SARA Raihana hanya memerhati keriuhan sanak
saudara bergurau senda sambil menyiapkan kerjakerja
untuk majlis akad nikah dan seterusnya majlis
perkahwinannya. Di luar, kaum Adam sedang sibuk
memasang khemah dan menyusun atur kerusi
meja. Di dapur, kaum Hawa sibuk menyiapkan makanan dan
minuman untuk para tetamu.
Di ruang tengah rumah, dua orang kakak iparnya dan
sanak saudara yang lain sedang sibuk menyiapkan bunga telur,
beg-beg hadiah dan cenderahati untuk tetamu. Ada juga yang
sedang menyiapkan gubahan balasan hantaran lelaki.
Di dalam bilik, Sara Raihana duduk memerhatikan kakak
ipar pertamanya, Kak Haida dan Kak Emma, tuan punya Butik
Idaman Pengantin serta seorang pekerja lelaki yang sedang
sibuk memasang tirai dan lain-lain kelengkapan untuk bilik
itu. Apabila dia hendak menolong, mereka menegah malah
menyuruhnya memerhati dan memberi komen jika ada yang
tidak kena di hati. Sara Raihana adalah anak bongsu di dalam
keluarga yang seramai empat orang dan dialah satu-satunya
anak perempuan keluarga itu. Mungkin kerana itu dia sering
dimanja dan jarang membuat kerja-kerja berat.
“Kak Haida, kain tu senget sikitlah,” komen Sara Raihana
apabila melihatkan kain yang dipasang pada belakang kepala
katil tidak seimbang dan senget sebelah.
“Sebelah mana?” tanya Kak Haida.
“Tu yang sebelah kanan Kak Haida. Kena naik atas
sikit.”
Kak Haida turut memerhati bahagian yang ditunjuk
Sara Raihana dan bertanya kembali untuk mendapatkan
kepastian. Setelah berpuas hati, pekerja lelaki itu melekatkan
kain berwarna biru muda itu di bahagian atas tirai berwarna
putih.
Sara Raihana memilih tema biru putih untuk bilik tidur.
Dia memilih warna biru muda kerana tertarik dengan warna
itu. Dia pernah terbaca di dalam sebuah majalah bahawa
warna biru melambangkan kejujuran dan kemuliaan serta
cinta yang tulus ikhlas, menonjolkan perasaan kasih sayang,
ketenangan dan kelembutan hati seorang wanita. Warna biru
adalah warna sejuk yang melambangkan langit, air laut dan
sungai. Elemen semula jadi yang menjadi kesukaannya.
Set cadar pengantin adalah daripada satin corak kerawang
awan larat berwarna putih dan biru amat berpadanan
dengan dinding bilik yang berwarna biru gelap. Katil, almari,
lampu tidur serta gubahan bunga-bunga segar kesemuanya
berwarna putih.
“Dah selesai pun kerja kita. Sedap mata memandang
bilik ni. Romantik pun ada,” kata Kak Haida sambil menepuknepuk
bahu Sara Raihana.
Sara Raihana hanya tersenyum.
“Kak Emma hadiahkan pewangi aromaterapi ni kepada
Sara kerana menggunakan perkhidmatan kami. Sara tahu tak,
bau-bauan yang harum daripada pewangi aromaterapi dapat
merehatkan badan dan minda yang letih lepas seharian penat
kenduri kahwin,” ujar Kak Emma.
“Terima kasih, Kak Emma.”
“Sama-sama. Kak Emma mintak diri dulu. Insya-ALLAH,
esok Kak Emma datang lagi,” ujar Kak Emma lalu melangkah
keluar bersama-sama pekerja lelaki dan Kak Haida.
Sebelum sempat Sara Raihana melangkah ke luar bilik,
telefon bimbit berbunyi. Izzat Hafis menelefonnya untuk
bertanya khabar tentang persiapan terakhir majlis akad
nikah dan perkahwinan mereka. Sara Raihana duduk di birai
katil sambil berbual mesra.
Esok mereka akan disatukan di dalam ikatan perkahwinan.
Majlis akad nikah akan diadakan di rumah Sara Raihana pada
waktu petang. Hati Sara Raihana penuh dengan bunga-bunga
bahagia kerana tidak lama lagi akan bergelar isteri kepada
lelaki yang dicintainya sejak di bangku sekolah lagi. Malam ini
pastinya dia akan tidur dengan lena dibuai mimpi indah.
Pada waktu yang sama di asrama sekolah, Chan Chee
Hong sedang resah gelisah. Hari ini dia akan pulang ke rumah
bapanya kerana sekolah bercuti sempena perayaan Tahun
Baru Cina. Bagaimana penerimaan bapanya nanti jika dia
mendapat tahu anaknya telah memeluk Islam secara diamdiam?
Ustazah Habsah menyuruhnya pulang dan berkelakuan
seperti biasa. Dia tidak perlu membataskan hubungan
dengan keluarga kerana Islam tidak memisahkan keluarga
malah perlu bersikap baik dan menghormati mereka selagi
tidak bertentangan dengan suruhan ALLAH.
Berita pengislaman Chan Chee Hong tidak tersebar
luas dan hanya diketahui beberapa orang guru dan kawankawan
sebilik sahaja. Hal ini juga tidak diketahui Sara Raihana
kerana Chan Chee Hong tidak membenarkan Ustazah
Habsah memberitahu Sara Raihana dalam waktu terdekat.
Chan Chee Hong tidak mahu mengganggu Sara Raihana
yang sedang sibuk menguruskan soal perkahwinannya.
Sebenarnya Sara Raihana telah pulang ke Bukit Mertajam
pada hari Chan Chee Hong mengucap dua kalimah syahadah
di hadapan Ustazah Habsah sekeluarga, Ustaz Hadi dan
Cikgu Maimunah. Majlis pengislamannya dilakukan di rumah
Ustazah Habsah yang telah dijadikan keluarga angkat bagi
mengelakkan berita itu diketahui ramai.
Papanya akan tiba petang ini untuk mengambilnya
pulang ke rumah. Dalam menanti, debaran hati turut terasa,
tambahan pula bila memikirkan dia sekeluarga perlu pulang
meraikan tahun baru di rumah datuknya yang terletak di
Langkap, Perak. Kalau di rumah papanya, dia mungkin dapat
mengelak daripada memakan benda-benda yang diharamkan
kepada umat Islam tetapi bagaimana di rumah datuknya
nanti? Bagaimana hendak mengelak daripada memakan
masakan tidak halal di dalam majlis ‘makan besar’ yang telah
menjadi tradisi mereka semua?
Dari jauh dia melihat kereta Honda Accord papanya
telah memasuki kawasan sekolah dan menuju ke arahnya.
Buat pertama kali dia akan pulang ke rumah sebagai seorang
Muslim. Rahsia ini akan disimpan kemas di dalam hati.
Ustaz Hadi telah berpesan agar tidak terlalu menonjolkan
keislamannya di hadapan keluarga, takut mereka akan
memaksanya meninggalkan agama Islam.
Chan Chee Hong masih ingat tentang amalan Islam yang
dilakukan secara sembunyi selama tiga tahun pada peringkat
permulaan dakwah Islam pada zaman Rasulullah SAW yang
dipelajari semasa di tingkatan empat. Dia juga akan bertindak
sebegitu, azamnya dalam hati.
“Chee Hong, kenapa diam aje? Ada apa-apa masalah?”
Pertanyaan papanya mengejutkan Chan Chee Hong
daripada lamunan.
“Tak ada apa-apa. Pa, boleh tak kalau saya pergi kenduri
kahwin Cikgu Sara esok?” soal Chan Chee Hong cuba
mengalihkan perhatian papanya.
“Kat mana?” tanya papanya sambil mata mengawasi
pemanduan.
Chan Chee Hong amat maklum sikap papanya yang
tidak banyak bercakap terutama dengan dia.
“Kat Bukit Mertajam. Saya nak pergi dengan kawan dan
guru sekolah. Kami nak pergi beramai-ramai. Teringin rasanya
nak tengok perkahwinan orang Melayu. Boleh ya, pa?”
“Okey,” jawab papanya sepatah tetapi cukup
menggembirakan hati Chan Chee Hong.
Hasratnya untuk melihat bakal suami cikgu kesayangannya
akan terlaksana.