Bab
3
Singgahsana
Latifa
“Mak cik ingat mak
cik tu cantik? Bagus? Mak cik sedar tak diri mak cik. Mak cik tu
dahlah tak secantik mama saya, busuk hati pulak tu! Mak cik ingat
papa sayang sangat kat mak cik. Tolonglah jangan perasan! Papa tu
banyak lagi perempuan lain kat luar. Dia jenguk saya pun tiga bulan
sekali,” marah Cahaya.
Mata
Latifa direnungnya tajam. Mata yang menjengkelkan bagi Cahaya
meskipun pada hakikatnya, Latifa memiliki sepasang mata bundar yang
cukup indah. Dia menjeling lagi meskipun Latifa tersenyum manis.
Tidak secuit pun hatinya bergetar untuk membalas senyuman ibu
tirinya.
Cahaya masih diamuk
marah. Biarkan Latifa terus tersenyum sendiri. Latifa tidak layak
menerima senyumannya. Latifa tidak layak menerima layanan baiknya.
Latifa tidak layak menjadi ibunya. Latifa tidak layak untuk
segala-galanya. Segala perbuatan buruk Latifa akan terbongkar satu
hari nanti.
“Mak cik ni teruk.
Jangan datang jumpa saya lagi. Hantar saya balik rumah mama kat PD.
Saya tak nak tinggal dengan mak cik! Mak cik ingat saya takut dengan
mak cik?! Hah, kalau berani pukullah lagi! Nanti saya lari balik
Jepun, balik Kyushu, tinggal dengan datuk saya. Biar papa marah mak
cik! Saya tak heran pun dengan rumah besar mak cik. Saya tak suka
duduk sini!” tempelak Cahaya lagi.
Latifa masih diam,
masih tersenyum padanya. Senyuman itu tak pernah lekang. Walaupun
Cahaya mengecam. Walaupun Cahaya melenting.
“Aya,
buat apa?” tegur suatu suara lembut.
Cahaya tidak
menyahut. Dia masih sedang mengamuk, marah memandang Latifa yang
seolah-olah tidak mempunyai perasaan, berhati batu.
Daun pintu biliknya
ditolak perlahan-lahan.
Mak Yong Kamisah,
pembantu rumah istana hinggap Fauzan melangkah masuk. Matanya
membulat sekejap. Dia terperanjat melihat Cahaya sedang bergaduh
dengan gambar Latifa yang dilekatkan pada dinding biliknya. Dalam
gambar itu, Latifa duduk atas sebuah kerusi antik sambil tersenyum,
ayu dalam baju kurung krim.
“Saya tak suka mak
cik! Tak suka! Tak suka! Tak suka! Hantar saya balik PD sekarang!”
bebal Cahaya sambil merenung gambar bisu Latifa. Imej Latifa yang
sedang tersenyum itu menaikkan lagi kemarahan Cahaya.
“Aya!”
panggil Kamisah sambil duduk dan mengesot rapat dengan Cahaya.
Kedua-dua belah tangannya berlabuh atas bahu Cahaya. Dagu Cahaya
ditarik, memaksa Cahaya menghadapnya.
Wajah
garang Cahaya bertukar riak ke sedih. Di kepalanya ada benjolan
sebesar separuh telur puyuh dengan kesan luka yang sudah terkopak
lapis kulit di tengah-tengah benjolnya. Di pipinya pula ada kesan
seakan dicakar, kesan yang ditinggalkan kuku Latifa yang bersalut
varnis ungu. Hidungnya yang kemerahan kembang kempis, cuba bernafas
sambil menahan lelehan hingus. Matanya yang sepet bertambah sepet.
Air mata merembes
keluar dari kolam mata Cahaya. Bibirnya yang berdarah dipinggir,
dijuihkan ke depan, seakan anak kecil yang sedang disondol rajuk.
“Sakit?”
soal Kamisah.
“Mana
ada. Tak sakit pun. Aya cuma emo terlebih hari ni,” bohong Cahaya.
Dia melabuhkan kepala atas riba Kamisah.
“Betul
tau, Mak Yong! Aya tak ambik duit Mak cik Latifa. Aya guna duit yang
Mak Yong bagi untuk beli bunga tu. Aya tak sentuh pun beg tangan mak
cik. Aya tak curi duit mak cik. Aya tak buat, Mak Yong. Sumpah, Aya
tak buat,” ulang Cahaya sambil tersedu dek kerana terlalu lama
menangis tadi.
Cahaya teringatkan
tuduhan Latifa setiba dia di rumah selepas membeli mawar kegemaran
ibu tirinya itu pagi tadi. Jerkahan dan amukan Latifa masing
terngiang-ngiang di telinganya yang tidak bertindik.
“Mak
Yong tau Aya tak curi. Pak Asyim dah jumpa purse Puan Latifa dalam
kereta. Puan Latifa sendiri yang tertinggal kat seat belakang
kereta,” ucap Kamisah sambil membelai rambut Cahaya.
Kamisah
masih ingat betapa teruk Latifa menyinga siang tadi. Dibalingnya pasu
kayu di ruang tamu ke kepala Cahaya, kononnya mahu memaksa gadis itu
memberitahu di mana dia menyembunyikan purse Latifa yang hilang. Tak
cukup dengan itu, tubuh Cahaya ditolak ke dinding berkali-kali sambil
dimaki hamun. Rambutnya dicekak beberapa kali sebelum pipinya pula
yang menjadi jamuan tapak tangan Latifa.
Cahaya tidak
diperlakukan seperti manusia, sebaliknya sebiji punch bag. Anak gadis
arwah Masaki itu pula langsung tidak membalas. Dia hanya menangis,
cuba meyakinkan Latifa yang dia tidak mengambilnya. Semakin banyak
dia bercakap, semakin menggila Latifa. Sampaikan akhirnya Cahaya
terdiam, mengerekot atas lantai kesakitan, barulah Latifa berhenti
mengamuk.
Kamisah yang cuba
menghalang semasa Latifa mengamuk siang tadi dijerkah. Kamisah
ketakutan, berlari masuk ke dapur. Dia hanya mampu mengintai Cahaya
yang menangis, mengesak kesakitan. Kamisah masih ingat pandangan
Cahaya padanya. Pandangan yang menagih simpati. Sedangkan dia terlalu
pengecut untuk menolong. Anak muda itu dibiarkan berjuang sendiri.
“Mak Yong minta
maaf,” ucap Kamisah.
“Kenapa?” soal
Cahaya.
“Sebab tak dapat
tolong Aya,” jawab Kamisah.
Cahaya tersenyum.
“Tak sakit pun,”
bohong Cahaya.
Air mata Kamisah
menitis.
“Kenapa Cahaya
selalu bohong Mak Yong? Kalau Puan Latifa pukul, Cahaya selalu cakap
tak sakit. Kenapa Cahaya tak beritahu papa?” ungkit Kamisah.
Beritahu papa? Untuk
apa? Kalau papa peduli, papa takkan meninggalkan dia dibawah jagaan
Latifa. Kalau papa peduli, papa takkan pulang tiga bulan sekali untuk
melawatnya. Kalau papa peduli, papa sudah lama tahu perasaan yang
bergelodak dalam hatinya. Tak perlu suara mengacum atau teriakan dan
tangisan, kalau papa peduli, papa akan mengerti sendiri deritanya.
Papa akan dapat membaca air mukanya. Tetapi, tidak! Papa tak pernah
peduli.
“Aya,” panggil
Kamisah.
“Aya
rindu mama. Aya…Aya nak balik PD. Aya tak mau duduk sini dengan Mak
cik Latifa. Boleh tak Mak Yong hantar Aya balik PD? Aya tak kisah
duduk sorang-sorang. Aya dah biasa dah, Mak Yong,” ucap Cahaya. Air
matanya berjuntaian jatuh cepat-cepat dikesat dengan tapak tangan.
“Aya
sayang, janganlah tinggal Mak Yong. Kalau Aya pergi, siapa nak
temankan Mak Yong dan Pak Asyim. Aya duduk sini dengan kami ya. Kat
PD nanti tak ada siapa jaga Aya. Minggu depan kan Aya dah nak ambik
SPM,” pujuk Kamisah.
“Tak
guna Aya ambil SPM. Mak cik Latifa cakap Aya tak boleh sambung
belajar. Dia cakap lepas Aya habis SPM, Aya kena kerja kat ladang teh
dengan pekerja-pekerja baru dia dari Vietnam. Dia cakap Aya kena
keluar dari rumah ni, tinggal di rumah pekerja,” ucap Cahaya sambil
menahan sebak.
“Aya,
Puan Latifa cakap macam tu sebab dia tengah marah. Takkanlah dia
tergamak nak buat macam tu pada Aya. Aya kan anak dia juga, sama
macam Anees. Mesti dia sayangkan Aya,” pujuk Kamisah lagi.
Cahaya
menggelengkan kepala.
“Mak
cik akan buat. Dia selalu buat apa dia cakap, Mak Yong. Tak ada siapa
boleh halang dia,” balas Cahaya.
Cahaya bangun
semula. Dia duduk sekejap sebelum bangun menuju ke katil bujang kayu
yang rangkanya berwarna putih. Di sana, dia membaringkan tubuhnya
yang terasa sengal-sengal. Mungkin ada uratnya yang tergeliat semasa
terjatuh akibat dek pukulan Latifa. Buku lalinya membengkak,
menyukarkan dia untuk berjalan.
“Aya
nak makan apa?” soal Kamisah.
“Aya
tak nak makan. Aya mengantuk, nak tidur,” ucap Cahaya sambil
memejamkan matanya meskipun perutnya sudah lama merintih minta diisi.
Cahaya tidak gamak
menyusahkan Kamisah. Pasti Latifa akan menyinga lagi kalau dia
mendapat tahu yang Kamisah memberikan Cahaya makanan. Arahannya sudah
disuarakan jelas dan lantang siang tadi, Cahaya tidak dibenarkan
makan untuk hari itu. Dia mahu Cahaya insaf atas dosa yang tak pernah
dilakukannya.
“Tapi,
Aya tak makan dari pagi…” balas Kamisah, diulit rasa bersalah.
“Mak Yong ambikkan makanan ya. Puan Latifa dah tidur nyenyak kat
bilik. Kalau kita tak buka mulut, dia takkan tahu,” pujuk Kamisah,
seakan tahu Cahaya tidak mahu makan kerana takut dia dimarahi Latifa.
Cahaya
menggelengkan kepala. Dia memaksa diri menguntum senyuman. The
World’s Greatest Faker. Itu nama yang diselarnya untuk diri sendiri
sejak kecil. Dia suka berpura-pura, memalsukan rasa yang sedang
berjelaga dalam hatinya, menunjukkan air muka yang tenang meskipun
peritnya masih terasa.
“Betul,
Mak Yong. Aya tak lapar. Tapi, Aya mengantuk sangat sekarang ni. Aya
nak tidur,” ulang Cahaya sambil menutup mata.
Air
mata Kamisah merembes keluar. Kamisah menarik selimut, melitupi tubuh
kurus Cahaya sampai ke bahu. Kemudian barulah dia bangun dan
melangkah ke pintu. Lampu bilik tidur Cahaya yang berbentuk silinder
panjang dimatikan. Dia menarik daun pintu semula, meninggalkan gadis
muda yang disangkanya akan terus melelapkan mata.
Sebaik
sahaja daun pintu ditarik, Cahaya terus bangun duduk. Selimut yang
melitupi tubuhnya diselak, ditendang ke hujung katil. Dia duduk
memeluk tubuh. Samar-samar cahaya lampu jalan menerangi biliknya. Air
matanya menitis lagi. Dia menadah tangan, membaca Surah Al-Fatihah,
satu-satunya ayat yang dihafalnya sewaktu di sekolah selain doa
makan. Cahaya Iris tak pernah dihantar ke kelas mengaji mahupun
fardhu ain.
Cahaya memasang niat
di dalam hati untuk menyedekahkan surah yang dibacakan buat arwah
mama. Dua kali dia membaca surah yang sama dan memasangkan niat yang
sama. Kata ustazahnya di sekolah dulu, kalau kita mendoakan orang
yang telah pergi, seksaan keatas mereka akan berkurangan.
Cahaya mahu arwah
mama ditempat di kalangan orang-orang yang perlindungan ALLAH dalam
segala bentuk seksaan. Dia mahu doa-doanya sampai kepada mama,
mengiringi perjalanannya ke raudhah satu hari nanti.
“Ya
Allah, ampunilah dosa-dosa ibuku. Tempatkanlah dia di kalangan
orang-orang yang beriman,” pohon Cahaya.
Cahaya
mengesot ke belakang, menyandarkan tubuhnya pada kepala katil.
Cinta
seorang lelaki terlalu murah, sama macam cinta papa. Dia tak pernah
peduli berapa banyak perempuan yang disakiti. Dia tak pernah ikhlas
menerima dan memberi. Kesemuanya bersyarat. Aku takkan jatuh cinta.
Aku takkan biarkan diri aku ditipu oleh seorang lelaki. Aku takkan
jadi seperti mama, seperti Mak cik Latifa. Bisik hati Cahaya.
Cahaya
teringatkan wajah pucat mama, tak mahu lagi berperang untuk
meneruskan hidup. Dia tahu mama sudah hilang semangat. Cintanya
dikhianati oleh seorang lelaki bergelar suami, lelaki yang sepatutnya
melindunginya. Di saat nyawa mama berada di hujung tanduk, suaminya
sibuk menemani isteri barunya, Pekan. Mama diperlakukan seumpama
sehelai baju yang mudah diganti.
Latifa?
Sangkanya cinta Fauzan takkan berubah lagi selepas menemui wanita
cantik seperti dia. Tetapi, tidak! Setia tidak pernah ada dalam kamus
hidup Fauzan. Dia tidak pernah puas dengan satu. Dia tidak pernah
berhenti mencari yang lebih baik.
Kekadang Cahaya
terfikir, sempurnakah Fauzan untuk mencari satu kesempurnaan? Apa
erti kesempurnaan seorang wanita? Adakah ia terletak pada santunnya?
Pada paras rupa yang cantik? Pada hati yang jernih?
Salahkah seorang
lelaki menerima ketidaksempurnaan itu dengan lapang dada, membaikkan
apa yang buruk, menjernihkan apa yang keruh? Salahkah seorang lelaki
menyempurnakan apa yang cela?
Mengapa membiarkan
yang kotor itu terus kotor dan bertambah kotor tanpa dibersihkan?
Mengapa tidak dibimbing ke jalan yang sebaik-baiknya? Bukankah lelaki
dianugerahkan sifat pembimbing, ketua keluarga?
Cahaya tidak
mengerti. Dia keliru dengan kemahuan kaum Adam di sekelilingnya yang
seakan tidak punya batasan. Lalu, dia menolak tiap cinta yang mahu
menyinar masuk ke dalam hidupnya. Bukan kerana usia mudanya tetapi
kerana dia tidak percaya pada cinta seorang lelaki. Dia tak mahu
kecewa seperti mama. Dia tak mahu menjadi pesakit mental seperti
Latifa. Dia mahu kehidupan yang lebih bermakna.
“Love
is pain, sweetheart. But, never doubt that God will always give us
the best. I know no matter how difficult the situation might be,
you’ll survive it. In the end, you will find someone that worth the
pain.”
Kata-kata
itu pernah meniti di bibir mama suatu ketika dulu. Kata-kata yang
Cahaya bidas. Cinta sesuatu yang terlalu rapuh untuk disemai, dibaja
dan dijaga sepenuh jiwanya. Dia tahu hasilnya nanti akan musnah
sebelum sempat dituai.
Kerna
papa, hatinya menjadi sekeras batu. Jiwanya bagaikan kerikil. Dia
sedikit pun tidak menangis sewaktu menonton filem Titanic bersama
arwah mama dulu. Mama menangis sendirian. Cahaya tidak pernah percaya
pada epik Uda dan Dara, Romeo dan Juliet atapun kisah-kisah yang
sewaktu dengannya. Cerita-cerita itu hanya rekaan. Cinta sejati tidak
pernah ada.
“Aku
benci lelaki!” ucapnya. “Aku takkan berikan cintaku kepada
mana-mana lelaki. Aku takkan percayakan mereka.”
* * * * * *
Latifa
Ya,
memang aku seorang pendendam. Ya, memang aku seorang pembenci.
Salahkah aku membenci dia? Dia bukan anakku. Dia anak perempuan
perampas. Aku yang dulu memiliki cinta Fauzan! Aku yang dulu menjadi
tunangannya! Tetapi, Fauzan jatuh cinta lagi. Dia tidak mahu
kehilangan perempuan bermata sepet itu. Sampaikan aku ditinggalkan,
dilupakan meskipun aku yang sebenarnya bergelar tunangnya.
Menatap
wajah Cahaya Iris adalah satu sumpahan. Dia seiras ibunya, Masaki.
Senyumnya dan tawanya mengingatkan aku pada perampas itu. Aku benci
padanya! Aku benci menatapnya! Aku mahu dia enyah dari pandanganku.
Kenapa tergamak Fauzan menyuruh aku menjaganya, melayaninya bagaikan
anakku sendiri? Lelaki itu sudah gila! Permintaannya tak masuk dek
akal.
“Ma!”
panggil Anees. Dia menolak daun pintu ibunya, berlari masuk ke dalam
tanpa mendapat keizinan.
“Ada
apa, Nees?” soal Latifa.
“Mama
sengaja tinggalkan purse tu dalam kereta kan?” soal Anees.
Latifa
terdiam.
“Anees
tau mama nampak purse tu. Mama sengaja tinggalkan dalam kereta kan?
Mama sengaja nak marah Aya,” luah Anees, duduk menyilangkan kaki di
atas bangku meja solek ibunya sambil menggilap kuku. Sebelah
telinganya masih terpasang earphone yang disambungkan pada iPod
Touch.
“Anees
nak apa?” soal Latifa.
“Anees
nak ke Singapore tahun baru nanti, dengan kawan-kawan Anees. Anees
nak pakai kereta,” jawab Anees dalam nada selamba, tidak ada
sekelumit bimbang kalau-kalau kemahuannya ditolak. Dia tahu mamanya
tidak boleh menolak.
“Anees
tu tahun depan nak SPM. Cuba belajar! Jangan asyik nak main. Mama dah
banyak sangat bagi Anees kebebasan. Anees jangan nak ambik
kesempatan. Jangan cuba nak pijak kepala mama! Jangan sampai anak
perempuan bangsat tu dapat keputusan yang lebih baik dari Anees,”
ujar Latifa.
Masuk
telinga kanan, keluar semula dari telinga kiri. Anees tidak peduli,
tidak kisah dengan amarah ibunya. Dia tahu lambat-laun Latifa akan
tunduk jua pada kemahuannya. Banyak rahsia Latifa ada dalam genggaman
tangannya.
“Mama
nak bagi ke tidak?” soal Anees sebelum mengetap bibirnya, menahan
rasa geram kerana kemahuannya tidak dituruti.
“No,”
jawab Latifa.
Anees
tersenyum. Dia ada seribu satu cara untuk menggesa Latifa. Segala
rahsia Latifa ada di dalam genggamannya.
“Apa
kata mama fikir masak-masak dulu. Jangan terburu-buru buat keputusan.
Lepas mama dah habis fikir nanti jangan lupa beritahu Anees jawapan
mama ya,” balas Anees, dalam nada sinis.
Anees menyusun
langkah ke pintu. Langkahnya termati betul-betul di depan pintu. Dia
berpusing balik, menghadap mamanya.
“Mama tau Anees
tak suka Cahaya Iris. Anees benci pandang muka dia. Tapi, apa mama
buat tu kejam jugaklah. Kalau Anees tersalah cakap pada papa...Mama
tau kan apa papa akan buat...” luah Anees sambil senyum sinis.
“Fine,
Anees boleh pergi. Boleh pakai kereta,” luah Latifa, memberi
kebenaran. Dia takut kalau kisah itu sampai ke telinga suaminya. Dia
tahu Fauzan akan berang.
Meskipun
Fauzan sudah berjanji pada ibunya yang dia tidak akan menceraikan
Latifa, tetapi dia kerap bertengkar dengan isteri keduanya itu.
Kemahuan Latifa tak pernah dituruti. Satu-satunya sebab kenapa Fauzan
masih pulang melawat Latifa adalah kerana Cahaya Iris tinggal
bersamanya.
Wajah
Anees bertukar girang. Dia langsung tidak peduli dengan pedih yang
tidak tertahan dalam bengkung dada ibunya.
“I
love you, mama. Kalau mama izinkan dari awal kan senang,” ucapnya
sebelum melangkah keluar.
Latifa
merengus geram.
Anees
anaknya sendiri, anak yang dikandungnya sembilan bulan. Anak yang
selama ini ditatang bagaikan minyak penuh. Anak yang dari darah
dagingnya sendiri. Latifa tidak menyangka Anees tergamak mengugutnya,
mempergunakannya untuk mendapatkan sesuatu. Lupakah Anees yang Latifa
ibunya?