LAMPU suluh yang diikat kemas pada dahinya tiba-tiba
berkelip beberapa kali lalu terpadam. Tawin hampir tersungkur berhampiran pokok
getah bila kakinya tersangkut pada akar yang menjalar di permukaan tanah. Andai
lengannya tidak sempat berpaut pada sebatang pokok renek, sudah pasti dia jatuh
telungkup.
Tawin terengah-engah, sungguh terkejut
meskipun perkara seperti tadi sering berlaku. Dia terduduk dalam gelap,
menenangkan diri seketika agar rasa terkejutnya surut. Lampu suluh yang terikat
pada dahinya ditanggalkan. Terpadam
dengan tiba-tiba, mentol itu pasti sudah rosak.
“Rosak lagi mentol ni!” Tawin mengomel.
Dia mendengus lantas menyeluk beg sandangnya.
Sebiji mentol kecil dikeluarkan lalu dipasangkan pada lampu suluh yang sudah
ditanggalkan mentolnya. Kerap kali mentol lampu suluhnya mati tiba-tiba.
Mungkin kerana mentol yangdibelinya tidak
berkualiti. Mentol yang murah!
Selepas mentol itu diketatkan, dihidupkan lampu suluhnya.
Terang nyalanya. Dia mengeluh sekali lagi.
Hatinya bersyukur lampu suluh itu masih elok lagi, masih boleh
membantu. Dalam kepekatan Subuh yang
dingin itu dia keseorangan di
tengah-tengah kebun getah yang
kelihatan seperti hutan belantara.
Tanah kebun getah itu tidak rata. Dia terpaksa naik turun
bukit. Meskipun tidak terlalu tinggi tetapi sudah cukup menguji ketahanan
tubuhnya yang sudah berusia. Namun dia
tidak pernah bosan dengan kerjanya. Rutin menoreh itu dilakukannya semenjak
usia remaja lagi. Sudah lali menempuh pelbagai keadaan, saban Subuh dia
terkedek-kedek dalam kebun getah yang luasnya lebih tiga hektar itu. Tidak
pernah culas kecuali hujan menimpa bumi.
Tawin meneruskan kerjanya. Lampu suluh akan dipadamkan
tatkala sang suria menyapa bumi. Walau kudratnya tidak setangkas dan cergas
seperti sepuluh tahun yang lalu, namun Tawin tetap mampu menyiapkan kerja menoreh
sebelum matahari tegak di atas kepala.
Setengah hari dia memanfaatkan kudrat, dan akhirnya dia
berteduh di pondok usang di kebun getah itu. Berehat sebentar, melepaskan
lelahnya dalam setengah jam. Dia mendongak. Dari celah-celah atap nipah dia
dapat melihat pancaran matahari kian terik. Matanya memandang ke sisi,
tertancap pada beg sandang yang sudah terlalu lusuh. Dikeluarkan botol air dari beg sandangnya
itu.
Dia menarik nafas lebih panjang dan dilepaskan melalui mulut.
Meski kerja itu sudah sebati dengan dirinya namun bohonglah jika dia katakan
dia tidak letih setiap hari. Namun digagahkan dirinya, segala keperluan
keluarga terpikul di bahunya. Hidup keluarganya bergantung pada kudratnya. Namun sudah tentu dia tidak mampu memenuhi
segala keperluan dengan sempurna.
Dalam kelelahan, Tawin melontarkan fikirannya mencari wajah
anak perempuan sulungnya. Terbayang betapa tenangnya wajah anak gadisnya itu
ketika menyediakan sarapan Subuh tadi. Tawin tahu perasaan anaknya sedang mendung.
Kasihan Mariah.
“Minum pa...” Nada suara itu tetap lembut seperti selalunya.
Penuh sopan meletakkan secawan kopi dan sepinggan kecil nasi goreng di
hadapannya.
Bermula hari ini, Mariah tidak lagi sibuk bergelut dengan
masa untuk menyediakan sarapan. Tidak lagi tergesagesa menyeru nama
adik-adiknya supaya bangun Subuh dan tidak lagi bergegas bersiap untuk ke
sekolah. Bermula hari ini juga, Mariah hanya mengurus adik-adiknya yang masih perlu
meneruskan perjuangan menuntut ilmu.
Tawin mengeluh keras sambil telapak tangan kanannya diurut-urutkan
ke dadanya. Sesungguhnya, tidak sekelumit pun dia berasa senang hati dengan
pengorbanan Mariah yang
sanggup beralah kerana memberi laluan kepada
adik-adiknya. Tawin sedih kerana ketidakmampuannya hingga Mariah terpaksa
melepaskan peluang mengejar cita-citanya. Akan berkecil hatikah Mariah
terhadapnya?
Benaknya sarat ketika turun dari pondok usangnya. Dia
perlu menyelesaikan kerjanya, memungut susu getah. Tugasnya selesai setelah matahari mulai
condong ke arah barat.
MALAM itu, Tawin duduk bersila menghadap makan malam yang
sangat ringkas. Ikan sungai rebus kunyit dan tumis pucuk ubi yang ditumis
bersama ikan bilis. Namun anak-anaknya tidak pernah mengeluh dan merungut
menghadap rezeki seperti itu setiap hari. Ada kalanya lauk mereka sekeluarga
hanya telur dadar atau telur rebus bersama sejenis sayur pun sudah memadai.
Mereka sekeluarga tetap menikmati rezeki itu penuh kesyukuran.
Namun suasana malam ini ada kelainan, sungguh terasa. Isteri dan anak-anak diam menyepi.
Kebiasaannya anak bongsunya, Amizan sedikit kecoh sebelum mereka makan. Amizan
tidak duduk diam jika belum mengusik kakaknya, Adila. Suara anak berdua itu pun
sudah cukup memenuhi ruang makan. Malam ini mereka senyap sahaja.
“Milah, mana Mariah? Kenapa tak ajak makan sekali?” tanya
Tawin. Sejak tadi dia tertunggu-tunggu anaknya itu tapi tidak juga muncul.
“Mariah ada di dalam bilik tu, bang,” sahut Milah.
Tawin memandang anak-anaknya yang lain. Hanya empat orang
yang duduk mengelilingi hidangan. Jarang Mariah tidak makan malam bersama
mereka. Tawin tahu sayur pucuk ubi bercampur ikan bilis itu kegemaran Maria.
“Dila, pergi panggil kakak,” arah Tawin.
Adila bingkas lalu melangkah panjang ke bilik tidur. Seminit
kemudian Adila kembali dan terus duduk di atas tikar mengalas lantai di sebelah
Tawin.
“Papa, Kak Mariah kata dia tak lapar.”
“Emm... tak mengapalah. Atina, simpan sikit lauk untuk kakak.
Lapar nanti dia boleh makan,” pesan Tawin sambil memandang seorang lagi anak gadisnya.
“Alah... makanan ni bukannya kita makan habis pun, papa,”
jawab Atina.
Pantas Tawin mengangkat mukanya, menatap wajah selamba
anak gadisnya itu. Namun mulutnya terkatup rapat. Tatkala Adila berdiri lagi, Tawin menunduk
melihat nasi di dalam pinggannya yang belum bersentuh. Setelah lauk dan sayur
untuk Mariah diasingkan barulah Tawin menyuap nasi ke mulutnya. Ruang makan
yang selalunya riuh kini senyap dan sepi sahaja.
Ketika malam kian larut, anak-anaknya sudah lama nyenyak
dibuai mimpi, Tawin masih terkebil-kebil merenung atap rumah tanpa lapisan
siling di bilik tidurnya. Perlahan-lahan
dia, mengiring memandang isterinya. Mata Milah juga masih
terbuka luas seperti matanya.
“Abang tak boleh tidur, Milah.”
“Milah pun, bang,” jawab Milah.
Fikiran mereka berdua sebenarnya sehala lalu bercantum menjadi
satu. Hanya memikirkan hal Mariah. Anak gadis mereka yang sedang bersedih
hingga tidak lalu makan. Rasa bersalah menghimpit perasaan Tawin. Kekurangan dan
kesempitan hidup mereka memaksa Mariah membuat keputusan berhenti belajar.
Kasihan Mariah!
“Bang...”
“Ya?”
“Milah sedih, bang. Milah kasihankan Mariah tu. Anak kita
tu masih nak belajar lagi tapi terpaksa berhenti pula. Milah tahu Mariah sedih.” Milah berbisik.
“Abang tahu,” jawab Tawin seakan mengeluh. Tawin bangun dan duduk bersila. Sebenarnya
dia juga sedih kerana terpaksa menghampakan harapan anaknya.
Semenjak kecil Mariah begitu pintar. Tawin tahu kebolehan
anaknya. Setiap kali menerima kad laporan kemajuan, guru kelas pasti memuji,
Mariah sering mendapat keputusan yang cemerlang. Dia juga amat bangga dan
bersyukur Mariah mendapat keputusan SPM yang cemerlang. Meski dia tidak pernah
bersekolah tinggi tetapi dia faham apa yang diberitahu oleh guru kepadanya.
“Milah, kalaulah abang tak miskin tentu anak-anak kita tidak
susah, kan?” keluh Tawin.
Milah bangun lalu duduk menghadap suaminya. Tawin menghela
nafas agak keras. Milah faham apa yang bersarang dalam fikiran suaminya tika itu.
Sudah beberapa hari fikiran mereka buntu. Memikirkan Mariah. Sebak rasa dadanya.
Tidak banyak dapat dia lakukan bagi meringankan bebanan suaminya jika berkaitan
soal kewangan. Dia sudah berusaha
meminimumkan perbelanjaan harian. Sesungguhnya bebanan
Tawin bebanannya jua.
Semenjak mendirikan rumah tangga dan dikurniakan anak
seorang hinggalah lima orang, Milah berusaha meringankan suaminya. Memanglah
dia tidak mampu melakukan kerja-kerja yang boleh menghasilkan pendapatan. Setakat bertanam sayur, pokok betik dan
menternak ayam dan itik, Milah ringankan tulang apatah lagi anak-anak pandai
membantu. Tanah di belakang rumah mereka subur belaka, beberapa jenis sayuran
tumbuh subur dan segar. Jiran-jiran merekalah yang menjadi pelanggan
sayur-sayuran dan buah betiknya. Hasil jualan itu dapatlah dibelanjakan serba
sedikit keperluan dapur.
“Abang tahu Milah... walau reput pun tulang abang ni, abang
tidak akan mampu beri kesenangan pada Milah dan anak-anak. ALLAH tidak beri
abang peluang jadi senang, Milah.” Tawin mengeluh berat.
Milah segera beristighfar. “Bang, jangan cakap macam tu.
ALLAH itu adil, bang. Ini sebahagian kecil saja dari dugaan-NYA. Kita masih
boleh berusaha.” Milah tidak mahu
hati suaminya digelut kesal.
“Entahlah Milah, abang rasa macam tidak berdaya. Milah dan
anak-anak terpaksa hidup susah sebab abang ni miskin. Abang tak mampu beri kesenangan kepada
keluarga padahal
abang sudah sangat berusaha...”
“Abang...”
“Mariah mesti sakit hati pada kita, kan Milah?”
“Abang, Mariah tu anak yang baik, dia tidak akan macam tu.
Abang janganlah risau. Mariah akan faham keadaan kita, bang.” Milah memujuk
sekali gus memujuk hatinya sendiri. Milah sebak. Selama ini betapa susah pun
mereka, Tawin tidak pernah berasa kesal seperti itu. Ah, bagaimana tidak kesal
jika anak sebaik dan sepintar Mariah rela berhenti sekolah demi memberi laluan
kepada adik-adiknya. Kecewa Mariah turut Milah rasai. Tanpa sedar air mata
Milah mengalir jatuh ke pipi.
“Milah, abang memang tak mampu sekolahkan Mariah ke
peringkat lebih tinggi seperti yang dia cita-citakan. Kita perlu sediakan duit.
Apa pun Anding mesti dapatkan rawatan terapi di hospital besar. Belanja
seminggu sekali ke bandar bukannya murah. Kita sangat kesempitan duit, Milah,”
kata Tawin berbisik sayu.
Milah mengiakan kata-kata suaminya melalui anggukan yang
lemah. Sebagai ibu, perasaannya turut sakit. Hati pedih bagai dihiris-hiris.
Selama ini dia membayangkan Mariah
akan dapat belajar sehingga ke peringkat universiti
kerana sering cemerlang dalam peperiksaan. Dia tahu anak gadisnya bercita-cita
tinggi. Manusia hanya mampu merancang, tapi DIA juga yang menentukan segalanya.
“Tak mengapalah, bang. Kita utamakan rawatan Anding dahulu.
Mariah tu tentu faham. Dia sayang sangat kat abang dia tu. Semoga dia sabar
terima keadaan kita ini.”
Simpatinya bukan hanya melimpah buat Mariah tetapi juga
pada suaminya. Doanya tidak putus-putus, semoga suaminya tetap bersemangat dan
tetap tabah. Doanya panjang memohon kesejahteraan, kedamaian dan rezeki buat keluarganya
yang tercinta.
Tawin perlahan-lahan melurut tubuh, berbaring terlentang
tanpa bicara lagi. Milah menatap seketika suaminya. Setelah lebih 25 tahun
menjadi isteri kepada lelaki itu, Milah terasa kasih dan sayangnya pada Tawin tidak
pernah surut. Meski Tawin tidak mampu memberi kemewahan sepanjang usia
perkahwinan mereka namun Milah sungguh bahagia di sisi lelaki itu.
Mereka berdua memiliki harta yang tidak ternilai yang
sungguh sempurna. Anding, Mariah, Atina, Adila dan Amizan. Itulah harta dunia
yang tidak ternilai harganya milik mereka berdua. Milah mengucap syukur sebelum
matanya dipejamkan. Namun, tidurnya bertemankan air mata.