Bab
13
Dear,
Cahaya.
Assalammualaikum.
Terima kasih sebab balas nota saya. Saya tak pernah lupakanCahaya. Mungkin secara fizikal, kita dah berubah. Mungkin
saya tak boleh cam Cahaya lagi kalau kita berselisih bahu. Tetapi,
kenangan dulu masih saya ingat jelas. Dari saat pertama Cahaya bawa
saya keluar dari dada lautan, saya tahu, saya takkan boleh lupakan
Cahaya buat seumur hidup saya. Sudah seminggu saya menanti di sini
tetapi Cahaya tak juga singgah. Mungkin Cahaya sudah pergi sekali
lagi. Tapi, saya akan setia menunggu Cahaya kembali.
Hidup
tak selalu indah, penuh dugaan dan halangan. Tiap orang punya kisah
sendiri, rasa perit dan sakit yang kita tahan di dalam bengkung dada.
Hari ini, saya didatangi oleh dugaan yang baru. Teman saya, teman
baik yang saya sangka akan menemani perjuangan saya sampai ke
Raudhah, baru meluahkan isi hatinya pada saya. Saya terkejut dan
dalam masa yang sama saya kecewa.
Sesungguhnya saya
tak mampu menerima hubungan terlarang yang dilaknat Allah itu.
Bagaimanakah saya tergamak menyintai seorang lelaki sedangkan telah
TUHAN ciptakan manusia dalam keadaan yang sempurna sifat untuk
berpasangan, lelaki dan perempuan? Saya buntu.
Saya
keliru, Cahaya. Saya sendiri tak tahu apa yang saya rasakan sekarang.
Siapa yang lebih bodoh? Dia yang menyintai seorang lelaki bergelar
temannya? Atau saya yang menyintai seorang gadis yang sudah 10 tahun
tidak saya temui?
Saya akan pergi
mencari teman saya, mencari jawapan di mana khilafnya persahabatan
yang saya hulurkan selama ini. Tetapi, sebelum saya pergi, tak kira
apa pun yang akan berlaku nanti, saya mahu membuat pengakuan, Cahaya.
Sebenarnya saya
sudah jatuh hati pada awak, Cahaya, sejak saat pertama saya lihat
awak, di saat saya berada di antara hidup dan mati. Sejak hari itu,
saya tak pernah melupakan awak. Saya pernah menyangkakan awak seorang
bidadari. Saya tahu awak tak punya rasa yang sama tapi saya akan
bersabar menanti andai TUHAN merestui rasa yang saya pendam selama
sepuluh tahun ini.
Ilham
“Gila ke kau ni?
Kau ingat aku ni bodoh sangat?” soal Cahaya meskipun tak ada insan
lain di sisinya kala itu. Dia tak mampu menghalang dirinya dari
berbicara seorang diri, menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
Jatuh hati. Cinta.
Kasih. Sayang. Rindu. Ungkapan rasa cinta sesama manusia tak segah
rasa yang sama buat Maha Pencipta. Cahaya tahu itu. Hingga kini,
hatinya sangsi sama ada ungkapan itu punya erti jika ia terzahir di
antara manusia.
Lihat saja cinta,
kasih, sayang dan rindu papa pada mama yang kononnya agung, bagai
lautan tidak bertepi. Lihatlah, di mana agungnya ia sekarang? Ia
bagai buih-buih di dada lautan, berapungan tanpa persinggahan, hilang
tanpa kesan. Cinta yang hanya menyakitkan wanita-wanita yang kononnya
dicintai. Tak ada gunanya membina istana seindah Taj Mahal andai
cinta tak seteguh binaannya.
Mampukah
Cahaya membalas cinta seorang lelaki dengan hanya berbekalkan
kenangan sipi-sipi yang mengocak ruang ingatannya. Mampukah dia
menerima keikhlasan seorang lelaki yang belum pasti kesetiaannya?
Benarkah rasa kasih di hati Ilham seteguh bicara suratnya? Atau
barangkali suara dakwat itu indah khabar dari rupa? Tidak semudah itu
dia akan memberikan hatinya. Dia bukan bodoh.
Dia yang bakal
menanggung natijahnya seandainya dia menerima lelaki yang tidak
dikenalinya itu. Yang sakit nanti dia. Yang akan menangis nanti dia.
Lelaki adalah makhluk yang sukar diukur telus hatinya. Bermaknakah
cinta tanpa ketelusan, tanpa rasa percaya? Untuk apa terikatnya suatu
perhubungan kalau ia tidak berlari atas landasan percaya, tersasar
arahnya ke kanan kiri.
Cahaya
meletakkan surat Ilham di atas pehanya, ditahan dengan tangan kiri
yang berbalut agar tidak diterbangkan angin. Di bawah balutan itu ada
7 jahitan yang sakitnya masih terasa sampai sekarang. Sudah seminggu
dia menahan rasa sakit itu. Kata doktor dia perlu berjaga-jaga agar
lukanya tidak terkena infeksi.
Perlahan
pergerakan tangan kanannya, membolosi ruangan dalam beg coklat yang
dibawa bersamanya, mencari pen dakwat basah kegemarannya. Penutup
mata pen ditanggalkan dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Mata
pena tadi berlari di muka belakang surat Ilham.
Selepas selesai, dia
menggulungkan semula surat Ilham, menempatkannya semula di dalam
botol jernih berbentuk bintang. Gabus penutup botol disumbatkan di
mulut botol sebelum ditanamnya di celah-celah akar pokok tempat dia
melabuhkan punggung. Dia memastikan botol itu tak mampu dikesan oleh
orang yang tidak tahu lokasi untuk mencarinya.
Benarkah
itu kata putus Cahaya? Ya, mungkin. Cahaya tak ada jawapan yang
pasti. Dia melangkah bangun. Tapak tangannya menyokong tangan kirinya
sambil kakinya melangkah perlahan-lahan atas pepasir pantai.
Daun pintu myvi
silver yang baru dibelinya selepas pulang dari Jepun ditariknya.
Kereta kecil itu dipandunya perlahan-lahan, tidak mencecah 40km/jam.
Sebaik saja sampai di depan rumah tinggalan mama, dia memakir
keretanya depan pintu pagar depan. Dia melangkah masuk ke dalam
selepas mengunci keretanya.
“Dia
dah mandi, Ijah?” soal Cahaya.
Ijah
menggelengkan kepala. Tubuhnya menggeletar sewaktu soalan itu meniti
dibibir Cahaya, masih trauma mengenangkan insiden semalam. Kalau
bukan kerana rasa hormat dan kasihnya pada Cahaya, pasti dia sudah
melaporkan kejadian semalam kepada polis.
Matanya tertala pada
kesan-kesan cakaran di tangannya, hasil ukiran kuku runcing Anees. Di
kepalanya pula ada benjolan bengkak. Di pipi kanannya ada kesan lebam
hijau dan pinggir bibirnya pula berdarah. Semuanya angkara Anees yang
mahu cuba melarikan diri, mengerah kudrat untuk menyerangnya semalam.
“Saya
tak beranilah, Aya,” ucap Ijah sambil menggelengkan kepala.
“Tak
apalah. Biar saya uruskan dia. Ijah pergi baca buku yang saya belikan
semalam ya,” suruh Cahaya.
Usia Ijah sudah
mencecah 29 tahun. Dia sudah hilang minat untuk belajar, sudah
berputus asa untuk mengejar ilmu yang digedung dalam buku sehinggalah
dia digajikan untuk menjadi pembantu rumah Cahaya. Majikan barunya
itu cuba menginjakkan dia dari dunia kelamnya dulu. Cahaya mengajar
dia membaca, mengeja. Cahaya membelikan dia buku-buku dan alatan
menulis seperti seorang ibu yang menghantar anaknya ke sekolah. Dia
tidak pernah berasa disayangi begitu seumur hidupnya.
“Ijah,” panggil
Cahaya apabila melihat Ijah masih tertegak di tempat yang sama, sibuk
berkhayal, tidak pula menurut permintaannya.
“Ya, saya pergi
sekarang,” balas Ijah, tergesa-gesa masuk ke dalam untuk memenuhi
kemahuan Cahaya.
Ada senyuman yang
terukir dibibir Cahaya, melihatkan kesungguhan Ijah untuk belajar
yang semakin memuncak. Ijah pelajar yang tekun, rajin membaca dan
menelaah meskipun dia tidak akan menduduki apa-apa peperiksaan dalam
waktu terdekat.
Cahaya melangkah
naik ke tingkat atas. Selang beberapa anak tangga, senyumannya mati.
Dia terfikir pula wajah kuyu yang sedang menantinya di atas sana.
Wajah yang masih cengkung, nampak bagaikan orang sakit.
Mood girang Cahaya
terus bertukar sedih. Air mukanya yang tadi girang, dirundung duka.
Dia tahu jalannya di depan sana takkan mudah. Anees masih ketagih dan
dia tidak mempunyai pengalaman untuk membunuh rasa ketagih adiknya.
Dia tidak tahu apa ubat yang paling mujarab untuk Anees. Dia hanya
mampu menjadi peneman, cuba meniup semangat baru tiap kali Anees
rebah.
Cahaya
memperlahankan langkah. Setapak demi setapak, akhirnya dia tiba jua
ke atas. Daun pintu bertentangan bilik berdekatan tangga ditolaknya
perlahan-lahan.
“Anees,” panggil
Cahaya dalam nada lembut, sambil melihat tubuh kering yang sedang
terbaring mengerekot atas lantai. Kakinya dirantai pada kaki katil
kayu. Dia mengangkat muka sedikit apabila melihat kedatangan Cahaya.
“Kak,” panggil
Anees sambil mengesat air hingus yang keluar dari lubang hidungnya.
Dia bangun duduk, menghadap Cahaya. Rambutnya yang kusut diselit di
belakang telinga. “Anees dah tak tahan, kak. Anees tak boleh tahan.
Anees tak boleh hidup tanpa benda tu, kak,” ucap Anees, seakan
merayu.
“Boleh. Akak tau
Anees boleh. Akak tau adik akak kuat,” pujuk Cahaya. Dia duduk
bersimpuh di sebelah Anees. Kepala Anees dibaringkan di atas bahunya.
“Anees tak boleh patah semangat sekarang. Akak tak nak tengok adik
akak hidup macam ni. Hidup Anees masih panjang.”
“Kenapa akak nak
jaga Anees? Selama ni Anees tak pernah hormatkan kakak. Anees tak
pernah sayang kakak. Kenapa akak buat semua ni sebab Anees?” ucap
Anees perlahan, tersedu-sedan.
Air matanya mengalir
tak sudah-sudah. Dia terkenangkan maki-hamun ayah dan ibunya apabila
Cahaya membawa dia singgah ke rumah mereka sebelum pulang ke Port
Dickson. Hidupnya semakin kacau apabila mengetahui ada hidup lain
yang sedang membesar dalam rahimnya. Benih siapa? Dia sendiri tak
tahu.
Hidup sudah tak lagi
punya erti baginya. Sudah berkali-kali dia memilih mati tetapi sudah
berkali-kali juga Cahaya menahannya. Cahaya mahu dia meneruskan hidup
sedangkan Anees merasakan dia sudah lama mati. Dia bagaikan bangkai
yang masih boleh bergerak-gerak. Kenapa? Kenapa Cahaya tak mau
berputus harap padanya?
Semalam, dia mencuba
untuk melepaskan dirinya lagi. Nawaitunya sebulat tekad mahu lolos
dari situ, mencari bekalan untuk melepaskan giannya. Dia mencederakan
Ijah untuk melarikan diri dari sana, mencapai matlamat hitamnya.
Anees tak mahu hidup lagi. Apatah lagi hidup berbekalkan belas ehsan
dari wanita yang pernah dibencinya, wanita yang sebelum ini tak
pernah diakui sebagai kakak.
“Anees, orang
selalu cakap, TUHAN selalu memberi umatNya dugaan sebab Dia sayangkan
kita. Dia ingatkan kita. Dia takkan menguji kita seandainya Dia tahu
kita tak mampu melalui dugaanNya. Dia uji Anees sebab Anees kuat.
Jadi adik akak ni jangan mudah putus semangat,” pujuk Cahaya.
“Anees kotor, kak.
Anees hina. Anees jijik. Apa lagi yang akak nak dari adik macam
Anees?” ucap Anees sambil menangis. Lagi dan lagi. Air mata itu
seakan tidak akan berhenti, menemani penyesalan yang tiada noktahnya.
Andai waktu boleh
diputarkan semula, dia takkan hanyut bersama Johari di lembah hina
itu, di dalam perangkap samar syaitan yang menyesatkan. Tetapi, dia
terlalu naïf, terlalu terpujuk dengan nafsu, darah muda yang
meluap-luap dalam tubuhnya.
“Siapa kita untuk
menentukan seseorang manusia itu kotor, hina ataupun jijik? Itu bukan
urusan kita. Itu urusan TUHAN. Dia Maha Pengampun, Maha Pengasih.
Biar Dia dengan hak mutlakNya. Kita hanya hamba yang menumpang teduh
kat dunia sementara ni. Sekali buat salah, jangan selamanya kita
hidup dalam gelombang dosa. Keluar. Beranikan diri. Taubat, Anees.
Taubat,” balas Cahaya. Tangan kanan Anees digenggamnya.
“Akak tak boleh
tolong Anees kalau Anees tak mahu tolong diri sendiri. Jangan putus
asa, dik,” pujuk Cahaya sambil tangan kanannya menyeluk ke dalam
poket jeans. Anak kunci buat mangga yang terselit pada rantai yang
mengikat kaki Anees dikeluarkannya lalu dipulaskan untuk meloloskan
kaki adiknya.
“Keputusan ada di
tangan Anees. Kalau hitam yang Anees pilih, hitamlah jadinya. Kalau
putih yang Anees pilih, putihlah jadinya,” ucap Cahaya.
“Anees minta
maaf,” ucap Anees setelah mendengar hujah kakaknya. Ucapan Cahaya
lancar. Selalu lancar. Pilihan katanya jarangkali salah. Tetapi
lenggok sebutannya adakalanya terikut-ikut dengan gaya orang Jepun
yang sedang bercakap, bukan orang Melayu. Namun, Anees mengerti
sedalam-dalamnya segala yang mahu disampaikan, dari sebutan
sehinggalah ke ekspresi wajahnya.
Rantai besi kaki
Anees dilonggarkan. Anees mengesot ke depan, memandang ke pintu. Dia
tidak tertahan godaan untuk keluar di situ, mendapatkan bekalan untuk
menyahkan giannya. Persetankan pada mata yang menghina. Persetankan
zarah-zarah yang sedang membentuk embrio, hidup dan membesar dalam
rahimnya. Persetankan segalanya.
Tetapi, belum sempat
dia menapak, insiden minggu lepas termain semula dalam kotak
fikirannya, bagaikan kotak perakam. Dia teringatkan keberanian Cahaya
menapak di rumah papan yang sudah terkopak-kopak dindingnya
sendirian. Dia teringatkan darah yang memercik keluar dari tangan
Cahaya untuk melindungi nyawanya. Saat itu, Anees terasa disayangi,
dikasihi. Apabila dia menoleh ke arah Cahaya, nawaitunya untuk lari
mati sendiri. Dia berteriak lagi dan lagi.
“Anees tak tahan,
kak. Anees nak benda tu. Anees tak boleh. Anees nak benda tu,”
teriak Anees.
Cahaya mengesot,
mendekati Anees. Tubuh kering Anees dipeluknya rapat ke dada. Rambut
Anees dibelai lembut. Didudukkan kepala Anees atas bahu kanannya.
“Anees boleh,
sayang. Anees kuat. Kakak tau. Anees tak boleh putus asa sekarang.
Anees tak boleh terus hanyut,” pujuk Cahaya, lagi dan lagi.
“Anees takut,
kak. Anees takut. Anees tak boleh,” teriak Anees sambil merebahkan
kepala ke riba Cahaya.
Hampir lima belas
minit, Cahaya merelakan Anees berbaring di ribanya, menangis
semahu-mahunya. Kemudian, bahu adiknya ditepuk sekali. Dia membantu
Anees yang longlai untuk duduk semula. Dahi Anees dikucupnya sekali.
“Uweks!” Anees
termuntah di depan Cahaya. Dia terbaring atas, menyembam mukanya. Dia
malu untuk menatap wajah Cahaya.
“Jom, akak
mandikan,” ajaknya sambil menghulurkan tangan, memimpin Anees ke
bilik air yang letaknya hanya dua puluh langkah dari situ.
Anees menggeleng.
“Jom, Anees. Mandi
dulu,” pujuk Cahaya sekali lagi. Tangannya masih dihulurkan kepada
Anees, mengharapkan Anees akan menyambutnya.
Tidak sekalipun, dia
menunjukkan wajah jelek melihat rupa Anees yang menakutkan. Dia tidak
geli dengan muntah Anees, dengan bau busuk adiknya. Rasa sayangnya
melampau kesemua yang menjelikkan, yang hina dan hodoh pada pandangan
mata-mata yang lain. Anees adiknya. Dia takkan sesekali meninggalkan
Anees.
Anees
menggenggam tangannya.
“Apa
yang akak dapat dengan tolong Anees?” soal Anees.
“Akak
dapat seorang adik,” jawab Cahaya sambil menguntum senyuman. Dia
menyapu sisa muntah di mulut Anees dengan tapak tangannya sambil
menitiskan air mata.
“Kak,”
teriak Anees.
Cahaya
menyokong Anees, memimpin adiknya bangun, melangkah ke bilik air. Dia
membiarkan Anees mencangkung di bawah aliran air sejuk. Rambut
adiknya yang kusut dirapikan, disyampoo sampai bersih. Kemudian,
tubuh Anees digosoknya dengan sabun. Sampaikan gigi Anees yang
kekuningan pun digosoknya perlahan-lahan, menanggal sisa tahi gigi
yang melekat padanya. Kemudian, muka Anees dibersihkan dengan scrub,
diurut dengan cleansing milk sebelum dicuci dengan facial foam.
“Wanginya,”
ucap Cahaya sambil mengelap tubuh Anees.
Anees
menguntum senyuman.
Sepasang
pyjama biru miliknya dipakaikan ke tubuh Anees. Dia memimpin adiknya
turun ke biliknya. Anees disuruh berehat di situ sementara dia
membersihkan bilik Anees.
“Anees,”
panggil Ijah sambil melangkah masuk ke dalam bilik Cahaya bertemankan
rasa takut. Dia memandang Anees yang sedang mengerekot atas katil
menggigil. Kalau sebelum ini, dia takut pada Anees, kini dia kasihan
pula.
“Anees,
makan,” pujuknya.
Anees
menggelengkan kepala.
“Makan
sikit,” pujuk Cahaya yang baru masuk ke biliknya selepas selesai
membersihkan muntah Anees.
“Nanti
Anees muntah,” balas Anees.
Cahaya
membantu Anees bangun, bersandar pada kepala katil Cahaya. Ijah hanya
memerhati.
“Tak
apa. Yang masuk memang sentiasa keluar balik, Nees,” usik Ijah.
Anees
menguntum senyuman.
“Ada
baldi kat sini. Anees nak muntah berapa banyak pun muntahlah. Tapi,
Anees kena makan juga,” pujuk Cahaya. Dia menyuapkan bubur yang
dimasakkan Ijah kepada adiknya.
Anees
mengangakan mulutnya perlahan-lahan, menelan bubur ayam yang
disuapkan kakaknya.