MEREKA tiba di rumah Ustazah Habsah ketika Ustazah Habsah dan suami
sedang sibuk menyusun barang yang akan dibawa ke Tanah Suci Mekah. Setelah
memberi salam, mereka masuk ke rumah. Iman terus masuk ke dapur meninggalkan
Sara Raihana berada bersama-sama yang lain di hadapan. Ustazah Habsah yang
telah tahu akan kedatangan mereka, mengambil peluang itu untuk bercakap tentang
Iman kepada Sara Raihana. Suami Ustazah Habsah dan anaknya turut melangkah ke
dapur bagi memberi ruang untuk isterinya berbual-bual dengan Sara Raihana.
“Sara, Iman dah mintak Kak Habsah pergi pinang Sara selepas Kak
Habsah pulang dari Mekah. Kak Habsah nak tanya Sara, adakah Sara sedia terima
Iman?”
“Kak Habsah, terus terang Sara katakan hati Sara sukar nak terima
dia kerana Sara sayangkan dia macam adik sendiri. Tak lebih daripada tu,” jawab
Sara Raihana.
“Tapi Iman betul-betul cintakan Sara sejak bangku sekolah lagi.
Sara ingatkan, kisah Sara dan Iman yang orang hebohkan dulu?”
Sara Raihana hanya mengangguk. Bagaimana dia boleh lupa.
Disebabkan kisah itulah dia dikutuk dan dicemuh.
“Iman pernah berjanji
dengan Kak Habsah yang dia akan tumpukan pada Peperiksaan SPM dan simpan dulu
rasa cintanya sehingga dia memperoleh kerja. Dan jika Sara masih belum
berkahwin, maka Kak Habsah sendiri akan meminang Sara untuk dia.”
Sara Raihana terkejut mendengar pengakuan Ustazah Habsah kerana
sebelum ini dia tidak pernah memberitahu Sara Raihana akan hal itu. Dia tidak
menyangka Iman betul-betul mempunyai azam yang kuat untuk memilikinya.
“Sara, cinta Iman pada Sara sungguh mendalam. Janganlah Sara
hampakan hatinya.”
“Tapi Sara tak mampu. Sara tak cintakan dia. Lagipun dia masih
muda dan bekas pelajar kita. Sara takut, Sara tak kuat menahan umpat keji orang
seperti dulu. Kak Habsah tahukan betapa perasaan Sara menderita dan tertekan ketika
tu. Maruah Sara seperti dipijak-pijak bila orang tuduh Sara janda yang membela
‘anak ikan’. Jika Sara terima dia bermakna segala tuduhan orang terhadap Sara
dulu adalah benar belaka.”
“Jangan fikir begitu, Sara. Kak Habsah faham apa yang Sara lalui
dulu amat menyakitkan. Berilah peluang untuk Iman dan Sara bina hidup baru.
Lupakan kisah lalu.”
“Tak semudah tu, Kak Habsah.”
Ustazah Habsah terdiam. Dia tahu Sara Raihana tidak mungkin
menerima Iman dengan semudah itu. Dia perlu memikirkan cara untuk memujuk Sara
Raihana agar menerima Iman.
“Sara, Kak Habsah bukanlah bermaksud untuk memaksa tetapi
fikirkanlah daripada sudut yang lain. Jika Sara berkahwin dengan Iman, maka
Sara dah menolong separuh daripada agamanya dan agama Sara. Hadis diriwayatkan
al- Tabrani Fil-Al Ausath bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:Sesiapa yang berkahwin
sesungguhnya diatelah menyempurnakan separuh daripada agamanya makabertakwalah pada yang separuh lagi.”
Sara Raihana tahu, bila Ustazah Habsah berhujah berkaitan Islam,
payah untuknya membalas hujahan itu. Dia tahu ilmu agamanya tidak setanding
Ustazah Habsah malah kerap kali pada Ustazah Habsahlah dia merujuk perkara-perkara
berkaitan hukum dan syariat Islam. Dia hanya diam mendengarkan kata-kata Ustazah Habsah.
“Jika perkahwinan untuk tujuan pengabdian kepada ALLAH,
sesungguhnya ALLAH itu kekal dan Maha Pemberi Hidup kepada makhluk-NYA. ALLAH
mencintai hamba- NYA melebihi seorang ibu mencintai bayinya. Maka, tidak ada
alasan apapun kat dunia yang dapat meretakkan rumah tangga kecuali jika
pasangan menderhakai ALLAH. Sara mampu jadi isteri solehah yang membantu memudahkan
pencapaian matlamat pembinaan rumah tangga, tempat berkongsi hidup dan menjadi
teman Iman dalam perjuangan,” kata Ustazah Habsah sambil menepuk-nepuk bahu
Sara Raihana.
Lidah Sara Raihana bagaikan dikunci. Di hadapan Ustazah Habsah dia
terpaksa akur dengan segala yang dikatakan tetapi di dalam hati tetap menolak
Iman. Ustazah Habsah seolah-olah dapat meneka gelodak hati Sara Raihana terus menyambung
hujahnya.
“Sara adalah sebahagian kekuatan hidup Iman. Cinta Iman pada Sara
seperti Qais mencintai Majnunnya. Jika Sara menolak, Iman pasti menderita
sepertimana Qais yang menderita kerana kehilangan Lailanya.”
Hati Sara Raihana tersentuh dengan kenyataan itu. Kisah Qais dan
Laila atau Laila dan Majnunnya merupakan kisah benar dari negara Arab yang
menceritakan keagungan cinta sepasang kekasih yang terpisah dan menemui ajal
dalam keadaan menyayat hati. Kalau benar cinta Iman sehebat
cinta Qais terhadap Lailanya, adakah Iman akan menjadi gila
seperti Qais yang gila bila kehilangan Lailanya? Takut dia memikirkannya.
“Menurut Rasulullah SAW, menyayangi seseorang kerana ALLAH dapat
mendatangkan kemanisan iman, Sara.”
“Kak Habsah, berilah peluang Sara berfikir,” kata Sara Raihana
perlahan.
Iman dan Ustaz Ramli keluar ke hadapan membawa hidangan berupa
nasi lemak yang dibuat Ustazah Habsah. Mereka menjamu selera sambil
berbual-bual ringan.
“Sara, kenapa makan sikit sangat?” tanya Ustazah Habsah bila
dilihatnya Sara Raihana hanya menghabiskan sedikit sahaja nasi lemak di
pinggan.
“Tak sedap perut,” jawab Sara Raihana perlahan dan hanya dapat
didengari Ustazah Habsah.
“Kenapa?” Suara Ustazah Habsah turut perlahan.
“Senggugut,” bisik Sara Raihana.
“Tak baik berbisik-bisik kat hadapan khalayak,” tegur Ustaz Ramli.
“Masalah orang perempuan, orang lelaki tak perlu tahu,” jawab
Ustazah Habsah sambil tersenyum.
Ustaz Ramli juga tersenyum tetapi Iman masih tertanya-tanya. Dia
tidak faham maksud senyuman mereka semua. Seketika kemudian mereka meminta diri
untuk bertolak ke Bukit Mertajam. Mereka bersalaman dan berpelukan sambil
mengucapkan selamat jalan dan selamat mengerjakan umrah kepada Ustazah Habsah
dan Ustaz Ramli yang akan bertolak awal pagi esok.
Iman memandu kereta menuju lebuh raya untuk ke Bukit Mertajam. Di
pertengahan jalan, dia mengisi petrol di stesen minyak dan kesempatan itu
diambil Sara Raihana untuk membeli air mineral dan panadol menstrual. Sakit di perutnya
makin terasa dan dia perlu bertahan agar tidak diketahui Iman.
Setelah selesai urusan belian itu, Sara Raihana segera masuk ke
dalam kereta dan mengeluarkan ubat itu lalu ditelan. Dia meminum air mineral
bagi melancarkan perjalanan ubat itu.
Iman masuk semula ke kereta dan melihat Sara Raihana sedang
meminum air tanpa mengetahui ubat yang diambil Sara Raihana sebentar tadi. Dia
memulakan pemanduan dan di pertengahan jalan, Iman meminta air daripada Sara Raihana.
“Sara, nak air. Iman haus,” pinta Iman sambil menghulur tangan ke
arah Sara Raihana.
“Air apa?” tanya Sara Raihana, kabur.
“Air mineral yang Sara beli tadi.”
“Itu air Sara.”
“Air Iman?”
“Tak beli.”
“Kalau macam tu mintak air Sara.”
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi. Beri kat Iman,” kata Iman sambil mengambil air
yang terdapat di tangan Sara Raihana.
Iman terus meminum air itu. Sara Raihana hanya memandang dengan
mata yang terkebil-kebil kerana airnya habis diminum Iman. Apabila mereka tiba
di R&R Bukit Merah, Iman mengajak Sara Raihana turun untuk menunaikan Solat
Zohor.
“Sara, kita Solat Zohor dulu sebab dah masuk waktu,” kata Iman
sambil membuka tali pinggang keledar.
“Iman pergilah, Sara tunggu kat sini,” jawab Sara Raihana, berharap
Iman akan faham situasinya.
“Tak baik melewatkan waktu. Bila dah ada peluang, terus tunaikan
jangan bertangguh.”
“Tak apa. Iman pergilah.”
“Sara, pahala berganda jika tunaikan solat seawal masuk waktu.
Lagipun lambat lagi kita nak sampai,” kata Iman masih tidak faham.
“Sara cutilah.”
“Cuti apa?” tanya Iman
tercengang, masih tidak memahami maksud Sara Raihana.
“Pergilah! Menyampahlah Iman ni. Kalau hal perempuan pun Iman tak
faham, nak kahwin macam mana?” kata Sara Raihana geram.
Tangannya menolak badan Iman ke luar dari kereta. Iman hanya
ketawa bila dia baru memahami maksud Sara Raihana tentang ‘cuti’. Iman
menunjukkan isyarat supaya Sara Raihana mengunci kereta dari dalam. Sara Raihana
menurut arahan Iman dan kemudian dia merebahkan penyandar kereta untuk tidur.
Lima belas minit kemudian, Iman kembali semula ke kereta dan
mengetuk-ngetuk cermin kereta bagi menyedarkan Sara Raihana yang tertidur di
kerusi hadapan. Sara Raihana yang tersedar membuka kunci dari dalam. Iman masuk
dan melihat wajah Sara Raihana yang masih mengantuk.
“Sara tidurlah dulu. Nanti bila dah sampai, Iman kejutkan Sara.”
Sara Raihana tidak berkata apa-apa. Dia memusingkan badan
membelakangi Iman. Dia tidur secara mengiring sambil kedua-dua kakinya
dilipatkan ke atas kerusi seolah-olah menahan kesakitan. Iman yang tidak tahu
akan hal itu terus memandu tanpa bertanya. Pada sangkaannya, Sara Raihana keletihan dan sedang tidur. Sara Raihana yang menahan kesakitan
yang sesekali menyerang, terlena juga akhirnya.