Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
87,910
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 14

Bab 14


Waalaikummussalam,

Kau dah gila ke? Dah, pergi main jauh-jauh. Membazir ink pen aku aje.

Cahaya

Ilham tergamam. Tangannya membalik-balikkan surat di tangannya beberapa kali, mencari kalau-kalau ada kata tinta yang lain yang tersesat padanya. Tetapi, tidak. Hanya nota ringkas itu yang ditinggalkan Cahaya.

“Penat-penat aku mengarang, ini saja balasan dia?” ucap Ilham yang masih lagi terkejut, seakan tidak percaya.

Dia melangkah longlai, bertemankan rasa kecewa, menuju ke kereta birunya yang terpakir di bahu jalan. Mukanya disembamkan ke stereng selepas masuk ke dalam. Inilah kali pertama dia jatuh cinta selepas pemergian Warda. Ini jugalah kali pertama dia meluahkan rasa hatinya dan ditolak bulat-bulat tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Cahaya tidak memberikan peluang untuk dia membuktikan keikhlasan hatinya.

Oh tidak! Air mata lelakinya terpaksa ditahan meskipun ia meronta mahu turun ke pipi. Kepalanya dihantukkan ke tingkap kaca sekali, perlahan. Kecewa membanjiri ruangan hatinya. Dia tak tahu di mana Cahaya. Dia tak mampu meluahkan isi hatinya secara terus. Ilham keluar semula dari kereta. Dia berlari ke arah pantai semula sambil menanggalkan t-shirtnya dan mencampakkan ia atas pepasir pantai.

“Argh!!!” jerit Ilham sambil berlari ke dada lautan. Fikirannya kacau. Dia terfikirkan ayat dingin yang ditinggalkan Cahaya. Dia terfikirkan kemarahan Azriq. Dia terfikirkan wajah keliru mama dan papa. Dia terus terjun ke dada lautan, mencari ketenangan. 10 saat. 20 saat. Dia menyelam dulu sebelum berenangan semula ke gigi lautan.

Ya. Kini Ilham sudah boleh berenang. Dia pernah bergelar juara renang di kampus dulu. Dia bukan lagi si lidi yang akan terkocoh-kocoh takut apabila berada di dalam air. Tangannya kini sudah berotot keras. Baginya, dia tampak lebih lelaki dari dulu. Tetapi bagi mama dan papa, dia sudah jauh lebih lembut, sudah hilang kelakiannya.

Benarkah? Adakah kelakian itu letaknya pada suara yang keras, pada tingkah yang kasar? Salahkah kalau dia suka memasak, mengemas? Salahkah kalau suaranya tidak sekeras lelaki lain?

Bagi Ilham, kelakiannya datang dari iman yang kebal, yang tahu mensyukuri hadiah Sang Pencipta. Kelakian itu datang dari sifat yang mahu membimbing, menjaga dan melindungi insan-insan kesayangannya. Kelakian itu datang dari rasa bertanggungjawab, tidak meninggalkan amanah yang sudah tergalas di atas bahunya. Kelakian itu bukannya bersifat zahir, yang mampu dinilai pandangan mata.

Jadi wajarkah dia dihukum kerana sedikit feminine? Kenapa mudah benar manusia menghukum, menyelar dia itu dan ini tanpa mengenali dirinya dulu? Dia bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Ya, dia akui dia berbeza. Tetapi, dia tidak terpesong. Dia masih tetap seorang lelaki yang mendambakan kehadiran bidadari hatinya. Yang pasti, bidadari itu bukanlah bidadari versi lelaki.

Aku straight!” jerit Ilham kuat-kuat tanpa menghiraukan para pelancong yang sedang berehat di pantai.

* * * * * *

Sekali lagi hati ini bertanya, di mana letaknya kesetiaan dan cinta seorang Adam. Kononnya, takkan lari tanggungjawab, kononnya akan menjaga sehingga ke akhir waktu. Hakikatnya tidak.

Cinta seorang lelaki terlalu rapuh nilainya, bagaikan kayu yang mereput dengan masa. Begitulah cinta papa. Begitulah cinta Johari yang menindas adiknya. Begitulah cinta bekas suami Ijah yang mendera dan menceraikan dia sewaktu dia sedang sarat hamil, sehingga anak yang sudah lapan bulan membesar dalam perutnya meninggal. Jadi, mengapa Cahaya perlu percayakan cinta?

“Ijah, dah habis baca buku tu?” soal Cahaya.

Ijah mengangguk sekali. Dia meletakkan buku yang dibacanya ke tepi dan mengesot menghadap Cahaya yang sedang duduk di sofa sambil meriba kepala Anees. Adiknya itu tampak segar sedikit, sudah mula menjamah makanan yang disediakan Ijah. Anees sudah bergerak cergas di dalam rumah, membantu Ijah mengemas.

“Duduk ataslah, Ijah. Kenapa duduk atas lantai macam tu,” pinta Cahaya sambil menjuihkan bibirnya ke sofa.

“Tak apa, saya selesa di bawah ni. Sudah biasa duduk atas lantai semasa di kampung,” ucap Ijah.

“Anees, akak terfikir…” ucap Cahaya. Dia berhenti membelai rambut Anees. Adiknya itu bangun duduk, turut menghadapnya seperti Ijah.

“Fikir apa, kak?” soal Anees.

“Akak terfikir pasal Nukman, Azriq dan Halem. Kenapa kita tak cuba kenal keluarga kita, Nees? Kita hidup terpisah-pisah, bencikan antara satu sama lain. Sedangkan kita semua tak salah. Bukan kita yang pilih jalan begini. Kenapa kita nak hukum antara satu sama lain sebab papa dan mama kita?” ucap Cahaya, meluahkan rasa yang sudah dua hari diperamnya dalam fikiran saja.

“Maksud kak Aya?” soal Anees sambil merapatkan lutut ke dada.

“Kita tak pernah dengar berita dari mak cik Pekan kan, Nees? Kita ada tiga orang adik lelaki. Mana mereka sekarang, Nees? Sejak papa ceraikan Mak cik Pekan, kita tak tau apa nasib dia di Sarawak. Kita tak tau apa ceritanya adik-adik kita, Nukman, Azriq dan Halem,” ungkit Cahaya.

“Habis, akak nak buat apa? Takkanlah akak nak turun ke Sarawak, cari Mak cik Pekan?” soal Anees terkejut.

Ijah turut terkejut sama. Cahaya tak pernah membangkitkan perihal itu sebelum ini. Dia tidak tahu-menahu yang majikannya mempunyai tiga orang adik lagi. Banyak sungguh rupanya isteri papa Cahaya. Mujurlah kuota lelaki hanyalah empat. Kalau lebih, barangkali makin ramai adik beradik Cahaya.

“Anees, akak ni kakak sulung keluarga kita. Tapi, selama ni akak ikutkan rasa hati akak aje. Ikutkan marah akak, geram akak. Akak tak pedulikan adik-adik kakak, Nees. Sampai Anees dah jadi macam ni, baru kakak sedar, selama ni akak boleh ubah semua ni kalau akak nak. Kalau papa tak peduli, kenapa akak sebagai kakak sulung pun tak pernah ambil kisah nasib adik-adik akak?” ungkit Cahaya, meluahkan apa yang sebelum ini hanya bermain-main dalam uncang fikirannya. Tanggungjawab yang dulu dirasakan suatu bebanan kini dianggap satu amanah yang perlu digalasnya. Dia mahu menjejak adik-adiknya yang lain. Dia mahu mereka bersatu semula sebagai sebuah keluarga.

“Dah terlambat, kak. Dah tak guna dah. Nasi dah jadi bubur,” balas Anees. Kalau tadi fokus anak matanya jatuh pada Cahaya, kini ia berlari ke pintu depan. Pandangannya lolos dari cermin kaca sliding door kakaknya.

Jauh dia termenung, memikirkan sejarah hitamnya yang sudah terlakar kemas dalam kotak fikiran, seakan takkan mampu dipadamkan. Memikirkan masa kini yang masih jua kabur. Memikirkan masa depan yang jauh lebih hitam, bagaikan air kopi legam. Dia tidak boleh menapak ke depan, melupakan sejarahnya dulu. Dia juga tak mahu berundur ke belakang, hidup dalam dunia sesatnya.

Bagi Anees, sudah tak lagi gunanya mereka menjejak adik-adik mereka yang lain. Untuk apa? Anees tak pernah berkeinginan untuk hidup berkeluarga selepas apa yang berlaku padanya, apatah lagi mengenali tiga orang adik yang tak pernah ditemui seumur hidupnya, Nukman, Azriq dan Halem. Dia takut mereka tak mahu menerima kedatangan dia dan kakaknya. Dia takut mereka akan membencinya seperti dia membenci mereka dulu. Lebih elok mereka berputus-asa daripada terpaksa berdepan dengan rasa kecewa.

“Tak payahlah, kak. Mereka pun agaknya tak mau jumpa kita. Mungkin mereka lebih bahagia kalau kita tak ada. Anees takut nak jumpa mereka,” tambah Anees. Air matanya berkaca jatuh.

Cahaya mengeluh.

“Tapi, kenapa?”

“Akak lupa? Mama Anees yang suruh papa ceraikan Mak cik Pekan. Mungkin mereka pun benci nak tengok muka Anees, kak. Anees tak rasa mereka boleh terima Anees,” jawab Anees.

“Seumur hidup ni, akak cuma pentingkan diri. Akak asyik fikir, akak hidup sengsara. Akak tak pernah fikir apa yang adik-adik akak rasa, Anees. Akak nak tebus silap akak,” balas Cahaya.

“Habis, akak nak pergi Sarawak? Nak pergi masuk hutan jumpa orang Kenyah? Akak ingat mereka kenal akak? Mereka nak jumpa akak?” soal Anees, cuba mempersoalkan keputusan Cahaya.

Baginya, tiada apa lagi yang perlu dijejak di Ulu Sarawak itu. Nak cari sehingga ke mana? Ke dalam hutan? Dalam rumah panjang yang tak pernah dijengahnya seumur hidup? Hidup lagikah? Sudah matikah? Mereka tak pernah tahu. Nukman, Azriq dan Halem sendiri tak pernah datang mencari mereka. Kalau benar adik-adiknya mengakui mereka sebagai kakak, kenapa mereka tak pernah cuba menghubungi Cahaya dan Anees? Mengapa mereka menyepi sejak sepuluh tahun yang lalu?

“Kalau akak perlu masuk hutan untuk jumpa mereka, akak akan masuk, Nees. Kalau akak kena jadi orang hutan sekalipun, akak sanggup jadi. Biarlah, asalkan akak jumpa adik-adik akak,” tegas Cahaya, bersungguh.

Sebaik mendengar kesanggupan Cahaya menjadi orang hutan, Ijah terus ketawa mengekek. Anees tersenyum simpul. Air mata di pipinya terbiar kering, tidak dititik dengan air mata yang baru. Dia berbaring semula atas riba Cahaya.

“Anees ikut akak kan?” soal Cahaya.

Anees menganggukkan kepalanya.

“Saya nak ikut sekali,” luah Ijah dengan tidak semena-menanya, menawarkan dirinya tanpa diajak.

“Eh, kalau kak Ijah ikut, siapa nak jaga rumah ni?” celah Anees, bangun sekejap, mencuit peha Ijah yang tersipu-sipu.

“Habis, nanti kalau Cahaya dah bertukar jadi orang hutan, siapa nak jaga Anees?” ungkit Ijah semula, mahu mengajak Anees bergurau. Dia bangun berdiri, mengajuk cara orang hutan berjalan sehinggakan Cahaya dan Anees sama-sama ketawa semula.

“Kelakarlah Ijah ni,” cetus Anees.





Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.