CERITA mengenai hubungan Sara Raihana dan Chan Chee Hong telah
tersebar dengan cepatnya. Ramai yang mempercayai cerita itu dan memandang sinis
kepada Sara Raihana. Ada kawan sekerja yang menjauhi daripadanya malah terdapat
juga pelajar yang berani menyindirnya secara tidak langsung. Hal ini membuatkan
Sara Raihana menjadi pendiam dan lebih suka menyendiri.
Norita berusaha memberi semangat
kepada rakan serumahnya. Dia tidak mahu melihat Sara Raihana berterusan berada di dalam keadaan murung.
“Sara, janganlah dipedulikan sangat cakap-cakap orang tentang
kau,” ujar Norita cuba memujuk.
“Ita, aku hairanlah. Kenapa orang masih suka mengata-ngata hubungan
antara aku dengan Chan walhal apa yang mereka kata tu tak betul?”
“Biasalah tu, Sara. Ada orang suka mengejek dan mencela disebabkan
rasa bongkak, sombong dan memandang rendah pada orang lain. Mungkin jugak ada
orang yang cemburukan kau kerana kau cantik dan jadi perhatian lelaki. Bila
timbul isu ni, mudahlah mereka nak burukkan nama kau.”
“Bukan salah aku kalau lelaki suka pada aku. Kau pun tahu, aku tak
layan semua lelaki tu. Cinta aku pada Izzat tak pernah luntur. Aku tak mungkin
cari yang lain.”
“Ya, aku tahu tu. Kau tak pernah layan lelaki lain sebab kau masih
ingatkan Izzat. Tapi orang tak tahu semua tu. Aku harap kau takkan mudah
mengalah. Lambat-laun orang akan diamkan aje bila kebenaran terbukti.”
“Ya, aku harap fitnah tu akan berhenti selepas ni. Aku dah jumpa
pengetua untuk jelaskan segalanya. Aku tahu Chan dan Julia pun dah dipanggil
secara berasingan sebelum ni. Pihak pentadbiran dah siasat dan dengar semua
keterangan saksi. Mereka tahu Julia yang bertanggungjawab sebarkan cerita yang
ditokok-tambah ni. Julia dah diberi amaran keras. Jika dia lakukan satu
kesalahan lagi, dia akan dibuang dari sekolah. Sepatutnya kes ni dah dikira
selesai.”
“Hmm... aku harap Julia akan insaf.”
“Aku pun harap begitu. Tapi aku tetap malu sebab ada orang kata
aku mengidam ‘pucuk muda’ dan dalam diam membela anak ikan.” Wajah Sara Raihana
jelas sugul.
“Kau kena banyak bersabar. Biarlah apa orang nak kata, janji kau
tahu apa kau buat. ALLAH menilai kita atas apa yang kita kerjakan dan bukan
atas apa yang orang cakap.”
“Aku tahu tu. Kadangkala rasa sakit hati jugak. Tak pasal-pasal,
aku terpaksa jauhkan diri daripada Chan. Aku kasihankan dia. Tentu dia pun
tertekan. Dahlah nak ambil SPM. Jadi masalah macam ni pulak.”
Norita tersenyum memandang Sara Raihana. Hatinya tetap terdetik
yang suatu hari nanti pasti Chan Chee Hong akan berterus terang tentang
perasaannya terhadap Sara Raihana. Cuma dia tidak pasti adakah Sara Raihana
akan menerima Chan Chee Hong?
“Kau hubungi Chan tak?”
“Tak. Aku tak nak orang salah anggap lagi. Buat sementara waktu,
aku elakkan diri daripada berjumpa dia. Dia pun tak pernah cari aku lagi.
Mungkin dia pun malu dengan apa yang terjadi.”
“Buatlah apa yang baik. Aku
harap suatu hari nanti kau akan bertemu jodoh dengan orang yang benar-benar mencintai
kau.”
“Hisy, apa kau merepek ni? Aku tak nak kahwin lain. Biarlah Izzat
kekal jadi suami aku hingga akhirat.”
“Takkan kau nak menjanda selamanya? Kau patut cari kebahagiaan kau
dan lupakan kesedihan.”
“Aku dah cukup bahagia dengan cara aku sendiri. Walaupun terpaksa
menjanda selamanya, aku sanggup demi kasih aku pada Izzat.”
“Hmm... ikut suka kaulah. Aku cuma nasihatkan aje. Mungkin
sekarang kau tak boleh lupakan Izzat tapi aku yakin suatu hari nanti, kau akan
jumpa dengan lelaki yang sesuai untuk kau.”
Sara Raihana hanya menggeleng-geleng sambil tersenyum. Padanya,
cintanya tidak akan hilang buat Izzat Hafis. Walau jasad Izzat Hafis dikandung
tanah, cinta Izzat Hafis tetap tersemi di hatinya.
“Aku masuk tidur dulu. Esok aku bertugas. Nak kena pergi awal
sikit,” kata Norita lalu bangun menuju ke bilik.
Sara Raihana hanya melihat kelibat Norita sehingga Norita hilang
di sebalik pintu. Siaran televisyen yang terpasang tidak menarik minat Sara
Raihana. Fikirannya masih menerawang mengingati kata-kata Norita sebentar tadi.
Abang, cinta Sara tetap kukuh buat abang. Walau siapa pun yang
datang, Sara janji akan pertahankan cinta kita. Sara tak mungkin terima sesiapa
selepas ni. Tak mungkin, bisik hati Sara Raihana cuba meyakinkan diri sendiri.
CHAN Chee Hong yang memegang janjinya kepada Ustazah Habsah turut
membataskan dirinya daripada berhubung dengan Sara Raihana. Selama tiga bulan
Sara Raihana berjaya mengelak dan tidak bertemu secara bersemuka dengan Chan Chee
Hong hinggalah pada minggu terakhir persekolahan tahun itu.
Chan Chee Hong telah bertemu dengannya selepas majlis Redha Ilmu
untuk pelajar tingkatan lima yang akan menduduki SPM. Disebabkan Sara Raihana
tidak mengajar tingkatan lima, jadi dia tidak terlibat dengan majlis itu. Oleh kerana
itu Chan Chee Hong datang bertemu dengannya di bilik guru.
“Cikgu, saya mintak maaf atas apa yang telah saya lakukan terhadap
cikgu dan halalkan ilmu yang diajarkan dan makan minum saya,” ujar Chan Chee
Hong penuh sopan.
“Saya maafkan dan halalkan segala-galanya. Mudah-mudahan Chan akan
berjaya mencapai kejayaan dan seterusnya berjaya dalam hidup,” kata Sara
Raihana sambil mendoakan Chan Chee Hong.
“Cikgu, boleh tak kita terus berhubung walaupun saya dah tak ada
kat sini nanti?” tanya Chan Chee Hong mengharap.
Sara Raihana hanya mengangguk.
“Terima kasih, cikgu. Saya akan sentiasa ingatkan cikgu dan
berharap kita akan bersua lagi,” kata Chan Chee Hong.
“Insya-ALLAH,” jawab Sara Raihana.
Sebelum Chan Chee Hong berlalu pergi dia memberikan sekeping kad
ucapan dan hadiah untuk Sara Raihana. Sara Raihana mengambil hadiah dan kad itu
lalu memasukkannya ke dalam beg. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain melihat
pemberian Chan Chee Hong itu. Takut timbul fitnah baru.
KETIKA di rumah, Sara Raihana membuka balutan hadiah yang diberi Chan
Chee Hong perlahan-lahan. Terdapat bingkai gambar kosong di dalam bungkusan
itu. Dia meletakkan bingkai gambar itu. Sampul berisi kad dan gambar dibuka. Dia
mengeluarkan kad bertulis tangan lalu dibacanya.
If I’ve caused hurt,
I’m sorry
I hope you can forgive
me
Your love I truly
treasure
It’s value no one can
measure.
Kad itu diletakkan di tepi dan gambar yang terselit di dalam
sampul kad itu diamatinya. Gambar dirinya dan Chan Chee Hong sedang berdiri
membelakangi laut ketika lawatan mereka ke Tasik Meromitik. Di dalam gambar itu
mereka berdua kelihatan tersenyum gembira. Dia turut tersenyum
mengenang memori itu. Dan bila dialihkan gambar itu, terdapat
kata-kata yang menyentuh hatinya.
Please wait for me...
Chan Chee Hong meletakkan harapan yang tinggi terhadapnya. Hatinya
menjadi tidak menentu. Haruskah menunggu sesuatu yang tidak pasti? Lagipun Chan
Chee Hong tidak pernah melahirkan kata-kata cinta terhadapnya.
Apa yang dilihat cuma perbuatan Chan Chee Hong yang membayangkan
keadaan itu. Mungkin sahaja Chan Chee Hong terkeliru. Cintanya pada Sara Raihana
sekadar cinta monyet yang akan hilang bila usia menginjak dewasa. Sara Raihana
melepaskan sebuah keluhan.
Chan, kau pasti tak sedar yang kau sedang bermain api. Aku takut
nanti kau terbakar sendiri. Kau sepatutnya cari orang yang sebaya atau yang lebih
muda daripada aku. Kalau kau tahu aku hanya
terima kau sebagai adik, adakah kau akan kecewa? Perlukah aku
berterus terang dan melukakan hati kau? Bisik hati Sara Raihana.
Dalam dia melayani perasaan, tiba-tiba di luar bilik dia terdengar
bunyi hempasan pintu yang kuat. Dia segera melangkah ke luar bilik untuk
melihat apa yang terjadi.
“Ita, kenapa ni?” tanya Sara Raihana.
“Benci...benci...benci!” kata Norita marah-marah.
“Apa yang kau benci ni?”
“Alif.”
“Kau gaduh dengan dia?”
Norita hanya mendiamkan diri.
“Kalau kau tak cakap macam mana aku nak tolong kau?”
“Kalau aku cakap pun kau bukan boleh tolong!” marah Norita.
“Kalau tak nak cakap, sudah! Aku nak masuk bilik,” kata Sara
Raihana mahu melangkah pergi.
“Sara,sorry. Aku bukannya tak nak cerita tapi aku tak tahu mana
nak mula,” kata Norita menyebabkan Sara Raihana duduk di sisinya semula.
“Kau cerita apa yang penting aje,” ujar Sara Raihana memberi
cadangan.
“Alif mintak putus. Tapi salah aku jugak,” kata Norita memulakan
cerita.
“Putus? Hari tu beria nak masuk meminang. Kenapa tak jadi?”
“Sebenarnya aku yang tak bagi Alif pergi ke rumah aku untuk
meminang. Aku mintak tangguhkan dulu hasrat dia untuk meminang sebab aku tahu
ibu bapa aku akan menolak lamaran dia. Sebelum dia dapat malu, lebih baik
tangguh. Bila ibu bapa aku dah boleh terima dia, barulah masuk meminang.”
“Habis tu kenapa Alif mintak putus?”
“Dia berkeras nak jumpa orang tua aku. Aku marahlah. Lepas gaduh,
tiba-tiba dia kata lebih baik putus sebab aku banyak alasan. Itu yang aku angin
satu badan. Tapi sebenarnya aku sayangkan dia, aku tak nak kehilangan dia,
Sara.”
“Sabarlah, Ita. Bila dia
dah sejuk, kau pergilah pujuk. Lelaki, kalau kena gaya kau pujuk, cairlah hati
dia. Lepas dia sejuk, kau berbincanglah elok-elok. Kalau kau benar-benar cintakan
dia, kau mesti sanggup hadapi segala dugaan.”
“Aku sedar hal tu sejak mula. Tapi aku takut dia dihina dan
dicerca keluarga aku. Aku masak sangat dengan sikap keluarga aku.”
“Cinta perlu diperjuangkan. Jangan cepat mengalah, Ita.”
“Yalah. Aku takkan mengalah. Baru sekarang aku tahu sakitnya bila
bercinta,” kata Norita, perlahan.
“Tapi tak sesakit bila tiba-tiba kita kehilangan cinta itu.”
Jawapan Sara Raihana membuatkan Norita terdiam. Dia baru merasakan
sedikit sakit akibat cinta tetapi Sara Raihana telah dahulu merasakan
kehilangan sedang cintanya mekar di hati.
“Maafkan aku, Sara,” ucap Norita bila dia melihat wajah Sara mulai
muram dan ada air jernih tergenang di matanya.
“Tak apa. Kalau dulu bila aku teringat Izzat, rasa macam tak nak
hidup lagi. Tapi sekarang bila aku rasa ada sikit kekuatan dan semangat untuk
hidup, lain pulak jadinya,” keluh Sara Raihana.
“Maksud kau, Chan?”
Sara Raihana mengangguk.
“Ita, kenapa aku ditemukan dengan orang yang salah pada waktu yang
salah sehingga membuat aku menjadi serba salah? Apa perlu aku buat? Perlukah
aku menunggu sesuatu yang tak pasti? Kau pun tahu hati aku dah tertutup untuk bercinta
lagi.”
“Aku nak lihat kau bahagia, Sara. Lupakan semua masalah yang buat
kau kecewa. Aku rasa kau perlu berterus terang dengan Chan. Jangan sebab kau
diamkan dia anggap kau terima dia. Aku nak kau kuatkan diri dan anggap aje
semua ni sebagai cabaran untuk kau. Carilah kebahagiaan kau dan
bila kau ketemu jangan sesekali berpaling daripadanya,” kata Norita
sambil memegang tangan Sara Raihana seolah-olah memberi semangat.
“Terima kasih, Ita. Aku akan cuba jadi kuat dan berterus terang
dengan Chan tapi selepas dia selesai mengambil SPM.
Aku tak nak sebab rasa kecewa, dia gagal dalam SPM.”
Norita mengangguk dan mengukir senyuman. Sara Raihana membalas
senyuman Norita. Terasa lapang dadanya apabila dapat meluahkan apa yang terbuku
di hati.