Home Novel Keluarga I LOVE YOU CIKGU
Bab 22

PETANG itu Sara Raihana berada di sekolah kerana bertugas melatih pasukan bola jaring. Dia dan Cikgu Amirah bergilir-gilir bertugas melatih pasukan itu disamping Cikgu Maimunah sebagai pengurus pasukan. Suasana agak sunyi di kawasan bangunan sekolah kerana kebanyakan pelajar berada di padang atau di kawasan sekitar sekolah untuk aktiviti sukan dan riadah.

Selesai tugas melatih pelajar petang itu, Sara Raihana menghampiri tempat meletak kereta untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba dua orang pelajar perempuan berlari-lari mendapatkannya.

“Cikgu, ada pelajar perempuan dan lelaki kat tingkat atas sana,” ujar salah seorang pelajar itu sambil menuding ke arah kelas tingkatan lima yang dimaksudkan.

“Hah? Apa yang mereka buat?” tanya Sara Raihana inginkan kepastian.

“Mereka buat maksiat, cikgu,” kata seorang lagi pelajar.

Sara Raihana terfikir seketika lalu dia mendail nombor telefon Cikgu Siti Aminah yang dilihat masih di padang. Cikgu Siti Aminah datang bersama-sama tiga orang pelajar lelaki yang merupakan pengawas sekolah. Cikgu Siti Aminah menyuruh pelajar perempuan yang membuat laporan itu tidak mengikut mereka sebaliknya pergi ke padang menyertai pelajar yang lain.

“Jom, Sara kita jadi pegawai pencegah maksiat petang ni,” kata Cikgu Siti Aminah sambil bergerak ke arah tangga.

Sara Raihana hampir ketawa mendengar gelaran itu. Pelbagai kerja yang boleh dibuat seorang guru, macam kopi pracampuran 7 dalam 1. Mereka bergerak dalam dua pasukan dan mengepung dari arah kiri dan kanan kelas itu. Cikgu Siti Aminah mengarahkan mereka bergerak secara perlahan-lahan ke arah pintu yang tertutup sebelah. Mereka menyerbu masuk tatkala pelajar lelaki sedang bercumbu rayu pelajar perempuan itu. Kedua-dua pelajar itu terkejut dengan kehadiran guru dan pengawas yang tidak diduga.

“Kamu buat apa, hah?” sergah Cikgu Siti Aminah.

“Kami tak buat apa-apa pun,” kata pelajar perempuan itu.

Sara Raihana masih mengingati pelajar itu walaupun telah tiga tahun tidak mengajarnya. Masakan dia boleh lupa pada orang yang telah menyebarkan cerita yang bukan-bukan tentang dirinya dengan Chan Chee Hong?

“Julia?” Terkeluar juga nama itu melalui mulut Sara Raihana.

Julia yang baru menyedari kehadiran Sara Raihana turut terkejut. Cikgu yang pernah dibencinya ada di situ.

“Oh, cikgu pun ada. Cikgu nak buat fitnah kat saya pulak ke? Nak balas dendam?” tuduh Julia.

“Apa maksud awak, Julia? Balas dendam apa?” tanya Sara Raihana.

“Cikgu jangan nak berlakon baik. Saya tahu perangai cikgu yang sebenar. Tapi disebabkan cikgu dah berjaya pengaruhi pengetua, cikgu dan Abang Chan tak diambil tindakan. Kali ni cikgu sengaja nak perangkap saya, kan?” kata Julia beremosi marah.

“Kamu jangan kurang ajar dan memutar belit kenyataan, Julia. Jangan nak nafi lagi. Bukan Cikgu Sara yang perangkap kamu tapi kamu sendiri yang berkhalwat dengan Asraf kat sini. Mengikut laporan, kamu kerap ke sini ketika orang lain berada kat padang. Bukan ke sepatutnya kamu pun berada kat padang? Kenapa berada kat dalam kelas pulak?” kata Cikgu Siti Aminah dengan tegas.

Cikgu Siti Aminah menyuruh salah seorang pengawas mencatatkan nama mereka berdua untuk diambil tindakan selanjutnya. Asraf cuba merayu agar mereka tidak dikenakan tindakan disiplin tetapi rayuan mereka ditolak.

“Cikgu tak adil, pengetua pun tak adil. Bila saya berkata benar tentang Cikgu Sara dengan Abang Chan, saya yang kena tindakan disiplin. Tapi mereka berdua lepas. Entah-entah lebih daripada saya pun mereka dah buat. Depan mata saya mereka berpeluk-pelukan tanpa silu. Kalau kat belakang, tentu lebih lagi. Silap-silap dah terlanjur,” lancang tuduhan yang dibuat Julia. Dendamnya masih tersimpan buat Sara Raihana.

Sara Raihana terasa ingin menampar mulut Julia yang celopar. Tetapi disebabkan fikirannya masih waras, dia hanya mendiamkan diri membiarkan Cikgu Siti Aminah mengendalikan kes itu.

“Jangan kurang ajar! Itu jugak satu kesalahan yang boleh dicatat kerana melawan guru dan mengeluarkan kata-kata fitnah. Julia, kamu mintak maaf pada Cikgu Sara,” arah Cikgu Siti Aminah.

Tetapi Julia enggan berbuat demikian.

“Julia, ingat bahawa dosa sesama insan takkan diampunkan ALLAH kecuali kamu meminta maaf terhadap orang yang kamu umpat atau fitnah tu,” kata Cikgu Siti Aminah lagi.

Julia tetap enggan meminta maaf menyebabkan kesalahan itu turut dicatat di dalam laporannya. Cikgu Siti Aminah mengarahkan mereka balik ke asrama kerana waktu itu pelajar lain telah pulang ke asrama dari padang.

“Kak Siti, terima kasih kerana bantu saya tadi,” ucap Sara Raihana.

“Tak apa. Dah jadi tanggungjawab kita sebagai guru untuk bentuk dan didik pelajar setakat mana yang kita mampu. Kak Siti harap Sara tak ambil hati dengan kata-kata Julia. Dendam dia pada Sara masih membara,” ujar Cikgu Siti Aminah.

“Ya, Sara tahu dia masih berdendam tapi Sara tak ambil hati. Sara harap suatu hari nanti dia akan sedar dan insaf. Terasa semakin mencabar tugas kita kini. Pelajar makin kurang adab dan sopan,” kata Sara Raihana dan disetujui Cikgu Siti Aminah.

Sara Raihana meminta diri untuk pulang ke rumah. Mereka sama-sama bergerak ke kereta dan menuju ke destinasi masing-masing. Sesampainya Sara Raihana di rumah, dia mendapati Farid ada di penjuru halaman sedang membersihkan longkang yang tersumbat. Telah hampir enam bulan Sara Raihana mengenali Farid dan dia melihat Farid amat rajin membantu kerja-kerja di rumah Mak Zainab. Mak Zainab selalu memuji Farid di hadapan Sara Raihana dan berharap agar mereka dapat menjadi pasangan yang bercinta dan akhirnya mendirikan rumah tangga.

Sara Raihana kurang menyukai sikap Farid yang menghisap rokok serta suka mengawal pergerakannya. Hampir setiap hari Farid akan bertanyakan diri Sara Raihana dan di mana dia berada. Seolah-olah ke mana sahaja Sara Raihana pergi dia perlu tahu. Telah berkali-kali dia mengajak Sara Raihana keluar bersama tetapi Sara Raihana tidak mahu sebaliknya hanya akan berjumpa Farid di rumah sahaja. Itupun dengan kehadiran Mak Zainab.

“Sara,” panggil Farid apabila dilihatnya Sara Raihana ingin masuk ke dalam rumah.

“Kenapa?” tanya Sara Raihana sambil memberhentikan langkah.

“Mari ke sini sekejap.”

Sara Raihana berjalan ke arah Farid. Farid meletakkan penyodok longkang di tepi pagar dan menarik asap rokok dalam-dalam. Kemudian puntungnya dicampakkan ke tanah. Kemudian asap rokok itu dilepaskan ke udara. Sara Raihana terbatuk kecil kerana terhidu asap rokok itu. Farid hanya ketawa melihat Sara Raihana.

“Apanya, cakaplah? Sara dah penat ni, nak rehat.”

“Sara ni, tak romantik langsunglah. Farid ajak Sara keluar, Sara tak nak. Alih-alih tepi longkang nilah tempat dating kita,” kata Farid sambil mengenyit mata.

“Kalau setakat tu aje yang Farid nak cakap, Sara mintak diri dulu,” jawab Sara Raihana sambil mengorak langkah.

Sepantas kilat tangan Sara Raihana dipegang Farid. Sara Raihana yang terkejut dengan tindakan itu menarik kembali tangannya secara kasar.

“Sombong! Pegang sikit pun tak bagi.”

“Sara tak sukalah. Kita bukan ada apa-apa hubungan, tak elok kalau orang tengok.”

“Kalau macam tu apa kata kalau Farid masuk meminang?” tanya Farid menduga.

“Sara ada ibu bapa. Biar mereka yang buat keputusan,” jawab Sara Raihana memberi alasan.

“Baiklah. Farid akan jumpa ibu bapa Sara. Tapi Sara kena tolong Farid dulu.”

“Tolong apa?” tanya Sara Raihana.

“Farid perlukan lagi RM10,000 untuk pembedahan jantung mak Farid kat kampung. Doktor cakap kena segerakan pembedahan tu. Farid dah berhabis banyak duit untuk mak, tapi tak cukup lagi. Farid pinjam duit Sara dulu, boleh tak?”

“Sara mana ada duit sebanyak tu.”

“Tak mungkin Sara tak ada simpanan langsung. Sara bukannya berbelanja banyak duit gaji Sara. Farid rasa duit Sara tentu ada, tapi saja Sara tak nak tolong Farid.”

“Siapa kata Sara tak berbelanja? Sara pun kena guna duit untuk minyak kereta, makan minum, pakaian dan macam-macam lagi.”

“Banyak mana sangat kalau belanja setakat tu? Paling kurang RM1,000 sebulan Sara boleh simpan. Baiklah kalau Sara tak nak tolong. Biarlah mak Farid meninggal aje.”

“Janganlah cakap macam tu. Simpanan Sara tu memang ada tapi tak sebanyak tu yang boleh Sara beri.”

“Berapa yang Sara boleh beri?”

Muka Farid telah nampak ceria kerana ada tanda-tanda Sara Raihana akan meminjamkan wang kepadanya.

“Sara boleh beri pinjam setakat RM5,000 aje. Selebihnya Farid carilah kat tempat lain,” kata Sara Raihana agak perlahan.

“Betul? Terima kasih, Sara,” ucap Farid.

Tangannya ingin memeluk Sara Raihana tetapi Sara Raihana mengelak. Dia tidak suka diperlakukan begitu.

Sorry. Farid gembira sangat tadi. Bila boleh Sara beri duit tu?”

“Esok dan tolong SMS nombor akaun Farid.”

Farid hanya mengangguk.

“Sara mintak diri dulu,” kata Sara Raihana sambil berlalu pergi.

Farid hanya memerhati langkah Sara Raihana dengan senyuman melebar. Segera dia menyalakan sebatang lagi rokok sebelum menyambung kembali kerja-kerja membersihkan longkang yang tergendala.


BERITA tentang Farid ingin masuk meminang Sara Raihana telah sampai ke pengetahuan Mak Zainab, ibu bapa Sara Raihana dan Norita. Mereka sangat gembira dengan berita itu dan berharap Sara Raihana akan bertemu jodoh dengan Farid. Sara Raihana hanya mendiamkan diri bila Norita bertanya tentang perasaannya terhadap Farid.

“Betul ke kau dah buat keputusan terima Farid?” tanya Norita ketika mereka sedang makan di kantin sekolah.

“Entah,” jawab Sara Raihana acuh tak acuh.

“Kenapa ni?”

“Aku tak pasti, Ita. Dalam hati aku tak ada perasaan langsung terhadap dia.”

“Kalau macam tu, kenapa dia kata nak meminang kau?”

“Itu dia yang kata. Aku tak kata setuju lagi.”

“Kalau dia pinang kau, adakah kau akan menolak?”

“Entah, aku tak pasti. Aku serahkan aje keputusan pada ibu dan bapa aku.”

“Kau kena pastikan betul-betul hati kau. Jangan pulak kau menyesal kemudian hari.”

Sara Raihana hanya memikirkan kata-kata Norita itu. Tiba-tiba bunyi isyarat mesej masuk di telefon Sara Raihana. Nama yang tertera adalah nama Iman atau nama penuhnya Muhamad Nur Iman Chan alias Chan Chee Hong. Sara Raihana mengerling sekilas mesej itu, ucapan tahniah daripadanya kerana Sara Raihana bakal bertemu jodoh.

Dalam hati Sara Raihana menggerutu kerana tentu ibu atau bapanya telah memberitahu berita itu kepada Iman yang masih belajar di universiti. Iman menghantar mesej lagi untuk meminta izin bercakap dengannya tetapi Sara Raihana menolak dengan alasan masa itu tidak sesuai dan meminta Iman menghubunginya sebelah malam.

“Sara, jom temankan Kak Habsah ambil piala dan pingat untuk kejohanan sukan kita kat kedai,” ajak Ustazah Habsah ketika Sara Raihana telah masuk ke bilik guru.

Sara Raihana bertugas di bahagian yang sama dengan Ustazah Habsah untuk kejohanan sukan itu.

“Baiklah. Kita nak pergi naik apa? Van sekolah?” tanya Sara Raihana.

“Kita naik kereta Kak Habsah dahlah.”

Sara Raihana mengangguk. Mereka berdua kemudian menaiki kenderaan menuju ke pusat bandar. Kedai itu terletak di Jalan Panggung Wayang. Mereka memarkir kenderaan betul-betul di hadapan kedai setelah berpusing dua kali.

“Susah betul nak parkir kereta. Orang makin ramai kat bandar ni,” komen Ustazah Habsah.

“Mungkin orang suka tinggal kat sini, jadi penduduknya pun bertambah,” jawab Sara Raihana sekadar memberi pendapat.

Mereka memasuki kedai itu dan meminta hadiah untuk kejohanan itu yang terdiri daripada pelbagai pingat dan piala. Ustazah Habsah membawa senarai nama piala dan pingat yang perlu diambil. Mereka meneliti hadiah untuk kejohanan itu secara teliti takut ada kesilapan yang berlaku.

Sedang Sara Raihana meneliti pingat-pingat itu, tiba-tiba matanya terpandang kelibat manusia yang amat dikenalinya sedang berpegangan tangan dengan orang yang dikenalinya juga. Darahnya terasa mendidih dan hatinya tergores. Ustazah Habsah mengajak Sara Raihana pulang ke sekolah setelah selesai memasukkan piala dan pingat ke dalam kereta.

“Sara, kalau Kak Habsah tanya boleh tak?”

“Boleh.”

“Betul ke Sara nak kahwin?”

“Siapa beritahu Kak Habsah? Iman?”

“Ya. Iman yang beritahu tadi. Tahniah, Sara. Semoga kekal ke anak cucu,” ucap Ustazah Habsah.

Sara Raihana hanya menyambut kata-kata ucapan itu dengan wajah kelat. Betulkah dia akan berkahwin dengan Farid? Hatinya mula tertanya-tanya.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.