AZIZAN menyambut sampul yang Syamsul hulurkan
kepadanya. Sampul sederhana besar
itu ditatapnya seketika. Azizan tahu kandungan sampul
itu, benda yang amat dia perlukan. Sampul itu bukan yang pertama diterimanya
tetapi sudah berpuluh-puluh jumlahnya dalam tempoh hampir setahun. Dia tidak pernah
berputus asa. Biar beratus-ratus sampul berisi dengan benda yang sama, dia tidak
kisah. Dia perlu melakukannya dan yakin usahanya itu pasti mendatangkan hasil.
“Kau tengoklah dulu gambar tu.”
Dengan bibir yang tersenyum nipis, Azizan
mengeluarkan kesemua isi sampul itu dengan sabar. Matanya galak merenung pada
kepingan-kepingan gambar di tangannya. Hampir tidak berkedip matanya. Ada
sesuatu yang terbuku dalam dadanya. Adakalanya dia ingin menamatkan saja segalanya,
tidak sanggup meneruskan rancangannya. Namun
setiap kali wajah pucat Azrina yang amat disayangi sentiasa terbayang di
pelupuk mata. Dadanya bagaikan menggelodak lalu terasa amat sakit.
Syamsul hanya memerhati gelagat Azizan. Sudah lama dia
diminta melakukan kerja yang dia sendiri tidak pasti tujuannya. Bukan tidak
pernah bertanya tetapi Azizan hanya tersenyum dan memintanya bersabar. Semuanya
akan berakhir tidak lama lagi, itu kata Azizan.
“Agaknya semakin kuat tarikan gambar itu Izan,” usik Syamsul.
Azizan mendongak, pandangan matanya beralih ke wajah Syamsul.
“Kau cakap apa tadi, Syam?” tanyanya.
“Itulah... asyik sangat. Aku kata, tataplah gambar itu sehingga
kau yakin yang kau dah jatuh cinta kat gadis tu 100 peratus, dengar?” kata
Syamsul sambil ketawa mengusik.
“Apalah kau ni Syam!” balas Azizan sambil tersengih.
Azizan memasukkan semula kesemua gambar itu ke dalam sampul.
Wajah Syamsul dipandang. Lelaki itu tersenyum-senyum.
“Aku ni lelaki, aku faham perasaan kau. Mana ada lelakinormal
tak terjatuh hati pada gadis secantik
tu. Lagipun...takkan kau simpan koleksi tanpa tujuan? Kau minta akujadi
pengintip... aku tak percaya kau berniat
jahat pada dia. Betul tak?” tanya Syamsul sambil menegakkan tubuhnya. Jari telunjuknya
dihalakan pada sampul dalam pegangan Azizan.
“Tak adalah Syam. Err... maksud aku, bukan seperti yang kau
fikirkan. Aku hanya...”
“Hah, kalau kau tak terpikat biar aku saja yang pikat dia,”
sakat Syamsul sambil tersengih pada
Azizan yang ternganga dengan kata-katanya.
“Syam, kau...” Azizan terkebil-kebil menatap Syamsul yang
masih tersengih.
“Apa? Aku dah lama jadi pengintip gadis tu. Semakin lama kau
suruh aku buat kerja ni, aku tak berani janji... tak akan jatuh hati pada gadis
tu. Dia tu cantik menawan, Izan. Kau
faham maksud aku?” Wajah Syamsul serius.
“Mata keranjang benar kau ni. Tak sedar diri! Mana kau nak
simpan Mira tu?” Azizan tertawa.
“Ini bukan soal benar tak benar! Kau jangan cabar aku, Izan.
Kau lupa... kelayakan aku masih ada tiga lagi?” kata Syamsul lalu bingkas dan
ingin beredar.
“Eh, Syam... kau nak ke mana pulak ni?” Azizan menjadi tidak
keruan.
“Aku nak balik. Setengah hari aku intip gadis cantik tu. Aku
dah penat. Aku nak balik berehat sambil tu bolehlah aku fikir apa tindakan yang
patut aku ambil terhadap gadis tu. Kau fahamlah sendiri,” kata Syamsul selamba.
“Syam, aku minta maaf. Sebenarnya...”
“Sudahlah, Izan. Kau pun baliklah. Berfikirlah dengan tenang.
Aku beransur dulu...” Syamsul mengangkat lengan, segera menyanggah kata-kata
Azizan.
Syamsul melangkah panjang ke pintu, meninggalkan Azizan yang
terkebil-kebil. Sejurus pintu terkatup, Syamsul ketawa mengekek di sebalik
pintu.
“Padan muka kau Izan!” Bisik Syamsul lalu mengorak langkah.
Azizan mencapai sampul surat di atas meja lalu mengeluarkan
beberapa keping gambar. Matanya hampir tidak berkelip. Hebat sungguh kerja
Syamsul. Gambar yang ditangkap cukup jelas. Posisi yang ditangkap sungguh sempurna
seperti sempurnanya empunya diri dalam gambar itu. Kesemua gambar dimasukkan
semula ke dalam sampul. Kata-kata Syamsul
memang berasas. Hati Azizan mengakui. Sesungguhnya bukan dia tidak menyedari kesempurnaan
wajah cantik itu. Malah hati lelakinya semakin kerap memuji. Dia tidak pernah
menafikan, gadis itu memiliki kecantikan dan keayuan asli. Namun bukan itu
tujuan asalnya. Tujuannya sudah lama dirancang dengan teliti, tidak akan
berubah hanya kerana gadis itu berwajah cantik memikat kalbu. Dia harus
teguhkan pendiriannya dalam soal ini. Azizan berdiri lalu merenggangkan
ototnya. Ditatapnya jam di pergelangannya, sudah hampir pukul 5.20 petang. Sudah tamat waktu pejabat namun dia belum
berniat untuk balik. Dia keluar dari bilik kerjanya. Tekaknya teringin pula hendak
minum Milo panas.
“Encik Azizan...”
Mendengar sapaan itu, Azizan pantas mengangkat kepala. Terhenti
langkahnya.
“Chong? Awak belum balik lagi?” tanya Azizan.
“Sekejap lagi, Encik Azizan. Saya perlu siapkan laporan kewangan
bulan lepas. Tak boleh nak tangguh lagi.” Lelaki itu tersenyum.
“Okeylah, saya ke pantri dulu.”
“Okey, Encik Azizan.”
Azizan tersenyum ramah kepada akauntan syarikatnya itu.
Chong memang rajin dan bertanggungjawab. Ramai lagi pegawainya yang sanggup
bekerja keras demi syarikat itu. Azizan tidak bimbang meletak kepercayaan kepada
semua pegawainya kerana dia tidak sepenuhnya di dalam syarikat itu. Masanya
perlu dibahagi-bahagikan, tanggungjawabnya terlalu besar. Atas kerjasama dan
komitmen semua pegawainya, syarikat-syarikat milik keluarganya berjalan lancar
dan maju.
Sejurus kembali ke biliknya, Azizan mencapai sebuah fail.
Tanpa sedar sudah beberapa buah fail dan dokumen siap sudah pun disemak. Azizan
terasa tengkuknya berat, mungkin terlalu lama tertunduk. Dia bersandar, terasa lega
tulang belakangnya. Azizan cuba merehatkan minda namun dia teringatkan sesuatu.
Ditariknya laci meja, di dalam laci mejanya dicapai salah sekeping sampul lalu semua
gambar dikeluarkan. Sekeping demi sekeping gambar
diletakkan tersusun, 20 helai semuanya. Azizan menarik lagi
laci mejanya, beberapa keping sampul diambil lantas isi kandungan dikeluarkan semuanya.
Koleksinya banyak itu membuatkan di terpegun beberapa detik.
KEESOKAN harinya, Azizan yang sedang berada di tapak pembinaan
menerima panggilan daripada Syamsul. Sahabatnya itu memang tidak ‘hidup’ jika
tidak mencarinya walau hari. Ada sahaja bahan berita yang hendak disampaikan.
“Assalamualaikum. Ada apa Syam?” tanya Azizan.
“Izan, aku kat Habour City, Restoran Kak Nong ni.” Suara
Syamsul kedengaran tenggelam timbul.
“Okey...” balas Azizan.
“Aku nak kau datang kat sini. Sekarang!”
Dahi Azizan berkerut. “Sekarang? Kenapa, Syam?”
“Nanti kau tahulah. Aku tunggu. Kau datang sekarang juga,
okey?”
Azizan mengalah, tidak sampai hati menolak meskipun ada fail
penting yang belum disemak lagi. Dia bergegas keluar. Keadaan jalan raya di
pusat bandar sudah mulai sibuk.
JAM menunjukkan pukul 5.35 petang. Sebenarnya Mariah ingin
keluar lebih awal menemui Sue, namun Ramli menimbunkan lagi beberapa buah fail
di atas mejanya pada waktu pejabat hampir tamat. Akibatnya dia terpaksa menyelesaikan
terlebih dahulu kerjanya sebelum balik.
Terbayang Sue yang sedang menunggunya di Habour City. Kelewatan itu membuat hatinya resah dan
cemas. Melantun jantungnya kerana terkejut tatkala terdengar suara berdeham
dari arah belakang. Mariah terhenti berkemas. Dia berpaling memandang ke arah
suara itu.
“Awak belum balik, Mariah?”
“Nak baliklah ni, Encik Ramli,” jawab Mariah tergagap sedikit.
Ramli tercegat. Serba salah seketika. Setiap kali memandang
wajah gadis itu, hatinya bagaikan dijentik.
Dipukul rasa bersalah.
“Err... ada yang perlu saya bantu, Encik Ramli?” tanya Mariah
apabila menyedari lelaki itu belum berganjak.
Ramli mengangguk. “Mariah, tentang hal dokumen tempoh hari,
saya minta maaf,” kata Ramli.
Buat seketika Mariah terkaku, tergamam. Sungguh tidak menyangka
Ramli meminta maaf padanya.
“Maafkan saya, Mariah. Saya tahu... saya bersikap terlalu kasar
pada awak masa tu,” kata Ramli lagi.
“Encik Ramli, saya...” Mariah jadi tidak keruan bila ditatap
sedemikian rupa apatah lagi lelaki itu tiba-tiba bersikap terlalu ramah.
“Tak mengapalah, Mariah. Sudah lewat ni, awak baliklah dulu,”
kata Ramli lantas berlalu ingin masuk ke biliknya.
“Encik Ramli...” panggil Mariah.
Ramli segera berpaling. Menatap wajah lembut Mariah. Serta merta bibirnya menyungging senyuman.
“Ya?”
“Sebenarnya, saya tak marah pun pada Encik Ramli.”
Senyuman Ramli kian lebar. “Terima kasih, Mariah,” ucapnya
bersungguh.
Mariah pandang ketuanya itu sehingga hilang masuk ke
biliknya. Sesungguhnya dia terkejut. Sikap Ramli amat berbeza. Memang tidak dinafikan,
dia terasa hati. Namun dia tidak pernah menyimpan dendam. Dia sudah memaafkan lelaki
itu dan dia tetap menghormati lelaki itu sebagai ketuanya.
Mariah berjalan laju dari KK Times Square menyeberangi jalan
utama ke Habour City. Tiba di Habour City, Mariah berhenti di perkarangan Restoran
Kak Nong sebelum mencari sahabatnya. Dia melepaskan lelah. Peluh di dahi dan
pinggir pipinya mengalir lantas tangannya sibuk mengorek beg sandang mencari
tisu.
“Cik, boleh tak berhati-hati?”
Mariah tersentak lantas berpaling. Namun tindakannya yang
mendadak itu menyebabkan tubuhnya berlaga dengan tubuh seseorang.
“Cik!”
Terbelalak mata Mariah menatap wajah lelaki di hadapannya.
Tajam mata lelaki itu merenung tepat ke matanya. Mariah segera berundur ke
belakang. Dia bungkam.
“Tadi cik pijak kaki saya, nasib baik kasut saya ni
tebal. Selepas tu cik langgar saya. Cik
ni memang suka jalan tak pandang kiri kanan ke?”
Walaupun nada lelaki itu perlahan namun amat sinis. Terasa panas cuping telinganya. Diteliti
sedetik raut wajah itu. Seorang lelaki berwajah tampan. Wajahnya bersih tanpa
misai dan janggut. Kulitnya kurang cerah tetapi tidaklah terlalu
gelap.
“Ya, cik?” Lelaki itu menjongketkan keningnya.
“Maafkan saya, encik. Saya tak sengaja,” Mariah gugup. Malu
kerana sempat ralit seketika merenung wajah seorang lelaki yang langsung tidak
dikenalinya.
“Tak mengapalah. Lain kali cik perlu hati-hati.”
“Ya... Terima kasih, encik,” ucap Mariah. Dipandang wajah
itu beberapa detik. Terasa hangat kulit wajahnya.
“Hmm, cik ni...”
“Err... maafkan saya.” Mariah segera meninggalkan lelaki yang
masih tegak terpacak itu tatkala terpandang Sue yang melambaikan tangan padanya.
Mariah menghampiri Sue dengan senyuman.