Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,500
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

PUAN Sri Marisa tersenyum. Wajahnya ceria setiap kali menyambut kepulangan Azizan. Dengan penuh hormat, Azizan bersalaman dan mengucup lembut tangan Puan Sri Marisa. Dileraikan kerinduannya dengan pelukan ringan.

“Mama, apa khabar?” tanya Azizan.

“Alhamdulillah Izan. Mama sihat. Izan pun sihat, kan?”

Puan Sri Marisa mengusap bahu Azizan.

“Sihat, mama.” Senyuman wanita itu menyenangkan hatinya.

Walaupun sentiasa tersenyum, Azizan tahu Puan Sri Marisa menanggung tekanan perasaan. Garis-garis usia matang pada dahi dan sudut matanya Puan Sri Marisa sudah mulai kelihatan. Tubuhnya yang sihat dan cergas suatu ketika dulu kini kian susut. Namun wanita itu tetap anggun di mata Azizan. Dahulu, Puan Sri Marisa rajin menyertai aktiviti socialdan amal. Malah wanita itu rajin memelihara kecantikan danpenampilan diri. Namun semua itu hanya tinggal kenanganmanis buat Puan Sri Marisa. Wanita itu seakan-akan turut tenggelam dalam kesedihan. Menjaga Azrina yang tidak mahu mengurus diri, menjauhidunia luar. Azrina lebih selesa hidup dalam kesamaran biliktidurnya. Tidak memerlukan sesiapa pun melainkan PuanSri Marisa, Tan Sri Zukri dan Azizan. Azrina juga hidup tidakmemerlukan cahaya matahari!

Azizan belum puas menghadap Puan Sri Marisa. Hampir dua minggu tidak menatap wajah wanita itu. Dia rindu dan rasa hatinya dia tidak ingin pergi lagi. Azizan ingin terus bersama keluarganya tetapi sejak akhir-akhir ini tugasnya banyak yang mendesak.

“Mama sunyi bila Izan tak ada,” keluh Puan Sri Marisa.

“Mama, maafkan Izan!” Jari-jemari Puan Sri Marisa digenggam lembut. Hatinya dibalut sayu. Wajah Puan Sri Marisa jelas membayangkan dia sedang memendam rasa.

“Mama tak apa-apa, Izan. Jangan risau, mama faham. Semua orang sibuk. Papa juga sibuk tapi mama masih ada Rina di sini.”

Kata-kata Puan Sri Marisa mengundang simpati hatinya. Azizan tahu mama cuma ingin menyenangkan hatinya. Wanita itu memang sering kesunyian. Azrina tidak mungkin mampu merawat kesunyian Puan Sri Marisa.

“Mama, Izan janji akan balik lebih kerap. Mama doakan kerja Izan di Sabah cepat selesai. Izan akan cepat-cepat balik ke sini.” Azizan melafazkan janji.

“Betul ke? Mama tak sabar. Sudah lama Izan tinggal kat sana, baliklah kat sini. Suruh saja pekerja yang uruskan perniagaan kat Kota Kinabalu tu. Papa Izan pun dah tua. Kesian mama tengok papa tu...” Kian panjang keluhan Puan Sri Marisa.

Hati Azizan tercuit. “Nanti Izan balik, mama jangan risau. Ada kerja sikit lagi Izan perlu selesaikan di sana. Mama sabarlah, ya?”

Azizan mencapai tangan Puan Sri Marisa. Bukan sedikit pengorbanan wanita itu terhadapnya dan Azrina. Sayangnya pada Puan Sri Marisa tidak bertepi.

“Ya, mama faham. Tak mengapalah, selesaikan dahulu kerja-kerja Izan di sana.”

Senyuman wanita itu melegakan perasaan Azizan.

“Mama, Izan nak jumpa Rina. Rina apa khabar?” Azizan mengalih bicara.

“Seperti selalu juga, Izan. Rina tak mungkin berubah dalam sekelip mata. Mama harap sebelum mama tutup mata, Rina tu pulih seperti dulu.” Sungguh sayu nada Puan Sri Marisa.

“Mama, jangan cakap macam tu. Kita masih boleh berusaha. Izan janji, Rina akan pulih. Sikit masa lagi. Sama-samalah kita berdoa, ya mama.”

Azizan tahu janjinya mungkin keterlaluan namun itulah azamnya. Dia berharap dan tidak putus-putus berdoa dalam setiap solatnya agar dia akan melihat perubahan pada Azrina setiap kali kepulangannya.

“Mama, mari kita jenguk Rina.” Azizan masih menggenggam jari-jemari Puan Sri Marisa.

Puan Sri Marisa mengangguk. Azizan mengukir senyuman pada wanita sanjungannya itu. Sayangnya terhadap Tan Sri Zukri dan Puan Sri Marisa memang tidak dapat diukur dan ditukar ganti.

Puan Sri Marisa menghentikan langkah, menatap wajah Azizan seketika. “Izan jumpa Rina dulu, mama minta Wati sediakan minum. Kita minum petang kat bilik Rina, ya.”

“Baiklah, mama.”

Buat beberapa detik Azizan terpaku di tengah ruang tamu. Sayu matanya memandang langkah perlahan Puan Sri Marisa. Azizan tidak tahu sampai bila hidup mereka dalam keadaan begitu. Rumah besar penuh dengan kemewahan itu bagaikan kehilangan sinar semenjak ayah dan ibu kandungnya pergi buat selama-lamanya. Manakala Azrina pula terlantar di tempat tidur. Azizan menghela nafas lebih dalam lalu mengorak langkah perlahan-lahan.

DI HADAPAN pintu bilik, Azizan mengetuk daun pintu dengan perlahan sebelum memusing tombol pintu. Pintu bilik itu tidak pernah berkunci dan Azrina juga tidak pernah peduli apakah pintu biliknya pernah dibuka atau tidak. Dunianya hanya di dalam bilik itu. Saat pintu terkuak, Azizan memberi salam. Azrina senyap. Bilik itu memang sangat sepi seakan-akan tidak berpenghuni. Mereka berdua ditakdirkan lahir ke dunia sebagai pasangan kembar. Azrina yang dilahirkan hanya selang beberapa minit lebih awal dari Azizan itu menjadi penghuni setia di bilik itu. Azrina tidak pernah mahu keluar sejak tiga tahun lalu. Tidak mahu melihat cahaya matahari dan keindahan alam di luar sana. Sudah lama Azrina membekukan hati dan perasaannya.

Azizan memerhati sekeliling bilik tidur yang luas dan lengkap. Cantik, kemas dan mewah tetapi hanya untuk tatapan mata. Semua itu tidak mampu membuatkan pemilik bilik itu menjadi cantik, kemas dan hidup mewah semula. Azizan tidak pernah berputus asa, Azrina harus dibawa kembali ke dunia asalnya. Azrina yang hilang ingatan kini sedang belajar mengingati. Hampir setahun baru Azrina mampu mengenali Azizan. Sebab itulah Azizan berazam akan terus berusaha memulihkan semangat Azrina yang hilang.

“Izan...” Suara lemah Azrina kedengaran tatkala menyedari kehadiran Azizan di bilik itu.

“Assalamualaikum...” Azizan memberi salam sekali lagi.

Sahutan Azrina kedengaran perlahan dan lemah.

Azizan merapati katil mewah dengan alas dan selimut yang sedondon itu. Azizan tahu, Azrina tidak akan mempunyai perasaan terhadap barang-barang di sekelilingnya. Mungkin jika Azrina ditempatkan di sebuah bilik kosong dan gelap sekali pun, gadis itu tidak akan ambil peduli.

“Izan...” Suara Azrina kedengaran lagi.

Azizan duduk di birai tilam yang empuk dan lembut. Tangan kurus milik Azrina dicapai, jari-jemarinya diusap lalu digenggam perlahan. Sebak dadanya setiap kali menatap keadaan Azrina yang tidak bermaya.

“Rina...” Azizan menarik tubuh kurus Azrina lalu dipeluk berhatihati. Hanya itu yang mampu dia lakukan sejak Azrina berkeadaan seperti itu.

“Rina mesti sembuh seperti dahulu. Izan nak tengok Rina seperti Rina kami yang dahulu,” bisik Azizan. Belakang Azrina dielus penuh kasih.

“Izan, maafkan Rina,” kata Azrina terputus-putus. Dia menatap Azizan dengan pandangan yang sayu. Air matanya mulai bergenang. Pantas Azizan mengusap pipi cengkung itu. Dia tidak mahu Azrina menangis.

“Esok Izan nak bawa Rina keluarshopping,” pujuk Azizan. Dia tidak akan pernah berputus asa sehingga Azrina mampu melihat dunia luar semula.

“Rina sakit, Izan. Rina tak boleh,” kata Azrina.

“Boleh, Rina. Izan akan bawa Rina. Kita pergi dengan mama, ya?” pujuk Azizan.

Azrina terdiam. Matanya yang cengkung masih basah terkelip-kelip menatap wajah Azizan.

Mama? Kenapa mama? Kenapa tidak bersama ibu? Namun pertanyaan itu hanya terbuku di hatinya. Beberapa saat kemudian air jernih mengalir lagi dari tubir matanya. Terlalu sendat dadanya mengumpul kepedihan.

“Rina... tak mengapa. Izan cuma bercadang, tak pergi pun tak apa. Lain kali kita boleh pergi.”

Azrina tahu, dirinya bagaikan mayat hidup dalam tempoh yang lama. Ingatannya masih belum pulih. Banyak ingin diingatinya dalam hidup yang lepas namun dia tidak mampu.

Kepalanya terasa hendak pecah jika dia berusaha mengingati. Namun ingatan terhadap ibu dan ayah sudah jelas dalam fikirannya. Tidak perlu dipaksa lagi, dia sudah mampu mengingati raut wajah ibu, kelembutan dan kewangian tubuh ibu.

“Jangan menangis, Rina. Izan tak akan paksa kalau Rina tak mahu. Lain kali pun kita masih boleh jalan-jalan,” pujuk Azizan lalu memeluk kembarnya itu semula.

Azrina masih teresak-esak. Terlalu banyak ingin dikatakan kepada Azizan. Selama ini dia tidak mampu mengutarakan apa yang menyeksa perasaannya. Setiap saat dia menunggu kemunculan ayah dan ibu ke biliknya. Terlalu besar kesalahannya pada mereka. Juga pada Azizan.

“Sudahlah Rina, jangan bersedih. Rina kuatkan semangat supaya cepat pulih,” pujuk Azizan. Keadaan Azrina terlalu menyayat perasaannya.

“Izan,” bisik Azrina.

“Ya, Rina?”

Azizan merenung wajah sembap Azrina. Bibir Azrina terketar-ketar ingin mengatakan sesuatu. Jari-jemari Azrina yang dingin digenggam lembut. Azizan tahu Azrina memerlukan sokongan dan semangat tika itu.

“Izan, Rina minta maaf. Rina banyak susahkan semua orang. Ibu ke mana, Izan? Rina rindu sangat pada ibu, pada ayah. Rina nak mintak ampun kat ibu, ayah.”

Azizan terkesima. Serta-merta jantungnya melantun deras. Ingatan Azrina sudah pulih? Azizan tidak tahu bagaimana perasaannya saat itu. Azizan mengucap syukur berulang kali.

“Rina... Rina... dah boleh ingat?” Azizan teruja inginkan kepastian.

Azrina mengangguk lemah. “Rina ingat ibu. Rina rindu sangat kat ibu.”

Tanpa sedar air matanya gugur. Azrina segera didakap erat. Sekali lagi dia mengucap syukur.

“Ayah dan ibu pun dah tak nak jumpa Rina lagi sebab Rina banyak buat salah, kan? Izan... Rina nak ibu. Ibu tak sudi maafkan Rina ke? Rina menyesal... Rina jahat, Izan.”

Azizan memejamkan matanya. ‘Ya ALLAH... tolonglah berikan aku kekuatan.’ Bisik hatinya yang sangat sebak.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan