CHAN Chee Hong berjalan di sebelah Sara Raihana ketika
mereka bergerak ke jeti untuk menaiki bot. Mereka terpaksa menunggu seketika kehadiran bot-bot
untuk membawa mereka pulang. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Chan Chee Hong
untuk terus berbual-bual dengan Sara Raihana.
“Cikgu, lepas ni kita nak ke mana lagi?” tanya Chan Chee Hong
sambil memerhati wajah Sara Raihana yang berada di hadapannya.
“Kita akan mengelilingi pulau ni dan lihat batu berbentuk buaya
serta batu berbentuk penyu. Lepas tu, kita makan tengah hari dan solat kat
masjid terapung.”
“Batu buaya dan batu penyu? Macam mana batu tu terjadi? Kena tegur
dengan Sang Kelembai ke?” tanya Mira yang duduk tidak jauh daripada Sara
Raihana.
“Bukan kerana ditegur Sang Kelembai tapi akibat proses hakisan air
laut dan angin,” terang Sara Raihana.
“Begitu hebat ciptaan ALLAH. Angin dan air aje dapat membentuk
sesuatu objek,” ujar Chan Chee Hong kagum.
Sara Raihana hanya tersenyum sambil melihat beberapa buah bot
menghampiri jeti. Para pelajar berbaris mengikut arahan Cikgu Jalil. Bot tidak
dapat menghampiri rapat ke jeti. Mereka perlu turun ke atas pelantar yang diperbuat daripada tong-tong
biru yang terikat kemas sebelum masuk ke bot. Tong-tong itu terapung di dalam
laut. Cikgu Bahar menuruni anak tangga dan menghulur tangan untuk membantu
pelajar masuk ke dalam bot. Dia kemudian menaiki bot itu.
“Cikgu Sara naik bot kedua dan biar saya naik bot yang ketiga,”
arah Cikgu Jalil.
“Baiklah,” ujar Sara Raihana sambil teragak-agak untuk menuruni
anak tangga.
“Cikgu, biar saya turun dulu,” ujar Chan Chee Hong memintas Sara
Raihana.
Sara Raihana memerhati alunan ombak yang membuatkan pentas itu
bergoyang-goyang. Hatinya terasa kecut, bimbang akan terjatuh sebelum masuk ke
dalam bot. Cikgu Jalil mengarahkan beberapa orang pelajar untuk masuk ke dalam
bot itu. Chan Chee Hong membantu pelajar-pelajar itu hinggalah tiba giliran Sara Raihana. Sara Raihana masih teragak-agak
untuk melangkah naik ke atas pentas yang sedang bergerak-gerak.
“Cikgu, jangan takut. Saya akan pegang cikgu. Insya-ALLAH tak
jatuh,” ujar Chan Chee Hong, seakan-akan dapat membaca kerisauan Sara Raihana.
“Betul tak jatuh?” soal Sara Raihana sambil menelan air liur yang
kelat. Takut melihat olengan pentas yang bergerak-gerak tidak berhenti.
“Percayakan saya, cikgu. Saya akan pegang cikgu kuat-kuat,” jawab
Chan Chee Hong sambil menghulur tangan.
Sara Raihana menyambut huluran tangan Chan Chee Hong dan dengan
pantas dia melangkah naik ke atas pentas. Chan Chee Hong memegang erat tangan Sara Raihana dan membantunya
menaiki bot. Sara Raihana cepat-cepat duduk di bangku setelah masuk ke dalam
bot.
Sara Raihana mengenakan jaket keselamatan yang terdapat di palang
besi. Chan Chee Hong masuk ke bot dan mengambil tempat di sebelah Sara Raihana.
Hanya itu sahaja tempat yang masih kosong. Julia melihat ke arah Chan Chee
Hong. Geram rasa hatinya melihat Sara Raihana tersenyum kepada Chan Chee Hong
yang sedang mengenakan jaket keselamatan.
“Terima kasih Chan kerana banyak bantu saya. Tanpa Chan, mungkin
sukar kerja saya hari ni.”
“Tak perlulah cikgu berterima kasih. Saya ikhlas nak tolong cikgu.
Kalau cikgu perlukan pertolongan saya, cikgu sebut aje. Insya-ALLAH saya akan
bantu,” ujar Chan Chee Hong dengan senang hati.
“Eleh, tolong ada makna,” ejek Julia mencebik.
Sara Raihana melihat ke arah Julia tetapi Julia memusingkan kepala
menghadap laut. Berkerut dahi Sara Raihana memikirkan kata-kata Julia. Dia
terperasan yang Julia seolah-olah menyindirnya sejak kejadian dia terjatuh ke
atas Chan Chee Hong lagi.
Apa masalah budak ni? Dia suka pada Chan ke? Bisik hati Sara
Raihana.
Sara Raihana sekadar meneka kerana dia melihat telah beberapa kali
Julia cuba mendekati Chan Chee Hong tetapi Chan Chee Hong tidak melayan Julia.
Sebaliknya, Chan Chee Hong sentiasa mengekorinya dan kerap berada di
sebelahnya.
Bot mereka mulai bergerak ke tengah laut dan kemudian merapati
pesisir pantai berbatu. Pemandu bot menghentikan bot buat seketika bagi
memudahkan mereka semua melihat batu-batu yang berbentuk buaya dan penyu.
Masing-masing sibuk menangkap gambar batuan itu termasuklah Chan Chee Hong dan
Sara Raihana.
Chan Chee Hong mencuri pandang wajah Sara Raihana yang kelihatan
ceria. Hatinya berharap agar kegembiraan Sara Raihana berpanjangan. Tidak
sanggup rasa hatinya melihat keadaan Sara Raihana yang sentiasa bermuram durja
sebelum ini.
“Mira, tolong ambil gambar
Abang Chan dengan Cikgu Sara,” pinta Chan Chee Hong sambil menyua kamera kepada
Mira yang duduk di hadapannya.
Mira mengambil kamera itu dan menangkap gambar mereka berdua. Bot
mulai bergerak semula. Mira terus menekan butang untuk menangkap sekeping lagi
gambar Chan Chee Hong dan Sara Raihana. Julia yang berada di sebelah Mira hanya
menjeling.
“Terima kasih, Mira,” ucap Chan Chee Hong setelah kamera bertukar
tangan.
Bot-bot mereka terpaksa mengelilingi bukit sebelum tiba di jeti
permulaan. Cikgu Maimunah menanti dengan senyuman di bibir kerana aktiviti yang
dijalankan di situ telah berjaya dan semua telah kembali ke jeti dengan
selamat. Mereka bergerak untuk makan tengah hari tidak jauh dari kawasan itu
dan kemudian bersolat di Masjid Terapung.
Chan Chee Hong membuka pembalut lukanya sebelum berwuduk. Luka di
siku Chan Chee Hong terasa pedih apabila terkena air. Dia hanya menahan
kesakitan itu dan kemudian bersama-sama yang lain menunaikan solat. Selesai bersolat, Chan
Chee Hong bergerak ke tangga. Dia terdengar suara Sara Raihana sedang
berbual-bual dengan Cikgu Maimunah. Ketika dia menoleh untuk melihat wajah kesayangannya, tanpa sedar
tangannya terkena palang besi tangga. Dia duduk sebentar di anak tangga bagi
melihat sikunya. Ekor matanya sempat menangkap kelibat Sara Raihana dan Cikgu
Maimunah yang sedang bergerak ke arahnya.
Eh, berdarah balik luka ni. Pembalut tadi pun aku dah buang, bisik
hati Chan Chee Hong.
“Kenapa Chan?” tanya Sara Raihana yang terlihat Chan Chee Hong
menyembunyikan tangan apabila menyedari kehadiran Sara Raihana di belakangnya.
“Err... tak ada apa-apa. Cikgu jangan risau.”
“Kenapa tangan kamu Chan?” tanya Cikgu Maimunah cuba melihat luka
di siku Chan Chee Hong.
“Tadi saya terjatuh di laluan ke tasik. Luka sikit aje cikgu,” jawab
Chan Chee Hong sambil menunjukkan lukanya.
“Sikit apa kalau berdarah balik?” soal Cikgu Maimunah tidak puas
hati.
Chan Chee Hong tidak memberitahu bahawa luka itu berdarah kerana
terlanggar pemegang tangga. Dia tahu dia cuai kerana asyik melihat wajah Sara
Raihana sebentar tadi. Sara Raihana turut melihat luka itu. Dia segera mengambil tisu dari
beg tangan dan mengelap darah yang mengalir di siku Chan Chee Hong.
“Mana pergi pembalut luka yang saya letakkan tadi?” tanya Sara
Raihana sambil mengeluarkan tisu lain untuk mengelap darah yang masih mengalir.
“Saya dah buang masa nak berwuduk tadi. Tak sangka berdarah
balik,” jawab Chan Chee Hong sambil memandang wajah Sara Raihana yang kelihatan
risau.
Sara Raihana tidak senang hati melihat keadaan Chan Chee Hong. Dia
menyalahkan diri sendiri atas kecederaan yang dialami Chan Chee Hong.
“Dalam bas ada pembalut luka dan ubat. Marilah kita ke sana,” ajak
Sara Raihana.
“Sara, pergilah dengan Chan. Kak Mai nak tengok pelajar kita yang
masih tak turun lagi tu.”
“Baiklah. Sara pergi dulu, Kak Mai.”
Cikgu Maimunah mengangguk. Chan Chee Hong dan Sara Raihana
berjalan beriringan menuju ke bas.
“Chan, saya mintak maaf sebab saya dah menyebabkan Chan cedera.
Tentu sakit tangan Chan.”
“Tak apalah, cikgu. Bukannya teruk sangat luka ni. Saya anak
lelaki. Luka macam ni tak jadi hal. Cikgu jangan risau, ya,” ujar Chan Chee
Hong tersenyum melihat wajah Sara Raihana yang masih risau.
“Tapi cikgu yang menyebabkan Chan cedera. Jika cikgu lebih
berhati-hati tentu tak jadi macam ni.”
“Bukan salah cikgu. Benda dah nak jadi. Tapi saya risaukan cikgu.
Luka cikgu macam mana? Sakit tak lagi?” tanya Chan
Chee Hong sambil melihat tangan Sara Raihana.
“Luka saya tak seberapa. Tengok ni, tak berdarah dah pun,” jawab
Sara Raihana sambil menunjukkan kedua-dua telapak tangannya.
Chan Chee Hong cuba menyentuh luka itu tetapi Sara Raihana
cepat-cepat mengelak.
“Maafkan saya, cikgu. Saya tak bermaksud nak pegang tangan cikgu.
Mungkin kerana luka tu,” ucap Chan Chee Hong, terperasan ketelanjuran sikapnya.
“Baiklah, saya maafkan.”
Mereka memasuki bas yang sedia menunggu di tempat letak kenderaan.
Sara Raihana mengambil kotak ubat dan merawat luka Chan Chee Hong. Chan Chee
Hong hanya memerhati kerja-kerja Sara Raihana tanpa kata. Dia cuba mengawal
sikapnya agar tidak bertindak sesuatu yang tidak disukai Sara Raihana. Dia mahu
mencipta kenangan terindah bersama orang tersayang walaupun orang yang
disayanginya itu tidak mengetahuinya.
Setelah semua pelajar menaiki bas, mereka dibawa melawat sekitar
Pulau Pinang. Mereka kemudian berhenti di pusat membeli-belah. Sara Raihana
mengikut langkah Cikgu Maimunah menyusuri kedai-kedai yang terdapat di situ.
Sesekali matanya mengawasi pergerakan pelajarnya yang sedang membeli
cenderahati. Chan Chee Hong turut melihat-lihat cenderahati. Tangannya membelek
anak patung berbentuk beruang kecil yang comel.
“Awak nak beli untuk awek ke Chan?” tanya Sara Raihana yang turut
berhenti di kedai itu.
“Bukanlah cikgu. Saya mana ada awek. Ini untuk adik saya, Lee
Fong,” jawab Chan Chee Hong sambil tersenyum manis.
“Adik perempuan ke?”
“Ya. Satu-satunya adik
saya.”
“Berapa umur dia?” tanya Sara Raihana sambil membelek-belek anak
patung berbentuk penyu.
“15 tahun dan dia bersekolah kat Sekolah Sultan Mohamad Jiwa.”
Sara Raihana hanya mengangguk. Apabila Chan Chee Hong ingin
mengeluarkan wang, Sara Raihana terlebih dahulu membayar untuknya.
“Eh! Tak payah susah-susah, cikgu. Saya ada duit dan boleh bayar
sendiri.”
“Tak apalah, Chan. Anggap aje ini adalah hadiah saya buat adik
Chan dan ini hadiah buat Chan.”
Sara Raihana menyua beg plastik berisi anak patung penyu dan juga
anak patung beruang kepada Chan Chee Hong. Chan Chee Hong mengambil kedua-dua
beg dengan senyuman. Dia mengucapkan terima kasih kepada Sara Raihana.
“Cikgu, kalau saya tanya jangan marah, ya.”
“Tanyalah, insya-ALLAH saya tak marah.”
“Cikgu ada adik tak?” tanya Chan Chee Hong sambil berjalan
beriringan dengan Sara Raihana.
“Kenapa? Chan nak berkenalan ke kalau saya ada adik?” soal Sara
Raihana tersenyum tanpa menjawab soalan Chan Chee Hong.
“Taklah. Saja aje nak tahu. Mana tahu suatu hari nanti saya ke
rumah cikgu kat Penang. Bolehlah saya berkenalan dengan ahli keluarga cikgu.”
“Saya tak ada adik sebab saya yang bongsu. Saya berbesar hati
kalau Chan nak datang ke rumah saya. Tapi kat rumah saya hanya ada ibu dan bapa
aje. Abang-abang saya semuanya tinggal kat tempat lain.”
“Cikgu tak ada kakak ke? Semua abang-abang aje.” Makin teruja Chan
Chee Hong untuk mengetahui ahli keluarga Sara Raihana. Bukan apa, sebagai
persediaan awal. Kalau nak memikat, kena tahu juga ahli keluarganya.
“Ya, saya tak ada kakak.
Cuma ada kakak ipar.”
“Jadi cikgu anak perempuan seoranglah? Tentu manja cikgu ni,” ujar
Chan Chee Hong tersengih.
Sara Raihana ketawa kecil dan mengangguk.
“Chan anak sulung, kan? Lelaki pulak tu. Tentu berat tugas Chan
dan jadi harapan keluarga.”
“Ya, cikgu. Memang berat. Saya takut jika papa saya tak dapat
terima saya setelah tahu saya memeluk Islam. Sekarang hanya adik saya yang tahu
hal ni.”
“Chan kena kuat dan tabah. Ingatlah yang Chan tak keseorangan.
Chan masih ada saya dan cikgu-cikgu yang lain untuk membantu Chan. Jika Chan
memerlukan pertolongan, beritahu aje. Insya-ALLAH, kami akan bantu mana yang termampu,”
ujar Sara Raihana meyakinkan Chan Chee Hong.
Wajahnya agak serius ketika menuturkan kata-kata itu. Chan Chee
Hong tersenyum lebar sambil mengangguk.
“Terima kasih, cikgu. Saya akan ingat pesanan cikgu dan saya harap
cikgu dapat tolong saya suatu hari nanti.”
“Insya-ALLAH, Chan. Setakat yang saya mampu. Err... maaf kalau
cikgu bertanya. Mana mama Chan?”
Chan Chee Hong tersenyum.
“Saya sendiri pun tak tahu mana mama saya. Papa saya kata mama dah
meninggal. Tapi hari tu, ada seorang perempuan datang ke rumah dan mengaku dia
adalahmummysaya dan Lee Fong. Papa marah-marah dan halau perempuan
tu. Sejak hari tu, perempuan tu tak datang lagi.”
Ada kesedihan di wajah Chan Chee Hong. Sara Raihana yang mendengar cerita itu terasa simpati. Dia tahu pastinya Chan Chee
Hong kekurangan kasih sayang seorang ibu.
“Chan, saya mintak maaf jika buat Chan sedih. Saya tak tahu
masalah keluarga Chan tapi saya harap Chan tak membelakangkan perempuan tu jika
benar dia mummy Chan. Mungkin keadaan membuatkan papa Chan bertindak begitu.
Tapi sebagai anak, kita harus menghormati kedua-duanya.”
“Saya sedar akan hal tu.
Tapi saya tak kisah sangat selagi dia tak ganggu kehidupan saya. Mungkin ada
sebab mengapa dia meninggalkan kami sewaktu kecil. Tapi apapun sebab dia, saya
takkan ikut kehendak dia yang nak kami ikut dia tinggal kat Amerika. Papa dah
besarkan kami dari kecil walaupun tak sesempurna mana. Jadi pada saya, papalah
orang yang patut saya dahulukan berbanding dia.”
Sara Raihana terdiam seketika mendengar luahan rasa Chan Chee
Hong. Padanya, masalah yang dihadapi Chan Chee Hong pasti berat kerana ia
melibatkan kepercayaan agama dan pertalian keluarga. Bagaimana penerimaan
keluarga Chan Chee Hong bila mereka mengetahui bahawa Chan Chee Hong telah
memeluk Islam? Adakah mereka akan menyisih dan memusuhi Chan Chee Hong?
Simpati Sara Raihana terhadap Chan Chee Hong makin bertambah. Dia
sedar ALLAH mengujinya dengan kehilangan suami tetapi Chan Chee Hong diuji
dengan kehilangan kasih sayang ibu dan kemungkinan akan kehilangan kasih sayang
keluarga pula.
“Chan, saya bersimpati dengan Chan. Tapi macam yang saya katakan
tadi, Chan masih ada kami semua untuk menyokong Chan. Kami adalah keluarga
Chan. Keluarga sesama Islam.”
Chan Chee Hong mengangguk sambil tersenyum. Dan tak lama lagi, Sara
akan jadi keluarga aku. Jadi isteri dan ibu kepada anak-anak aku. Aku akan
berusaha ke arah itu. Tunggu aku, sayang. Tunggu hingga aku cukup dewasa, bisik
hati Chan Chee Hong.
Sara Raihana terus berjalan sambil mengawasi pelajar yang lain.
Mereka meneruskan acara membeli-belah sehingga cukup masa yang diberikan.
Setelah semuanya selesai, mereka berangkat pulang ke sekolah. Masing-masing
membawa kenangan yang tidak mungkin dilupakan termasuklah Chan Chee Hong yang
membawa pulang kenangan terindah bersama guru kesayangannya.