Bab
8
Dear
mama, I truly miss you. Cetus hati Cahaya. Dia memandang ke dada
lautan. Air laut tampak berkilau, bagaikan dihampar dengan sejuta
kristal sewaktu membias cahaya mentari terik. Cahaya duduk atas
akar-akar pokok yang berjuntai. Dia menguis kakinya di atas pepasir,
membunuh waktu yang dirasakan terlalu panjang.
Ah, waktu terlalu
panjang apabila hatinya dihurung sedih! Sayang, dalam panjangnya
waktu, dia tidak ketemu ubat mujarab untuk mengubatkan luka di
hatinya. Lukanya belum jua sembuh-sembuh. Malahan setiap kali dia
menatap wajah papa, luka itu seakan berdarah semula. Dia teringat
betapa terseksanya mama meneruskan hidup tanpa ditemani suami
tercinta.
“Ouch,
sakit!” jerit Cahaya sewaktu kakinya tersepak sesuatu yang tertanam
dalam pepasir yang dikuis.
Cahaya terus bangun
dari duduknya, memanjat atas juntaian akar pokok. Dia takut
kalau-kalau yang melanggar kakinya tadi ketam atau kala jengking
sesat. Setelah yakin yang keadaan di sekitarnya selamat, barulah
Cahaya turun semula. Dia mengorek pepasir tempat dia menguis dengan
kaki tadi. Sebuah botol kaca berbentuk bintang dikeluarkannya.
“Papa
cakap jangan buka botol sebarangan tepi pantai. Tapi, semua yang papa
cakap selalu salah. Papa selalu tipu aku, tipu mama, tipu Mak cik
Latifa. Buat apa aku nak percayakan papa lagi? Dia selalu cakap lain
tapi buat lain,” ngomel Cahaya sendirian.
Cahaya melabuhkan
botol tadi ke atas riba. Lama dia memerhatikan botol itu sebelum
mengambil keputusan untuk membukanya, memeriksa sendiri isinya.
Barangkali ada sesuatu yang penting di dalamnya.
“Nampak macam
okay,” luahnya lagi.
Cahaya memusingkan
penutup botol dengan hati-hati. Manalah tahu kalau-kalau ada genie
dalam persis cerita Aladdin terbang keluar. Pasti dia akan terpengsan
di situ juga. Dalam benaknya diracun curiga. Tetapi semangat ingin
tahunya yang menebal menghapuskan rasa takut sejenak. Dengan lafaz
Bismillah, dia memusingkan penutup botol buat kali terakhir sebelum
ia terbuka.
“Surat,”
ucap Cahaya sambil mengeluarkan satu gulungan kertas yang tersimpan
di dalam botol. Kertas yang bergulung itu dibukanya.
Buat
Cahaya,
Assalammualaikum.
Saya harap satu hari nanti awak akan kembali ke sini, di tempat
pertemuan kita dulu. Awak mungkin sudah lupakan saya. Tapi saya
selalu mengingati bidadari yang selamatkan saya dari laut. Bidadari
yang hulurkan saya sekuntum senyuman dan tatkala saya tatap wajahnya,
semua masalah saya lari dari uncang fikiran.
Mungkin awak
bencikan saya kerana kebodohan saya dulu, Cahaya. Tetapi saya tetap
mahu berterima kasih kepada awak. Awak telah ubah seluruh hidup saya.
Awak beri peluang kedua untuk saya teruskan hidup. Awak mengingatkan
saya yang hidup ini terlalu rapuh dan saya perlu menghargai tiap
detik yang dianugerahkan ALLAH. Terima kasih atas peringatan awak
pada saya, Cahaya.
Siapa
gerangan awak dan dari mana awak datang, saya tak tahu jawapannya.
Namun, TUHAN hantarkan awak di saat nyawa saya di hujung tanduk. Di
saat saya tiba ke permulaan kepada pengakhiran hidup saya. You’re
my angel, Cahaya. My beautiful angel. Tanpa awak, saya takkan jadi
Ilham yang sekarang. Saya teringin sangat nak jumpa awak lagi. Saya
nak ucap terima kasih dan beritahu awak betapa besarnya perubahan
yang awak bawa ke dalam hidup saya.
Saya harap awak
ada di sini. Saya harap saya boleh cakap benda ni secara bersemuka.
Tapi, saya langsung tak tahu di mana nak cari awak.
Ilham.
“Siapa
dia ni?” soal Cahaya sendirian.
* * * * * *
Esoknya…
Pagi
jangan datang lagi. Aku belum bersedia untuk bersengkang mata,
memandang duniaku yang masih belum disinari mentari. Biarkan aku
mengerekot di bawah kepompong selimut. Biar dingin menyucuk sampai ke
tulang. Biarkan. Aku belum bersedia menyambut pagi. Kerna bagiku
dunia ini masih kosong. Kosong tanpa Cahaya. Kosong tanpa teman untuk
menerangi hari suramku.
“Ilham,
wake up!”
“Yes,
ibu,” sahut Ilham sambil memaksa diri menolak selimut.
Epilog hatinya mati
sendiri. Dia mengesot turun ke katil, ke bilik air untuk mandi dan
berwuduk sebelum tunduk menyembah-Nya. Selepas selesai, dia menukar
pakaian kepada kemeja putih dan slack hitam dan turun ke bawah,
menuju ke meja makan. Rossa sudah sedia menanti dengan Haji Tajuddin.
“Lepas
syif nanti terus balik kan, Ilham? Ke ada rancangan nak ke
mana-mana?” soal Rossa. Dia menuangkan air ke dalam gelas sebelum
menghulurkannya kepada Ilham.
Ilham
mengambil air yang dihulurkan Rossa lalu meneguknya sekali.
“Lepas
syif nak ke Port Dickson, jalan-jalan,” balas Ilham sebelum
bersalaman dengan ibu dan ayahnya.
Ilham sempat
mencapai sandwich yang disiapkan mama dan memasukkannya ke dalam
mulut sebelum melangkah ke pintu. Dia tidak sempat untuk duduk di
meja makan, takut terlambat. Kakinya dilolos ke dalam kasut kulit
warna hitam.
“Pergi dulu,”
ucap Ilham sambil melangkah ke kereta. Cara dia menarik daun pintu
depan membuatkan Tajuddin mengeluh sekejap.
“I
know,” potong Rossa sebelum suaminya membuka mulut. Dia sudah tahu
soalan apa yang mahu Tajuddin ajukan kepadanya.
“Dah
tanya?” soal Tajuddin.
“I dah tanya dah
dia. Dia cakap yang dia straight. Dia tak minat dengan lelaki. Dia
hanya kawan baik dengan Azriq,” jelas Rossa.
“Semua
orang bercakap, sayang. Dia rapat sangat dengan Azriq tu. Dia tu umur
dah lanjut tapi masih single,” cetus Tajuddin yang dibuai risau.
“Come
on, sayang. Bagilah dia masa lagi. Dia tu kan doktor, selalu sibuk
kerja,” pujuk Rossa.
“Masa
apa lagi? Lepas Warda pergi, dia memang tak pernah ada perempuan lain
lagi. Kawan-kawan lelaki dia tu semua pelik-pelik belaka. Awak
tengoklah dia, ada masa dia ke dapur tolong awak masak, mengemas. Tak
serupa budak lelaki lain,” utara Tajuddin, risau bukan kepalang.
Apatah lagi apabila
mengenangkan sifat Azriq yang memang suka berhias. Keningnya sendiri
seakan sudah dicantas. Kekadang bibirnya kelihatan dicalit gincu.
Bapa mana yang tidak risau kalau lelaki seperti itu rapat dengan anak
lelaki tunggalnya. Apatah lagi apabila mendapat tahu yang Azriq
sengaja ambil cuti untuk menghantarkan bekalan makanan kepada anaknya
di hospital.
“Macam
mana kalau dia suka perempuan lain,” ujar Rossa, juga untuk
menyedapkan hatinya sendiri. Dalam banyak-banyak doktor dan jururawat
muda di hospital, mana mungkin tak ada seorang pun yang mampu
menggugat hati Ilham.
“Perempuan
mana dia nak pun saya tak kisah. Kalau dia nak menikah sekarang, saya
sanggup keluarkan duit. Yang saya kisah tu kalau dia nakkan lelaki,”
ucap Tajuddin, sekali lagi mengingatkan perkara yang digeruninya.
“Abang…”
panggil Rossa dalam nada lemah, mahu menghentikan topik yang sering
Tajuddin ungkit-ungkit.
Benarkah
tuduhan jiran-jiran mereka? Rossa sendiri tidak tahu meskipun dia ibu
Ilham. Kekadang dia takut untuk tahu, risau kalau kenyataan sebenar
akan meruntunkan jiwanya. Tetapi, jauh di sudut hati, dia berdoa agar
TUHAN menjauhkan anaknya dari khilaf itu. Sejak kecil, Ilham tak
pernah dididik agar menduakan TUHAN, mempersoalkan takdir yang telah
menjadi ketetapanNya.
Ilham diajar agar
redha, agar menerima qada dan qadar. Ilham selalu diingatkan tentang
dunia selepas mati, balasan untuk mereka yang menyimpang dari
landasan TUHAN. Tegakah anak lelaki tunggalnya itu berpatah arang
dengan cinta yang berteraskan kekeliruan, cinta yang dilaknat Maha
Pencipta. Tegakah dia?
“Kalau
boleh, saya pun tak nak percaya. Tapi, saya takut kalau benda ni
betul, yang,” luah Tajuddin sambil mencapai tangan Rossa.
Rossa
gumam.
“Dia
cakap tak. Saya percayakan dia. Dia anak yang baik, yang taat. Saya
percayakan dia, bang. Mungkin dia masih tunggu Warda. Dia kan dah
biasa membesar dengan Warda dari kecil,” tegas Rossa.
“Kita
beritahu dia Warda dah mati,” ungkit Tajuddin.
“Tapi,
kita tahu Warda masih hidup. Dia dah pulih, bang. Kalau satu hari
nanti dia nak pulang ke sini,” balas Rossa, bertemankan sejuta
harapan.
“Warda
dah lama di Canada. Dia dah lupakan semuanya di sini. Dia dah
berkorban. Dia sanggup suruh kita semua cakap dia dah mati supaya
Ilham dapat teruskan hidup macam orang normal. Takkan sekarang, bila
dia dah sembuh, kita harapkan dia pulang ke pangkuan Ilham?” ujar
Tajuddin.
“Tapi,
kalau Warda sendiri yang mahu pulang?” duga Rossa.
“Anak-anak
kita dah besar, Rossa. Biarlah mereka buat keputusan tentang jodoh
sendiri. Asalkan Ilham pilih perempuan, saya tak kisah dengan siapa
pun dia nak menikah,” balas Tajuddin.
“Nanti
saya tanyakan Mulia, ya?” soal Rossa.
Tajuddin
menghabiskan sisa airnya di dalam cawan. Kemudian, dia menggelengkan
kepalanya sekali. Memang dia tahu Rossa dan Mulia dua orang sahabat
karib yang tak dapat dipisahkan. Tetapi, itu tidak bermakna mereka
boleh memaksa anak-anak mereka bersatu hanya kerna mereka mahu
berbesan.
“Awak
tau Warda anggap Ilham macam abang dia,” balas Tajuddin.
Rossa
mengeluh.
“Itu
dulu, bang. Masa tu dia masih kecil. Mungkin dia belum bersedia untuk
terima Ilham,” ucap Rossa, masih menyimpan harapan.
“Kalaupun
dia sudah bersedia untuk terima Ilham, awak rasa hati anak lelaki
awak tu masih tak berubah? Dah sepuluh tahun. Awak kena ingat tu.
Jangan pandai-pandai mengeruhkan keadaan yang sudah sedia keruh. Bagi
Ilham, Warda tu dah mati. Macam mana awak nak bangkitkan orang yang
dah mati dari kubur?” tempelak Tajuddin.
Rossa
terdiam.