PUKUL 7.15 petang, pelanggan
The Coffee Bean & Tea Leaf, di Waterfront semakin ramai. Syamsul meninjau-ninjau
tempat duduk yang sesuai. Meja untuk dua orang. Sementara menanti kedatangan Azizan,
Syamsul menatap menu untuk memesan makanan dan minuman.
Lima minit kemudian Azizan tiba. Dia melihat
Syamsul melambai-lambai. Langkah Azizan pantas mendekatiSyamsul. Tangan mereka
bertaut erat.
“Apa khabar, Izan? Rasanya macam dah
berbulan-bulan tak jumpa kau”
Azizan ketawa. Kata-kata Syamsul ada benarnya. Dia
sendiri rasa seperti itu kerana hampir setiap hari dia menghubungi Syamsul.
Segala khabar keluarganya disampaikan kepada Syamsul meskipun Syamsul bukan siapa-siapa
padanya. Berhubung dan berjumpa atas dasar sahabat. Syamsul terlalu baik dan selalu
mengambil berat tentang dirinya. Syamsul ditugaskan di Kota Kinabalu. Sebab itulah
Azizan sanggup berada di sini sampai sekarang.
Sesungguhnya Azizan bersyukur, dia tidak mempunyai
saudara-mara di Kota Kinabalu tetapi Syamsul ada. Meskipun ramai kenalan yang
berurus niaga dengan syarikatnya namun Syamsul jugalah yang dicarinya setiap
waktu.
Seorang pelayan menghampiri meja mereka lalu meletakkan
menu dengan sopan di hadapan Azizan.
“Bob dan Mira sihat? Lama tak jumpa Bob, rindu
pulak rasanya,” ujar Azizan sejurus pelayan itu beredar.
“Mira dengan Bob sihat. Kau dah lama tak datang
ke rumah. Bob tu dah pandai ketawa. Badan dia semakin montel.”
Syamsul ketawa senang hati. Jelas sekali dia
amat bahagia. Semakin gembira dan indah hidupnya setelah dikurniakan cahaya
mata. Dia tumpang gembira atas kebahagiaan sahabatnya itu.
“Izan, bila kau nak kahwin?” Tiba-tiba Syamsul
mengalih bicara.
“Nak kahwin dengan siapa? Kau ni kalau nak tanya
pun, agak-agaklah sikit!” Azizan ketawa, berasa lucu dengan pertanyaan Syamsul.
“Hmm, kau yang jual mahal sebenarnya. Ramai
gadis minat kat kau tapi kau tu yang buat tak nampak. Mata kau sudah kabur
asyik semak penyata kewangan syarikat.”
Azizan mencebik. Syamsul memang selalu lancang berbicara
dengannya. Kata-kata Syamsul adakalanya tidak bertapis tetapi dia tahu hati
Syamsul baik.
“Dah ada gadis idaman pun kau lambat-lambatkan. Jangan
sampai putih mata! Jangan kata aku tak ingatkan.”
Riak wajah Azizan tetap begitu, tenang dan
selamba. Syamsul faham sangat perangai
Azizan. Sampai berbuih pun mulutnya, Azizan tidak akan terkesan dengan
kata-katanya. Dia tahu Azizan sudah terlalu dewasa memikirkan
masa depannya sendiri. Biarlah!
“Bagaimana keadaan Rina sekarang?” tanya
Syamsul. Dia sentiasa bertanya perkembangan kesihatan Azrina.
“Ingatan Rina beransur pulih. Syukur
alhamdulillah...ALLAH dengar doa kami.”
“Syukur alhamdulillah. ALLAH itu Maha Adil dan penyayang.
Semoga Rina lebih tabah selepas ini,” kata Syamsul. Hatinya memanjat
kesyukuran.
“Terima kasih, Syam. Syukurlah ingatan Rina dah
pulih. Cuma yang menyedihkan, ayah dan
ibu dah tak ada.”
“Rina dah tahu hal sebenarnya, Izan?” tanya
Syamsul penuh simpati.
Azizan mengangguk. “Dia pengsan dua kali.
Beberapa hari dia meraung-raung tak kira waktu. Seminggu dia berkeadaan begitu.
Hampir hilang akal aku dibuatnya.” Sayu nada Azizan seakan-akan beban berat
masih tertimbun di pundaknya.
“Aku faham, Izan. Kekuatan kau penting bagi
Rina. Jangan sekali-kali kau tunjukkan
kesedihan kau pada dia.”
“Betul tu, Syam. Sepenuh masa Dr. Rahman merawat
Rina. Rasanya aku turut hilang akal ketika tu sebab Rina seperti hilang ingatan
semula. Dua hari dia tak tahu apa-apa. Aku
hanya berserah kepada-NYA.” Azizan menarik nafasnya dan dilepaskan beban
menghimpit dadanya.
“Segala yang berlaku pasti ada hikmahnya. Kita
sebagai makhluk ALLAH yang diberi kewarasan fikiran harus tabah dan bersyukur
dengan apa yang ada pada kita, Izan.”
“Betul, Syam. Dugaan yang menimpa keluarga aku selama
ini benar-benar mencabar. Mujurlah kami masih ada papa dan mama yang mengambil
berat hal kami.”
“Jangan dikenang lagi perkara yang sudah.
Apa-apa pun kita bersyukur kerana sekarang semuanya sudah kembali pulih.”
Benar kata-kata Syamsul. Sesungguhnya dia sangat
bersyukur apabila ingatan Azrina pulih dan kini mulai menerima hakikat ayah dan
ibu mereka sudah pergi buat selama-lamanya. Kepahitan itu bukan mudah ditelan, walaupun
mengambil masa untuk pulih tetapi ALLAH tetap memberi mereka peluang untuk
meneruskan hidup.
“Esok aku perlu balik KL lagi, Syam. Aku nak
berbincang dengan papa berkenaan sebuah anak syarikat kami. Aku nak pujuk papa
jualkan separuh saham syarikat kat Selangor tu.”
“Nak jual saham?” Berita itu di luar
dugaannya. Setahunya syarikat itu bergerak
maju. Azizan tidak mungkin mengambil tindakan yang merugikan itu. Selama ini
tidak ada pula tanda-tanda syarikat sahabatnya itu mengalami masalah kewangan.
Syamsul keliru.
“Syam, papa sudah semakin berusia. Aku tidak
sampai hati biarkan dia sendirian uruskan syarikat di sana. Lagipun aku bukan
nak jual syarikat tu. Hanya separuh daripada sahamnya saja. Imman berminat nak
beli jadi sekurangkurangnya Imman dengan Tasya boleh kendalikan bagi pihak aku.”
“Kalau macam tu... mengapa tidak kau saja yang
balik ke sana? Saham syarikat di sini yang kau jual. Yang penting kau dapat
bersama papa uruskan syarikat-syarikat kat KL tu,” cadang Syamsul.
“Tak bolehlah macam tu. Saham syarikat kat sini
tak boleh dijual sebab aku perlukan syarikat tu sepenuhnya. Aku perlu berada di
Sabah sehingga kerja selesai. Hajat aku belum tertunai.” Kali ini Azizan
tersenyum penuh makna.
“Hajat apa pulak? Kau ni buat aku semakin
keliru. Cakap berbelit-belit!” Syamsul
meneguk minumannya. Dia tahu Azizan bukan sembarangan orang dalam urusan
perniagaan. Kepintaran Azizan tidak dapat Syamsul nafikan. Dia menegakkan tubuhnya
lalu didorong ke hadapan kerana tidak sabar menunggu penjelasan Azizan.
Adakalanya dia perlu mendesak.
Sikap tarik tali Azizan sering membuatkan dia
menjadi seorang yang kurang sabar hingga suka mendesak.
“Hajat aku nak kahwin dengan orang sini!” Azizan
tersengih. Dia tahu Syamsul akan terkejut dengan kenyataannya itu.
“Kau ni betul ke?” Terbelalak mata Syamsul
menatap wajah Azizan. Seperti tidak boleh diterima pakai. Apatah lagi bercakap
tentang rumah tangga.
“Aku berguraulah...”
Syamsul menarik tubuh sambil mengerutkan dahi.
TawaAzizan agak keras seperti menyakitkan telinganya. Syamsul hanya mampu
menggeleng geram.
“Maaflah, Syam...” ucap Azizan setelah Syamsul
berdiam diri.
“Izan, aku rasa kau ni sebenarnya dah jatuh
cinta!”
Giliran Azizan mengerutkan dahi. “Belum tercatat
dalam kamus hidup aku, Syam.”
“Jangan cakap besar, bro! Oh ya, sebelum aku
terlupa...”
Tanpa berlengah, Syamsul mengeluarkan sesuatu
dari kocek jaketnya. Sampul surat berwarna coklat itu diletakkan di atas meja.
“Aku rasa... nak bersara daripada tugas ni. Aku
dah tak tahan jadi pengintip. Perempuan tu cantik sangat, tahu tak? Kau ni tak
patutlah.” Syamsul mendengus.
“Apa yang tak patut, Syam?” tanya Azizan.
“Aku kata perempuan tu cantik menawan.”
“Okey... cantik menarik. Jadi?”
“Lembap betul otak lelaki ni. Hati batu!”
Syamsul mengomel. Dia meramas rambutnya. Memuncak rasa geramnya terhadap
Azizan. Jenuh menguji tetapi sahabatnya itu tetap berlagak seperti tidak ada
perasaan.
Ketawa Azizan membuatkan Syamsul bertambah
geram.
“Izan, tak eloklah kita buat macam ni, kan?
Kalau kau suka dia eloklah terang-terangan, tak perlu nak intip-intip lagi!”
Syamsul berharap Azizan akan faham.
Azizan diam. Dia faham keinginan sahabatnya
namun belum tiba saatnya lagi Syamsul tahu apa kehendaknya yang sebenar. Apa
pun yang dirancangnya hanya dia saja yang tahu, biarlah tersimpan di lubuk
hatinya.
“Izan, aku takde hal nak bantu kau, tapi
logiklah sikit. Silap haribulan aku pula
yang masuk lokap!” luah Syamsul lagi, mengharapkan pengertian Azizan.
“Aik... pegawai PDRM pun tak biasa lagi dengan
lokap?” usik Azizan sambil ketawa.
“Izan... kenapalah aku ditakdirkan dapat kawan
macam kau ni?” keluh Syamsul, mengusap wajah dengan kedua-dua belah telapak
tangannya.
“Syam, janganlah serius sangat. Okey, aku akan pertimbangkan
nasihat kau tu. Aku serius!”
“Memang patut pun kau pertimbangkan demi masa depan
kau sendiri.”
“Okey! Jadi sekarang, kita pegi makan dulu lepas
tu kita pergi karaoke.”
“Yang penting kau keluar duit!”
“Itu tak jadi masalah. Kau pilih tempat, aku
belanja. Esok kau cuti, kan? Kita nyanyi sampai pagi, okey tak?”
“Janganlah sampai pagi, kesianlah isteri kat
rumah.”
Azizan menjongket bahunya sambil ketawa. Wajah Syamsul
yang tersengih ditatap. Syamsul memang lelaki yang bertanggungjawab. Sesungguhnya
dia bangga terhadap Syamsul. Sahabatnya itulah yang terlalu banyak membantu sejak
hari pertama dia menjejakkan kaki di negeri Sabah itu.