SARA Raihana hanya memerhati Norita yang baru pulang ke
rumah sewa. Wajahnya kelihatan gembira dan ceria. Dia membawa pulang popia
basah yang menjadi kegemaran Sara Raihana.
“Sara, aku belikan kau popia basah,” ujar Norita sambil
menghulurkan sebuah bungkusan kepada Sara Raihana.
“Terima kasih. Bestnya, sayang Ita,” ucap Sara
Raihana dan tangannya terus membuka bungkusan itu.
Bau popia yang harum membuka seleranya. Popia basah memang popular
di Taiping kerana keistimewaan intinya, bersaiz besar dan bersos cili yang
dibuat sendiri. Norita masuk ke dapur dan mencapai dua biji gelas kosong lalu
membawanya ke hadapan Sara Raihana yang sedang menikmati popia basah. Norita
membuka jus oren yang dibelinya lalu menuangkan ke dalam gelas-gelas itu.
“Kau keluar dengan Alif ke?” tanya Sara Raihana setelah Norita
duduk di sebelah.
“Ya, kami pergi makan Kuetiau Doli. Aku teringatkan kau. Itu yang
beli popia basah ni,” jawab Norita sambil memasukkan popia ke mulut.
Kuetiau Doli adalah kuetiau kerang yang terkenal di Bandar Taiping
dan diusahakan peniaga bumiputera bermula dari gerai biasa dan berkembang maju
sehingga menjadi sebuah restoran.
“Kau betul-betul serius ke dengan Alif?” Norita mengangguk.
“Alif cadang nak masuk meminang lepas raya puasa nanti.”
“Baguslah macam tu. Tak elok tunggu lama-lama, nanti dikebas
orang,” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
“Tapi aku ada masalah. Ibu bapa aku tak tahu yang aku berkawan
dengan Alif. Aku takut mereka tak dapat terima pilihan aku,” kata Norita agak
perlahan.
“Aku rasa elok kau berterus terang aje dengan mereka.”
“Kau tak kenal ibu bapa aku. Bukan boleh dibawa berbincang.”
“Kau tak cuba pun lagi. Entah-entah mereka boleh terima Alif
dengan baik.”
“Aku harap begitulah. Sebenarnya aku tak nak lukakan hati ibu bapa
aku. Dulu masa kakak aku, Kak Ani nak kahwin dengan Abang Aman, ibu membantah
sebab ibu ada pilihan lain. Kak Ani yang tak puas hati dengan ibu, terus kahwin
lari dengan Abang Aman. Sampai sekarang Kak Ani tak pulang-pulang ke kampung.
Ibu malu bukan kepalang,” cerita Norita tanpa dipinta.
“Berapa lama dah Kak Ani larikan diri?” tanya Sara Raihana mulai
berminat dengan cerita Norita.
“Dah nak masuk dua tahun. Sebab tu aku takut hati dia terluka jika
tahu aku pun berkawan dengan orang luar, bukan orang Negeri.”
“Abang Aman tu orang mana?”
“Kelantan.”
“Aku simpati dengan kau tapi apa-apa hal pun kau kena bincang
baik-baik dengan Alif dan kemudian beritahu ibu bapa kau. Alif berani ke nak
jumpa ibu bapa kau, Ita?”
“Masa dia kata nak masuk meminang tadi, aku dah beritahu hal ni.
Dia kata sanggup pergi ke rumah aku kat kampung untuk berbincang.”
“Baguslah tu. Sekarang semuanya terletak atas kepandaian kau
mencairkan hati ibu bapa kau. Kata orang kalau nak tarik rambut dalam tepung,
tepung jangan berselerak, rambut jangan putus,” kata Sara Raihana sambil
menuang air ke gelasnya.
Norita hanya mendiamkan diri. Dalam hati mengiakan kata-kata Sara
Raihana.
“Macam mana cuti kau? Seronok?” tanya Norita, mengalihkan
persoalan tentang dirinya.
“Seronok sebab dah lama aku tak balik. Kau tahu tak, Chan pergi ke
rumah aku dengan adiknya,” kata Sara Raihana ceria.
“Chan ke sana?” soal Norita terkejut dengan perkhabaran itu.
“Ya, aku pun terkejut bila dia telefon kata nak ke rumah aku. Dia
bawa kereta bapa dia.”
“Dia dah ada lesen ke?”
“Baru dapat lesen dan sebab tulah dia bawa adik dia berjalan-jalan,”
terang Sara Raihana.
“Selalunya kalau budak lelaki dapat lesen tentu dia nak bawak awek
dia jalan-jalan. Ini tak, bawak adik dia pulak.”
“Manalah aku tahu. Dah dia kata macam tu, aku beritahu aje,” kata
Sara Raihana.
Dia juga memberitahu Norita yang mereka bersiar-siar di Batu
Feringgi dan kemudian tidur di rumahnya. Malah diceritakan juga yang ibu
bapanya telah menganggap mereka sebagai anak angkat.
“Aku hairanlah dengan Chan,” ujar Norita.
“Kenapa?”
“Kat sekolah aku nampak dia kerap cari kau. Sanggup pulak tu
tunggu kau kat tempat letak kereta setiap pagi. Bila cuti, dia bersusah payah
cari kau sampai ke Bukit Mertajam pulak. Jangan-jangan ada apa-apa tak?”
“Maksud kau?” Sara Raihana merenung Norita dengan hairan.
“Mungkin dia dah jatuh cinta kat kau, Sara?”
Soalan Norita membuatkan Sara Raihana terkejut. Berkerut dahinya
buat seketika. Betulkah begitu? Kalau betul, kenapa tak gembira? Pelbagai
persoalan menyerbu di kepalanya.
“Aku tak fikir begitu,” kata Sara Raihana cuba menafikan walaupun
dia tahu telahan Norita ada benarnya.
“Kalau betul dia cintakan kau, kau nak buat macam mana?” tanya
Norita terus menduga.
“Tak mungkinlah. Akukan lebih tua daripada dia. Dia dah macam adik
aku sendiri. Lebih-lebih lagi dia saudara baru yang perlu kita bimbing. Jadi
aku rasa tak salah kalau dia rapat dengan aku atas sebab tu. Kau jangan fikir
yang bukan-bukanlah, Ita,” ujar Sara Raihana terus menafikan.
“Tapi aku tak rasa dia hanya anggap kau sebagai kakak angkat dan
pembimbing. Aku yakin dia benar-benar syok kat kau. Kalau tak kenapa dia nak
buat semua tu?”
“Aku rasa Chan sukakan aku sebagai seorang kakak. Dia pun dah
anggap keluarga aku macam keluarga dia. Malah abah dan ibu aku setuju bila aku
kata aku nak tolong Chan kerana ALLAH. Chan masih perlukan bimbingan kita untuk
mantapkan iman dia.”
“Aku faham niat baik kau. Tapi boleh ke orang lain terima alasan
kau?”
“Hati orang kita tak boleh nak puaskan semuanya, Ita. Apa yang
penting, aku ikhlas nak tolong dia.” Mendatar suara Sara Raihana. Dia sedar
risiko yang bakal dihadapinya nanti.
“Betul, tapi hati-hatilah. Aku takut orang akan mengata kau kerana
tak memahami tujuan kau. Tapi aku lebih takut jika suatu hari, adik jadi abang
pulak,” ujar Norita sambil tersenyum penuh bermakna.
“Ada-ada aje kau ni. Dahlah, aku nak pergi gosok baju. Esok takut
lambat pulak nak ke sekolah,” kata Sara Raihana sambil bergerak masuk ke bilik.
Dia cuba mengelak daripada terus membicarakan soal itu.
Norita hanya melihat langkah Sara Raihana. Hatinya dapat merasakan
yang suatu hari perkara itu akan mendatangkan masalah kepada temannya itu. Dia
terus duduk melihat rancangan televisyen. Tetapi fikirannya mulai menerawang memikirkan
kesudahan hubungannya dengan Alif Ajmal.