Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,875
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

BERDEBAR-DEBAR dadanya sejak menerima surat itu 15 minit yang lalu. Dibelek sampul surat itu. Memang nama penuhnya yang tercetak di bahagian tengah sampul warna putih bersaiz A4 itu.

“Bismillahirahmanirahim...” lafaz Mariah sambil mencarik hujung sampul itu berhati-hati.

Sekeping kertas yang berlipat dua dibuka. Dibacanya kandungan surat itu di dalam hati. Sungguh dia ingin melonjak-lonjak saat itu. Dia tersenyum lalu ketawa perlahan.

“Ya ALLAH... Syukur alhamdulillah,” ucap Mariah lantas melekapkan surat itu ke dadanya.

Setelah mendapat keputusan STPM, entah mengapa hatinya bagaikan diseru untuk mengisi borang permohonan secara online. Namun beberapa minit kemudian Mariah tidak pasti bagaimana perasaannya. Setelah berjaya, perasaannya berbaur pula. Gembira dan sedih, bercampur baur.

“Mariah...”

Mariah tersentak. Dia tergamam melihat majikannya yang sedang ralit memerhatikan dirinya. Sungguh jauh fikirannya melayang. Sebenarnya dia hanyut melayani perasaan sehingga tidak menyedari kedatangan Arryl. Dia tertangkap sedang mengelamun. Dek terkejut disapa begitu, Mariah tidak sempat menyembunyikan air mata yang bergenang daripada pandangan majikannya.

Arryl berkerut dahi. “Awak sakit ke, Mariah?”

“Tidak, Encik Arryl.” Mariah pantas menyeka tubir matanya.

“Ada masalah lain?” tanya Arryl lagi, mengambil berat.

“Tidak. Err... sebenarnya saya... saya...” Mariah gugup lantas mengusap pipinya. Sungguh serba salah.

“Mariah, kalau ada masalah jangan dipendamkan, tak elok. Ada apa sebenarnya?” tanya Arryl lagi.

“Tak ada apa-apa, Encik Arryl.”

Mata Arryl tertancap pada surat yang dipegang oleh Maria. Terjentik perasaannya ingin tahu. Surat apakah itu?  Bimbang juga hatinya jika gadis itu menerima surat ‘ugutan’ maklumlah pelanggan syarikat macam-macam perangai. Apa pun boleh berlaku!

“Surat apa yang awak pegang tu? Saya nak tengok,” pinta Arryl lantas menghulurkan tangan.

Mariah tergamam. “Encik Arryl, sebenarnya ini surat...”

“Tak mengapa... saya nak tengok saja,” pintas Arryl.

Mariah tiada pilihan lain lantas surat itu dihulurkan kepada Arryl. Arryl membaca hanya beberapa saat. Usai membaca, matanya menatap tepat wajah gadis itu.

“Tahniah, Mariah,” ucap Arryl sambil menghulurkan semula surat itu kepada Mariah.

“Terima kasih, Encik Arryl. Sebenarnya saya cuba memohon saja. Tak sangka pula dapat tawaran.” jelas Mariah.

“Awak layak masuk universiti, Mariah. Nampaknya saya terpaksa iklankan lagi jawatan setiausaha ni,” kata Arryl lantas ketawa.

Mariah bungkam. Memang dia gembira kerana diterima masuk ke UiTM Shah Alam, Selangor. Tetapi mustahil dia mampu sampai ke sana tanpa sebarang sokongan kewangan.

“Awak tak gembira dapat sambung belajar?” tanya Arryl bila Mariah tidak teruja malah wajahnya kian mendung.

“Gembira Encik Arryl. Tapi... saya tak dapat pergi.” Mariah menatap sayu pada surat yang dia letakkan di hadapannya.

“Tak dapat pergi? Maksudnya, awak tolak tawaran tu?  Awak dah diterima masuk, takkan nak tolak? Ramai yang berebut-rebut nak dapat peluang macam ni... awak pula nak tolak?” 

Arryl seperti berhujah. Berkerut-kerut dahinya.  Sebenarnya dia terkejut. Mariah ingin menolak tawaran keemasan seperti ini? Bukankah itu menolak tuah namanya?

“Saya tahu... tapi saya tak mampu membiayai pengajian nanti. Keluarga saya orang susah, Encik Arryl. Tak apalah, saya rasa bertuah sebab saya diterima masuk ke IPTA walaupun saya tak mampu meneruskannya. Bukan rezeki saya, Encik Arryl” Mariah menatap sampul surat di atas mejanya dengan perasaan sayu.

Arryl termangu. Kata-kata sayu gadis itu menerbitkan rasa simpati. Serta-merta seluruh jiwanya berasa insaf atas kekurangan orang lain. Mungkin keluarga Mariah hanyalah segelintir daripada orang yang hidup dalam serba kekurangan.  Dia tahu, ramai lagi golongan kurang mampu di luar sana.

“Jangan putus asa. Kuatkan semangat awak untuk melanjutkan pelajaran. Awak boleh mohon biasiswa atau pinjaman PTPN. Banyak lagi cara yang boleh diikhtiarkan.”

Mariah hanya mengangguk. Bibirnya tersenyum nipis.  Serba sedikit kata-kata Aryll itu menyuntik semangat dalam dirinya. Meskipun harapannya terlalu tipis namun hati kecilnya masih berharap akan ada sedikit cahaya terang mampu menerangi jalannya mencapai cita-cita.

“Jangan risau, Mariah. Adakalanya jalan yang sukar itu akan dipermudahkan ALLAH. Bersabar dan banyakkan berdoa. Nanti saya fikirkan apa yang dapat dibantu, okey?”

Arryl tersenyum, wajah Mariah yang sayu ditatap sesaat. Dia berlalu masuk ke bilik kerjanya. 

Mariah meneruskan tugasnya dengan fikiran yang masih berputar-putar. Jika angannya melanjutkan pelajaran tercapai, alangkah seronoknya. Apapun dia pasrah pada ketentuan-NYA kerana rezeki itu telah pun ditetapkan. Dia tahu, dia tidak boleh mementingkan diri sendiri. Adik-adiknya masih perlu dibantu. Beban papanya perlu diringankan.

Tatkala menyedari Arryl keluar semula dari biliknya, Mariah menegakkan tubuh. Sejak tadi dia duduk bagaikan cacing kepanasan meskipun berusaha menenangkan hatinya.

“Mariah, petang ini saya ada temu janji tak?”

“Tidak ada, Encik Arryl.”

“Okey, saya nak keluar lebih awal jumpaclientdi luar.”

“Baiklah, Encik Arryl.”

“Selesai awak buat surat ni, kelipkan atas fail dan letak atas meja saya sebelum awak balik, ya. Saya keluar dulu.”

Arryl meletakkan sebuah fail di atas meja gadis itu. Mariah segera mengangguk. “Okey, Encik Arryl.” Bibirnya mengukir senyuman ramah.

Arryl berlalu namun setelah tiga langkah dia berpaling.

“Mariah, nanti saya cari jalan supaya awak boleh sambung belajar. Awak jangan bersedih lagi. Saya pergi dulu.”

Mariah tidak sempat menjawab, Arryl sudah melangkah panjang. Dia hanya mampu menatap tubuh Arryl hilang di sebalik pintu. Kata-kata Arryl difikirkan seketika namun mindanya tidak mampu mentafsir maksud majikannya.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan