Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,882
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

MARIAH tertunduk, menatap kosong pada jari-jemarinya yang runcing di atas pangkuannya. Dia tahu, Ramli sedang ralit memerhati dirinya. Lelaki itu menghela nafas disertai keluhan berat.

“Mariah, tolong fikirkan lagi perkara ini. Tidak perlulah ambil keputusan...”

“Encik Ramli, saya sudah fikir panjang. Saya tetap nak berhenti kerja. Maafkan saya...” sanggah Mariah.

“Sekarang bukan mudah cari kerja, Mariah. Lagipun perselisihan itu sudah selesai dalam mesyuarat tempoh hari.”

“Saya masih ada harga diri untuk dipertahankan. Saya tak mahu maruah saya dipijak-pijak. Ada yang tidak senang hati saya bekerja di sini. Saya bimbang saya kehilangan kesabaran. Sebelum perasaan saya bertambah hancur eloklah saya berundur,” balas Mariah tanpa sedar menjulang ego.

“Mariah!”

“Maafkan saya, Encik Ramli.”

Ramli terpegun sejenak. Direnung wajah ayu itu, cuba membaca dan memahami perasaan Mariah saat itu. Fikirannya membayangkan betapa banyak tekanan yang ditanggung oleh Mariah. Kerja yang berlambak-lambak, sering pula diminta menyiapkan kerja dengan segera. Sering menghadap ketidakpuasan hatinya, memarahi gadis itu tanpa perasaan. Mariah juga sering menghadap ketidaksenangan Helen. Setelah pelbagai perkara berlaku terhadap Mariah mungkin telah melemahkan semangat gadis itu untuk terus bekerja dalam syarikat itu. Pokoknya Mariah sudah berputus asa! Begitulah tanggapan Ramli.

Ramli terkilan. Mariah membulatkan keputusan berhenti kerja pada ketika dia memerlukan seseorang yang mampu membantunya. Sesungguhnya dia akui, Mariah berjaya memenuhi kriteria pekerja yang dia perlukan. Sebelum kedatangan Mariah, dia sudah puas  berhadapan dengan karenah kakitangan di bawahnya. Ramli tahu Mariah dilantik hanya sebagai kerani namun kerja-kerja yang diberikan kadangkala melebihi dari hadnya.

Bukan niatnya hendak menyusahkan dan membebankan Mariah dengan timbunan kerja tetapi dia tiada pilihan. Dia terlalu sibuk namun bukan bermakna dia tidak pernah bersyukur dengan adanya Mariah. Namun dia insan biasa, tekanan kerja menyebabkan dia adakalanya hilang kawalan perasaan. Sejak mula bekerja memang diakuinya

“Mariah, bukan mudah dapat pekerja yang mahir. Awak pun tahu, saya perlukan bantuan awak sebab awak sangat memahami cara kerja saya. Bagaimana saya nak dapatkan pekerja seperti awak?” luah Ramli, julung-julung kalinya.

Mariah memberanikan diri mengangkat wajahnya. Ramli tertunduk seketika, menghayati kembali setiap patah perkataannya lantas menyedari kata-katanya amat mementingkan diri. Hakikatnya, dia bakal kehilangan ‘aset’ yang banyak memberi sumbangan padanya. Ramli memicit tengkuknya perlahan sambil mengeluh.

“Saya akan kehilangan awak,” luah Ramli separuh sedar.

“Encik Ramli...”

Serta-merta Ramli mengusap wajahnya. Nanar sedetik, terkejut meluahkan kata-kata itu. Sungguh dia tidak menyangka keputusan Mariah meletak jawatan akan membuatkan dia bingung.

“Err, saya minta maafkan saya, Mariah.”

“Tak mengapa, Encik Ramli. Saya faham. Saya yang harus minta maaf. Saya menyesal kerana menyusahkan Encik Ramli tapi percayalah... bukan ini kehendak saya.”

Ramli kelu, terasa dadanya seperti dipalu, rasa kesal semakin menghimpit. Dihelanya nafas, cuba melegakan ruang dada.

“Awak dah dapat kerja di tempat lain ke?” tanya Ramli.

Terlintas di benaknya gadis itu mungkin mendapat tawaran gaji yang lebih lumayan di syarikat lain. Dia sanggup menambah jumlah gaji gadis itu asalkan Mariah sanggup bertahan.

Fail peribadi gadis itu kaku di hadapannya. Sudah diselongkar segala dokumen peribadi sebelum gadis itu dipanggil masuk menghadapnya. Mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM, mulanya dia sungguh hairan mengapa keputusan sebagus itu dibawa melamar pekerjaan hanya sebagai kerani. Mengapa Mariah itu tidak melanjutkan pelajaran walhal dia layak menempatkan diri di mana-mana universiti atau kolej di seluruh Malaysia?

Mariah menggeleng. Jika sudah ada pekerjaan yang sedia menyambut dirinya tidaklah dia resah gelisah saban hari. Meski keputusan berhenti kerja itu keputusan muktamadnya tidak bermakna dia gembira dengan keputusannya itu. Namun dia berserah, jika takdir dan rezeki menyebelahi dirinya, dia yakinkan segala-galanya akan menjadi lebih baik.

“Apa yang awak hendak buat selepas ni, Mariah?” soal Ramli perlahan.

“Saya nak balik kampung untuk berehat. Kalau ada rezeki, saya akan kerja di mana-mana.”

Suara sayu Mariah semakin mengundang simpati hati lelaki Ramli. Lama tatapannya melekat pada raut wajah ayu itu. Ah, alangkah keras hati Mariah. Bisik hati Ramli yang diasak rasa kesal.

“Awak nak saya bantu? Ada beberapa syarikat milik kawan saya...”

Mariah menggelang. “Tak mengapalah. Saya tak mahu menyusahkan sesiapa. Terima kasih, Encik Ramli.”

Lelaki itu terasa seperti kehilangan sesuatu. Tidak pernah ini berlaku kepada dirinya. Seharian dia tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja-kerjanya. Apa pun yang dilakukannya akan terbantut. Fail-fail bertimbun, dokumen bertindih-tindih di atas mejanya. Tidak seperti selalu, tiba-tiba hari ini dia seakan-akan tidak tahu bagaimana harus memulakan kerjanya.

Sejak dua hari lalu, sebuah fail dalamin-traydipandang. Entah sudah berapa kali fail itu diselak dan dibaca isi kandungannya walhal sudah dihafalnya. Seolah-olah ia satu kes yang tertangguh. Kes itu seakan-akan lebih rumit daripada kes-kes yang perlu dibawa ke mahkamah. Perletakan jawatan Mariah menyebabkan dia nanar. Sungguh... dia terasa sangat kehilangan.


PELUH laju mengalir menyusuri tengkuknya. Sungguh rimas kerana tangannya tidak dapat menyeka peluh yang mengalir ke leher. Kedua-dua belah tangannya lenguh, ingin rasanya diheret sahaja begnya itu namun tidak mahu begnya rabak. Bas yang ditumpanginya dari bandar Kota Kinabalu menurunkannya di persimpangan jalan raya besar.

Bahunya malar dijongketkan agar dapat digeselkan ke pipi, menghalang peluh daripada terus mengalir ke leher. Dia tidak tahan, rasa menggelikan!

Mariah tersenyum lega tatkala melihat sebuah rumah di hadapannya. Rumah besar itu milik orang tua sahabatnya, Shimrul.

“Wah, orang dari bandar balik kampung. Apa khabar kau, Mariah?” sapa Shimrul sejurus mereka berbalas salam.

Shimrul terus mendapatkan Mariah lalu mencapai salah sebuah beg dari tangan Mariah dan diletakkan di atas meja. Mariah segera meletakkan sebuah lagi begnya di atas kerusi. Sakit kedua-dua belah tangannya menjinjing beg itu.

“Alhamdulillah, aku sihat. Aduh... penatnya!” Mariah mengeluh. Laju tangannya mengorek tisu dari beg sandangnya lalu menyeka peluh wajahnya.

“Itulah kalau dah jadi orang bandar, jalan sikit pun dah penat,” ejek Shimrul lalu ketawa.

“Beg aku tu yang berat, Shim,” balas Mariah masih termengah-mengah.

“Banyak baju kau bawa... macam orang lari dari rumah! Selalu kau balik bawa beg kecik saja, kan?” tanya Shimrul sambil meneliti dua buah beg besar Mariah.

“Aku memang lari dari rumah, Shim. Aku dah berhenti kerja. Itu yang aku bawa balik semua pakaian. Sue tak beritahu kau?” Mariah berterus terang.

“Kau berhenti kerja? Kenapa? Tak ada pula Sue beritahu aku.” Terjongket kening pemuda itu.

“Aku saja nak balik kampung, teringin toreh pokok getahlah pula. Bagus, kan?” seloroh Mariah sambil ketawa.

“Serius, Mariah!” Shimrul mengerutkan dahi, ditatapnya Mariah yang masih ketawa.

“Aku serius, Shim. Aku dah berhenti kerja. Nanti aku nak cari kerja lain. Jadi sementara ni aku nak rehat dulu,” balas Mariah ceria, tidak mahu memikirkan masalahnya sementara waktu itu.

Shimrul terangguk-angguk. Wajah Mariah yang kemerahan ditatapnya, masih ada renik peluh di dahi dan hidungnya yang mancung.

“Auntie ke mana, Shim? Aku tak nampak pun sejak tadi.” Mariah memanjangkan lehernya melihat ke dalam rumah namun kelibat ibu Shimrul tidak kelihatan.

“Mama ke pekan, beli barang dapur,” beritahu Shimrul.

“Kau duduk dulu, Mariah. Aku ambilkan kau air.”

“Eh, tak payah susah-susah.”

Namun dia tidak sempat menghalang, Shimrul sudah melangkah masuk ke dalam dapur. Seminit kemudian Shimrul keluar semula. 

“Nah, minumlah dulu. Air kosong aje.” Dihulurnya segelas air putih.

“Susahkan kau, Shim.” Mariah menyambut gelas itu.

"Terima kasih, Shim,” ucap Mariah lalu meneguk air itu sehingga separuh gelas.

“Oh ya, tahniah Mariah. Sue beritahu aku... kau lulus cemerlang peperiksaan STPM,” kata Shimrul ceria. Tiba-tiba dia teringat perbualannya dengan Sue semalam.

“Terima kasih. Aku berusaha buat yang terbaik, Shim.  Terima kasih juga pinjamkan aku nota kau. Syukurlah ada nota kau dan Cikgu Roslini. Itulah yang banyak membantu aku,” beritahu Mariah bersungguh.

“Sama-sama, Mariah. Sayang juga Cikgu Roslini pada kau, ya? Syukurlah.” 

Mariah ketawa. Terkenang betapa melonjaknya dia ketika menemui Cikgu Roslini dua bulan yang lalu. Tidak terkata ketika menerima semua nota mata pelajaran tingkatan enam daripada Cikgu Roslini. Hanya TUHAN sahaja yang dapat membalas budi baik bekas gurunya dan sahabatnya itu.

“Shim, bila kau nak sambung belajar?” tanya Mariah sambil melangkah perlahan.

“Aku dah dapat tawaran di UiTM Kota Kinabalu ini jugak. Bulan depan mendaftar.”

“Beruntung kau... tak macam aku ni. Lulus STPM pun belum tentu masuk universiti,” ujar Mariah perlahan.

“Kau kan dah lulus STPM, lepas ni kau dah boleh sambungstudy.” Shimrul memberi semangat.

“Entahlah, Shim. Aku tak berani mengharap. Kau pun tahu keadaan keluarga aku. Tak mengapalah, sijil tu aku boleh manfaatkan untuk mohon kerja ajelah.” Mariah ketawa.

Shimrul diam. Ditatapnya wajah Mariah yang tenang. Sesungguhnya dia amat bersyukur, dia memiliki segalagalanya.  Alangkah jauh berbeza corak kehidupan antara dia dengan Mariah. Bagai bumi dengan langit. Mengenali keluarga Mariah semenjak kecil lagi, dia tahu bagaimana kesempitan sering menghimpit keluarga itu.

“Shim, aku tumpangkan beg aku kat sini dulu. Petang nanti aku dengan Dila datang ambik, ya?”

“Aku tolong hantarkan. Tunggu sekejap, ya.”

Mariah terkebil-kebil. Shimrul sudah bergegas masuk ke dalam rumah. Kemudian keluar semula dengan segugus kunci di tangannya. Shimrul merapatkan daun pintu lalu menguncinya.

“Mari aku hantar kau balik.” Shimrul mengambil kedua-dua buah beg pakaian Mariah lalu diangkat ke arah kereta Vivanya.

“Maaflah. Menyusahkan kau pula.” ujar Mariah serba salah. Shimrul tersenyum.

“Perkara kecil saja, Mariah. Kau tu adik aku. Tak sampai hati aku tengok kau terkedek-kedek jalan kaki balik rumahkau.” 

Shimrul dan Mariah serentak ketawa.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan