Home Novel Keluarga Awak Sudi Tak?
Awak Sudi Tak?
liza nur
21/6/2013 01:25:37
87,906
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15

Bab 15


“Oh, man!” ucap Anees sebaik jeep yang dinaiki mereka berhenti di pinggir hutan. Dia memaksa tubuh kurusnya menjengah keluar, memandang ke kawasan hutan. Dia terlena sejak melangkah masuk ke dalam jeep tadi. Dia hilang jejak tentang usia perjalanan mereka.

Lokasi itu tampak hijau, belum diteroka hutan konkrit. Masih segar untuk dijamah pandangan mata. Tetapi tubuh Anees yang lemah tidak membuatkan dia teruja untuk meneroka isi hutan tebal itu. Dia membayang ular-ular yang berlingkar. Mungkin ada Pak Rimau yang sedang menunggu masa yang sesuai untuk menerkamnya. Barangkali dia hanya akan menjadi sup tulang kosong, menjadi tahi gigi binatang-binatang liar memandangkan tubuhnya tidak cukup berisi. Mungkin juga mereka tidak akan terliur langsung sewaktu melihatnya.

Sack bag coklat yang bersaiz gergasi digalas Cahaya tanpa rasa kekok. Ijah hanya bertemankan beg kain kecil yang tersimpan kain batik, beberapa helai t-shirt dan seluar reggae kesukaannya. Mereka menuju ke hutan, menjijak atas denai yang selalu diikuti jungle trackers, menuju ke hulu Sungai Baram. Anees beberapa kali mengeluh, menyarankan agar mereka berpatah balik kerana dia sudah tidak mampu meredah hutan tebal itu. Tetapi Cahaya dan Ijah tetap jua berdegil.

Mengikut sejarah yang dibaca Cahaya, orang Kenyah sudah mula menetap di Dataran Tinggi Usun Apau sekitar 1400 masihi. Kaum itu mula berpecah sekitar 1400 ke 1600 masihi ke kaum sub-Kenyah seperti Kenyah Jamok, Kenyah Badeng, Kayan, Lepo’ Tau dan sebagainya. Kaum yang paling berubah dari segi bahasanya adalah sub-kaum Kayan dan Penan. Namun, ada juga persamaan antara bahasa-bahasa mereka.

Cahaya tidak arif dengan dialek Kenyah tetapi kalau dilihat di Semenanjung sendiri, dialek bukan sesuatu yang asing. Lihat saja perbezaan dialek orang utara dan pantai timur di Semenanjung. Cahaya mengambil masa yang lama untuk mengenalinya. Malaysia terlalu kaya dengan sejarah, budaya dan bahasa. Satu kekayaan yang seharusnya dibanggakan. Tetapi bagi yang tidak biasa, barangkali ia sesuatu yang mengelirukan.

Bagi Cahaya sendiri, Malaysia tidak perlu menjaja nama sebagai hub untuk membeli belah ataupun health tourism yang masih ketinggalan kapasitinya. Malaysia seharusnya menggunakan tiket kekayaan budayanya untuk memertabatkan nama di dunia antarabangsa, untuk menarik lebih ramai pelancongan asing ke negara ini. Itu tiket utama negaranya yang kaya dengan budaya pelbagai lapisan bangsa, hidup dari tunjang yang sama, berpijak pada bumi yang sama.

Kak, penat,” keluh Anees.

Cahaya menguntum senyuman. Dia memikirkan info yang dibacanya lagi. Mengikut informasi yang dicedoknya dari kisah sejarah, masyarakat Kenyah berpecah semasa pemerintahan Raja Brooke. Ada sesetengah Kenyah yang berdamai dengan pemerintah dan tinggal di daerah Baram. Sebilangan yang menentang pemerintahan Brooke terus tinggal di Tanah Tinggi Usun Apau.

Meskipun diserang, Kaum Kenyah Usun Apau berjaya mempertahankan kemerdekaan mereka dan mula berdamai dengan Raja Brooke di Marudi. Kebanyakan kaum Kenyah kini tinggal di Sepanjang Ulu Sungai Baram, Daerah Belaga, Bintulu dan Kalimantan.

“Kak,” panggil Anees sekali lagi sambil mencuit bahu Cahaya. Dia menjuihkan bibirnya kepada beberapa orang lelaki yang sedang duduk berehat di sekeliling unggun api kecil yang baru dinyalakan. Jungle trackers seramai empat orang itu menghulurkan senyuman dan menyapa grup kecil mereka. Seorang lagi sedang berbaring.

“Inu denga? Tai ka mbi ko?” soal pemandu pelancong yang mengetuai perjalanan mereka.

“Tiga. Aku hantar teman ke uma dado’,” balas temannya, forest ranger yang lebih fasih berbahasa Melayu dari Kenyah. Dia hanya menyisipkan beberapa patah perkataan Kenyah ke dalam jawapannya meskipun dia mengerti apa yang ditanyakan lelaki tadi. Dia bersalaman dengan temannya yang menegur.

“Nak ke rumah panjang juga?” soal Cahaya, ingin tahu jika mereka sedang menuju ke destinasi yang sama.

“Ya. Awak semua ni nak ke sana juga?” soal forest ranger tadi.

Cahaya mengangguk.

“Marilah duduk dulu,” ajak forest ranger yang mengenakan name tag Safuan itu.

“Temannya ini dari mana?” soal pemandu pelancong yang membawa Cahaya, Anees dan Ijah pula, mula menggunakan Bahasa Melayu sebagai perantaraan. Dia memang berasal dari suku kaum Kenyah.

Anees melabuhkan punggung dekat unggun api tanpa melengahkan masa, cuba menghalau agas dan tiruk yang mahu berehat atas lengan putihnya. Dia kaget, masih sukar untuk membiasakan diri.

“Ini doktor-doktor dari Kuala Lumpur. Mereka ini volunteer nak melawat kaum Kenyah dan Kayan untuk buat health screening,” ucap forest ranger tadi yang bukan dari suku kaum Kenyah. Tugasannya adalah untuk memastikan doktor-doktor dari Kuala Lumpur itu tiba di rumah panjang dengan selamat.

Pemandu pelancing yang mengetuai perjalanan Cahaya ke rumah dado hanya mengangguk, dia tidak faham Bahasa Inggeris, hanya sekadar meneka-neka saja tujuan doktor-doktor muda itu ke sana.

“Saya Fadil, ni kawan saya Ameer, Hanif dan Kausar. Saya dan Ameer dari Hospital Kuala Lumpur. Hanif dari Hospital Butterworth dan Kausar ni dari Hospital Ampang,” ucap Fadil, doktor yang paling tinggi dan tegap di antara teman-temannya. Dia memandang rakannya Kausar yang sedang berbaring dengan topi ditelangkup di atas muka.

Cahaya menganggukkan kepala.

“Ini adik saya, Anees dan pembantu saya, Ijah. Saya Cahaya,” jawab Cahaya sambil menghulurkan sekuntum senyuman.

“Dalam keadaan macam ni pun boleh tidur,” tegur Ijah sambil menjuihkan bibir ke arah Ilham Kausar yang kelihatan sudah lena. Dia bangun, menyertai Anees yang sedang duduk di tepi unggun api kecil.

“Orang tengah patah hati,” usik Hanif.

Ameer tergelak.

“Kenapa ya?” soal Cahaya yang masih memberi perhatian.

“Si Ilham tu ikut kami sebab nak datang kejar boyfriend dia yang merajuk,” bisik Ameer, menyuarakan cerita sensasi yang didengarinya dari salah seorang rakan mereka.

“Boyfriend?” soal Cahaya dalam nada terkejut.

“Iyalah, tak sabar aku nak jumpa dengan buah hati si Kausar. Kacak sangatkah? Apa nama dia, Ameer?” soal Hanif, menyebarkan gossip yang mereka sendiri tidak pasti tentang kesahihannya.

“Ahmad Azriq Bin Fauzan,” ucap Ameer sambil membaca tag nama yang melekat pada beg galas Ilham di sebelahnya. Ilham masih terlena.

Mulut Cahaya melopong. Dia memandang Ijah dan Anees yang tidak menyertai perbualan mereka. Dia cepat-cepat melihat tag yang melekat pada beg galas Ilham yang pernah dipinjamkan kepada Azriq sebelum ini. Nama penuh Azriq masih melekat pada tag, tidak ditanggalkan Ilham.

Tidak! Jerit hati Cahaya sekuat-kuatnya meskipun bibirnya masih membisu. Dia marah. Dia benci. Dia tidak mahu Ilham sampai ke perkampungan orang Kenyah, bertemu dengan adiknya, Azriq. Dia tidak rela. Ah, dia mesti melakukan sesuatu untuk menghalang hubungan Azriq dan Ilham.

Ilham Kausar yang tadi terlena, mencelikkan mata semula. Dia bangun duduk sambil mengalihkan topi yang menutupi mukanya. Pandangannya jatuh ke muka Cahaya. Senyuman yang Cahaya lemparkan pada Fadil membuatkan dia terpanah, membuat dia terdiam lama. Dia yakin yang gadis itu adalah Cahaya yang ditunggu-tunggunya.

Cahaya memandang semut-semut yang sedang melata atas tanah, sebelum memanjat reranting patah dekat tempat dia menjulurkan kakinya, cuba membunuh rasa serabut yang sedang bermaharajalela dalam fikirannya. Kalau diikutkan hati, mahu diketuknya kepala Ilham dengan kayu besbol sebelum lelaki itu terjaga. Biar lelaki itu tidak sampai ke rumah dado. Biar lelaki itu dibawa pulang ke bandar semula.

Bagai ada aura yang membuatkan dia mengangkat muka, terpanggil memandang Ilham sekali lagi. Kebetulan lelaki itu juga sedang memandang ke arahnya. Dia cepat-cepat tunduk, tidak menyangka yang lelaki yang tadi lena mati itu sudah terjaga. Selang beberapa saat dia mengangkat muka lagi. Ya. Ilham masih memandangnya. Arah mata Ilham terpasung ke situ, hanya kepadanya.

Secara spontan, Cahaya melabuhkan tapak tangan ke pipi, takut-takut kalau ada sesuatu yang melekat pada mukanya. Tak ada apa yang terkesan pada tangan. Kemudian dia meraba pula pada butang-butang bajunya, takut kalau-kalau ada yang terbuka. Semuanya dipasang elok. Otaknya tak henti-henti berfikir, mencari sesuatu yang barangkali boleh menjadi penyebab mata Ilham terpaku padanya. Dia memandang Ilham semula.

Pelik. Sehingga sekarang, lelaki itu masih jua memandang ke wajahnya. Adakah Ilham tahu dia kakak Azriq? Ataupun adakah Ilham dapat membaca niatnya untuk memukul lelaki dengan kayu besbol tadi? Mungkin lelaki itu psikik. Mungkin lelaki itu boleh membaca apa yang tersirat dalam hatinya.

Biar aku cuba, cetus hati Cahaya. ‘Pergi balik Kuala Lunpur. Jangan kacau adik aku. Kalau kau tetap berdegil aku akan pukul kau sampai pengsan. Hahaha! Aku ni berkuasa. Kalau kau cuba ganggukan adik aku. Aku akan hapuskan kau.’ Cahaya berucap di dalam otaknya, mahu melihat sama ada Ilham faham ataupun tidak.

Ilham tidak memberi reaksi. Dia masih menatap wajah Cahaya lama-lama.

“Bukan psikik,” ucap Cahaya perlahan.

“Apa?” soal Ameer, seakan terdengar sesuatu.

“Tak ada apa,” balas Cahaya sambil menghadiahkan Ameer sekuntum senyuman. Dia memandang Ilham semula.

‘Kenapalah dengan mamat ni? Psycho betul. Macam mana dia boleh berpasangan dengan adik aku? Rasa macam nak tampar-tampar muka dia. Tapi, muka dia tu nampak familiar, macam aku pernah nampak sebelum ini. Di mana ya?’ cetus hati Cahaya sambil mengalihkan pandangannya ke arah yang lain. Selang seminit, dia memandang Ilham semula. Lelaki itu masih setia memandangnya.

‘Comelnya. Masih comel macam dulu. Mata masih sepet, hidung penyet tapi senyuman dia…Senyuman dia sangat manis. Oh, gadis idamanku. Agaknya kau boleh cam aku ke tidak? Kau tahu tak dah sepuluh tahun aku tunggu kau? Kau tau tak hati aku sakit sebenarnya. Senang saja kau tolak aku mentah-mentah. Kau tak cuba pun kenali diri aku dulu. Teruk sangatkah aku ni?’ bisik hati Ilham.

‘Muka boleh tahan. Aku rasa kalau dia straight mesti ada perempuan yang suka. Tapi, kenapalah dia memilih untuk menyimpang? Dengan adik aku pula tu! Tengok lama-lama rasa geli pula. Sudahlah bawa bekas air warna pink. Ada corak bunga-bunga pulak tu. Kulit lincin semacam, lagi lincin dari kulit aku. Dia guna SKII ke? Terasa malu pulak aku jadi perempuan. Tercabar pula aku dengan kecantikan mamat ni. Kenapalah dia cantik sangat?’ bicara hati Cahaya pula.

‘Apahal mamat dengan minah ni? Tak betul ke? Seorang tersipu-sipu, tersengih macam kerang busuk. Seorang lagi jeling macam nak makan orang. Mereka ni betul ke tidak?’ cetus hati Ameer pula, yang sejak tadi jadi pemerhati setia perilaku Ilham dan Cahaya yang cukup mengelirukan.

‘Kau ni kenapa? Kau tak perasan ke yang aku dah tau kau asyik perhatikan aku dari tadi. Kau ingat dengan muka kau yang jambu tu, kau boleh mengorat aku? Sorrylah kalau kau ingat saham kau tinggi sebab kau jambu. Sudahlah kau berani pikat adik aku, buat muka macam nak pikat aku pula! Memang tak betul otak kau ni!’ gertu hati Cahaya lagi, hangat membakar sampai hangit.

‘Kenapa kau comel sangat, Aya? Ataupun aku yang rasa kau comel sebab aku suka pada kau? Bodohkah aku? Aku tau aku takkan boleh dapatkan kau dengan madah-madah indah. Kau bukan perempuan seperti itu, bukan? Kalaulah aku boleh bertapak sekejap dalam fikiran kau, Cahaya. Untuk hari ini saja pun jadilah. Bagaimana ya? Apa yang aku nak buat supaya kau ingat aku?’ bicara hati Ilham sambil otak berputar laju, memikirkan cara untuk membuatkan gadis idamannya itu ingat padanya.

“Kenapa tengok saya macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Cahaya sambil cuba mengawal rasa tidak puas hati yang membuak-buak dalam dadanya. Dia menguntum senyuman mesra, seakan-akan tidak marah.

“Mata saya. Suka hatilah saya nak tengok mana. Yang awak perasan saya tengok awak tu kenapa?!” balas Ilham, agak kasar, cuba menutupi rasa segannya. Girang hatinya disorokkan dari pemerhatian Cahaya.

“Garangnya,” ucap Cahaya dalam nada lembut. Dia masih senyum sedangkan dalam otaknya sedang membayangkan dia memukul Ilham dengan kayu besbol. Dia membayangkan lelaki merayu-rayu memohon keampunannya sambil berjanji tidak akan bertemu dan menghubungi Azriq lagi.

“At least, saya jawab, kan? Inilah perempuan, pandang salah, tak pandang salah. Jawab salah, tak jawab salah. Apa yang betul? Semua yang lelaki buat serba tak kena!” balas Ilham, sengaja mencari gaduh.

Ameer, Fadil dan Hanif terkedu, masing-masing tidak percaya dengan perubahan sikap Ilham Kausar. Selalunya Ilham jenis yang lemah-lembut, suka mengalah. Tetapi hari ini lain pula sifatnya. Garang tak kena pada tempatnya. Nada suaranya juga tidak selembut selalu. Baru hari ini mereka membuka mata, melihat Ilham sebagai seorang lelaki. Selalunya, mereka menyelar Ilham dengan gelaran perempuan celup di belakangnya.

Mata Cahaya membulat. Baru kini dia teringatkan Ilham.

“Awak ni lelaki kat airport hari tu kan?” balas Cahaya, tiba-tiba teringat insiden sewaktu dia baru sampai ke Malaysia.

“Oh, baru aku ingat! Kau ni perempuan yang asyik senyum tu kan? Kau ingat lawa sangat ke muka kau?” balas Ilham.

“Apa kau cakap?” soal Cahaya, seakan tidak percaya.

“Aku cakap kau ni perempuan perasan lawa. Asyik senyum, tunjuk baik. Faker gila. Be yourselflah. Tak payah nak pura-pura. Kalau tak suka, cakap tak suka. Apa kau ingat kau ni the world’s greatest faker ke?” sindir Ilham.

Cahaya menahan geram.

“Anees, Ijah, jom kita gerak!” ajak Cahaya. Dia terus bangun, melangkah kasar dan laju tanpa menunggu Ijah dan Anees.

“Kak, tunggu,” pinta Anees. Dia dan Ijah menyaingi langkah Cahaya bersama tour guide mereka yang tak sempat berehat lama.

“Apa kena dengan kau, Kausar?” soal Ameer, tak dapat menahan diri dari bertanya selepas bayang Cahaya menghilang.

“Saja aku nak usik dia, cari pasal. Seronok tengok muka dia bila marah. Nampak comel sangat. Dah sepuluh tahun aku tunggu nak jumpa dia. Rindu sangat dengan dia,” jawab Ilham spontan.

“Apa kau merepek ni, bro? Kesian aku tengok dia. Belum apa-apa, dah kena sound macam tu,” soal Fadil pula.

“Aku kenal dia, Fadil. Cuma dia dah tak ingat aku lagi. Biarlah, aku nak tengok sekeras mana hati dia,” balas Ilham sambil tersengih lebar.

“Apa yang kau dapat dengan buat perempuan marah macam tu?” soal Ameer sambil menepuk bahu Ilham.

Ilham menguntum senyuman.

“Aku dapat masuk dalam ingatan dia. Walaupun untuk sekejap, mesti dia akan ingat aku lepas ni,” balas Ilham.

Fadil, Ameer dan Hanif saling berpandangan sambil menggelengkan kepala.

“Kausar dah meroyan,” komen Hanif.

“Aku ingat kau…” Ameer menelan air liur.

Ilham mengangkat muka. “Aku apa?” soalnya.

“Tak ada apa-apalah,” jawab Ameer.

“Cahaya. Cahaya. Kita memang ada jodoh. Sampai dalam hutan ni pun kita boleh terserempak lagi,” ucap Ilham sendirian.

Ameer dan Hanif saling berpandangan. Kalau sebelum ini mereka menyangka yang Ilham Kausar seorang gay, kini mereka menyangkakan dia seorang biseksual pula. Sebelum ini, dia seolah-olah berpasangan dengan Azriq, kini dia cuba mencuri perhatian Cahaya pula. Ah, kerja gila! Mereka sama-sama menggelengkan kepala.


Previous: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.