Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,562
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

MARIAH benar-benar rasa serba salah. Tidak pernah terlintas di fikirannya akan ada pertemuan seterusnya dengan Azizan. Bagaikan melantun jantungnya, lelaki itu ingin bertemu dan mengajaknya keluar. Tidak pernah sekali pun dia keluar berdua-duaan dengan seorang lelaki selain papa dan abangnya. Tidak keruan Mariah dibuatnya. Azizan sudah membuat perasaannya kucar-kacir!

“Kenapalah dia ajak aku keluar? Apa aku nak buat ni?” Berkali-kali pertanyaan itu Mariah bisikkan.

“Mariah, kenapa tak bersiap lagi?Prince charmingawak tu dah datang.” Sofina masuk ke dalam bilik tergesa-gesa.

“Sofi, merepeklah awak ni.”

Mariah masih menatap buku undang-undang bertajuk Criminal Law yang terbuka luas di hadapannya. Fikirannya memang berputar-putar bagaimana hendak menolak ajakan Azizan. Sungguh dia belum bersedia untuk keluar berdua. Bukan kebiasaannya.

“Merepek konon! Cepatlah bersiap, tak elok biar orang menunggu lama-lama,” pujuk Sofina.

“Sofi, saya tak nak pergi. Tak pernah saya keluar dengan lelaki. Awak pun tahu kan?”

“Saya tahu... tapi keluar makan saja, bukan buat apa pun. Lagipun ni waktu sianglah, apa nak takut?”

“Eh, Sofi... kalau orang nak buat jahat dia tak mengira siang ataupun malam tau.”

“Mariah, boleh tak fikir benda positif? Tak akan berlaku apa-apa, percayalah. Abang Man tahu siapa kawan dia tu. Azizan dah minta izin pada Abang Man. Jatuh air muka dia kalau kau tak pergi.” Sofina memang pakar memujuk. Lembut suaranya sambil mengusap bahu Mariah.

“Itu yang buat aku tambah malu, Sofi. Entahlah, susahlah nak cakap.” Mariah mengeluh.

“Jangan risau, Mariah. Aku tengok Azizan tu baik orangnya. Dia tak akan berani buat apa-apa, percayalah.”

Mariah merenung wajah Sofina. Hatinya tidak menafikan kebenaran kata-kata Sofina. Tidak mungkin Azizan berniat jahat terhadapnya. Azizan bukan hanya sahabat Tuan Haji Sulaiman tetapi juga sahabat Arryl dan Natasha.

Sesungguhnya dia malu pada keluarga Tuan Haji Sulaiman. Datang ke rumah itu untuk bercuti, alih-alih dia mengambil peluang keluar dengan lelaki!

Lambat-lambat kaki Mariah menuruni anak tangga. Tiba-tiba dia terasa dadanya berdebar, gemuruh. Perasaan diasak rasa segan melihat Tuan Haji Sulaiman sedang rancak berbual dengan Azizan di ruang tamu. Hampir saja Mariah melangkah semula naik ke tingkat atas namun pantas pula Sofina menariknya turun dengan segera.

“Abang Man, Mariah dah siap.” Sofina segera membuka mulut agar Mariah tidak cuba untuk menghindar lagi.

“Hah, dah siap? Lama kawan Abang Man ni tunggu. Abang Man ingatkan Mariah takut nak keluar dengan kawan Abang Man ni,” usik Haji Sulaiman lalu tertawa perlahan.

Mariah terasa kulit wajahnya berbahang. Sungguh malu dia pada Haji Sulaiman. Terasa kurang selesa kerana ajakan Azizan itu pada ketika dia berada di rumah Haji Sulaiman. Jika bukan dengan izin Haji Sulaiman dan pujukan Sofina, tidak mungkin dia akan melangkah keluar dari rumah itu bagi menuruti kehendak Azizan.

Haji Sulaiman mengiringi Azizan hingga ke beranda rumah. Mariah dan Sofina bergandingan menyusul.

“Saya doakan awak gembira, Mariah. Jangan risau, semuanya baik-baik saja okey,” bisik Sofina.

Mariah mengangguk.“Thanks,Sofi.”

Tatkala masuk ke dalam kereta, Mariah menarik tali pinggang keledar. Buat beberapa detik Mariah masih terasa debaran dadanya. Dia keliru dengan perasaannya. Bersungguh dia menolak keluar dengan lelaki itu tetapi terselit pula perasaan senang. Bagaikan mimpi. Apa sudah terjadi dengan dirinya? Gadis kampung, anak seorang penoreh getah kini keluar berpasangan dengan seorang lelaki tampan yang kaya raya! Jangan lupa diri Mariah! Mariah mengingatkan diri, dia jadi malu sendiri.

“Awak okey?” Pertanyaan Azizan menyedarkan Mariah. Gadis itu segera mengangguk

“Maaf kerana buat Encik Azizan lama menunggu,” kata Mariah perlahan.

Kereta Azizan meluncur perlahan keluar dari perkarangan rumah Haji Sulaiman.

“Tak adalah lama sangat. Tak perlulah berencik dengan saya, Mariah. Betul ke awak takut keluar dengan saya?” tanya Azizan sambil matanya memandang Mariah seketika.

“Tak adalah...” Mariah tersenyum.

“Ya? Jangan risau, saya tak akan bawa awak lari. Saya juga tak pernah makan orang,” gurau Azizan lalu ketawa.

Azizan sekali lagi memandang wajah Mariah. Bibirnya mengulum senyuman. Kereta yang dipandunya terus meluncur.

“Pengajian awak okey?” tanya Azizan.

“Bolehlah,” jawab Mariah sepatah, masih terasa kekok.

“Bolehlah? Macam mana tu?” tanya Azizan lagi, dahinya dikerutkan.

“Hmm, ada senang, ada yang susah. Tapi lebih banyak yang susah.” Mariah tersenyum dengan jawapannya yang kekanak-kanakan.

“Ya? Jadi bila susah awak nak buat apa?” Semakin galak Azizan bertanya. Pertanyaan yang keanak-kanakan juga!

“Buat sajalah, tak ada pilihan.” Mariah tersenyum lagi.

Dilihatnya Azizan mengangguk.

“Tinggal berapa semester lagi?” Azizan semakin seronok apabila melihat Mariah mulai memberi respons yang baik.

“Ada empat semester lagi.”

“Dua tahun lagi. Saya doakan awak berjaya, Mariah.”

“Terima kasih, En...”

“Azizan... atau awak panggil saya abang. Umur awak pun jauh lebih muda.” Tiba-tiba idea itu muncul dalam benaknya.

Abang? Perasaan Mariah kembali tidak keruan.

“Tamat ijazah nanti elok awak sambung lagi buat sarjana,” usul Azizan. Entah mengapa kata-kata itu meluncur laju daripada bibirnya.

“Saya nak kerja dulu. Nak bantu keluarga. Kami orang susah. Kalau ada rezeki, saya sambung kemudian,” ujar Mariah. Dia tidak akan berasa malu, itu adalah kenyataan.

Azizan tersenyum. “Saya faham. Bila nak balik KL?”

“Sepatutnya esok balik tapi Sofina nak sambung sampai hujung minggu.”

“Hmm, agaknya dia nak bagi saya peluang jumpa awak lagi, kan?” Azizan sengaja mengusik.

Mariah tersenyum. Dia tahu Azizan bergurau. Rasa canggungnya beransur lenyap. Mariah akui dalam hati, dia menyenangi sikap Azizan. Hati gadisnya berasa sungguh kagum terhadap Azizan. Seorang lelaki yang tampan. Senyumannya memang memikat. Matanya bersinar dengan kening yang hitam lebat. Hati suci Mariah memuji lelaki itu dengan ikhlas.


PERTEMUAN itu tidak berakhir di situ. Terlalu mudah bagi Azizan untuk mencari Mariah di universiti. Petang itu, selesai saja kuliah Mariah terus ke perpustakaan. Tidak lama kemudian dia menerima pesanan ringkas daripada Azizan.

Sejam kemudian Azizan datang menjemputnya. Tanpa bertanya ke mana arah tujuan dirinya dibawa, Mariah terleka. Perasaannya terbuai seketika. Berduaan dengan Azizan, dalam sebuah kereta mewah. Selepas pertemuan di Johor Bahru, dia tidak pernah mengharap pun Azizan akan menemuinya lagi.

“Awak suka belajar kat sini? Jauh daripada keluarga awak,” tanya Azizan, tidak mahu keheningan menguasai keadaan.

“Saya tiada pilihan. Masa dapat tawaran tu saya dah buat rayuan berpindah ke UiTM Kota Kinabalu tapi tak berjaya.”

“Tak apa, Mariah. Anggap saja awak timba pengalaman. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Betul tak?”

Mariah tersenyum memandang Azizan. Diakuinya kata-kata lelaki itu. Meski baru dua tahun berada di tempat orang, bukan sedikit pengalaman hidup ditempuhnya. Bukan mudah baginya menyesuaikan diri. Terlalu banyak perkara perlu dia ketahui dan lakukan sendiri.

“Kadang-kadang ada baiknya berjauhan, Mariah. Kata orang, berjauhan perasaan rindu itu lebih kuat. Mengeratkan lagi hubungan bila bertemu,” sambung Azizan lagi.

“Jauh atau dekat... bila saya tak bersama papa, mama dan adik-adik saya rindu sangat. Rasanya saya nak balik aje, nak bersama dia orang.”

Azizan memandang sekilas wajah Mariah. Ada kesayuan dalam nada suara gadis itu.

“Awak balik cuti semester nanti?”

“Kalau ada duit lebih, saya balik. Kalau tak pun, saya duduk rumah saja,” kata Mariah jujur.

“Duduk rumah? Awak tak duduk di hostel ke?” tanya Azizan hairan, terjongket keningnya.

“Tak, kami duduk rumah sewa. Sofina ajak saya pindah dari hostel.”

“Kat mana?” tanya Azizan.

“Pangsapuri Seksyen 6, Shah Alam. Tuan rumah tu sangat baik hati.” Ringan sungguh mulutnya memberitahu.

Mariah menoleh ke sisi, menatap Azizan seketika. Pandangan mereka bertaut, Mariah tersenyum.

“Tuan rumah tu perempuan ke lelaki?” tanya Azizan dengan kerutan dahi.

Auntietu dah bersara. Umur dia 58 tahun tapi masih sihat. Dia selalu datang melawat.”

Azizan mengangguk-angguk. Puas hati dengan penjelasan Mariah.

“Jadi, nak duduk rumah sewa tu sampai tamat pengajian?” Azizan semakin ingin tahu.

“Agaknyalah. Rumah tu dah selesa. Kalau berpindah nanti kena sewa yang tinggi, saya tak mampu. Lainlah Sofina. Pangsapuri mewah pun dia mampu.” ‘Ah, aku ni banyak cakap pula!’ Bisik hati Mariah. Rasa malu mengguit tangkai hati Mariah.

Azizan tahu Mariah sentiasa memikirkan yang terbaik. Dia faham, Mariah membesar dalam suasana yang amat berbeza dengan Sofina. Mariah tidak bebas untuk melakukan sesuatu yang melibatkan soal kewangan. Bantuan yang Mariah terima setiap bulan digunakan secara berhemat.

“Selepas dari JB, awak belum balik ke Sabah ke?”

Mariah hairan. Belum sampai seminggu mereka bertemu di Johor Bahru, Azizan sudah berada di Kuala Lumpur pula.

“Saya tiba dari JB tengah hari tadi. Masih ada yang perlu saya urus kat KL. Lagipun saya nak jumpa Mariah.” Bibir Azizan mengukir senyuman. Selepas ini, tidak kira di mana pun Mariah berada, dia sendiri akan mengekori gadis itu.

Banyak tentang Mariah dalam peti rahsianya. Hati Azizan bersiul girang, Mariah yang begitu lama menjadi perhatian kini ada bersamanya. Peluangnya sudah terbuka luas. Dia tidak teragak-agak lagi.

Mariah tersenyum. “Apa hal pula nak jumpa saya? Saya dah tak kerja dengan Encik Arryl, tak urus apa-apa dokumen perjanjian pun.”

Ketawa Azizan meletus. Dipandangnya wajah gadis yang itu. Mariah sudah pandai bergurau dengannya.

“Awak nak bawa saya ke mana?” Setelah jauh perjalanan, Mariah baru tertanya.

“Hmm, awak agak-agak saya nak bawa awak ke mana?”

Mariah menelan liur. Rasa malu menyerbu. Silapnya kerana tidak bertanya terlebih dahulu tadi.

“Jangan risau... saya hanya perlu teman untuk makan. Itu saja!” Azizan ketawa lagi.

Mariah menoleh ke sisi. Ditatap seketika wajah Azizan yang masih ketawa. Azizan mengenakan dia. Tersungging senyum tipis di bibirnya. Tapi dia akui kesilapannya. Mujur Azizan lelaki yang baik tetapi jika sebaliknya? Namun, mengapa dia boleh meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap lelaki itu walhal dia tidak mengenali lelaki itu sepenuhnya? Tidak banyak arah jalan dan tempat yang diketahuinya melainkan yang berhampiran UiTM dan sekitar tempat tinggalnya.

“Mariah...”

“Ya?”

“Awak tersinggung? Saya bergurau saja, Mariah.”

“Saya tahu. Cuma...”

“Jangan risau, Mariah. Bagaimana keadaan awak semasa saya jemput, begitu jugalah keadaan awak semasa saya hantar balik. Okey?” Azizan menghela nafas.

Mariah bungkam. Azizan bagaikan dapat membaca fikirannya saat ini.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan