Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,560
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 24

LAMA Azrina merenung wajah kembarnya. Sejak tiba dari Johor Bahru semalam, Azizan tidak banyak bercakap. Namun dia yakin, Azizan tidak mengalami sebarang masalah. Wajah itu kelihatan ceria dan bercahaya. Bukankah itu tandanya Azizan sedang gembira?

“Kenapa Rina asyik renung muka Izan ni? Ada yang tak kena ke? Atau Izan ada buat salah?” Sejak dari tadi dia menyedari Azrina asyik memandangnya.

“Ingatkan dah tak peka pada keadaan sekeliling,” sindir Azrina.

“Izan sedang menikmati keindahan halaman rumah kita ni.” Azizan memanjangkan leher, berpura-pura memandang halaman rumah mereka yang luas dan indah landskapnya.

“Halaman kita masih seperti dulu, Rina. Masih cantik...bersih.” Azizan tersenyum. Wajah Azrina dipandang seketika.

“Eleh! Nak tukar ceritalah tu, kan?” Azrina mencebik.

“Tak adalah, Rina.” Azizan berdiri lalu meninjau-ninjau ke halaman.

“Hah, Rina tengok kat sana tu... pokok bunga yang Izan taman masa kecik dulu masih hidup lagi rupanya. Ada beberapa pokok tu, Izan yang taman sendiri tau tapi dah tak berapa cantik sekarang. Daun pun tumbuh jarang-jarang.

"Dah tua agaknya... macam Izan jugak!”

Azrina ketawa dengan gelagat lucu Azizan. “Merepeklah Izan ni!”

Azizan turut ketawa. Azrina masih ketawa. Jarang Azrina ketawa seperti itu. Wajahnya yang sering murung itu pun kini tampak mulai berseri. Syukur alhamdulillah! Ucap Azizan dalam hati.

“Izan...” panggil Azrina.

“Ada apa Rina? Dari tadi macam ada sesuatu yang Rina nak cakap.” Ditatap kakak kembarnya itu.

“Izan dah ada girlfriend ke?”

Azizan terhenyak seketika. Azrina sudah tahu atau serkap jarang saja? Bulat matanya menatap wajah kembarnya. Saat itu wajah ayu Mariah terbayang di tubir matanya. Mengingati Mariah seakan-akan ada bongkah dalam dadanya.

“Dari riak muka Izan tu pun Rina dapat baca fikiran Izan.  Izan dah ada buah hati, kan?” Azrina tersenyum tipis.

“Sejak bila pula Rina jadi tukang tilik? Ada-ada aje Rina ni.”

“Tak payah nak berdalih. Mengaku sajalah,” desak Azrina.

“Nak mengaku apa, Rina? Tak adalah.”

“Izan ni memang! Tak sudi kongsi cerita tentang Izan pada Rina.”

Azrina mengeluh. Dia tahu, Azizan banyak menyimpan cerita malah memendam perasaan. Sejak ingatannya pulih, Azrina berusaha untuk memahami dan menyelami kesukaran yang pernah Azizan alami selama ini. Dahulu, dia dan Azizan sangat rapat. Segala-galanya dikongsi bersama. Apa yang diterimanya daripada ayah dan ibu, itu jugalah yang Azizan akan dapat. Tidak ada yang lebih dan kurang. Tetapi itu sebelum tragedi hitam terjadi kepada keluarga mereka.

“Rina...” panggil Azizan. Surut keceriaan wajah kembarnya.

“Alah... perkara kecik macam ini pun Rina dah muram.” sambung Azizan.

Azrina tersenyum nipis sambil menggeleng. “Tak adalah. Syarikat kat Kota Kinabalu, okey?” tanya Azrina, mengalihkan bicara.

“Okey, Rina. Ada tiga tender kita berjaya dapat sebab tu Izan agak sibuk. Itu projek baharu, ada empat projek masih in progess. Tapi, Izan tetap balik ke sini jenguk Rina, papa dengan mama. Rina jangan risau, okey.”

Dalam sebulan, Azizan berusaha membahagikan masanya. Sekurang-kurangnya ada seminggu baginya menjenguk syarikat induk di Kuala Lumpur dan keluarganya.

“Tak apalah Izan, Rina faham. Rina tahu, tanggungjawab Izan terlalu besar. Rina hanya kesian kat Izan.” kata Azrina.

Dia sedar, dia tidak boleh menuntut perhatian yang lebih.  Cukuplah pengorbanan keluarganya selama ini.

“Esok Rina ada temujanji dengan Dr. Rahman. Izan hantar Rina, okey?”

“Izan tak sibuk esok? Tak nak jenguk pejabat?” tanya Azrina. Wajahnya kembali ceria.

“Izan sedang cuti, Rina. Nak rehat sehari esok saja. Kat Kota Kinabalu fikirkan kerja, kat Johor Bahru fikirkan projek.  Kat Kuala Lumpur pun sama. Lama-kelamaan fius otak Izan terbakar,overload!”

“Itulah... asyik fikir nak tambah kekayaan. Harta ni semua untuk tujuh keturunan pun tak habis makan! Rina tengok Izan macam dah lupa kepentingan diri, tak ingat hal peribadi.”

“Rina tak usah risau pasal Izan. Izan ni dah tua, Rina.”

Azizan ketawa. Azrina turut ketawa sama.

“Lama pula mama mesyuarat, kan? Dah hampir pukul 6.00 petang ni. Mama belum pulang lagi,” ujar Azizan setelah berhenti ketawa. Dia menatap jam tangannya.

“Tak tahulah. Sebenarnya mama tak nak pergi tu tapi Datin Seri Soraya tu berkali-kali telefon mama. Mama tak sampai hati menolak lagi,” beritahu Azrina.

“Tapi kalau mama tak suka... mama tak perlulah susah-susahkan diri.”

“Sebenarnya, Rina yang pujuk mama supaya aktif semula dalam persatuan. Rina tak mahu mama duduk di rumah sepanjang masa dan asyik tengok muka Rina ni. Rina dah sihat, tak mahulah mama susah uruskan Rina lagi.”

Azrina bersungguh ingin ‘hidup’ kembali. Ingin dilupakan segala kenangan lalu yang pernah ‘menghitamkan’ perjalanan hidupnya. Dia telah menyusahkan dan membebankan semua ahli keluarganya. Tidak tertanggung rasa bersalah yang menjadi beban dalam dirinya. Sungguh, bagaimana dia meneruskan hidup hingga ke nafas terakhirnya dengan aman jika rasa terkilan dan bersalah itu sentiasa bergumpal dalam jiwanya?

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan