Bab
12
Titisan embun jantan
mula jatuh ke dedaun hijau atas pepohon yang menjalar atas dahan
pokok mati yang berbaring di sebelah titi kayu daif menuju ke rumah
lama yang seakan tidak berpenghuni itu. Cahaya malap lilin dalam
dikesan mata yang rajin memerhati. Kalau tidak, ia terus tenggelam
dalam malam likat.
Bau masam, hapak
menikam rongga hidung, seakan mahu menghalau tetamu yang mahu
bertandang. Suasana suram yang mengelilingi rumah papan buruk yang
hampir ternganga dinding depannya itu membuatkan Cahaya beberapa kali
terfikir untuk berpatah balik. Jantungnya berdegup kencang, seakan
mahu melompat keluar dari juntaian urat-urat darah. Nafasnya terasa
berat.
Berkeriut-riut
bunyi papan yang dijijaknya untuk sampai ke dalam. Dia menoleh
sekejap, memandang pemandu teksi yang dibayar RM300, disuruh menunggu
beberapa meter jauhnya dari situ dan diarahkan untuk menghubungi
pihak berkuasa jika dia tidak keluar dalam masa tiga puluh minit.
Bolehkah dia mempercayai si tua itu? Ah, dia tidak tahu. Dia tidak
diberikan banyak pilihan. Keselamatan adiknya diletakkan dulu sebelum
keselamatannya sendiri.
Berbaloikah? Ya,
kalau itu harga yang terpaksa dibayarnya untuk keselamatan Anees, dia
redha. Mungkin itu balasan dosa kerana meminggirkan tanggungjawabnya
sebagai seorang kakak selama ini. Dia mengabaikan adik-adiknya,
meninggalkan mereka yang ketandusan kasih sayang dari papa. Dia
pentingkan diri, hanya memikirkan dirinya sendiri.
Cahaya melangkah
lagi, di antara dua bahagian rumah yang terbelah dengan titian kayu
yang mencelah di tengah-tengahnya. Di tepi ruangan kanannya ada pintu
yang ternganga. Seakan ada suara-suara kecil yang datang dari sana.
Cahaya tidak pasti sama ada suara itu menangis atau tertawa. Yang
pasti, dia hampir terpengsan di situ kerana terlalu takut. Makhluk
apakah yang mahu mengusiknya? Manusiakah atau hantu syaitan?
Kepalanya
dijengukkan ke sebuah bilik yang tampak lebih elok sedikit. Pintunya
dilitupi kain. Di sebalik kain yang diselaknya itu tidurnya kira-kira
enam orang lelaki dan perempuan tanpa segan silu, mengelilingi cahaya
lampu lilin yang suram, baru melepaskan gian dadah. Buktinya
berlonggok di situ, di sekitar lilin. Rupa-rupanya dari situlah
datangnya suara-suara pelik yang didengarinya tadi.
Cahaya terduduk di
depan pintu, merangkak di antara tubuh-tubuh leka. Ada yang sedang
merengek, menangis. Ada yang sedang ketawa bagaikan orang tidak
siuman. Tiap wajah diperhatikan, mencari kalau-kalau Anees ada di
antara mereka. Dia terpaksa bangun berdiri apabila ternampak
jarum-jarum yang berbaring atas lantai papan yang rongak, takut kalau
tertikam tangannya.
Cahaya mahu segera
keluar setelah yakin yang adik tirinya tidak ada di sana. Tetapi,
kemudian kepalanya ditolehkan semula. Dari satu wajah, matanya
berpindah ke wajah yang lain, seakan-akan tiap wajah itu pernah
dikenalinya. Bagai ada ikatan yang menyatukan mereka. Dia ralit
memandang.
Ya, mungkin dia
memang kenal. Itu wajah anak bangsanya, yang hanyut, yang hilang
dalam arus neraka dunia. Tiap wajah itu punya kisah, punya derita
yang tak tertanggung. Mereka mencari penyelesaian disebalik satu lagi
masalah. Mereka terperangkap dalam neraka dunia, tidak berpeluang
mencari jalan keluar. Mereka memilih untuk terus hidup dalam dunia
yang kelam, kotor. Meskipun ada jalan jernih yang merentang di depan.
Salah siapa? Angkara
siapa? Barangkali mereka juga pernah merasakan diri mereka terbuang
sepertinya. Barangkali mereka terkapai-kapai, menanggung seksa atas
dosa orang lain sepertinya. Barangkali mereka juga pernah dikhianati
oleh seseorang yang teramat mereka kasihi. Barangkali mereka sudah
tak mampu lagi nampak cahaya di dalam lorong gelap yang mereka
tempuhi dalam hidup.
Air mata Cahaya
menitis, seakan mengerti. Seakan tahu apa rasanya ditinggalkan
sendirian, memperjuangkan nasib diri apabila tak ada yang sudi
memberi perlindungan dan kasih sayang. Dia tahu apa rasanya hilang
dalam dunia sendiri. Tanpa kawalan. Kebebasan tanpa had limitasi.
Kerna manusia memang
makhluk yang cukup lemah emosinya, mudah tersesat dalam arus dunia.
Kerna itu manusia memerlukan pegangan, memerlukan agama. Manusia tak
mampu hidup sendiri. Tiap manusia memerlukan teman untuk saling
mengingati.
“Anees?” panggil
Cahaya sebaik saja dia bertembung dengan gadis yang berskirt pendek
sampai hampir menampakkan bontot.
Wajah adiknya
ditemani make up tebal, berlapis-lapis. Kepalanya dialasi rambut
palsu kerinting. Di celah baju sendatnya disogok dengan duit RM yang
dikutip dari pelanggan yang dilayaninya tadi. Dia sudah hilang rasa
malunya, segannya dengan pakaian yang terdedah di sana sini itu.
“Iris?” ucap
Anees dalam nada terkejut, tidak menyangka kakaknya ada di sana.
Pandangannya dilemparkan ke kawasan sekitar, mencari-cari kelibat
mama dan papanya. Dia menarik rambut palsu yang dipakainya,
menampakkan rambut panjangnya yang sudah dipotong sependek lelaki.
“Anees, kau dah
balik? Kau bawak barang tak?” soal suara perempuan yang sedang
khayal sambil melangkah keluar, hampir-hampir terlanggar tempayan air
di antara baju-baju buruk yang mendakap segala macam bau-bauan.
Anees mengeluarkan
beberapa paket putih dari tas tangannya dan menghulurkannya kepada
perempuan tadi. Di belakang Anees, muncul beberapa lagi perempuan
yang berpakaian seperti dirinya, sama seksi dengan rambut palsu
pelbagai warna dan bentuk. Mereka melangkah dengan penuh keyakinan,
seakan sedang berjalan di atas pentas kegemilangan sedangkan Cahaya
memandang mereka dengan sehina-hinanya.
“Kau buat apa kat
sini?” soal Anees kasar.
“Ikut akak, Anees!
Ikut akak balik!” arah Cahaya sambil menarik tangan Anees agar
mengekorinya.
“Tak nak!
Lepaslah!” marah Anees sambil menempis tangan Cahaya. Kakak tirinya
itu ditolak ke tepi dengan kasar, sampai terlanggar papan kayu di
bilik sebelah kiri.
“Anees, aku ni
kakak kau,” tegas Cahaya, memberitahu Anees di mana kedudukan yang
tak pernah ditegakkan selama ini. Dia mahu menuntut hormat Anees
kerana kedudukannya itu. Dia berpangkat anak sulung dalam keluarga
mereka yang berpecah-pecah. Dia tetap kakak Anees walaupun Anees cuba
menidakkannya. DNA dalam tubuh mereka boleh diubah. Ikatan darah
antara mereka bukan ikatan yang boleh dicincang, diputuskan.
“Kau jangan nak
berakak-adik dengan aku! Aku tak pernah mengaku kau kakak tu kakak
aku tau! Sedarlah diri tu sikit!” balas Anees.
“Siapa yang patut
sedar diri sekarang?” cetus Cahaya.
Anees menjeling
dengan marah dan geram. Dadanya berombak dengan nafas kencangnya.
“Ikut aku!” arah
Cahaya dalam nada garang.
“Hey, perempuan
gila, jangan kacau akulah! Aku bukan adik kaulah, bodoh!” jerkah
Anees.
Tubuh Cahaya ditolak
ke tepi apabila kakaknya cuba menarik lengannya. Kasar tingkahnya.
Kali ini Cahaya terus terjatuh, terduduk dekat tempayan berisi air
hujan. Dia mengerang kesakitan.
Namun, Cahaya tidak
akan beralah. Tidak sekali-kali! Cahaya sudah sampai di sana. Dia
takkan pulang tanpa Anees. Dalam payah, dia melangkah bangun semula,
berdiri menghadap Anees.
“Ikut aku balik,
Anees!” arah Cahaya, kali ini nadanya menyinga.
Dicekaunya tangan
Anees tanpa kerelaan adiknya itu kemudian dipaksanya Anees mengikut
langkahnya. Anees berjalan dalam langkah terhenjut-henjut dengan
heels tiga inchi yang masih tersarung di kaki.
Perilaku Cahaya
menarik perhatian banyak mata yang singgah di situ. Penghuni-penghuni
rumah itu menjeling tajam, seakan memberi amaran supaya drama itu
dihentikan segera. Tetapi, tidak. Kedua-dua beradik masih berkeras.
Yang seorang menarik dan yang seorang menolak sambil lidah bercakaran
sungguhpun tak saling bersentuhan.
“Hoi! Lepaskan
dia!” tempik seorang lelaki yang muncul dari bilik sebelah kiri.
Langkahnya sedikit goyang, bagaikan orang mamai. Rambutnya digelkan
menegak. Dia tidak berbaju, hanya bersiglet dengan seluar pendek
bercorak kotak-kotak.
“Baik kau blah
sekarang sebelum aku naik darah!” tengking lelaki itu sekali lagi
sambil menuding jarinya pada Cahaya.
“Pergi!” arah
Anees sambil menolak Cahaya jauh darinya.
“No!” tegas
Cahaya, keras.
Lelaki tadi
mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya dan mengacu
bucu tajamnya ke arah Cahaya, mengugut.
“Jangan buat kacau
kat tempat ni,” ugut salah seorang perempuan yang baru pulang
bersama Anees tadi, yang kelihatan lebih berusia dari penghuni yang
lain. Dia berdiri depan lelaki tadi, melarang dia bertindak keras.
“Kau jangan
campur. Aku nak lindungi korang. Dia yang cari pasal dulu. Dia masuk
tempat kita, kacau ayam aku,” ujar lelaki tadi, menolak ke tepi
perempuan yang menghalang di depannya.
Cahaya memandang
dengan pandangan geram. Ayam? Murah sungguh harga yang dilabel pada
Anees. Anees bukan binatang. Dia manusia.
“Kau panggil adik
aku ayam?!” luah Cahaya, marah.
“Kalau ya,
kenapa?” soal lelaki tadi sambil melangkah ke depan, cuba mendekati
Cahaya.
“Lari!” arah
Anees.
Kepala Cahaya
digelengkan. Dia takkan beredar tanpa adiknya. Tidak sama sekali. Dia
tak mahu Anees terbaring di antara manusia-manusia rangka di dalam
sana. Dia tak mahu Anees meneruskan hidupnya begitu. Masa depan Anees
masih cerah. Dia perlu membawa Anees keluar dari jalan sempit itu.
Dia perlu menyelamatkan adiknya dan dia tidak kisah kalau nyawanya
jadi galang-gantinya.
Tangan Anees
dicapainya, mahu diajak pergi bersamanya. Kali ini, Anees tidak
menempis, tidak menolak. Anees mengikut langkahnya dengan rela.
Tetapi lelaki tadi berjaya mendahului mereka. Ditolaknya bahu Anees
agar menghadapnya sambil menunjukkan jari telunjuk tangan kirinya ke
depan, mengingatkan Anees tentang hutangnya yang belum lunas. Kaki
Anees terkaku di situ.
“Kau pergi, kau
mati!” ugutnya meskipun jelas dari gaya dia berdiri, dia sedang
khayal, baru melepaskan gian.
“Kau nak bunuh
aku? Kau ingat aku takut? Aku dah lama mati, Jo!” ucap Anees dengan
mata yang berkaca.
Air matanya menuruni
lurah pipi, mencair bersama eyeliner jenama murah yang dilukis
mengikut kelopak mata. Dia menoleh ke arah kakak tirinya semula,
meneruskan langkah mereka yang tergendala kerananya.
“Hoi!” tempik
lelaki tadi. Dia menggagahi langkah rapuhnya. Pisau yang tadi hanya
digenggam dengan tangan kanannya dihayunkan kepada Anees.
“Anees!” panggil
Cahaya.
Cahaya menahan
dengan tangan kirinya saat mata pisau tajam itu mahu menghiris daging
tubuh Anees. Darah merahnya memercik di lantai papan, juga terkena ke
muka Anees yang berdiri dekat dengannya. Anees menjerit bagaikan
orang yang terkena histeria. Cahaya membiarkan saja pisau itu
menghiris kulit dan isinya. Sakitnya digumam meskipun kerut di
mukanya jelas melampirkan derita yang ditanggung.
“Kakak!” raung
Anees sekuat hati. “Kak Aya…” panggil Anees,sesal.
Lelaki yang
menghiris tangan Cahaya tadi terdiam. Cahaya tidak menjerit
sebaliknya berdiri di antara Anees dan lelaki tadi.
“Kau nak bunuh
adik aku, kau bunuh aku dulu, binatang! Kau langkah mayat aku dulu!
Adik aku bukan ayam kau, bodoh!” jeritnya marah.
“Kau nak mati
sangat! Kau boleh pergi mampus!” balas lelaki tadi sambil
mengangkat pisaunya tinggi.
“Hoi, bodoh! Kau
nak suruh polis datang sini?!” jerkah perempuan berusia tadi,
memarahi lelaki itu. Dia memukul belakang lelaki tadi dengan sebatang
kayu yang bersandar dekat rumah papan itu. Lelaki tadi terus terduduk
atas lantai papan, mengerang kesakitan sambil mengusap belakang
tengkuknya.
“Cepat, Anees,”
pinta Cahaya. Kakinya dilarikan atas lantai papan rumah itu yang
sudah kian rapuh dimamah kulat hijau. Tangan kanannya setia
menggenggam tangan Anees, tak mahu dilepaskan. Darah likat merahnya
menitis atas laluan papan rapuh yang dilalui mereka, menuju ke teksi
yang menanti di seberang sana.
Tanpa memandang
belakang, Anees terus mengekori langkah Cahaya. Air matanya terus
menitis jatuh, tidak tertahan. Dia merelakan saja apabila Cahaya
menariknya masuk ke dalam sebuah teksi yang sedang menanti sejak
tadi. Cahaya mengarahkan teksi itu segera memecut ke sebaik saja
masuk. Serentak dengan itu bunyi siren kereta peronda polis
kedengaran. Baru Cahaya menyedari yang dia sudah melampaui usia
penantian 30 minit yang dijanjikan dengan driver teksi tadi.
“Pak cik dah call
polis tadi. Sebab cik kata tiga puluh minit. Dah lama sangat,”
jelas pemandu tadi.
“Tak apa. Terima
kasih, pak cik,” ucap Cahaya.
“Kita ke hospital
dulu,” saran Anees.
“Tak. Kita ke
balai polis. Jelaskan apa yang patut. Lepas tu, baru pergi hospital.
Anees ikut akak balik ke rumah ya,” pinta Cahaya.
“Tangan
akak…” ucap Anees. Air matanya meleleh-leleh ke pipi melihat
darah merah likat yang mengalir dari tangan Cahaya.
“Sakit
luka akak ni, Anees, tak sesakit hati akak tengok kau macam ni?
Kenapa kau buat kami macam ni? Kenapa kau bodoh sangat hah?” soal
Cahaya, tak tertahan sebak di dadanya melihatkan keadaan Anees. Dia
menanggalkan jaket hijaunya, meletakkan ia di atas bahu Anees,
menutupi anggota tubuh adiknya yang terdedah.
“Kakak
tak tau apa Anees rasa selama ni. Semua orang dengan benci, dengan
dendam yang tak sudah-sudah. Anees ingat… Anees ingat tak ada orang
sayang Anees. Papa tak pernah peduli. Mama pun sama. Akak pun
bencikan Anees kan,” balas Anees.
“Akak
tak benci Anees,” sangkal Cahaya, jujur.
“Tipu! Akak benci
Anees selama ni! Anees dan mama dah buat macam-macam kat akak!”
tempelak Anees.
Air mata Cahaya
menitis. Lagi dan lagi.
“Dalam dunia ni,
akak dah tak ada siapa. Mama dan datuk dah meninggal. Mama Anees
benci akak. Papa tak pernah ambil tahu. Anees pernah tak fikir apa
akak rasa? Anees pernah tak fikir macam mana akak hidup selama ni?
Adik akak pun tak pernah mengaku akak ni kakak dia! Kalau akak mati
hari ni pun tak ada orang peduli, Nees!” cetus Cahaya.
Hati Anees diranduk
sedih. Sedih yang teramat. Seumur hidupnya, tak pernah dia melihat
Cahaya menangis tersedu-sedan seperti itu. Cahaya selalu berlagak
kuat, tebal egonya. Anees tak pernah menyangka yang Cahaya rela
meruntunkan ego itu deminya. Demi seorang adik yang kerapkali
mengkhianatinya.
“Tapi, akak
nak…Setidak-tidaknya, kalau akak mati malam ni pun, akak nak adik
akak selamat. Akak tak mau apa-apa jadi kat Anees. Sebab akak…”
Ayat Cahaya tersekat-sekat bersama nafasnya yang berombak. “Sebab
akak sayang Anees, tau tak? Kenapa Anees bodoh sangat? Kenapa Anees
buat macam ni? Akak risau tau tak? Tau tak?” teriak Cahaya,
mengesak bagaikan anak kecil.
Anees terbaring di
atas ribanya, turut menangis sama.
“Anees
mintak ampun. Anees salah, kak. Anees mintak ampun,” ucap Anees
berulang-kali.
“Anees
jangan balik lagi ke tempat tu. Jangan rosakkan masa depan Anees.
Akak tak mau Anees hidup macam tu. Jangan hidup bawah telunjuk
lelaki, Anees. Mereka takkan pernah puas dengan seorang perempuan.
Mereka takkan reti hargai kita,” ucap Cahaya sambil mengenangkan
perbuatan papa terhadap mereka.
“Kak,
Anees pening. Anees pening sangat,” ucap Anees. Dia berhenti
mengesak. Hanya air matanya yang terus-menerus mengalir ke pipi.
“Anees
kenapa? Anees? Anees?” panggil Cahaya.
Anees
menggelengkan kepala sambil memicit dahinya.
“Pak
cik, bawa kami ke hospital dulu,” pinta Cahaya.
* * * * * *
“Pergi!
Pergi! Jangan balik rumah aku lagi!” halau Fauzan. Dia terduduk
dekat ruang tamu, terkejut melihat keadaan Anees. Dia malu apabila
diminta ke hospital, membawa pulang anaknya yang berbadan dua.
Seorang anaknya lagi pula cedera sampaikan tangan terpaksa berjahit.
“Mama,
Anees mintak ampun. Anees minta ampun. Jangan halau Anees. Anees tak
ada tempat nak pergi,” rayu Anees.
“Kenapa
kau jadi macam ni? Kenapa kau malukan mama? Kenapa? Apa yang tak
cukup? Semuanya mama bagi kat kau!” teriak Latifa.
“Kau
keluar! Kau keluar sekarang! Kau jangan ambil walau sehelai baju pun
dari rumah ni! Kau pergi!” herdik Fauzan yang terlalu kecewa.
“Kak,
tolong Anees,” rayu Anees.
“Pa,
tolonglah maafkan Anees. Dia dah menyesal, pa. Papa nak dia balik ke
tempat hitam tu? Papa nak dia terus buat dosa? Dia anak papa!”
ungkit Cahaya.
“Dia
sendiri yang pilih jalan tu!” tempelak Fauzan.
“Papa
sedar tak? Yang salah dalam hal ni, bukan Anees. Tapi papa. Papa yang
tak pernah jaga dia, bimbing dia. Papa kejam!” cetus Cahaya. Dia
memimpin Anees, membawa adiknya yang masih lemah keluar.
“Kak,
akak nak buang Anees ke mana?” soal Anees, menggigil ketakutan.
“Siapa
cakap akak nak buang Anees? Hah? Siapa cakap?” soal Cahaya dalam
nada yang meninggi, marah dengan tuduhan adiknya. “Kalau mama Anees
dan papa tak nak Anees tak apa, akak nak. Biar akak jaga Anees. Biar
akak yang tanggung beban ni dengan Anees. Anees adik akak, darah
daging akak,” cetus Cahaya.
Cahaya
memimpin Anees ke jalan utama, meranduk malam yang sejuk. Malam yang
gelita, hanya ditemani cahaya lampu. Pandangan Anees kabur dengan
lelehan air mata. Cahaya menjadi tongkat, menjadi penunjuk arahnya
ketika melangkah. Dia hanya melangkah mengikut arah yang dipilih
Cahaya.
“Teksi!” jerit
Cahaya sambil melambaikan tangannya ke bahu jalan, menahan sebuah
teksi yang melalui kawasan itu.
“Saya
nak ke Port Dickson,” ucap Cahaya.
Pemandu
teksi itu memberi isyarat tangan, tidak sanggup membawa mereka ke
Port Dickson. Cahaya menanti lagi. Dia mendudukkan Anees di bahu
jalan.
Teksi
zaman sekarang bukan seperti dulu yang sanggup membawa penumpang ke
mana saja. Ada yang memilih, hanya mahu mengangkut penumpang dari
sesetengah lokasi dan mahu menuju ke sesetengah lokasi. Ada yang
hanya mahu mengangkut pelancong asing saja supaya mereka boleh
menaikkan harga.
Kata
orang, rules are meant to be broken. Benar yang kini teksi sudah
bermeter. Sudah semakin banyak undang-undang diciptakan untuk
melindungi pelanggan. Tetapi, bukan semua mahu mengikutnya. Ada yang
masih memandangnya remeh. Apabila sudah terhantuk barulah hendak
tergadah.
“Kak,”
panggil Anees yang sedang mengigil kesejukan dalam dakapan angin
malam yang terus-terusan bertiup, seakan mahu menghukum dirinya.
Cahaya
duduk bersebelahan adiknya, membiarkan Anees berbaring di atas bahu
kurusnya. Biar malam terus berlalu. Semoga waktu beredar pantas. Dia
berharap apabila pagi menjelang esok, mereka akan mendapat teksi yang
sanggup membawa mereka pulang ke rumah tinggalan Masaki di Port
Dickson.
“Kak,”
panggil Anees.
Cahaya
mengesat air matanya dengan lengan baju yang satu lagi.
“Hmm?”
sahut Cahaya.
“Anees
minta ampun. Terima kasih sebab selamatkan Anees,” ucap Anees
sebelum memejamkan matanya, terlena dalam dakapan malam.
Cahaya
masih duduk tegak di situ, meminjamkan bahunya untuk Anees. Dia
menjawab ucapan terima kasih Anees dengan belaian lembut.