SARA Raihana mengambil pakaian malam dan
pakaian untuk bekerja sebelum bertolak ke rumah
Mak Zainab. Malam itu buat pertama kalinya dia
tidur di rumah emak mentuanya. Rumah Mak
Zainab agak besar dan mempunyai lima buah bilik
tidur termasuk bilik tetamu. Mak Cik Rohaya dan Pak Cik
Majid diberi bilik tetamu pada malam itu manakala Sara
Raihana diberi bilik Izzat Hafis.
Hati Sara Raihana menjadi hiba apabila dia memasuki
bilik itu. Matanya memerhati keseluruhan bilik yang telah
dikemas rapi. Terdapat gambar Izzat Hafis yang tersenyum
sambil memakai jubah graduan. Dia mengambil gambar
itu dan mendakapnya erat. Air matanya berjuraian di pipi.
Rindunya pada Izzat Hafis tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Kenangan bersama-sama Izzat Hafis berputar satu
per satu di minda.
Riak-riak air di tasik kelihatan seolah-olah bergerak
apabila ditiup angin. Udara sungguh nyaman dan redup
kerana banyak pokok besar terdapat di situ sehinggakan
bentuk pokok-pokok itu seolah-olah payung besar yang
memayungi jalan di tepi tasik. Taman Tasik Taiping merupakan
tempat yang cantik dengan taman semula jadi untuk pelbagai
aktiviti riadah.
“Cuba lihat kat sana.”
Izzat Hafis menunjuk ke arah sepasang pengantin
berpakaian sedondon berwarna merah yang sedang
mencari posisi untuk mengambil gambar. Sara Raihana turut
memandang pasangan itu dengan senyuman di bibir.
“Kenapa? Abang pun nak ambil gambar macam tu nanti
ke?” tanya Sara Raihana menduga.
“Kalau Sara nak, kita ke Cameron Highlands dan ambil
gambar kat sana. Kita pakai baju pengantin kat tengah-tengah
ladang teh. Tentu cantik, kan?” ujar Izzat Hafis tersenyum
membayangkannya.
“Hisy, tak naklah tangkap gambar tengah pakai baju
pengantin. Malulah orang tengok,” ujar Sara Raihana.
“Cuba tengokcoupletu, tak malu pun. Siapposingbaringbaring
lagi,” kata Izzat Hafis sambil memandang pasangan
pengantin yang sedang baring mengiring di atas rumput.
Betul-betul macam cerita Hindustan. Mungkin sudah
menjaditrend, pengantin Melayu pun bergambar ala-ala
pengantin Cina.
“Tak naklahposingmacam tu. Tapi kalau macamcouple
yang pakai baju ungu tu, okeylah. Nampak sopan,” kata
Sara Raihana sambil jarinya ditunjukkan ke arah sepasang
lagi pengantin yang berada di lokasi bertentangan dengan
pasangan pertama. Pasangan itu hanya mengambil gambar
secara duduk dan berdiri sahaja.
“Macam tu takbestlah. Macam tiang aje, tak ada
perasaan.
Abang suka kalau nampak lebih natural dan santai. Tak adalah
nampak macam kahwin paksa aje,” sahut Izzat Hafis sambil
ketawa.
Sara Raihana mencubit sayang pinggang Izzat Hafis dan
menyebabkan Izzat Hafis makin galak mengusiknya. Saat itu
terasa sungguh bahagia, bagaikan dunia hanya milik mereka
berdua.
“Abang, lepas hari ni jika
Sara lalu ikut kawasan ni
untuk pergi ke sekolah pasti Sara akan ingatkan abang dan
janji abang untuk bawa Sara ambil gambar kat Cameron
Highlands,” ujar Sara Raihana.
“Baguslah kalau Sara ingatkan abang. Jangan ingat orang
lain pulak.”
“Hisy abang ni. Nak ingatkan siapa pulak? Dalam hati
Sara hanya ada abang seorang,” jawab Sara Raihana purapura
merajuk.
“Manalah abang tahu. Jangan-jangan Sara ingatkan
couple yang macam pak pacak tu aje,” usik Izzat Hafis sambil
menarik hujung selendang Sara Raihana.
“Tak kuasa nak ingatkan mereka,” kata Sara Raihana
sambil menarik kembali hujung selendangnya yang terselit
di jari Izzat Hafis.
Dia membetulkan kedudukan selendang yang telah
senget akibat ditarik.
Izzat Hafis hanya ketawa gembira. Tinggal beberapa hari
sahaja lagi persekolahan akan bermula dan keluarganya telah
membantu Sara Raihana mencari rumah sewa. Hari itu Sara
Raihana telah datang untuk melihat rumah itu dan sekali
gus membayar wang pendahuluan. Setelah selesai segala
urusan di rumah sewa itu, Izzat Hafis membawa tunangnya,
Sara Raihana bersiar-siar di taman tasik. Lokasi kegemaran
pasangan bercinta.
“Bila abang nak bertolak ke Muar?” tanya Sara Raihana
setelah diam seketika.
“Esok pagi. Kenapa? Sara nak ikut ke?” Izzat Hafis masih
mahu bercanda.
“Kalau boleh Sara nak ikut abang. Ke mana aje abang
pergi Sara akan ikut asalkan ada abang.”
Jawapan Sara Raihana cukup membahagiakan Izzat
Hafis.
“Nanti bila dah dapat surat nikah, Sara isi borang
pertukaran. Ikut abang tinggal kat Muar. Lepas beberapa
tahun kita sama-sama mintak balik ke sini.”
“Kenapa balik ke sini? Kenapa tak balik Penang aje?”
“Hah, tadi kata ke mana aje abang pergi Sara akan ikut. Ni
belum apa-apa dah nak ke tempat lain, tak nak ikut abang.”
“Okey...okey...Sara silap.Sorryya. Kalau Sara dah jadi
isteri abang, Insya-ALLAH Sara akan ikut abang.”
“Ikut abang ya, janji?”
“Janji!”
“Jadi, kalau abang ke tandas pun Sara akan ikutlah, ya?”
kata Izzat Hafis sambil mengenyit mata, nakal.
“Abang ni.”
Sara Raihana ingin memukul lengan Izzat Hafis tetapi
Izzat Hafis segera bangun dan mengelak pukulan itu. Sara
Raihana yang tidak berpuas hati kerana telah dipermainkan
tunangnya itu cuba memukulnya lagi. Mereka berpusingpusing
di sekitar bangku batu yang menjadi tempat duduk
mereka sedari tadi.
“Okey...okey...abang menyerah,” kata Izzat Hafis sambil
duduk kembali di bangku itu.
Sara Raihana duduk di sebelah Izzat Hafis. Masih bersisa
ketawanya. Terasa malu seketika kerana perbuatan mereka
tadi telah menjadi tontonan beberapa orang pengunjung di
situ.
“Pukullah.”
Izzat Hafis menyuakan lengannya.
“Tak nak.”
Sara Raihana menolak lembut lengan Izzat Hafis.
“Betul tak nak? Lepas kita kahwin, Sara mana boleh
pukul abang lagi. Rugi kalau tak pukul sekarang.”
“Siapa kata tak boleh pukul lagi?”
“Kalau Sara pukul abang, abang balas balik, tapi kat
sini.”
Tangannya menunjukkan ke arah bibir Sara Raihana
sambil memberikan ciuman di udara.
“Abang ni saja aje nak kenakan Sara.”
Wajah Sara Raihana merona merah menahan malu.
“Sara ni kalau merajuk nampak makin comel.”
“Ada-ada aje abang ni.”
Sara Raihana ketawa sambil memandang pasangan
pengantin yang masih bergambar di seberang tasik.
Air mata yang mengalir dibiarkan menitis sehinggakan
beberapa titisannya mengenai gambar Izzat Hafis yang masih
ditatap. Perlahan-lahan air mata yang terkena gambar itu
dilap dengan jari-jemarinya yang masih berinai.
“Sara, mari makan nak. Mak dah hidangkan nasi.”
Terdengar suara Mak Zainab memanggilnya, mematikan
semua lamunan. Air mata diseka dengan lengan baju dan
gambar Izzat Hafis diletakkan kembali di atas meja. Perlahanlahan
dia melangkah ke luar pintu.
“Maafkan mak, Sara. Mak bukan sengaja nak buat Sara
sedih dengan menyuruh Sara tidur kat bilik Izzat. Bilik
tetamu rumah ni hanya ada satu. Jadi bilik Izzat ajelah yang
paling sesuai untuk Sara,” kata Mak Zainab yang kelihatan
serba salah bila dia melihat masih ada kesan menangis di
wajah menantunya itu.
“Tak apalah, mak. Sara tak kisah tidur kat bilik Izzat
malah berterima kasih kerana mak sudi beri Sara peluang
berada kat sini,” jawab Sara Raihana perlahan.
“Janganlah Sara anggap Sara sebagai tetamu, tetapi
Sara adalah menantu mak. Sama tarafnya dengan anak mak
sendiri.”
Jawapan Mak Zainab membuatkan Sara Raihana menangis
dan memeluknya. Terasa hangat pelukan itu sehangat pelukan
sewaktu majlis akad nikah yang lalu.
“Dahlah, Sara. Mari kita makan. Ibu dan abah Sara dah
tunggu tu,” ujar Mak Zainab sambil memegang tangan Sara
Raihana untuk dibawa ke meja makan.
Sara Raihana mengambil tempat bersebelahan Mak
Zainab dan bertentangan dengan Mak Cik Rohaya. Mereka
makan sambil sesekali berbual ringan. Sara Raihana merenung
nasi yang terhidang di hadapannya. Mak Zainab melayannya
bagaikan puteri dengan mencedok lauk ke pinggan dan
menuangkan air. Sara Raihana terharu dengan layanan itu
dan sebab itulah dia menggagahi diri untuk makan agar tidak
mengecewakan hati emak mentuanya.
Mak Cik Rohaya tersenyum puas kerana hari ini
Sara Raihana makan walaupun hanya beberapa suap. Dia
berharap agar kesedihan Sara Raihana terubat jua. Tadi
sengaja dia membiarkan Mak Zainab mengajak Sara Raihana
makan kerana dia tahu Sara Raihana akan menolak jika dia
yang memanggil seperti yang selalu dilakukan Sara Raihana
sewaktu di rumah mereka di Bukit Mertajam.
Malam itu Sara Raihana tidur di atas katil yang menjadi
pembaringan suaminya selama ini. Bantal suaminya dicium
untuk mendapatkan bau Izzat Hafis. Tapi dia hampa kerana
sarung bantal dan cadar itu hanya berbau pewangi kain
sahaja. Dia menepuk-nepuk bantal itu beberapa kali dan
berharap agar dapat bertemu Izzat Hafis di dalam mimpi.
Tetapi matanya begitu payah untuk dilelapkan walaupun dia
berusaha untuk lena.
Hampir setiap malam Sara Raihana berkeadaan begitu,
kesukaran untuk tidur atau insomnia. Dialihkan badannya
sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Bantal Izzat Hafis
dipeluk bagai memeluk suaminya. Masih gagal untuk lena.
Akhirnya dia berzikir di dalam hati dan membaca ayat-ayat
suci al-Quran. Lama-kelamaan dia tertidur ketika waktu
telah merangkak pagi.