Home Novel Seram/Misteri Perigi Buta
Perigi Buta
Amylieyhaizani
21/1/2016 21:32:14
16,568
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab Bab 17

Bab 17

Hubungan Elyna dan Fariz kembali dingin dari sebelumnya. Masing-masing membuat hal sendiri sehingga mengabaikan Dian yang memerlukan kasih sayang dari mereka berdua. Sehingga suatu hari, Dian pulang lewat ke sekolah. Apabila ditanya oleh bibik Endang, Dian hanya mendiamkan diri dan lebih senang berkurung di dalam bilik. Gelak tawanya kadang kala meletus walaupun tiada sesiapa bersamanya saat itu.

“ Dian, jom makan…” panggil bibik Endang seraya menolak pintu bilik Dian. Anak kecil itu ralit melakarkan sesuatu di dalam buku tulis miliknya. Kemudian dia tergelak kecil seakan berbual dengan seseorang.

“ Cantik tak kak?” soal Dian sambil menghulurkan buku tulis ke hadapan. Gadis cantik yang sebaya mamanya menganggukkan kepala. Semakin kuatlah Dian melepaskan tawa apabila dipuji oleh ‘ kawannya’ itu.

Bibik Endang memandang ke sekiling bilik. Tiada sesiapa yang menemani Dian saat itu. Entah kenapa bulu roma bibik Endang seakan meremang dengan sendiri.

“ Dian…” bibik Endang duduk di sebelah Dian. Kehadirannya seakan tidak disedari oleh anak kecil itu. Kemudian matanya terpacak pada gambar yang dilukis oleh Dian. Bila diperhatikan dengan teliti, bibik Endang terjerit kecil. Pantas mulutnya ditutup. Gambar sebuah perigi buta dan satu lembaga perempuan kelihatan hidup dan menyeramkan. Pantas bibik Endang mengambil buku tersebut. Dia mengucap berkali-kali sebelum terdengar rengusan yang agak kuat.

“ Bagi balik!” tutur Dian dengan kasar. Mukanya masam mencuka. Matanya kelihatan tajam dan menakutkan bibik Endang.

“ Dian, jom makan. Bibik temankan ya!” ujar bibik Endang seraya menarik tangan Dian. Buku tersebut ditutup rapat dan diletakkan di bucu katil. Dia benar-benar rasa seram dengan sikap anak kecil itu. Hatinya juga merasa tidak sedap dengan apa yang sedang berlaku.

“ Dian ajak kawan Dian sekali.” Dian masih berkasar. Dia merenung kawan barunya itu. Gadis itu hanya diam membisu.

Bibik Endang mendengus perlahan. Kecil-kecil dah melawan!

“ Nak ajak kawan yang mana? Lain kalilah Dian ajak. Bibik masak lebih sedap!” pujuk bibik Endang. Dian mendiamkan diri. Dia bangun dan bergegas mengikut langkah bibik Endang. Sempat dia melambai tangannya ke belakang. Sikapnya itu membuatkan bibik Endang tidak senang duduk.

“ Bibik, cantik tak kawan Dian tadi? Dian jumpa waktu nak balik dari sekolah. Dia kata, dia nak kawan dengan Dian.” Dian menutur kata ketika menjamah nasi di dalam pinggannya. Wajah bibik Endang berubah secara tiba-tiba.

“ Kawan Dian tu kecil macam Dian ke?” soal bibik Endang . Dia meletakkan lauk untuk Dian. Anak kecil itu menggelengkan kepalanya dengan laju.

“ Kawan Dian tu, sebesar mama. Cantik bibik! Bibik tak nampak ke tadi? Apalah bibik ni! orang besar macam tu pun tak nampak!” Dian seakan mencemuh. Dia makan dengan berselera sebelum teringatkan sesuatu.

“ Bibik, nanti letakkan nasi untuk kawan Dian tu ya. Dian takut dia malu nak makan dengan kita,” tokok Dian lagi. Bibik Endang semakin bimbang dengan sikap Dian. Sesekali dia memasang telinga kalau-kalau Elyna atau pun Fariz telah pulang ke rumah. Risau dia jika perkara tidak diingin berlaku kepada mereka. Dia yakin ada sesuatu yang berdamping dengan anak kecil itu. Sesuatu yang tidak nampak dek mata kasarnya!

“ Bibik, jangan lupa hantar nasi tu! Nanti kawan Dian lapar!” tutur Dian dengan kuat. Dia menolak pinggannya ke tepi dan bangun untuk berlalu. Belum sempat bibik Endang membalas kata-kata Dian, anak kecil itu berlari anak ke bilik. Entah bila tangan dibasuh, bibik Endang langsung tidak perasan. Sudahnya, dia hanya mampu berdoa agar tiada perkara buruk berlaku kepada mereka berdua.

****

Sungai yang semakin cetek nampak cantik apabila pasir di dasarnya kelihatan di pandangan mata. Hairul dan Zack asyik mengutip pucuk paku yang tumbuh meliar di kawasan sungai itu. Sesekali kelihatan beberapa ekor monyet berkejaran di atas dahan pokok. Burung-burung yang berterbangan riang, menghidupkan lagi suasana di Kampung Lubuk Nipah.

Setelah pucuk paku yang dicari mencukupi untuk makan makan malam nanti, Zack dan Hairul duduk di atas pasir dan mengadap ke gigi air. Udara yang nyaman membuatkan tubuh mereka terasa segar.

“ Zack, dah berapa lama ek kita terkurung dekat sini? Aku rasa macam dah lama sangat!” ujar Hairul sambil menjeling Zack sekilas. Lelaki itu seakan tenggelam di dalam dunianya sendiri. Soalan Hairul tidak terbalas.

“ Zack!” bahu Zack disentuh. Pantas lelaki itu berpaling seraya menjungkit kening. Hairul mendengus perlahan. Sempat pulak mamat ni berkhayal!

“ Aku tanya, dah berapa lama kita terkurung dalam kampung ni? Aku rasa macam dah lama sangat!” Hairul menekankan suaranya. Zack membilang dengan jari. Kemudian dia memandang Hairul yang masih menunggu jawapan darinya.

“ Dah seminggu lebih dah! Kalau ikut perancangan, hanya dua minggu kita ambil cuti. Itu pun si Saiful tu suruh kita cuti selama sebulan. Nasiblah kita ni berniaga sendiri. Kalau tak, mahu kita semua ni kena pecat!” ujar Zack dengan panjang lebar. Hairul menganggukkan kepalanya beberapa kali. Dia mendiamkan diri sejenak sebelum keluhan berat terlepas dari mulutnya.

“ Aku takut, kita akan tinggal di sini buat selama-lamanya. Apa yang paling aku takut, benda tu kacau kita lebih teruk lagi. Kau tak ingat masa Mimi kena rasuk tu? Nasib muka kau calar balar je. Kalau dibuatnya dia gigit kau, habislah..” Hairul melepas kata. Fikirannya mula memikirkan perkara yang tidak baik.

“ Takkan sampai macam tu. Kau jangan buat aku takut boleh tak? Lagi pun, bukan kita punca semua ni. Takkan benda tu nak balas dendam pada kita. Tak adil kut!” balas Zack tidak senang dengan kata-kata Hairul.

“ Zack, kita tak tahu punca kita diganggu. Lembaga perempuan tu, dia nak apa sebenarnya? Mungkin sebab kita dah ceroboh tempat dia. Mungkin juga sebelum ni, ramai orang tinggal kat kampung ni. Tapi bila kena ganggu, semua melarikan diri. Cuma kita je yang boleh datang ke kampung puaka ni!” Hairul menggunakan logik akal. Zack menguis-nguis pasir dengan kakinya.

“ Agaknya, perempuan tu kena bunuh. Lepas tu mayat dia orang campak dalam semak samun. Sebab tu kita jumpa rangka tangan hari tu,” ujar Zack perlahan. Fariz termenung panjang memikirkan kata-kata lelaki itu.

“ Kena bunuh? Siapa yang begitu kejam mengambil nyawa orang sesuka hati!” ujar Hairul akhirnya. Zack hanya menggelengkan kepala beberapa kali. Dia kemudian bangun dari pasir. Hatinya tidak sedap dengan andaiannya sendiri.

“ Kau nak pergi mana?” Hairul turut bangun dan mengibas-ngibas seluarnya yang berpasir.

“ Baliklah. Aku tak sedap hatilah tinggalkan Mimi dan Joe kat rumah tu. Kalau diorang bergaduh pun kita tak tahu. Bukan kau tak kenal diorang tu. Macam anjing dengan kucing!” balas Zack seraya berlalu. Hairul menjungkit bahu dan mengikut langkah Zack menuju ke kereta. Tanpa membuang masa, enjin kereta dihidupkan dan meluncur laju meninggalkan kawasan tersebut.

****

Mona menghampiri Fariz di sebuah restoran dengan senyuman. Lelaki itu nampak kusut dan kelihatan tegang. Tanpa dipinta, dia duduk dan memanggil pelayan untuk membuat pesanan.

“ Apple Juice ya dik!” tutur Mona dengan ramah. Dia kemudian menilik wajah tampan Fariz. Lelaki itu seakan tenggelam dalam khayalannya sendiri.

“ Fariz…” panggil Mona sambil mengetuk meja beberapa kali. Fariz tersedar dari lamunan dan mendengus perlahan apabila melihat Mona berada di hadapan mata. Dia tidak suka mencari masalah. Di mana ada Mona, pasti masalah akan datang kepadanya. Bukan dia tidak kenal dengan gadis itu. Pandai memujuk rayu dan mengambil kesempatan atas kelemahan lelaki sepertinya.

“ Kau tak ada kerja ke selain ganggu aku?” soalan Fariz agak keras. Mona yang sudah terbiasa dengan sikap lelaki itu, tergelak kecil.

“ Fariz, Fariz..kau dah banyak berubah kan? Kau tak rindu dengan aku?” soal Mona. Dia merenung dalam ke anak mata Fariz. Lelaki itu memang telah berubah. Langsung tiada minat dengan kecantikkannya lagi.

“ Aku nak rindukan kau buat apa? Buat semak je!” balas Fariz acuh tak acuh saja bunyinya. Belum sempat Mona menjawab, air yang dipesan sampai ke meja. Pantas dia mengucapkan terima kasih kepada pelayan yang datang.

“ Kau seronoklah kalau aku mati? Kalau aku mati baru kau nak cari aku? Kau lupa ke Fariz, dulu kau cakap aku ni jauh lebih baik dari isteri kau! Sekarang??” ucap Mona dengan geram.

Fariz mengetap bibir. Tanpa dia dan Mona sedari, satu lembaga menyeringai di bawah meja makan. Matanya merah bak saga seakan menyimpan dendam yang mendalam.

“ Kalau kau nak mati, kau matilah! Buat apa aku nak cari kau. Eh, Mona, kau tak tahu erti taubat ke? Aku ni suami orang! Kalau kau nak, berlambak lelaki bujang kat luar sana. Buat apa kau nak ganggu aku lagi?” Fariz kelihatan tegang. Banyak benar masalah yang menimpa dirinya. Sudahlah hubungannya dengan Elyna berantakan, kehadiran Mayang Srai pula seakan mengganggu rutin hariannya. Semua itu cukup memeningkan!

“ Sampai hati kau, Fariz. Walaupun aku ni jahat, tak semua orang aku cinta. Aku hanya cintakan kau. Lelaki yang hadir dalam hidup aku, semuanya tak guna! Mereka hanya ingin ambil kesempatan! Tak macam kau!” balas Mona dengan penuh perasaan. Fariz tersenyum sumbing.

“ Tak guna? Yang kau rela dibawa ke sana ke mari tu apa cerita pulak? Kau tak rasa ke diorang semua tu hanya main-mainkan kau!” ujar Fariz melepas kata. Mona merenung anak matanya dengan tajam.

“ Termasuk kau? Macam tu Fariz?” soal Mona inginkan kepastian. Fariz hanya mendengus perlahan. Malas dia melayan pertanyaan gadis itu. Jika diikutkan, dia tidak pernah bermimpi untuk berkahwin sekali lagi.

“ Aku bukan yang terbaik untuk kau Mona!” ujar Fariz menjawab persoalan Mona.

“ Habis tu selama ni? Apa yang kau janji dengan aku? Kau cintakan aku kan?” soalan Mona yang bertubi-tubi menyakitkan telinga Fariz. Belum sempat dia bersuara, kedengaran Mona menjerit kuat. Semua mata memandang kepada mereka. Pantas gadis itu mengendap ke bawah meja. Satu lembaga perempuan menyeringai kepadanya. Darah dan lendir hijau kelihatan basah dan meloyakan tekaknya.

“ Kau apahal? Nak tarik perhatian orang? Tak habis-habislah kau ni buat perangai Mona!” Fariz cuba bangun namun sempat ditarik oleh Mona. Wajah Mona berkerut seakan menahan kesakitan yang teramat.

“ Fariz…ada apa kat bawah meja tu Fariz?” Wajah Mona kelihatan pucat tidak berdarah. Pantas Fariz menundukkan kepalanya. Tiada sesiapa di situ. Dia kemudian merenung kepada Mona sekilas sebelum bangun meninggalkan gadis itu.

“ Fariz..tunggu aku Fariz!” panggil Mona sebelum meletakkan sekeping duit sepuluh ringgit di atas meja. Dia mengejar Fariz dengan kaki yang mula berlumuran darah. Sampai di tengah jalan, sebuah kereta meluncur laju dan tubuh Mona terhumban jatuh betul-betul di hadapan Fariz. Darah merah mebuak-buak keluar dari mulutnya.

Kereta yang melanggar Mona, memecut laju tanpa berniat untuk berhenti. Fariz yang tergamam dengan sitausi tersebut, terduduk di hadapan Mona. Gadis itu menggeletik kesakitan.

“ Fariz…ada benda yang ikut kau, Fariz. Benda tu ada bawah meja tadi. Kau hati-hati.. Aku…sayangkan kau…” Mona menutur kata sebelum menutup mata buat selama-lamanya. Tanpa sedar, Fariz menjerit sekuat hati dan menangis teresak-esak di situ. Orang ramai yang datang berkerumum hanya mampu menggelengkan kepala. Innalillah hi wainna ilaihi rajiun…

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.