IMAN mengajak Sara Raihana ke rumahnya dahulu untuk mengganti pakaian.
Sebaik sahaja mereka sampai di rumah Iman, mereka dapat melihat jiran sebelah, iaitu
Aunty Lucy sedang berdiri di luar rumah. Iman bertegur sapa dengan Aunty Lucy
di dalam Bahasa Cina yang tidak difahami Sara Raihana. Sesekali Iman menunjuk
ke arahnya dan Aunty Lucy mengangguk.
“Sara, mari sekejap,” panggil Iman.
Sara Raihana turun dari kereta dan menghampiri mereka berdua.
“Ini Aunty Lucy. Dia yang banyak bantu Iman mengurus rumah ni bila
Iman tak ada kat sini,” kata Iman sambil menunjuk ke arah Aunty Lucy.
Sara Raihana menegur dan menyalami Aunty Lucy. Iman meminta diri
untuk mandi dan menyalin pakaian. Tinggallah Aunty Lucy dan Sara Raihana
berbual-bual ringan.
“Ah Hong kata dia nak kahwin dengan Sara. Tahniah aunty ucapkan,” ucap Aunty Lucy.
Sara Raihana hanya tersenyum dan mengangguk tetapi di dalam hati
menggerutu kerana Iman cepat sangat memberitahu orang lain hal perkahwinan
mereka sedangkan ia belum diputuskan lagi.
“Nanti bila Sara dah kahwin
dengan Ah Hong, bolehlah Sara urus rumah peninggalan bapa Ah Hong ni,” kata
Aunty Lucy.
Ah Hong adalah nama pendek bagi Chan Chee Hong dan rumah
peninggalan bapa Iman itu sebenarnya telah dijadikan homestay bagi mengelakkan rumah itu terbiar begitu sahaja. Sesekali
bila Iman atau Aisyah pulang, mereka akan menginap di situ.
Sara Raihana hanya tersenyum kerana dia tidak tahu hendak menjawab
kata-kata itu.
“Aunty dah lama tinggal kat sini?” tanya Sara Raihana sekadar
berbahasa.
“Dah lama, sejak Ah Hong kecil lagi.”
“Aunty kenal mak Ah Hong?” tanya Sara Raihana menyebut nama
Iman mengikut Aunty Lucy.
“Aunty sempat kenal dengan mak Ah Hong, Mary. Tapi tak lama.
Sekarang Mary ada kat Amerika. Kesian Ah Hong dan Lee Fong. Mereka berdua budak
baik. Mary tak patut buat mereka macam tu,” kata Aunty Lucy.
Sara Raihana tertarik untuk bertanya lebih lanjut mengenai ibu
Iman tetapi terhalang apabila Iman memanggilnya masuk ke dalam rumah. Sara
Raihana meminta diri dan berlalu masuk ke dalam.
“Tak panas ke berjemur lama-lama? Nanti gelap pulak kulit Sara,”
kata Iman berjenaka.
“Kulit Sara memang lebih gelap daripada Iman,” jawab Sara Raihana
sambil melabuhkan punggung ke atas sofa yang terdapat di ruang hadapan.
“Tak gelap mana pun malah kulit Sara cantik dan halus tanpa
sebarang parut,” puji Iman.
“Mana Iman tahu Sara tak ada parut? Iman boleh scan ke?” tanya Sara Raihana melawak.
“Iman tengok muka Sara licin tanpa sebarang kesan jerawat. Kalau
bahagian lain nanti bila dah kahwin, Iman akan scan,” jawab Iman sambil mengenyit mata membuatkan Sara Raihana
terdiam kerana gurauannya memakan diri sendiri.
“Rumah Iman ni tak ada air ke? Hauslah,” tanya Sara Raihana cuba
mengalih topik.
“Sorry. Nanti Iman ambilkan.”
Iman bergerak ke dapur untuk mengambil minuman di dalam tin yang
diletakkan di dalam peti ais. Sara Raihana memandang sekitar rumah itu. Rumah
itu nampak cantik walaupun sudah agak lama. Iman yang kembali dari dapur menghulurkan
minuman kepada Sara Raihana setelah dibuka penutupnya. Sara Raihana meneguk
beberapa teguk dan meminta izin untuk ke tandas. Setelah keluar dari tandas, Sara
Raihana mengajak Iman balik ke rumah Mak Zainab dengan segera. Iman agak
kehairanan dan mengambil beg pakaian untuk dimasukkan ke kereta. Dilihatnya
Sara Raihana seperti cacing kepanasan menyuruhnya pulang sepantas mungkin.
Iman hanya menurut dan memecut kenderaannya keluar dari taman itu.
Sepanjang perjalanan dilihatnya Sara Raihana seperti tidak senang duduk malah
duduknya di kerusi pun agak menyenget.
“Kenapa, Sara? Sara sakit ke?” tanya Iman.
“Tak...tak ada apa-apa,” jawab Sara Raihana gugup membuatkan Iman
berteka-teki.
Sebaik sahaja tiba di rumah Mak Zainab, Sara Raihana turun dari
kereta tapi matanya memandang ke arah kerusi yang didudukinya tadi seperti
mencari sesuatu. Apabila Iman bertanya dia masih menyatakan tidak ada apa-apa.
Ini membuatkan Iman bertambah hairan. Sara Raihana terburu-buru
berlari ke bilik tanpa menghiraukan sapaan Mak Zainab. Mak Zainab
yang kehairanan bertanyakan Iman.
“Kenapa Sara tu? Kelam-kabut sangat nampaknya. Ada apa-apa yang
tak kena ke?”
“Entahlah, mak cik. Dari tadi Iman tanya dia kata tak ada apa-apa.”
“Iman duduklah dulu. Mak cik pergi tengok apa yang tak kena dengan
Sara tu,” kata Mak Zainab sambil melangkah ke bilik Sara Raihana.
Mak Zainab mengetuk pintu dan apabila Sara Raihana membenarkannya,
Mak Zainab masuk ke bilik itu.
“Kenapa, Sara? Sara sakit ke?” tanya Mak Zainab bila melihat Sara
Raihana menekan perut.
“Period datang masa kat rumah Iman tadi. Tak bawa pad. Itu yang Sara kelam-kabut tadi. Masa naik kereta dia
pun Sara takut bocor, takut kena kusyen kereta dia yang baru tu,” terang Sara
Raihana membuatkan Mak Zainab ketawa geli hati.
“Mak, Sara dan Iman kena balik Bukit Mertajam. Abah nak berbincang
dengan Iman pasal kami berdua. Iman dah beritahu ibu dan abah, dia nak masuk
meminang Sara.”
“Alhamdulillah, syukur pada ALLAH. Memang mak harap sangat-sangat
Sara akan kahwin semula. Mak nampak Iman tu memang sukakan Sara sejak dulu
lagi.”
“Tapi mak, Sara tak pasti dengan hati Sara. Iman tu Sara anggap
adik, macam Imran jugak.”
“Anggapan boleh diubah, Sara. Bila dia dah jadi suami nanti tak
ada lagi istilah adik malah dia akan jadi abang yang melindungi hidup Sara
hingga ke akhir hayat.”
“Tapi dia bekas pelajar Sara.”
“Kenapa? Sara malu?”
Sara Raihana hanya mendiamkan diri. Mak Zainab menarik Sara ke
dalam pelukan dan memberikan ciuman di dahi Sara.
“Kahwinlah, Sara. Mak nak lihat Sara bahagia.”
Menitis air mata Sara Raihana mendengar kata-kata Mak Zainab yang
menyentuh kalbu.
“Pergilah mandi dan bersiap. Jangan biar Iman tunggu lama kat
luar,” kata Mak Zainab sambil menyeka air mata Sara Raihana.
Sara Raihana memeluk kembali tubuh Mak Zainab untuk seketika dan
kemudian dia melepaskan pelukan itu.
“Kalau Sara kahwin, mak macam mana? Sara tak nak kehilangan mak.”
Air mata Sara Raihana menitis lagi.
“Mak tak apa-apa. Hubungan lama takkan putus walaupun Sara
mempunyai hubungan baru. Pergilah, dah lama Iman tunggu.”
Sara Raihana menuruti suruhan Mak Zainab dan mencapai kain tuala
untuk mandi. Mak Zainab keluar mendapatkan Iman yang sedang resah menanti di
luar. Apabila terpandang Mak Zainab, Iman terus bangun.
“Macam mana Sara? Dia sakit apa?” tanya Iman tidak sabar-sabar.
“Tak ada apa-apa,” jawab Mak Zainab sambil tersenyum memandang
Iman sebelum berlalu untuk membuat air.
Iman kehairanan kerana kedua-dua wanita yang berada di rumah itu
seperti merahsiakan sesuatu. Dia cuba memikirkan tetapi tidak menemui jawapan.
Setelah Sara Raihana bersiap dan keluar ke hadapan, barulah perasaan Iman
menjadi ceria.
Dia melihat Sara Raihana sihat tanpa sebarang sakit. Iman
memaklumkan kepada Sara Raihana bahawa dia ingin berjumpa Ustazah Habsah dahulu
sebelum bertolak ke Bukit Mertajam. Dia mengajak Sara Raihana menemaninya. Sara
Raihana bersetuju kerana ingin bersua muka dengan bekas rakan sekerja yang telah berpencen bulan lepas.