SETELAH lapan tahun meninggalkan alam persekolahan, Muhamad Nur Iman Chan
telah berjaya menjadi seorang jurutera di salah sebuah syarikat swasta
di Gebeng, Kuantan. Telah dua tahun dia menjawat jawatan itu. Janjinya pada
Ustazah Habsah agar menyimpan dahulu rasa cintanya terhadap Sara Raihana
sehingga dia mendapat pekerjaan, tetap dipegang. Kini tibalah masa untuk
merealisasikan impiannya itu. Peluang bertemu Sara Raihana menjelma apabila dia
pulang bercuti sempena pemergian ibu angkatnya ke Tanah Suci kerana menunaikan
umrah.
Pada pagi Sabtu itu, Iman menghantar mesej meminta izin untuk
bercakap dengan Sara Raihana dan dia membalas dengan jawapan ‘ya’. Tidak sampai
seminit, telefon Sara Raihana berbunyi dan dia segera mengangkat panggilan
telefon itu. Setelah menjawab salam dan bertanya khabar, Iman memberitahu
bahawa dia akan ke rumah Sara Raihana.
“Iman ni, dah berapa kali Kak Sara kata jangan panggil Sara aje.
Panggil Kak Sara sebab Iman tu muda daripada Kak Sara.”
“Iman tak peduli, Iman nak panggil Sara jugak, lebih mesra.”
“Degillah Iman ni. Kalau
panggil Kak Sara pun mesra jugak.”
“Tak, sebab Iman tak naktitlekak tu ganggu rasa dalam hati
Iman.”
“Ganggu rasa apa? Cinta?” duga Sara Raihana sambil ketawa, terasa
lucu.
“Kalau Iman kata Iman cintakan Sara, macam mana?” soal Iman.
“Kalau macam tu Kak Sara kata, Kak Sara pun cintakan Iman,” balas
Sara Raihana sambil ketawa kerana menganggap Iman tidak serius. Malah bila dia
berkata begitu pun dianggapnya sekadar bergurau.
“Sara, boleh tak jumpa Iman? Iman nak bincang sesuatu dengan
Sara.”
“Boleh. Jumpa Kak Sara kat rumah Mak Zainab,” kata Sara Raihana.
“Janganlah sebut Kak Sara. Sebut aje Sara macam yang Sara cakap
dengan orang lain.”
“Mengada-ngada betullah Iman ni. Janggal nak sebut Sara aje dengan
Iman.”
“Cubalah. Lama-lama jadi biasa, tak janggal dah.”
“Baiklah, Iman sayang. Sara cuba,” jawab Sara Raihana sambil
ketawa dan ketawanya juga disambut Iman.
“Iman pergi sekarang, boleh?”
“Boleh. Kak...opss...Sara mintak diri dulu. Mak dah panggil tu.”
“Kirim salam untuk mak cik. Untuk Sara, Iman kirim salam rindu di
angin lalu,” kata Iman dengan ketawa yang masih bersisa.
“Baiklah. Bye,” kata Sara Raihana sambil ketawa
dan kemudian mematikan talian.
Sara Raihana keluar dari bilik untuk melihat apa yang menyebabkan
Mak Zainab memanggilnya. Mak Zainab memanggil Sara Raihana untuk memberitahu
bahawa dia hendak menziarahi kematian di hujung kampung dengan Kak Su. Sara
Raihana memberitahu akan kedatangan Iman.
“Sara ajaklah Iman keluar. Mak takut nanti jiran kata apa pulak
bila tengok Sara tinggal berdua kat rumah dengan Iman.”
“Baiklah, mak. Nanti Sara ajak dia pergi jogging kat taman tasik. Dah lama Sara tak jogging.”
Mak Zainab hanya mengangguk dan meminta diri untuk ke rumah Kak
Su. Sara Raihana mendail nombor Iman dan meminta dia berpakaian sukan. Iman
bersetuju. Iman tiba di rumah Sara Raihana tidak sampai setengah jam kemudian. Mereka
menaiki kereta Iman untuk ke taman tasik.
“Cantik kereta Iman. Baru beli, ya?” kata Sara Raihana setelah
lama berada di dalam kereta Satria Neo hitam itu.
“Ya. Sara nak cuba bawak?” tanya Iman.
“Tak apa. Kak Sara dah lama tak bawak kereta manual,” kata Sara
Raihana sambil menekankan sedikit perkataan ‘Kak Sara’ itu.
“Berapa kali Iman kata, sebut Sara aje, boleh?” Nada suara Iman
agak tegas. Dia benar-benar maksudkannya.
“Baiklah. ‘Sara aje’ nak tanya Iman, nak berhenti kat mana?” kata
Sara Raihana cuba bercanda.
Iman yang terperasan akan sebutan itu ketawa.
“Kalau kita berhenti kat situ boleh tak?” cadang Iman sambil
menunjuk ke arah tempat letak kereta berhampiran pokok besar berhadapan tempat
menaiki bot.
Sara Raihana bersetuju. Iman meletakkan keretanya di situ. Mereka
melintas jalan dan mengikut trek jogging yang terdapat di situ. Kawasan
Taman Tasik yang luas menyebabkan orang ramai boleh beriadah atau melakukan
aktiviti bersama-sama keluarga dengan selesa. Setelah hampir 15 minit berlari, Iman
mengajak Sara Raihana berhenti. Sara Raihana mengelap peluh di muka dengan
tuala kecil yang dibawanya.
“Iman kata nak beritahu sesuatu. Apa dia?”
“Iman cintakan Sara dan
Iman nak masuk meminang Sara.”
“Hah? Iman bergurau, ya?” kata Sara Raihana sambil ketawa kecil.
“Tak.”
“Tak mungkin. Kak Sara tak sesuai untuk Iman.”
“Jangan sebut Kak Sara, boleh?”
“Apalah Iman ni. Tak selesa tau kalau tak sebut Kak Sara.”
“Iman tak peduli. Payah sangat ke nak tunaikan permintaan Iman
yang sekecil tu?” tanya Iman sambil merapatkan jarak dirinya dengan Sara
Raihana.
Sara Raihana mengundurkan diri tetapi tersekat dengan pagar yang
berada di belakangnya. Iman merapatkan wajahnya ke wajah Sara Raihana.
“Iman tak pernah anggap Sara sebagai kakak, tapi Iman anggap Sara
sebagai kekasih dan bakal isteri Iman,” ujar Iman separuh berbisik.
Sara Raihana terdiam mendengar pengakuan itu dan lidahnya terkelu.
Benarkah semua itu? Adakah Iman bergurau? Dia merenung mata Iman untuk mencari
jawapan. Mata itu menunjukkan keazaman dan keyakinan terhadap dirinya. Dia dapat
merasakan kesungguhan Iman kali ini.
“Sara, Iman serius nak jadikan Sara sebagai isteri Iman,” kata
Iman setelah mereka lama mendiamkan diri.
“Kak...err...Sara ingatkan Iman main-main,” jawab Sara Raihana
teragak-agak menyebut namanya sendiri.
“Percayalah Sara, Iman tak main-main. Pada abah dan ibu pun Iman
dah beritahu hasrat Iman.”
Agak terkejut Sara Raihana mendengarnya. Dia tidak menyangka Iman
akan bertindak begitu sebelum bertanya kepadanya. Dia dapat merasakan satu
masalah besar bakal dihadapinya nanti. Sara Raihana berjalan ke tepi tasik dan duduk
di bangku batu. Iman menuruti dari belakang dan
duduk di sebelahnya. Mereka menghayati keindahan alam di tepi
tasik itu. Pokok-pokok yang merimbun meredupkan kawasan tasik, air yang beralun
tenang dengan sesekali kelibat ikan melompat menambahkan kedamaian berada di kawasan
itu.
“Iman, boleh tak kalau Iman lupakan Sara dan cari perempuan lain
yang lebih muda?” kata Sara Raihana sambil melihat seekor burung raja udang
yang sedang menangkap sasarannya di tengah tasik.
“Kenapa nak lupakan Sara sedangkan Iman betul-betul cintakan Sara?
Iman tak perlukan sesiapa kecuali Sara.”
“Tapi Sara tak cintakan Iman.” Sara Raihana mula membahasakan
dirinya mengikut kehendak Iman.
“Kalau Sara tak cintakan Iman, kenapa Sara tak kahwin sampai
sekarang? Bukan ke itu menunjukkan Sara tunggu Iman?”
Lidah Sara Raihana kelu untuk berkata. Benarkah begitu? Hatinya
sendiri tidak pasti.
“Sara tak kahwin bukan sebab Iman,” kata Sara Raihana perlahan.
“Habis tu sebab apa?”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Perlukah dia berterus terang?
Hatinya gundah-gulana.
“Sara, pandang Iman.”
Iman menyuruh Sara Raihana memandang ke arahnya kerana mata Sara
Raihana asyik memandang ke tempat lain. Sara Raihana memandang Iman sekilas dan
kemudian memalingkan mukanya semula.
“Kalau Sara tak boleh pandang wajah Iman sekarang bermakna Sara
berbohong.”
Terasa diri dicabar, Sara Raihana memandang tepat ke mata Iman.
Tetapi renungan mata Iman membuatkan dia melarikan anak matanya semula.
“Sara, Iman tahu Sara
cintakan Iman tetapi sengaja Sara nafikan,” ujar Iman membuat telahan.
“Tolonglah Iman. Jangan buat Sara serba salah.”
“Kenapa?”
Sara Raihana tidak menjawab. Fikirannya gagal mencari ayat yang
sesuai dan hanya memandang sepasang kekasih yang sedang berjalan berpegangan
tangan di seberang tasik.
“Sara, kenapa Sara hanya mendiamkan diri? Cakaplah sesuatu.”
“Iman nak Sara bagi jawapan yang macam mana?” tanya Sara Raihana.
“Jawapan yang ada dalam hati Sara.”
“Kalau dari dalam hati Sara, tiada jawapan,” kata Sara Raihana
sambil menunduk.
“Tak adakah rasa sayang pada Iman?” duga Iman.
“Sara sayang Iman macam adik Sara. Sukar nak ubah rasa tu.”
“Belajarlah mencintai Iman, perlahan-lahan.” Lama Sara Raihana
mendiamkan diri.
“Entahlah Iman, Sara buntu.”
“Berilah peluang untuk Iman. Iman perlukan seseorang yang boleh
beri kekuatan hidup. Seorang isteri yang dapat bantu Iman terus kekal di jalan
ALLAH. Jadilah cahaya untuk Iman, Sara.”
“Berilah masa untuk Sara.”
“Baiklah, tapi jangan lama sangat.”
“Kenapa?”
“Iman tak nak mati merindu.”
“Kalau selama ni Iman boleh bersabar, kenapa tak boleh terus
bersabar?”
“Kesabaran pun ada had, Sara. Sara nak tengok Iman jadi macam
orang gila kerana Sara?”
“Iman ni menakutkan Sara.”
“Tolonglah, Sara. Tetapkan satu jangka masa supaya Iman jelas.
Jangan biar Iman menunggu.”
Lama Sara Raihana berfikir.
“Setahun?”
“Lama sangat. Iman bagi tempoh Sara tentukan dalam tiga bulan ni.”
Tanpa berfikir panjang Sara Raihana bersetuju. Mungkin juga dia
sudah bosan kerana terlalu didesak Iman.
Cahaya matahari pagi yang menembusi daun-daun pokok mengenai wajah
Sara Raihana tetapi tidak dipedulikan. Iman masih setia berada di sisinya.
“Hai, Sara,” tegur seorang lelaki yang berhenti di hadapan mereka.
“Hai, Kapten Haikal. Lama tak jumpa,” balas Sara Raihana sambil
tersenyum riang memandang lelaki itu.
Iman yang berada di sebelah mengangkat muka untuk melihat wajah
orang yang dipanggil Kapten Haikal. Hati Iman tertanya-tanya, siapakah lelaki
yang nampak mesra dengan Sara Raihana itu? Hatinya dipenuhi api cemburu.
Terperasan yang kedua-dua lelaki itu saling berpandangan, Sara Raihana bangun
untuk memperkenalkan mereka berdua.
“Iman, mari Sara kenalkan kawan Sara. Ini Kapten Haikal,” kata
Sara Raihana kepada Iman.
Iman bangun dan menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Kapten
Haikal.
“Kapten Haikal dari Batalion keenam Rejimen Askar Melayu Diraja,”
ujar Kapten Haikal memperkenalkan diri dengan bangga.
“EngineerMuhamad Nur Iman dari Kuantan, Pahang,” kata Iman tidak
mahu kalah dan sekali gus menerbitkan ketawa Kapten Haikal dan Sara Raihana.
Sebelum sempat Sara Raihana berkata tiba-tiba telefonnya berbunyi.
Apabila dilihatnya di skrin tertera nama ibunya, dia menjawab panggilan itu
sambil menjarakkan diri daripada mereka berdua.
“Dah lama Kapten kenal
Sara?” tanya Iman berbaur rasa cemburu.
“Lama jugak, dah lima bulan. Kami sering bertemu kat sini apabila jogging. I love her. She is
really gorgeous and has areally unique look to her,” kata Kapten Haikal membuatkan hati Iman meradang.
“Saya dah kenal dia selama lapan tahun dan kami akan berkahwin tak
lama lagi,” kata Iman sambil memerhati ke arah Sara Raihana yang sedang
bercakap sesuatu yang serius dengan ibunya.
“Betul ke? Sara tak pernah sebut pun sebelum ni. I ingat available lagi. I’m sorry, but don’t worry, I bukan jenis yang ambil hak orang,” kata Kapten Haikal lalu
meminta diri untuk meneruskan larian.
Sara Raihana yang melihat Kapten Haikal hanya membalas lambaian
tangan Kapten Haikal padanya. Sejurus selepas Kapten Haikal berlalu, Iman
menghampiri Sara Raihana yang masih bercakap dengan ibunya. Sesekali dia
mengangguk dan memandang Iman. Akhirnya bila dia mematikan talian, dia menyampaikan
salam ibunya kepada Iman. Iman menjawab salam yang dikirim.
“Iman, ibu beritahu abah suruh Sara ajak Iman balik Bukit Mertajam
hari ni sebab abah nak jumpa kita berdua. Iman nak ke mana-mana tak?”
“Tak ke mana-mana. Bila Sara nak bertolak balik?”
“Kalau boleh kita bertolak sebelum tengah hari ni.”
“Kalau macam tu kita lari sampai ke kereta. Siapa kalah kena drive,” kata Iman sambil mengangkat kening.
Sara Raihana terus berlari meninggalkan Iman dan Iman yang
tertinggal di belakang memecut dan memotong Sara Raihana apabila hampir 50
meter daripada kereta. Sara Raihana yang tahu dia akan kalah membuat helah
kerana dia tidak mahu memandu kereta Iman. Dia agak lemah memandu kereta jenis
manual.
“Iman, tolong!” panggil
Sara Raihana sambil berhenti berlari dan berpura-pura menekan perut.
Iman yang terlajak ke hadapan berpatah balik dan agak cemas
apabila melihat Sara Raihana yang kelihatan seperti sedang kesakitan.
“Sara kenapa? Sakit perut ke?” tanya Iman cuba memegang belakang
Sara Raihana yang sedang menekan perutnya, sedikit membongkok.
“Iman, tolong.”
“Tolong apa? Sakit kat mana?” Makin risau Iman dibuatnya.
“Tolong pandu kereta sebab Sara yang menang.”
Sara Raihana cepat-cepat berlari ke kereta. Iman yang sedar telah
ditipu cuba mengejar tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana Sara Raihana
terlebih dahulu telah sampai dan melonjak kegirangan. Iman berhenti di hadapan
Sara Raihana sambil memerhatikannya dengan senyuman melebar.
“Mengelat! Mana aci,” kata Iman.
“Aci kat India,” jawab Sara Raihana sambil ketawa gembira.
Iman juga turut ketawa dengan gurauan Sara Raihana.
“Oh, pandai mengenakan Iman ya.”
“Kalau tak pandai, tak jadi cikgu,” jawab Sara Raihana dengan
ketawa yang masih bersisa.
“Sebab cikgu, Iman jatuh cinta,” kata Iman sambil menghampiri Sara
Raihana menyebabkan Sara Raihana diam terpaku di situ.
Iman berdiri begitu hampir dengannya dan menyebabkan dia tersandar
ke pintu hadapan kereta. Iman meletakkan kedua-dua tangannya di atas bumbung
kereta dengan Sara Raihana berada di antara kedua-dua tangannya. Jantung Sara Raihana
berdegup kencang. Sara Raihana mendongak melihat wajah Iman yang sememangnya
lebih tinggi daripadanya.
Iman tersenyum nakal melihat kegugupan Sara Raihana. Serentak dengan itu tangan kanannya yang memegang kunci menekan
butang buka, sementara tangan kirinya pula dilalukan betul-betul di tepi
pinggang Sara Raihana untuk membuka pintu kereta. Dia dapat mendengar Sara
Raihana menarik nafas cemas.
“Cepatlah naik,” kata Iman sambil ketawa kerana dapat mengenakan
Sara Raihana.
Sara Raihana yang tersedar bahawa Iman mempermainkannya tersenyum
malu dan terus menaiki kereta itu. Sewaktu Iman sedang memandu, Sara Raihana mencuri
pandang wajah Iman. Dalam hatinya mengakui Iman bertambah kacak bila telah
dewasa dan raut wajahnya ala-ala pelakon Hong Kong, Aaron Kwok. Cuma hidungnya tidak semancung
pelakon itu.