BAB 1
CIKGU Roslini menatap jam
tangannya seketika. Tinggal lima minit lagi sebelum waktunya mengajar tamat di
kelas Tingkatan Enam Cemerlang. Satu per satu buku latihan diselak dan dikira
dalam hati. Hanya ada 32 buah buku latihan. Dia melayangkan pandangan ke
seluruh kelas. Pelajar yang hadir seramai 33 orang daripada 35 orang
sepatutnya. Masih ada pelajar yang belum menghantar buku latihan.
“Siapa
lagi yang belum hantar buku latihan? Harmizan dan Doni tak hadir, ada seorang
lagi belum hantar!” Suara Cikgu Roslini cukup jelas bergema di dalam kelas itu.
Semua
pelajar memandang ke arah salah seorang pelajar perempuan yang bangun berdiri
perlahan-lahan.
Cikgu
Roslini mengerutkan dahi. “Mariah, awak yang tak hantar buku latihan?”
Perlahan-lahan
Cikgu Roslini melangkah menghampirimeja Mariah dan memandang tepat ke wajah muridnya itu. Seakan-akan
tidak percaya. Tidak pernah berlaku. Mariah tidak pernah culas menyiapkan kerja
sekolah selama ini.
“Mariah...”
“Cikgu... saya...
saya minta maaf.”
“Apa masalah awak,
Mariah? Seingat cikgu, awak takpernah macam ni. Tak mengapalah, kalau tak siap
lagi, awak hantar selepas waktu rehat nanti.”
“Maafkan saya,
cikgu. Saya memang tak buat latihan yang cikgu suruh tu sebab... sebab...” Mariah kelu lantas menundukkan kepalanya.
Hangat dan rasa tebal kulit wajahnya dengan pandangan puluhan mata tertumpu ke
arahnya.
“Awak jumpa cikgu
waktu rehat nanti, Mariah.”
Anggukan Mariah
mencuit perasaan Cikgu Roslini. Wajah polos itu tampak teramat sayu. Dia
menghela nafas berat. Pasti bukan ringan bebanan fikiran Mariah kali ini.
Melihat wajah pucat Mariah, Cikgu Roslini tidak sampai hati untuk tidak
mengambil tahu. Mariah pelajar cemerlang namun sejak kebelakangan itu wajahnya
semakin hari semakin murung. Remaja itu bagai kehilangan keceriaan.
RUANG pejabat para
guru agak lengang. Rata-rata guru sudah berada di kantin sekolah pada waktu
rehat. Hanya beberapa orang lagi guru yang berada di meja kerja mereka.
Sesekali mata mereka melayangkan pandangan pada pelajar yang duduk di hadapan
meja Cikgu Roslini. Sebagai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam
peperiksaan SPM tahun lalu di sekolah itu, sudah pasti semua guru mengenali Mariah.
Dia juga di antara murid yang rapat dengan Cikgu Roslini malah Mariah pelajar
kesayangan Cikgu Roslini.
“Cikgu, saya minta
maaf.” Kata maaf itu saja yang difikirkannya sesuai untuk diungkapkan.
“Tak mengapa,
Mariah. Awak terangkan pada cikgu, kita selesaikan sama-sama masalah awak tu.”
Mariah mengangkat
wajahnya. Ditatap seketika wajah lembut cikgu itu. Agak lapang dadanya
mendengar kata-kata Cikgu Roslini namun dia tidak mahu mengharap belas kasihan
lagi. Selama ini Cikgu Roslini sudah banyak membantunya.
“Cikgu, saya minta
maaf. Sebenarnya saya nak berhenti belajar,” kata Mariah perlahan. Diramasnya
jari-jemari yang mulai menggeletar.
“Mariah! Apa awak
cakap ni?” Besar mata Cikgu Roslini memandang remaja itu.
“Cikgu... saya...”
“Sudah berapa kali
cikgu cakap pada awak. Jangan sekalikali berfikir untuk berhenti belajar!”
“Tapi cikgu...
saya banyak masalah.”
“Saya faham
masalah awak tapi masalah awak tu taklah besar sangat cuma awak perlu bersabar.
Ramai lagi pelajar lain yang ada masalah seperti awak tapi mereka masih nak
terus belajar!
Awak bersabar ya.”
Mariah pandang semula
wajah Cikgu Roslini. Namun dia tidak berani bertentang mata. Bersabar? Ah,
Cikgu Roslini belum memahami keadaannya. Gurunya itu pasti tidak tahu, masalah
yang ‘tidak besar sangat’ itulah yang membuatkan dirinya tidak layak berada di
sekolah itu lagi. Jika setakat memikirkan pakaian seragam lusuh yang membalut
tubuhnya dari hari Isnin sehingga Jumaat dan dengan peralatan sekolahnya yang
ala kadar, dia masih
mampu bertahan.
Namun, jika telinganya sering ditadahkan dengan sindiran sebab belum
menjelaskan yuran-yuran khas di sekolah itu dan belum memiliki buku-buku
rujukan, bagaimana dia mampu membendung rasa malu? Dia sudah tidak betah lagi
untuk terus berada di situ.
“Awak jangan putus
asa, Mariah. Bertahanlah dulu.”
Bertahan? Sehingga
bila? Jika bertahan untuk menanti sesuatu yang mampu menyelesaikan masalahnya,
boleh. Ya dia tentu boleh bertahan. Tetapi apa yang ditunggunya?
“Mariah,
fikirkanlah masa depan awak. Dengan pendidikan sajalah awak mampu mengubah masa
depan.”
Terkebil-kebil
mata gadis muda itu menatap wajah Cikgu Roslini. Mata bening itu sudah berkaca
namun ditahan sedaya upaya agar air matanya tidak gugur. Dalam dada sudah
berbuku sebaknya.
“Jangan berhenti
setakat ini, Mariah. Awak boleh, kan?” Lembut nada Cikgu Roslini memujuk.
“Cikgu... saya nak
sangat belajar. Ikut hati saya memang tak nak berhenti. Papa saya sudah
berusaha tapi abang saya sedang sakit, adik-adik pun nak belajar. Papa perlukan
duit untuk rawatan abang saya. Saya tak sampai hati nak tambahkan beban papa
saya lagi, cikgu.” Mariah melepaskan keluhan di hujung luahannya. Ditundukkan
wajahnya agar Cikgu Roslini tidak melihat air matanya yang bergenang.
“Mariah, awak
bertahanlah dulu. Kita cari jalan selesaikan masalah awak ya,” pujuk Cikgu
Roslini lagi. Bertimbun simpatinya terhadap Mariah.
Mariah menarik
nafas panjang dan dalam. “Sebenarnya saya malu, cikgu. Malu sangat sebab saya
seorang saja yang belum jelaskan semua yuran. Buku rujukan satu pun saya tak
mampu nak beli... asyik nak pinjam. Sampai bila saya nak bergantung belas
kasihan kawan-kawan? Mungkin... jika abang saya tak sakit, beban papa saya
tentu tak terlalu berat. Agaknya nasib saya memang tak baik, kan cikgu?”
Mariah tidak
berniat meminta simpati tetapi hatinya memang sedih. Inilah pertama kali dia
rasa hatinya terlalu pedih kerana hidup serba kekurangan. Walaupun hidupnya susah
selama ini tetapi tidak pernah dia berasa kesal. Namun, berhenti belajar! Tidak
pernah terlintas di hatinya tapi dia terpaksa beralah. Andainya Anding tidak
sakit, pasti hidup mereka sekeluarga tidak sesukar itu.
“Jangan cakap
macam tu Mariah. Setiap manusia sudah tersurat nasibnya masing-masing. Cikgu
yakin masalah awak ini ada penyelesaiannya.”
Cikgu Roslini
merenung wajah Mariah yang resah. Dia faham apa yang bersarang dalam fikiran
gadis yang berwajah cantik dan ayu itu. Dia sebenarnya kagum, bagaimana seorang
penoreh getah yang hidup susah dan serba kekurangan mempunyai anak yang sebijak
Mariah. Walau tubuhnya yang kurus itu sentiasa berbungkus seragam lusuh dan
tidak berseri, namun wajah gadis itu tetap cantik berseri.
“Tahun ini awak
ambil peperiksaan STPM. Tak lama lagi, Mariah. Tawaran ke kolej matrikulasi pun
awak dah tolak. Sekarang awak nak lepaskan pula peluang belajar.”
“Saya dah
mendaftar peperiksaan STPM, cikgu. Saya akan duduk peperiksaan bulan November
nanti. Cikgu jangan risau, ya.”
“Mariah... awak
berhenti belajar tapi awak nak menduduki peperiksaan tanpa mengikuti
pembelajaran? Cara begitu bukan mudah, Mariah...” Lembut suara Cikgu Roslini memujuk.
Ingin benar dia melihat Mariah mencapai keputusan yang terbaik dan cemerlang
dalam peperiksaan STPM yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.
“Saya tahu cikgu
tapi saya akan berusaha. Saya akan belajar sendiri. Saya tak sampai hati tengok
papa susah lagi. Pendapatan papa tak
menentu. Saya bimbang nanti papa tak mampu nak bawa abang buat rawatan. Lagipun
adik-adik saya ada tiga orang lagi yang perlu dibiayai. Tak mengapalah. Biarlah saya beralah.”
Cikgu Roslini
terdiam. Dia hanya mampu merenung wajah Mariah yang sayu dan muram. Dia tahu
azam Mariah kuat dan tinggi hendak melanjutkan pelajaran. Namun nasib tidak
menyebelahi gadis itu. Sejak namanya diumumkan dalam perhimpunan minggu lepas
sebagai pelajar yang belum menjelaskan yuran yang tertunggak sejak tahun lalu,
gadis itu seakan- akan patah semangat. Cikgu Roslini tahu latar belakang
Mariah. Malah ramai guru yang tahu termasuklah pengetua sekolah itu.
Sebagai seorang
anak petani, Cikgu Roslini masak benar dengan erti kesusahan dan kesempitan hidup.
Mariah tidak jauh beza dengan dirinya suatu ketika dahulu. Mungkin dia bernasib
baik kerana mempunyai kakak dan abang yang sudah bekerja dan mampu membantu ibu
bapa mereka. Mariah adalah seorang anak
penoreh getah, mempunyai seorang abang yang sedang terlantar sakit dan tidak
mampu berjalan. Adik-adik pula ada seramai tiga orang yang masih bersekolah.
Cikgu Roslini amat faham keadaan itu.
“Mariah, andai
cikgu dapat menahan... cikgu tak mahu awak berhenti belajar setakat ini saja.
Tapi jika melibatkan hal keluarga, cikgu tak mampu menahan. Awak berbincanglah dengan
keluarga awak. Jika ada cara yang dapat membantu, awak mesti terus belajar demi
masa depan awak.”
Mariah
mengangguk-angguk lemah. Dia sentiasa berharap keadaan akan berubah. Sekiranya
papanya mampu, dia tidak akan berhenti belajar. Dia ada cita-cita. Impiannya ingin
menjejakkan kaki hingga ke peringkat universiti namun dia belum melihat jalan
menuju ke arah itu. Sendat dadanya menahan sebak. Ditundukkan kepalanya, Mariah
tidak mahu Cikgu Roslini merenung matanya yang sudah tidak dapat menampung air
mata.
Cikgu Roslini
terharu. Hatinya terlalu belas dan bersimpati namun apa yang mampu
dilakukannya? Dia hanya seorang guru. Dia hanya mampu memberi ilmu dan tunjuk ajar
serta nasihat. Sedih hatinya namun seberat-berat mata memandang berat lagi bahu
memikul, Mariah pasti lebih
sedih tika itu.
Melihat air mata
Mariah mulai mengalir di pipinya yang gebu, Cikgu Roslini tidak dapat menahan
sebak. Sesungguhnya dia ingin membantu gadis itu.
“Mariah... awak
tak perlu berhenti belajar. Cikgu akan bantu awak. Awak teruslah belajar, ya?”
“Bantu? Bantu
bagaimana, cikgu?”
“Cikgu akan bayar
semua yuran awak... termasuk yang tertunggak tu. Awak senaraikan buku-buku
rujukan yang awak perlukan. Hujung minggu cikgu akan ke bandar, cikgu akan beli
buku-buku rujukan yang awak perlukan tu.”
Mariah ternganga
sedetik. Bulat matanya menatap wajah ayu Cikgu Roslini. “Cikgu! Tidak cikgu.
Saya tidak boleh susahkan cikgu.”
“Kenapa? Cikgu
ikhlas nak bantu awak, Mariah.”
Mariah menggeleng
beberapa kali. “Terima kasih, cikgu...tapi saya tak mahu susahkan cikgu.
Sebenarnya hari ni hari terakhir saya hadir, cikgu. Saya datang hari ini pun
sebab saya nak jumpa cikgu dan cikgu yang lain. Saya nak ucapkan terima kasih
dan selamat tinggal pada cikgu. Maafkan saya kerana hampakan harapan cikgu.
Esok... saya tak akan datang lagi, cikgu.”
Ya ALLAH, itulah ayat yang paling meremukkan hatinya. Bergetar nadanya
saat menghabiskan sebaris ayat terakhir itu. Esok ya, esok dia tidak akan
datang lagi ke sekolah. Sedih, sakit dan pedih segenap perasaannya.
Cikgu Roslini
terasa kerongkongnya bagaikan kering. Dia
terkilan mendengar kata-kata gadis di hadapannya itu. Dia tidak menyangka secepat itu Mariah
membuat keputusan. Sungguh jelas gadis
itu memang nekad hendak meninggalkan alam persekolahannya. Sekolah itu bakal
kehilangan seorang pelajar cemerlang yang mampu mengharumkan nama sekolahnya.
Mariah merupakan salah seorang di antara pelajar yang diramal akan mendapat
keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun itu.
Cikgu Roslini
menghela nafas yang berat. “Apa yang awak buat lepas berhenti belajar, Mariah?”
Tanyanya dengan rasa putus asa.
“Saya akan bantu
papa menoreh, bantu mak tanam sayur... apa-apa saja kerja yang boleh tambahkan
pendapatan keluarga saya, cikgu.” Mariah bertutur ikhlas. Memang itulah yang akan dilakukannya. Senyuman tawar
terpapar di bibirnya menutup kepahitan yang ditelannya.
Cikgu Roslini
menarik nafas lebih dalam lantas melepaskan keluhan. Hatinya tersentuh.
Mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM akhirnya hanya membantu menoreh
getah dan bercucuk tanam? Sungguh kasihan Mariah!
Bagaimana dengan
masa depan gadis ini? Jika bukan dengan kemajuan akademik, apakah cara lagi
yang dapat mengubah masa hadapan? Cikgu Roslini hanyut seketika memikirkan
permasalahan Mariah yang tidak terbantu.