Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
87,916
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 2

Bab 2


Setahun kemudian…

Cameroon Highland


“Ma, I miss you,” ucap Cahaya sambil mendepakan tangan sewaktu berbasikal di kawasan yang agak rata. Dia meletakkan semula tangannya di atas handle apabila melalui kawasan yang berbonjol.

Setahun lamanya aku tidak mendengar jeritan ombak dan merasai dingin hangat dari laut di saat mentari berdiri di atas kepala. Dulu aku kuat merungut, marah pada sang cuaca yang membuat kulit cerahku menjadi perang, membuat tubuhku terasa hangit. Aku marah pada bunyi bising camar-camar sesat di pantai.

Tetapi, kini aku disampuk rindu. Rindu pada bahang sang mentari. Rindu pada irama ombak. Rindu pada pasir longgar yang membuatkan langkahku lembab. Rindu pada cengkerang-cengkerang dari laut yang mengeluarkan suara pantai. Aku tidak dapat merasai suasana itu di sini, di kawasan tanah tinggi yang terpencil. Aku terlupa nikmat bersyukur.

Tiada lagi gelak tawa aku dan mama, bergurau senda di atas pasir memutih sampai ke petang, membina istana pasir sambil membayangkan aku adalah seorang puteri. Yang ada kini hanyalah pekikkan Latifa yang kerapkali datang ke sini untuk mencelakan hariku. Kekadang Latifa datang bersama adik tiriku, Anees.

Siapa Latifa? Dia watak ibu tiri yang ditakuti oleh kebanyakan anak-anak kecil, persis watak ibu tiri Cinderella. Aku fikir watak sebegitu hanya ada dalam cerita zaman dahulu kala, saat Bawang Putih Bawang Merah menjadi bedtime story anak-anak kecil. Aku sangka ia hanya cerita dongeng untuk menakutkan anak-anak kecil.

Arwah mama mengajarku cerita dongeng tidak benar sama sekali. Kata mama, Latifa akan menyukaiku, sama seperti dia menyukai anaknya. Kata mama, Latifa akan berlaku adil. Papa takkan menikahinya kalau dia bukanlah seorang gadis yang baik. Tetapi, cerita mama yang sebenarnya dongeng. Cerita dongeng yang aku takuti selama itulah yang sahih. Latifa tidak pernah menyukaiku. Begitu jua adikku, Anees.

Latifa menjadi bukti yang kisah Bawang Putih Bawang Merah bukan mitos untuk menakutkan anak-anak kecil. Sifatnya pemarah, suka mengherdik dan menghina sesiapa sahaja yang dirasakan membangkitkan kemarahannya. Tangannya ringan untuk menghadiahkan aku dengan penampar, walaupun untuk kesalahan yang kecil. Dia kuat melenting. Ada saja yang nampak cela di matanya, membuatkan dia marah.

Ah, Latifa itu! Latifa ini! Kerap benar aku memikirkan tentang Latifa sejak akhir-akhir ini. Hebat sungguh penangan dia. Tanpa menghadirkan dirinya di depanku, dia berjaya memasuki seluruh ruangan mimpi ngeriku. Dia mampu membuat aku terketar. Dia mampu membuat pelbagai rasa bercampur-baur dalam hatiku dalam masa yang sama. Dia tidak ada di depanku sekarang tetapi dia selalu ada dalam kotak fikiranku.

Sejujurnya, aku tidak sukakan Latifa dan dia pula bencikan diriku. Aku tak tahu mengapa ayah tergamak meninggalkan aku bersamanya. Dia cantik tetapi hatinya hitam, sehitam arang. Suaranya bak burung gagak yang kelaparan. Aku rasa suara burung gagak pun lebih merdu dari suaranya. Hidungnya bagaikan paruh kakak tua. Bezanya, burung kakak tua comel dan ibu tiriku tidak di mataku.

Mata bulatnya umpama mata harimau bintang yang mahu menerkam. Dia gemarkan barangan kulit binatang pemangsa. Buaya. Harimau. Ular. Memang persis sifatnya dengan pemangsa, sesuailah dengan minatnya itu. Tetapi, aku tidaklah benci padanya. Biarkan saja kalau dia mahu membenciku.

Kekadang aku berasa kasihan melihat dirinya. Kesian kerana dia tidak berjaya menakluk hati papa dengan wajah sejelita itu. Kesian kerana tak kira seberapa hebat dia melunakkan suaranya, papa masih tetap tidak terpujuk untuk pulang.

Pasti ada yang lebih jelita dan suaranya lebih lunak sehinggakan memasung hati papa, tidak membuatkan papa tergerak hati untuk pulang ke sini. Kata papa, dia hanya pulang untuk bertemu denganku. Mungkin kerna itu jua, Latifa memilih untuk mengurung aku dalam sangkar emasnya. Barangkali Latifa mahu mempergunakan aku untuk bertemu suami sendiri. Sedangkan aku rasa ia hanya helah papa. Papa mahu lari dari tanggungjawabnya. Dibiarkan saja Latifa menjagaku.

Walaupun hidupku terseksa dengan kehadiran Latifa, aku cuba sedaya-upayaku untuk menghalangnya dari melunyaikan segala impianku. Aku masih mencari kemanisan di dalam setiap butir kepahitan yang kutelan sewaktu bersamanya. Aku masih mencari kebahagiaan di sebalik tiap kegelapan yang merundung.

Kalau Latifa menyangka yang dia boleh memaksa aku menamatkan riwayat hidupku sendiri, dia tersilap. Aku akan terus berdiri di sini, di atas muka bumi TUHAN selagi Dia terus meminjamkan jasad ini untuk rohku.

Aku bukan mamat dungu yang aku selamatkan dari laut setahun yang lepas. Lebih tepat, yang aku ‘ter’selamatkan. Kalau aku tahu nawaitunya hendak membunuh diri, pasti aku membiarkan saja dia memenuhi kehendaknya. Buang masa saja menyelamatkan orang bodoh yang tidak tahu mencintai nyawa sendiri.

Namun, kekadang diri yang kusangka kuat ini goyah jua. Latifa seringkali menggunakan kuasa vetonya untuk menyeksaku. Terutama sekali apabila papa tidak ada di Malaysia. Atau lebih tepat, apabila papa tidak ada di sini bersamaku. Papa mungkin ada di Malaysia tetapi hanya tidak terkesan lokasinya. Dia suka membawa haluan sendiri.

Aku dengar isteri ketiga papa sedang hamil anak ketiga. Betul atau tidak, aku sendiri tidak tahu. Tetapi disebabkan berita tergempar itu, layanan Latifa terhadapku semakin dingin. Aku menjadi tempat dia menempiaskan rasa marahnya. Umpama marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar. Aku tau Latifa masih was-was dengan berita mengenai perkahwinan ketiga papa. Aku sudah lama tau tetapi hanya mendiamkan saja.

Latifa sudah mengupah seorang penyiasat persendirian untuk menyiasat perihal itu. Tak lama lagi rahsia papa akan terbongkar. Yang pasti ia gunung berapi antara Latifa dan papa tidak meletus keranaku. Bukan aku yang membuat onar. Semasa papa memberitahuku tentang kewujudan adik-adik lelakiku, Nukman dan Azriq, aku hanya menganggukkan kepala. Hanya itu reaksi yang kuberikan. Aku sama sekali tidak berniat untuk memberitahu perihal itu kepada Latifa.

Aku tahu Latifa takkan duduk senyap kalau dia tahu. Dia akan mengamuk lagi. Dia akan menggertak. Dia akan melakukan apa saja untuk mencapai matlamatnya. Tidak mustahil dia akan memburu isteri ketiga papa yang satu lagi. Aku? Mungkin dia akan menyeksa aku untuk membalas dendam pada papa. Apatah lagi marahnya pada mamaku Masaki tak pernah reda sehingga kini.

Ah, persetankan Latifa! Aku akan tetap menyintai dunia di sekitarku. Aku sudah belajar berperang dengan rasa sejuk. Aku sudah lali dengan maki hamun dan tamparan ibu tiriku. Aku sudah kebal dengan jelingan benci adik tiriku. Aku sudah biasa menjadi amah di rumah ayah kandungku.

Apalah sangat kalau setakat dipaksa mengerah kudrat dengan basikal buruk ini untuk membelikan mawar kesukaan Latifa. Ia sesuatu yang rutin. Marahnya, penghinaannya dan pukulannya takkan mampu menghitamkan hariku yang cerah. Aku takkan mudah melatah dengan kerenahnya.

Iris!” panggil suatu suara.

Cahaya Iris memperlahankan kayuhan sebelum melompat turun dari basikal. Dia menuntun basikalnya ke tepi sebuah gerai bunga sambil menongkatnya di sebelah gerai.

Ambil bunga Puan Latifa?”

Cahaya mengangguk, sambil memandang lelaki yang tua lima tahun darinya, Haikal. Lelaki yang tinggi lampai dan berkulit cerah itu menguntum senyuman sambil mengangkat kotak-kotak bunga yang hendak dihantar ke florist di Kuala Lumpur ke atas lori. Lori itu nanti akan dipandunya ke pusat pengedaran di Cheras. Selalunya Haikal akan pergi seharian. Keesokan harinya barulah kelibatnya muncul semula di Cameroon Highland.

Kenapa rantai Iris ada huruf C?” soal Haikal apabila terpandang loket yang tergantung pada rantai Cahaya.

Cahaya. Nama saya Cahaya Iris, abang Haikal,” jawab Cahaya sambil menyembunyikan rantainya ke dalam t-shirt putih yang disarungkan di tubuhnya.

Tubuh Cahaya kurus, tidak berisi seperti mama. Mungkin hanya itu yang diwarisi dari papanya. Wajahnya saling tak tumpah wajah mama. Mungkin tubuhnya begitu kerana dia kekurangan nutrient akibat catuan makanan di rumah Latifa. Latifa lebih suka memberi kucing liar makan dari memberi makanan lebih untuk Cahaya.

Habis kenapa panggil Iris, tak panggil Cahaya?” soal Haikal lagi. Dia duduk di atas lori, menghadap Cahaya sambil menggoyangkan kakinya.

Sebab Puan Latifa cakap saya tak bercahaya, saya kelam. Jadi, dia tak izinkan sesiapa panggil saya Cahaya kat rumah tu. Cuma Mak Yong Kamisah yang masih panggil saya, Aya,” jawab Cahaya jujur.

Haikal dan temannya ketawa berdekah-dekah. Sangka mereka, Cahaya sedang bergurau. Sedangkan mereka tidak tahu yang hati gadis yang sedang diperhatikan mereka itu nyilu, sakit. Mereka tidak pernah tahu Cahaya Iris anak hasil perkahwinan pertama suami Latifa dengan seorang gadis Jepun. Mereka tidak tahu yang Cahaya anak tiri Latifa. Tak siapa pernah tahu melainkan Mak Yong Latifa dan suaminya.

Khabarnya, Cahaya anak pungut yang dibuang ibunya sejak kecil. Kononnya ibu Cahaya seorang pembantu rumah Filipina yang menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki Cina, peruncit di Malaysia. Sebab itulah matanya sepet. Sebab itulah kulitnya kuning langsat. Cahaya sendiri tidak pernah membetulkan tanggapan mereka. Biarlah! Dia tidak kisah. Apa gunanya kalau orang tahu dia anak tiri Latifa?

Saya balik dulu,” balas Cahaya sambil mengambil sejambak bunga dari gerai di bahu jalan. Dia meletakkannya di dalam bakul basikal sebelum mengayuh basikalnya kembali. Dia menghulurkan sekuntum senyuman.

Iris!” laung Haikal sambil memerhatikan Cahaya memecut basikalnya laju, tidak menoleh ke belakang walaupun sekali.

Kenapa dia tu, Lyn?” soal Haikal pada adiknya yang sedang duduk di gerai bunga, menyusun batang-batang mawar putih.

Iris kecik hati. Cahaya tu kan nama panggilan yang arwah ibu dia selalu guna. Merajuklah tu bila orang gelakkan,” balas Lyn, sengaja mahu mengusik abangnya.

Lyn sebenarnya tahu Cahaya tidak peduli dirinya diketawakan. Cahaya tak suka memikirkan perkara-perkara yang remeh. Apatah lagi tentang lelaki. Cahaya anti lelaki walaupun dia tidak menunjukkannya secara terang-terangan. Kata Cahaya, dia adalah The World’s Greatest Faker.

Nama aje kot,” balas Haikal acuh tak acuh.

Mungkin dia anggap serius sebab yang gelakkan dia tu lelaki yang dia suka,” balas Lyn, masih mahu mengusik.

Iris yang comel tu suka abang?” Haikal kembali tertawa.

Tetapi selang beberapa minit selepas ketawa, Haikal terdiam. Dia terfikirkan tentang kata-kata adiknya. Gadis itu terlalu muda buatnya, sebaya adik bongsunya, Lyn. Haikal boleh dikenakan hukuman kalau dia menjalinkan hubungan dengan gadis di bawah umur. Namun, kalau benar Cahaya menyukainya, Haikal pasti setia menunggu. Gadis itu sememangnya manis ditatap pandangan mata.

Lyn keluar semula sambil membawa sebuah kotak kosong.

Dia suka abang ke Lyn?” soal Haikal.

Abang, ni banyak fikirlah. Saya bergurau aje. Iris takkan suka mana-mana lelaki,” celoteh Lyn, membunuh harapan Haikal.

Habis? Dia suka perempuan?” soal Haikal.

Lyn menoleh memandang Haikal yang terkulat-kulat, menunggu jawapan darinya. “Memang dia suka perempuan,” akui Lyn.

Haikal terlopong.

Betul?” soal Haikal.

Dia suka perempuan sebagai kawan, sebagai sahabat,” tambah Lyn, membetulkan tanggapan abangnya. “Sebab lelaki tak boleh dipercayai! Lelaki ni kan cepat sangat berubah hati. Macam abang tu,” cetusnya lagi.

Haikal tergelak.

Dah, abang isi bunga-bunga ni dalam kotak. Saya nak mandi, tukar baju,” balas Lyn.

Iyalah, Lyn,” balas Haikal, separuh mengeluh.

* * * * * *

“Hoi!” jerkah Anees.

“Nak apa, Nees?” soal Cahaya sambil melompat turun dari basikalnya selepas disergah Anees.

Cantik sungguh adik tirinya itu. Cahaya tidak setanding dengannya. Anees kacukan Melayu dengan Arab-Punjabi, mengikut kupasan salasiah keluarga sebelah ibunya, Latifa. Dia mempunyai kulit yang halus, mulus. Sedangkan Cahaya baru ditumbuhi jerawat di pipi kanannya. Dia lebih tinggi kira-kira dua inchi dari Cahaya. Wajahnya sentiasa diserikan make-up Dior dan Mac. Sedangkan Cahaya hanya menggunakan bedak sejuk sekali-sekala, itupun apabila dipaksa Mak Yong Kamisah.

“Kau buat apa?” soal Anees.

“Belikan Mak cik Latifa bunga,” jawab Cahaya.

“Kau gunakan duit dari siapa beli bunga hodoh ni?” soal Anees sambil mengambil salah satu kuntuman mawar dan menghidunya.

“Mak Yong bagi,” jawab Cahaya.

“Tipu!” tempelak Anees sambil ketawa. Dia tahu Cahaya dalam bahaya. Ibunya sedang mengamuk di rumah.

“Betul, Nees. Akak…”

“Jangan berakak dengan akulah, bodoh! Aku bukan adik kau! Kalau orang dengar, rosak imej aku!” balas Anees sambil memukul kepala Cahaya dengan tangkai mawar di tangannya, marah dengan panggilan Cahaya.

Cahaya tidak membalas, malas untuk mencari pasal dengan Anees yang suka menyinga seperti mamanya.

“Habislah kau. Purse mama aku hilang. Dia cakap kau yang curi,” ucap Anees sambil ketawa semula.

“Mana ada. Bunga ni dibeli dengan duit Mak Yong Kamisah bagi. Duit baki belanja rumah,” jawab Cahaya.

“Baik kau jangan balik. Kalau tak, mesti mati kau dikerjakan mama aku. Baik kau berambus dari sini. Kau lari jauh-jauh. Jangan balik ke sini lagi. Aku pun dah muak nak tengok muka comot kau tu,” luah Anees.

“Aku tak salah, buat apa aku nak lari?” ucap Cahaya.

“Nasib kaulah Cahaya!” balas Anees sambil melangkah meninggalkan Cahaya. Dia ketawa melihat air muka celaru kakak tirinya itu.

Cahaya menolak basikalnya ke arah istana hinggap Latifa. Dia membelokkan basikalnya ke arah garaj.

“Cahaya Iris!” tempik Latifa apabila terpandang wajahnya.

* * * * * *









Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.