Bab
10
“Warna
apa? Pink ke ungu?” soal Azriq sambil menepuk bahu Ilham yang sejak
tadi berangan sambil menongkat dagu di rak baju. Dia terlalu asyik
memandang tona warna lembut di depannya. Azriq keliru, tak tahu yang
mana satu hendak dipilih.
“Ilham!”
panggil Azriq dalam nada merajuk. “Kau ni langsung tak dengar kan
aku cakap dengan kau.”
“Dua-dua
okaylah,” balas Ilham sambil melangkah ke bangku baldu berwarna
putih bertentangan dengan fitting room.
Matanya
mengikut lenggok Azriq yang sedang sibuk membelek baju-baju di rak.
Gaya rambutnya seakan perempuan, panjangnya sudah sama paras dengan
bahu, dikaratkan dengan highlight warna maroon. Azriq mengenakan
t-shirt putih berjalur pink dengan seluar paras lutut. Dia
menyarungkan sandal lelaki di kaki. Tiba-tiba saja fikiran Ilham
melayang, mengenangkan teguran mama. Salahkah dia berteman dengan
Azriq?
Memang
benar Azriq lemah lembut orangnya tetapi bagi Ilham, selagi hubungan
mereka tidak terpesong, dia masih menghormati sahabatnya itu. Ilham
tidak pernah menaruh hati pada Azriq. Sungguhpun dia suka memasak dan
mengemas, dia sedar yang dirinya anak Adam. Ilham tak pernah lari
dari tanggungjawabnya sebagai lelaki. Dia juga punya impian,
keinginan untuk beristeri dan mempunyai anak-anak dari benih yang
halal.
“Riq,
aku tengok kau ni makin rapat dengan Herdi tu,” tegur Ilham yang
sejak tadi menyepi. Dia memandang air muka Azriq yang tampak resah
sedikit apabila hal Herdi dibangkitkan.
“Kenapa
kalau aku rapat dengan dia? Kau tu kan selalu sibuk, dah jarang ada
masa temankan aku. Setiap kali aku ajak keluar aje mesti sibuk,”
balas Azriq, sedikit bergetar suaranya, seakan gugup.
“Tak
adalah. Cuma banyak benda tak elok aku dengar pasal dia. Kau tu
hati-hati sikit. Nak pilih kawan berpada-pada. Jangan nanti kau
terikut sama macam dia,” ucap Ilham, memberi peringatan.
Ilham bimbang
kalau-kalau Azriq akan terikut-ikut perangai Herdi. Dia tahu Herdi
memang sudah terpesong jauh. Pasangan Herdi semuanya dari spesies
sendiri, sudahlah asyik bertukar-tukar tiap bulan. Semua nasihat
teman-teman mereka masuk telinga kanan, keluar semula melalui telinga
kiri.
“Kau
cemburu kalau aku rapat dengan Herdi?” soal Azriq tiba-tiba.
Azriq meninggalkan
pakaian yang mahu dicubanya di atas rak. Langkahan kakinya disusun ke
arah Ilham. Dengan sopan, dia duduk di sebelah Ilham, menantikan
jawapan yang tak pernah meniti di bibir Ilham selama beberapa tahun
mereka berkawan.
“Aku
tak cemburu. Buat apa aku nak cemburu. Kita berhak kawan dengan siapa
saja yang kita nak,” balas Ilham.
Air
muka Azriq bertukar kelat, merajuk. Dia bangun semula, melangkah ke
rak yang tak sampai dua minit ditinggalkan tadi. Dia menarik baju
yang mahu dicubanya ke dalam fitting room berdekatan.
“Cuma…”
Ayat Ilham tergantung di situ.
Azriq
menoleh semula.
“Aku
tak nak kau terpesong sama,” sambung Ilham.
Air
muka Azriq yang berubah-ubah dari keliru ke kelat tadi kini bertukar
ke marah yang bercampur-baur dengan terkilan. Dia sekali lagi
melangkah ke arah Ilham. Baju-baju di tangan dicampak ke Ilham,
melepaskan amarah yang memanggang jiwanya. Dia terus bebal sambil
kakinya menendang-nendang angin.
“Riq,
apa ni?” soal Ilham, tidak mengerti.
Ilham
bangun, berdiri menghadap Azriq.
“Hey,
jantan! Kau ingat aku ni apa? Tak ada perasaan? Dah bertahun aku ke
hulu-hilir dengan kau. Sekarang kau dah masuk hospital tu, dah banyak
misi lawa, kau ingat kau nak buang aku! Buat macam selama ni kau tak
ada perasaan kat aku?!” marah Azriq. Dia terus menumbuk dada Ilham.
“Kau
ni dah gila ke? Apa kau merepek ni?” soal Ilham dalam nada
terkejut.
Ilham menggenggam
pergelangan tangan Azriq, cuba menahan dari tumbukan bertalu-talu
yang menghentam dadanya. Sakitnya hanya TUHAN yang tahu. Meskipun
Azriq lembut sifatnya tapi kudratnya tetap kudrat seorang anak Adam.
Tumbukan tangan lebarnya masih menyakitkan dada, menyesakkan nafas
Ilham.
“Kau
kata aku gila? Sampai hati kau, Ilham! Bila kau susah, tak ada kawan,
kau cari aku. Sekarang, kau dah ada ramai nurse cantik kat hospital
tu, kau lupakan aku! Dulu kau yang beriya-iya tunjukkan yang kau tu
ada hati kat aku. Sekarang bila ramai pilihan lain, kau dah tak suka
kat aku lagi kan? Kau ni memang bukan anak jantan!” marah Azriq.
“Riq,
memang aku ni bukan anak jantan. Aku bukan binatang kau faham tak?!
Aku lelaki!” balas Ilham. Dia memegang bahu Azriq. “Kau tu pun
sedarlah! Kau tu lelaki! Cuba bawa mengucap! Jangan tertipu dengan si
Herdi tu!”
“Kau
ni memang bodoh! Buta!” jerit Azriq sambil menempis tangan Ilham.
Dia berlari keluar, meninggalkan Ilham terpinga-pinga sendirian.
“Aghstafirullah
al-azim,” ucap Ilham sambil memerhatikan kelibat Azriq menghilang.
Dia tidak terniat untuk mengejar.
Ya
Allah. Malunya. Ilham menundukkan muka apabila menyedari ada
berpasang-pasang mata yang sedang terarah kepadanya. Ada jua jelingan
yang menuduh dulu tanpa usul periksa. Ya Rabbi. Dia malu.
Tak pernah terniat
di hatinya untuk menyimpangkan persahabatan mereka ke jalan yang
penuh noda dosa. Baginya, Azriq hanyalah seorang sahabat normal.
Bertahun-tahun dia terlepas pandang niat hati lelaki itu terhadapnya.
Bodohkah
dia? Ya, memang dia terasa dungu. Dia kesal kerana memberi harapan
palsu secara tidak sengaja pada Azriq. Kalau dari dulu, dia menyedari
yang sahabatnya itu sudah terpesong, pasti sejak awal lagi sudah
dihulurkan tangan untuk membantu sahabatnya keluar dari jalan itu.
* * * * * *
Azriq
Malu.
Malu. Malu. Rasa itu semakin menebal dalam diri Azriq, membuatkan
matanya tidak mahu pejam. Insiden siang tadi berlegar dalam ruang
ingatan. Ya. Dia bodoh kerana mempercayai Herdi.
Kata Herdi, Ilham
menyintainya. Herdi memujuk dia menerima hakikat bahawa lelaki
sepertinya takkan dicintai mana-mana wanita. Mereka takkan dapat
menerima perwatakan lembutnya. Kini, dia sudah kehilangan
satu-satunya sahabat yang menganggap dia sebagai lelaki di sebalik
kelembutan dan keayuan sifatnya.
Bukan
niatnya untuk berkelakuan seperti perempuan. Bukan niatnya untuk
menyukai sesuatu yang cantik, gemar pada make-up dan berdandan. Dia
sememangnya begitu meskipun dia cuba sedaya upayanya untuk menidakkan
ia. Sejak kecil, dia memang bersifat lembut, bersopan santun seakan
wanita.
Azriq pernah cuba
bergaul dengan lelaki-lelaki sempurna yang lain tetapi dirinya
dipinggirkan. Mereka menuduh dia cuba memikat mereka. Dia
diketawakan, diperbodohkan dan dihina sepanjang pengajiannya di
kampus. Mereka tidak mahu menerima keadaannya yang sebegitu.
Azriq
pernah jatuh cinta. Dia pernah berjuang untuk memenangi hati seorang
Hawa. Tetapi, suara hatinya diketepikan kerana sifatnya yang lembut.
Tak ada Hawa yang sudi mendampinginya, sudi menerima keadaannya
seadanya. Dalam menepuh hidup sunyinya, dia berkenalan dengan Ilham.
Hanya Ilham yang mengerti perasaannya.
Berkali-kali
dia cuba menidakkan apabila ada teman-temannya yang sudah jauh
menyimpang mengatakan dia dan Ilham adalah pasangan kekasih. Dia tahu
hubungan itu berdosa. Meskipun dia bersahabat dengan teman-teman
seperti itu, dia tidak pernah terfikir untuk mengikut hala tuju yang
sama. Malahan dia selalu menasihati mereka agar berubah. Dalam
hatinya, dia masih mengakui yang dia seorang lelaki. Dia masih turun
ke masjid tiap Jumaat untuk menjalankan ibadah yang diwajibkan ke
atasnya.
Tetapi,
dia tunduk juga apabila ditakutkan Herdi. Kata Herdi, kalau dia tidak
menghargai perasaan Ilham kepadanya, dia akan kehilangan Ilham. Dia
akan hidup sendirian sampai ke tua. Untuk apa dia mengharapkan cinta
seorang Hawa sedangkan dia tahu tak ada satupun yang akan jatuh cinta
pada kelembutannya. Herdi menyuruh dia menerima kenyataan bahawa dia
bukan seorang lelaki normal. Herdi menyuruh dia memilih sama ada
hidup bertemankan Ilham ataupun hidup sendirian sehingga ke akhir
hayatnya.
“Bodoh!
Bodoh!” jerit Azriq sambil menolak semua barangan make-up di atas
meja berdekatan cermin.
Air matanya meleleh,
mencairkan eye liner yang dilukiskan ke matanya. Dia mencapai tisu,
cuba menanggalkan foundation yang disapu ke pipinya. Setelah gagal,
dia membasahkan kapas dengan make-up remover dan menyapunya pada
seluruh muka. Semua make up yang melekat pada mukanya ditanggalkan
satu per satu.
Beg
sandangnya dimuatkan dengan beberapa helai t-shirt berwarna-warni
yang diambil dari dalam almari. Dia mengambil dokumen-dokumen penting
dari lacinya. Tanpa berlengah, dia terus keluar dari rumah bersama
segugus kunci.
“Riq!”
panggil Herdi yang menanti di depan pintu.
“Kau
nak apa?” soal Azriq geram. Dia menekan mangga pada pagar besi.
Kemudian, dia terus melangkah laju ke jalan, mahu menahan teksi. “Tak
puas lagi kau malukan aku selama ni? Tak puas?”
“Riq?”
“Tepilah!”
bentak Azriq sambil menolak Herdi ke tepi.
“Kenapa
dengan kau?” soal Herdi. Dia menarik lengan Azriq, tidak mahu
membiarkan lelaki itu meninggalkannnya sebelum memberi penjelasan.
Azriq
mematikan langkah.
“Kenapa dengan
aku?!” soalnya kembali. Dia menghempaskan begnya ke atas jalan tar.
Tubuh Herdi ditolaknya ke belakang sekali lagi dengan kudrat keras.
“Persoalannya
bukan aku. Tapi, kau! Kenapa dengan kau? Apa sebenarnya masalah kau?
Kau tau siapa aku? Aku ni lelaki! Ilham tu lelaki! Tak mungkin aku
boleh hidup dengan dia! Kau yang mengiyakan benda yang sepatutnya
jadi! Kau sogokkan aku dengan impian-impian bodoh kau!”
“Ilham tolak kau?”
soal Herdi, meneka.
“Habis, kau ingat
dia nak kahwin dengan aku? Kau ingat dia cintakan aku?” soal Azriq
dalam nada lantang.
“Jangan pedulikan
Ilham lagi. Kalau Ilham tak sayangkan kau, pilihlah aku. Ilham tak
layak untuk kau. Betul tak aku cakap? Lepas dia kerja kat hospital
tu, dia akan lupakan kau!” ungkit Herdi sambil cuba menarik tangan
Azriq.
Sebuah teksi
berhenti di bahu jalan. Pemandunya membongkok sedikit melihat dua
orang lelaki ayu yang sedang tolak-menolak. Dia menggelengkan kepala.
“Please jangan
pergi. Tolong jangan biarkan apa yang jadi antara kau dan Ilham
rosakkan hubungan kita. Aku sayang kau,” ucap Herdi.
“Ingat TUHAN,
Herdi. Aku dah buat silap sekali. Aku takkan buat silap lagi,” ucap
Azriq sambil mengesat air matanya yang gugur.
“Silap apa?”
soal Herdi.
“Insaflah, Herdi.
Apa kita buat selama ni salah! Ni bukan kita! Bukan!” cetus Azriq.
Azriq masuk ke dalam
teksi dan cepat-cepat menarik daun pintu, menghalang Herdi dari cuba
masuk ke dalam. Hatinya terasa sakit yang teramat. Dia malu. Dia
takut. Semua rasa itu berjelaga dalam hatinya. Dia teringatkan
abangnya, Nukman dan adiknya, Halem. Dia menyesal kerana tergamak
meninggalkan mereka.
Barangkali inilah
balasan untuk orang jahil sepertinya, tidak mempunyai pegangan yang
kuat. Inilah selayaknya diterima kerana mempercayai Herdi. Dia
terlupa ajaran ibunya, pesanan abangnya. Dia hilang dalam alpanya,
merealitikan apa yang tidak sahih. Belum terlewat. Meskipun terpaksa
merangkak dan mengesot, dia akan terus meloloskan dirinya dari dunia
khayalan itu. Dia mahu berpijak pada paksi yang nyata, berpegang pada
apa yang benar.