlu balik mendadak sedangkan pantangku masih ada dua
minggu? Apa muslihatnya kali ini?
“Err... bukankah abang suruh Rozy tinggal di sini hingga habis
pantang?” soalku hairan.
“Abang tak lalu nak makan nasi bungkus lagi. Rozy dah sihatkan? Tak
perlu tunggu hingga habis pantang. Balik dan tolong masakkan untuk abang.”
Kata-kata Ammar membuatkan hatiku yang berbunga tadi kembali menjadi
layu. Adakah aku hanya diperlukan untuk menjadi tukang masak? Lepas ni apa
lagi? Tukang cuci? Hatiku menyoal dalam sebal. Talian diputuskan tanpa sempat
aku bertanya lebih lanjut. Kepiluan makin mencengkam jiwa. Aku hampa.
Berkali-kali aku dikecewakannya.
Keesokkan harinya aku dan Raziman dibawa pulang semula ke rumah
kami. Sepatutnya hatiku melonjak gembira tetapi kenapa terasa hambar? Sejak
berada di dalam kereta, Ammar hanya mendiamkan diri. Aku yang tidak berani
menyoal hanya membiarkan kebisuan itu berpanjangan. Sesampai di rumah, aku
terus masuk dan meletakkan Raziman di atas katil. Ammar sibuk mengeluarkan
semua barang dari kereta. Tiba-tiba aku terdengar, telefon Ammar berbunyi.
Ammar segera keluar dari rumah dan menuju ke kereta. Dalam sekelip mata,
bayangan Ammar hilang dari pandangan. Terduduk aku di muka pintu bersama sendu
yang menggila.
“Kenapa kau seksa jiwaku Ammar? Setelah seluruh jiwa dan ragaku
serahkan padamu, tergamak kau perlakukan aku begini? Jika dari awal kau tak
sukakan aku kenapa kau pinang aku? Kenapa kau tergamak hancurkan hati aku?” Aku
merintih penuh pilu.
Aku menangis sepuas hati kerana selama ini aku tidak berpeluang
berbuat begitu di rumah ibu bapaku. Di sini tiada siapa yang akan mendengar
tangisanku. Tangisan kekecewaan yang sarat dengan penderitaan batin.
Menangislah wahai mata. Keluarkan semua rasa sakit yang terpendam selama ini.
Mungkin dengan ini kekecewaanku boleh terubat.
Aku melangkah masuk ke bilik dan membaringkan diriku di sebelah
Raziman. Ku oles pipinya lalu kucium. Terbau haruman bedak bayi di tubuhnya.
Begitu mendamaikan hati apabila aku membelai Raziman. Hilang seketika rasa
sedih yang bermaharajalela.
“Razi, mama sayangkan Razi. Razi sumber kekuatan mama. Tanpa Razi di
sisi, mama mungkin telah kecundang. Mama harap, besar nanti Razi jadilah anak
yang soleh yang mampu membahagiakan mama,” bisikku di telinga Raziman. Aku
mengucup dahi Raziman sebelum membaringkan badan yang kepenatan di sisinya.
Lama kelama mataku terpejam juga.
.....................................................................
Tugasku memasak
telah siap ku lakukan. Sajian untuk berbuka ku hidangkan di meja. Sesekali aku
menjenguk Raziman yang sedang berbaring sendirian di ruang tengah. Ammar masih
belum pulang sejak keluar dari rumah tengah hari tadi. Aku melihat jam di
dinding. Tinggal setengah jam lagi, masuklah waktu Maghrib. Ke mana Ammar
pergi? Sebelum ini beria menyuruh aku memasak. Setelah terhidang, batang
hidungnya masih tidak kelihatan.
“Ah! Perdulilah. Kerja aku dah selesai. Kalau dia nak makan,
pandai-pandailah dia balik.”
Raziman yang berbaring menangis tiba-tiba. Segera aku mengangkatnya.
Mulutnya terbuka luas seolah-olah mencari sesuatu. Aku tersenyum kerana tahu,
Raziman ingin menyusu. Tanpa bertangguh, aku susukan Raziman sambil bersandar
di sofa. Kedengaran bunyi kereta memasuki pekarangan rumahku. Aku pasti itu
adalah Ammar. Aku membiarkan saja kerana aku tahu pintu tidak berkunci. Ammar
masuk ke rumah dan tersenyum kepadaku. Aku membalas senyumannya tanpa ragu.
Senyumanku mati apabila melihat perempuan yang berada di belakang Ammar. Kenapa
perlu dibawa pulang perempuan bedebah ini? Tak cukupkah berpeleseran di luar?
Kenapa perlu menayang di hadapan mataku? Apa maksud Ammar sebenarnya?
“Rozy, Elisa teringin berbuka bersama-sama kita. Jadi abang bawa dia
ke sini. Rozy tak apa-apa kan?” tanya Ammar menguji kesabaranku.
“Ya. Eloklah tu. Rozy memang masak untuk abang berdua. Jemputlah
nikmati hidangan yang tak seberapa tu. Jika abang beritahu dari awal yang Elisa
nak datang, bolehlah Rozy masakkan ayam golek atau itik panggang. Maaflah di
dalam peti ais tu hanya ada ikan bilis dan telur saja. Jadi Rozy hanya masakkan
sambal tumis ikan bilis dan telur dadar.” Jawabku dengan muka yang sehabis
manis. Sengaja nak buat aku marah, ye? Tak mengapa! Aku sabar. Jika tidak
kerana Raziman masih menyusu ketika itu, tentu periuk belanga sudah terbang ke
kepala Elisa. Biar bocor kepala si bedebah itu!
“Eh! Rozy marilah kita makan bersama-sama.” Ajak Elisa sambil
mengekori langkah Ammar ke meja makan.
“Tak mengapa. Makanlah. Saya tak puasa, jadi tak boleh makan bersama
orang yang berpuasa. Tak layak.” Bidasku separuh menyindir.
Wajah Ammar kulihat bersahaja menarik kerusi untuk Elisa.
Matanya mengerling ke arahku. Pandangan kami bertaut tetapi segera aku alihkan
mataku ke wajah Raziman.
Ewah! Nak tunjuk romantik depan mata aku pula. Kau sengaja Ammar!
Memang kau kejam,’ cemuh hatiku.
Raziman yang selesai menyusu, aku dukung menuju ke bilik. Lagi lama
aku menyaksikan adegan yang menyakitkan hatiku, lagi tipis rasanya kesabaranku.
Cepat-cepat aku tutup pintu bilik dan meletakkan Raziman di atas katil. Aku
bergegas ke bilik air setelah melihat Raziman telah nyenyak tidur. Mahu rasanya
aku menjerit ketika itu, tetapi kewarasan fikiranku masih mampu mengawalnya.
Akhirnya aku hanya menangis tersedu-sedu melepaskan rasa sakit di hati. Lama
aku berkeadaan begitu sehinggalah aku terdengar pintu bilik air diketuk dari
luar. Segera aku membasuh mukaku dan melangkah keluar. Ammar tercegat di hadapan
pintu merenungku tanpa kata. Pasti dia terperasan mataku yang sedikit
membengkak akibat menangis.
Tangan Ammar menyambar tanganku. Aku terhenti seketika. Aku berusaha
melepaskan pegangannya. Tetapi Ammar menarik aku ke dalam pelukannya.
“Rozy, maafkan abang,” bisiknya di telingaku.
Sukar aku menafsirkan apa maksud kata-katanya itu. Walaupun aku tahu
dia meminta maaf, tetapi untuk apa?
“Kenapa abang buat Rozy begini? Bukankah Rozy dah ingatkan abang,
jika abang tak perlukan Rozy pulangkan Rozy dengan baik ke pangkuan ibu bapa
Rozy. Jangan disiksa perasaan Rozy. Rozy tak mampu bersabar lebih lama lagi.
Jika abang hendak berkahwin dengan Elisa, abang kahwinlah. Tapi jangan buat
begini. Amat menyakitkan di sini.” Aku menunjukkan ke arah hatiku.
Ammar menggenggam tanganku. Matanya ku lihat bergenang dengan air
mata. Dia menangis? Tapi kenapa? Adakah dia keberatan untuk melepaskan aku? Ah!
Kenapa semua ini menyesakkan mindaku?
“Sayang, maafkan abang. Abang tak bermaksud untuk bertindak kejam pada
sayang. Abang keliru. Antara kekasih dan isteri, abang terperangkap antaranya.
Tolonglah abang, sayang. Abang dah penat dengan semua ni.”
Sayang? Aku tak salah dengarkah? Bukankah Elisa yang dipanggil
sayang dan bukannya aku? Makin keliru mindaku dibuatnya.
“Abang perlu tunaikan janji-janji abang. Jadi, abang perlu
melepaskan salah seorang dari kamu berdua. Abang tak mampu mengasihi dua wanita
dalam waktu yang sama. Abang dah cuba tapi abang rasa berat sangat. Selepas
abang buat keputusan, abang harap Rozy tak akan salahkan abang. Terimalah
keputusan abang dengan hati terbuka dan maafkan segala kesalahan abang. Abang
sayangkan Rozy dan Raziman.,” kata Ammar lalu melepaskan tanganku. Dia berlalu
keluar dan sebentar kemudian aku hanya mendengar bunyi enjin kereta, sayup-sayup
dan makin menjauh.
Aku masih tegak berdiri mencerna kata-kata suamiku. Akukah yang akan
dilepasnya? Jika itu keputusannya, aku redha. Hatiku terasa pedih tetapi
anehnya air mataku seperti tidak mahu menitis lagi. Mungkin sudah lali dengan
kesedihan. Pergilah wahai suamiku. Pergilah menunaikan janjimu. Akan ku simpan
semua kenangan manis sewaktu bersamamu. Tak akan kutuntut janjimu kepadaku
sewaktu Ijab Kabul kita, kerana aku tahu janjimu yang kau lafaskan buat Elisa
lebih bermakna.
...........................................................................
Aku telah
menyiapkan beg pakaianku dan juga Raziman. Soleha memasukkan kedua-dua beg
tersebut ke dalam keretaku. Aku terpaksa meminta bantuan Soleha kerana aku
masih tidak mampu memandu jauh. Lebih-lebih lagi dalam keadaanku yang masih
berpantang. Raziman yang merengek, cuba ku diamkan. Tetapi rengekkannya makin
kuat. Mungkin dia kelaparan kerana sejak dari tadi aku asyik mengemas.
Aku masuk ke ruang hadapan kereta dan menarik sedikit bajuku untuk
menyusu Raziman. Soleha hanya tersenyum melihat Raziman yang agak rakus
menghisap susunya. Perlahan-lahan Soleha mengundurkan keretaku. Tetapi
pergerakan kereta terpaksa dihentikan kerana tiba-tiba kereta Ammar menghalang
laluan. Ammar keluar dari kereta dengan wajah yang masam. Tangannya pantas
membuka pintu di sebelahku.
“Rozy nak ke mana? Kenapa tak minta izin abang untuk keluar rumah?”
tanya Ammar dengan wajah yang serius.
Aku menelan air liur. Ada benar kata-katanya itu. Aku tidak meminta
izinnya. Pada sangkaanku setelah dua hari dia tidak pulang ke rumah, bermakna
kehadiranku tidak diperlukan lagi. Apa guna aku menunggu? Lebih baik aku pulang
ke kampung sebelum aku dihalau keluar.
“Rozy nak balik kampung. Dah dua hari abang tak balik, jadi Rozy
faham maksud abang. Rozy tak mahu menyusahkan abang. Sebab tu Rozy minta
bantuan Soleha untuk hantar Rozy. Maafkan Rozy kerana tidak memberitahu abang
terlebih dahulu. Tapi Rozy ada tinggalkan surat untuk memberitahu abang, jika
abang pulang ke rumah.”
“Jika Rozy nak pulang, kita pulang sama-sama. Tapi bukan hari ni.
Tak perlu Rozy susahkan Soleha dengan masalah kita.” Ujar Ammar sambil matanya
melirik ke arah Soleha yang masih setia di sebelahku.
Aku hanya tunduk tanpa kata. Tidak patut aku mengheret Soleha ke dalam
kemelut rumah tanggaku. Tapi apa pilihanku? Hanya Soleha yang memahamiku dan
sanggup bersusah payah untuk ku.
“Saya tak rasa suatu yang susah untuk menolong seorang kawan yang
dalam kesusahan. Takkan saya nak biarkan Rozy memandu dalam jarak yang jauh
sedangkan saya tahu Rozy masih lemah?” Ujar Soleha, tenang.
“Tak perlu semua tu. Awak parkir semula kereta ni. Saya tak izinkan
Rozy balik tanpa saya.” Ammar membuat keputusan yang mengejutkan aku. Kenapa
mesti Ammar menyiksa jiwaku lagi? Tak cukupkah dia meninggalkan aku untuk
Elisa? Aku sudah cukup terluka. Malah tiada rasa lagi yang bersisa, melainkan
luka semata-mata.
Soleha memarkirkan semula keretaku. Dia keluar dan kemudian meminta
diri setelah merasakan kehadirannya di situ tidak dialu-alukan oleh Ammar. Aku
hanya mampu melihat kereta Soleha berlalu pergi meninggalkan aku termangu-mangu
di hadapan Ammar.
“Mari masuk, Rozy.” Ammar menarik tanganku masuk ke rumah.
Aku menurut tanpa kata. Terasa jiwaku kosong saat itu. Ammar
mengambil Raziman dari tanganku. Aku hanya membiarkan. Letih mindaku untuk
menilai perlakuan Ammar. Mungkin juga Ammar ingin bermanja dengan anaknya
sebelum melepaskan aku. Ammar mencium pipi Raziman bertalu-talu. Raziman hanya
berbunyi sedikit dan kemudian lena kembali. Mungkin pelukan Ammar
menyenangkannya.
“Abang, Rozy dah penat.” Aku berkata mengharapkan dia faham maksud
tersiratku.
“Pergilah tidur. Biar abang jaga Raziman.”
“Rozy bukan nak tidur tapi Rozy nak penjelasan abang. Kenapa abang
tak izinkan Rozy pulang sedangkan abang telah melepaskan Rozy?”
Ammar hanya tersenyum dan meletakkan Raziman di buaian. Dia
menghampiriku lalu duduk melutut di hadapanku. Tanganku digenggam erat. Makin
pening aku dengan sikapnya.
“Sayang, abang dah kata abang akan tunaikan janji abang. Jadi, sayang
jangan persoalkan segala tindakan abang. Sayang adalah tanggungjawab abang dan
amanah yang ALLAH berikan buat abang. Janji abang sewaktu melafaskan Ijab Kabul
lebih bermakna buat abang kerana abang berjanji menggunakan nama ALLAH. Abang
tak sanggup mungkiri janji tu. Maafkan abang kerana buat sayang sedih dan
kecewa.” Tanganku yang masih digenggamannya dikucup lembut.
Aku terlopong mendengar kata-katanya. Betulkah apa yang kudengar
atau hanya ilusi? Kenapa dia tidak memilih Elisa?
“Sayang tentu hairan, kenapa abang tidak memilih Elisa. Betulkan?”
tanyanya sambil tersenyum lalu duduk di sebelahku.
Aku hanya mengangguk tanpa mengalihkan mataku dari wajahnya.
“Sebenarnya abang dah tunaikan janji abang pada Elisa. Bukan sekali
tapi dua kali. Bila keluarganya menolak bermakna abang tidak terikat lagi
dengan janji abang. Jadi kenapa dia masih menuntut janji abang? Bila abang
renungkan kembali, baru abang sedar kenapa keluarganya bersetuju abang
berkahwin dengannya. Sayang nak tahu kenapa?” tanya Ammar sambil merenung
mataku.
Pantas aku mengangguk. Matanya masih ku renung tanpa jemu.
Kata-katanya bagaikan embun yang membasuh sedikit demi sedikit lukaku.
“Dulu abang miskin dan hanya memiliki sebuah motorsikal. Waktu tu
abang hanyalah seorang kerani rendah. Sebab itu mereka menolak lamaran abang.
Setelah ditolak kedua kalinya, abang kecewa dan menyambung pelajaran abang di
samping bekerja. Abang berjaya mendapat segulung ijazah. Bila keluarga abang
meminang Rozy, abang dinaikkan pangkat. Malah rezeki abang bertambah murah bila
Rozy jadi isteri abang. Abang dapat hadiah kereta dalam cabutan bertuah malah
rumah kita ini pun abang beli dengan harga yang murah daripada kawan abang.
Mungkin mereka lihat abang telah punya kehidupan yang senang maka mereka
terima. Jika tak, pandang sebelah mata pun mereka tak mahu.”
“Macam mana dengan Elisa? Dapatkah dia terima keputusan abang?”
“Rozy ni masih lagi nak fikirkan tentang diri dia. Sedangkan dia
terang-terang tak pernah fikirkan tentang Rozy. Dia tak seikhlas sayang abang ni.”
Ammar mencuit hidungku. Aku hanya tersenyum senang.
“Abang sedar abang dah banyak melukakan hati isteri abang. Abang
keliru seketika dan terbuai oleh cinta Elisa. Abang terlupa Elisa adalah masa
lalu abang yang patut abang lupakan. Rozy dan Raziman adalah masa kini abang.
Abang sayangkan isteri dan anak abang. Berilah abang peluang untuk membetulkan
kesilapan abang. Abang janji tak kan menduakan sayang lagi,” kata Ammar sambil
mengangkat tangannya seolah-olah berikrar.
“Betul abang takkan menduakan Rozy?” tanyaku dengan senyuman.
“Betul! Abang janji dengan sepenuh hati. Abang cintakan sayang dan
tak akan menduakan sayang.”
“Rozy takut abang tak menduakan tapi abang mentiga malah
mengempatkan Rozy,” kata sambil bangun dari dudukku.
“Oo... nak kenakan abang ye? Mari sini! Abang nak bagi tiga dan
empat sekali gus,” kata Ammar sambil membulatkan matanya.
“Tak nak!”
Aku cuba melarikan diri tetapi tangan Ammar pantas memaut
pinggangku. Hilai tawa kami bergema menandakan tamatnya konflik antara kami.
Ammar mengemaskan pelukannya dan aku hanya membiarkan. Saat-saat begini telah
lama tidak ku rasakan. Bunga-bunga di taman hatiku mekar kembali. Kali ini
mekar bersama haruman bak kasturi kerana aku tahu kini, Ammar sebenarnya
mencintaiku. Apa yang ku harap kini suamiku tetap berpegang kepada janjinya.
Janji seorang suami.