Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
87,916
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

Bab 5


Malam sudah pekat, umpama air kopi yang legam. Langit tidak diserikan bulan dan bintang. Cuaca pucat dengan awan mendung berompol di angkasaraya tetapi tidak dapat dikesan mata kerana jejaknya dihapuskan malam. Tiupan angin agak kuat, dingin, menggeletarkan tubuh Cahaya. Dia menolak daun tingkat jendela biliknya. Beg sekolah yang sudah digantikan isinya dari buku ke pakaian dilemparkan keluar, jatuh ke tanah.

Dia meloloskan kakinya sebelah, keluar dari tingkap, menjijak bumbung yang curamnya kira-kira 50 darjah sebelum mengeluarkan kakinya yang sebelah lagi. Dengan berhati-hati, dia mengimbangi dirinya di atas bumbung coklat itu. Sampai saja di hujung, dia melompat turun ke bumbung yang lebih rendah, yang menutupi ruangan garaj kereta yang terletak betul-betul di sebelah rumah. Dia menggelongsor turun ke atas dahan pokok di sebelah garaj sebelum menurunkan kakinya ke dahan lebih rendah dan melompat turun.

Beg sandangnya diangkat dan digalas di atas bahu. Dia membetulkan ikatan kasut sport shoes yang tersarung di kakinya dulu sebelum melarikan diri ke pagar depan. Tiba-tiba saja lampu di ruang tamu dinyalakan. Cahaya mempercepatkan langkahan kakinya, tidak mahu tertangkap ke dalam sangkar emas Latifa semula.

“Iris!” pekikakan Latifa kedengaran kuat, umpama tempikan gajah naik minyak. “Berhenti! Budak tak kenang budi! Aku kata berhenti! Kau balik sini! Kalau tidak mati kau aku kerjakan!” ugutnya.

Sebaik saja Cahaya meloloskan diri dari pagar, ada cahaya terang yang menyilaukan matanya dari depan. Dia tergamam seketika. Bunyi enjin kereta hidup menikam gegendang telinganya, bersertakan dengan bunyi hon yang ditekan kuat-kuat. Fauzan melangkah keluar dari kereta yang enjinnya tidak dimatikan dan lampu yang masih menyala.

“Aya, daijoubu desu ka?” soal Fauzan sambil berlari mendapatkan Cahaya dengan air muka yang risau.

Cahaya menggenggam lengan anaknya kuat-kuat sambil memanjatkan kesyukuran kerana anaknya masih bernyawa. Fauzan mulai risau setelah menerima ugutan Latifa semalam. Dia bergegas pulang dari United State untuk memastikan anak sulungnya selamat. Tak henti-henti Fauzan berdoa agar anak sulung selamat, terlindung dari segala malapetaka. Dia takkan maafkan Latifa kalau anaknya dicederakan.

“Itai!” jerit Cahaya apabila Fauzan menggenggam tangannya yang dikelar Latifa. Air matanya meleleh. Secara drastik Fauzan menyelak lengan bajunya.

“Ifa!” jerit Fauzan kuat.

Latifa yang sedang berdiri kira-kira dua meter di belakang menggeletar sekejap. Dia tidak pernah melihat Fauzan berang seperti itu.

Fauzan meninggalkan Cahaya, dia terus melangkah laju menuju ke arah isterinya dengan nafas keras. Dadanya berombak marah. Sebelah tangannya mencekak leher Latifa, tidak mahu wanita itu melarikan diri. Sebelah lagi tangannya diangkat tinggi, bersedia untuk menghadiahkan satu kesakitan yang tak pernah Latifa rasakan selama ini. Gadis kacukan Arab itu terlalu ditatang sampaikan lupa diri.

“Aku dah cakap jangan sentuh dia! Kita dah buat perjanjian. Aku akan balik jenguk kau dan Anees kalau kau jaga Aya! Kau dah janji!” jerkah Fauzan, mengungkit perjanjian yang sudah dibuat antara dia dan Latifa.

“Kau yang paksa aku!” balas Latifa.

“Kau memang perempuan gila! Aku tak tau mana datang perempuan macam kau ni?” tempelak Fauzan.

“Memang aku gila! Aku jadi gila sebab kau!” jerit Latifa.

Fauzan menampar pipi Latifa sekuat hatinya, sampai terduduk Latifa di atas lantai. Mata Latifa membulat. Nafasnya keras. Belum pernah Fauzan memukulnya sebelum ini. Kalaupun dia mengundang kemarahan suaminya itu, hanya mulut Fauzan saja yang marah-marah. Dia tak pernah angkat tangan dengan Latifa.

“Bodoh! Kau pukul aku sebab anak sial ni?” luah Latifa.

Fauzan mencekak lehernya, memaksa dia bangun.

“Stop, pa!” jerit Cahaya sebelum sempat Fauzan bertindak lebih jauh. “Sudahlah tu, papa! Cukuplah tu! Jangan nak hukum mak cik sebab silap papa,” pohon Cahaya. Dia terduduk atas tanah, tak sanggup melihat papanya menjadi pembunuh. Biarlah apa saja yang dilakukan Latifa padanya, dia rela terima. Janganlah sampai papanya terkurung dalam penjara kerana membunuh ibu tirinya itu.

“Aku cakap, jangan sentuh anak aku! Dah berapa kali aku cakap, kau kena jaga Aya macam kau jaga Anees! Kenapa kau seksa dia?! Kenapa kau sentuh anak aku?!” bentak Fauzan dalam nada garang.

Latifa tergamam. Dia menggigil ketakutan.

“Jangan gaduh lagi, pa,” rayu Cahaya.

“Dia kena layan kau dengan baik mulai sekarang. Kalau dia tak boleh buat macam tu, aku akan ceraikan dia,” ugut Fauzan.

“Baik, saya boleh layan Iris dengan baik. Tapi, abang kena ceraikan Pekan,” balas Latifa, sudah mulai berani.

“Aku dah ceraikan dia sebelum aku balik,” balas Fauzan, dengan nada yang sedikit perlahan, seakan-akan kesal. Matanya disauhkan ke arah yang lain, sambil otaknya memutarkan kembali riak wajah sedih Pekan.

“Abang dah ceraikan dia?” soal Latifa. Kalau tadi dia marah, kini dia tersenyum gembira secara automatik, bagaikan seorang pesakit jiwa yang sikapnya boleh berubah-ubah dalam sekelip mata. Sakit pipinya akibat tamparan Fauzan tadi hilang serta-merta.

“Betul, bang?” soal Latifa.

Fauzan menganggukkan kepala.

“Tapi, Aya tak nak tinggal kat sini lagi. Please, pa,” rayu Cahaya, memotong bicara Latifa dan ayahnya. Dia tak rela kalau pandangannya diketepikan lagi. Masa depannya dalam pertaruhan.

“Aya!” panggil Fauzan, terkejut.

“Kyushu ni inai kotto ga samishii desu. Kyushu ni ikitai. Biar Aya tinggal dengan datuk. Tolong, pa. Aya tak gembira kat sini. Hantarlah Aya balik Kyushu,” rayu Cahaya sambil memeluk kaki Fauzan.

Air mata Fauzan menitis. Dia memandang Latifa dengan pandangan benci. Kerana Latifa, anaknya tak mahu lagi menetap di tanah airnya. Kerana Latifa, dia barangkali akan kehilangan anak kesayangannya. Latifa perempuan yang tak sedar diuntung. Latifa perempuan yang tidak malu dengan kekhilafannya. Sejujurnya, dia benci untuk menatap wajah itu. Kalau bukan kerana permintaan ibunya, sudah lama dia menceraikan perempuan pyscho itu.

“Aya nak balik Kyushu. Tolong, pa,” rayu Cahaya lagi sambil memeluk kaki Fauzan, kuat-kuat.

“Okay. Whatever you wish for,” balas Fauzan. Dia melutut depan Cahaya. Tubuh anaknya itu dipeluk rapat. “Maafkan papa. Papa tak patut tinggalkan Aya kat sini.”

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.