Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
73,923
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 34

BAB 34

SEBAIK saja pintu kamar terkuak lebar, Hani Fiqah meluruh masuk ke dalam kamar tidur. Dilepaskan saja beg sandang dari bahunya lalu diletakkan di atas meja rias.

“Ya ALLAH...letihnya! Rasa nak sambung tidur jer...” keluh Hani Fiqah perlahan.

Tengku Daniel yang sedang membawa beg pakaian mereka tersenyum mendengar keluhan isterinya.

“Abang, Hani nak tidur sekejap...” sambung Hani Fiqah lantas melangkah longlai ke sofa di kamar tidur mereka.

Tengku Daniel tertawa perlahan memandang isterinya yang terus saja merebahkan tubuhnya di atas sofa. Beg pakaian tadi sudah dimasukkan ke dalam bilik pakaian. Esok-esok Hani Fiqah pasti akan mengemas semula pakaian mereka itu.

Sepuluh hari mereka berada di Kuala Lumpur, terasa singkat saja masa itu. Tengku Daniel hanya sempat membawa Hani Fiqah ke Pulau Langkawi itu pun sekadar dua malam. Hendak diturutkan perasaan memang ingin meluangkan masa hanya berdua-duaan. Saat itu memang terlalu indah dan manis.

“Bulan madu yang paling singkat! Orang lain bulan madu seminggu paling kurang. Rancanglah pergi tempat lain lagi...tempat yang dingin sikit!” Begitu komen Tengku Khalidah.

“Lain kalilah, nek. Hani rancang cuti panjang lagi...” Hanya itu jawapan Hani Fiqah.

Memang benar, jika Hani Fiqah masih bercuti mungkin mereka belum lagi balik ke Sabah. Tengku Daniel mengajak Hani Fiqah ke Bali namun isterinya menolak. Masa tidak mengizinkan.

“Hani bukan tak ingin, bang. Tapi tak seronoklah kalau masa singkat aje nanti asyik berkejar masa...kelam kabut aje!” Alasan Hani Fiqah yang berasas.

Oleh sebab cuti persekolahan masih agak panjang lagi, Tengku Khalidah memujuk Aleya agar tinggal lebih lama lagi di Kuala Lumpur. Mungkin belum puas lagi bersama anak dan cucu-cucunya. Sementelah adik-adik Hani Fiqah juga seronok berada di sana.

“Nak tidur jugak ke? Dah hampir nak senja...tak elok tidur senja-senja, sayang.”

“Hani nak rehat aje, bang.”

“Hani bersihkan diri dululah baru rasa selesa nak rehat,” kata Tengku Daniel lagi.

“Hani nak tidur sekejap aje, bang. Penat sangat...” balas Hani Fiqah lalu mengeliat sedikit.

“Sepanjang perjalanan Hani tidur...takkan masih mengantuk lagi?” usik Tengku Daniel sambil melangkah menghampiri sofa lalu duduk di pinggir tempat isterinya berbaring.

“Penatlah, bang. Dua jam setengah dalam kapal, dalam kereta pun lebih dua jam...lenguh seluruh belakang Hani ni. Kepala pun berdenyut rasanya...”

“Ya ke? Duduk diam-diam aje pun boleh lenguh?”

“Yalah...dah dalam kereta tu hanya boleh duduk aje nak berdiri tak boleh!”

Tengku Daniel ketawa. “Hisy...boleh loyar buruk pulak dengan abang! Lenguh yer? Bak sini...abang tolong urutkan,” usiknya lagi. Tangannya sudah sedia melekap di pinggang ramping isterinya.

Hani Fiqah yang tersentak dengan sentuhan itu spontan bangkit pantas menolak tangan Tengku Daniel. Ditariknya kaki lalu duduk tegak.

“Eh...tak payahlah. Hani tak apa-apa pun!” ujar Hani Fiqah laju.

Tengku Daniel ketawa geli hati dengan gelagat isterinya. “Hani...Hani...pantang aje abang usik sikit, dah macam nak melatah pun ada abang tengok. Ehm...jangan sampai betul-betul melatah, sayang.”

“Takdelah Hani melatah! Abang ni...”

“Hmm...okeylah, abang nak mandi dulu.”

Ditinggalkan Hani Fiqah yang terpinga-pinga menatap Tengku Daniel melangkah ke bilik air.

Akhirnya Hani Fiqah tertawa sendiri. Kata-kata Tengku Daniel sebentar tadi mencuit hatinya. Memang benar dia hampir melatah dek terkejut. Bagaimana tidak terkejut jika tiba-tiba pinggangnya bagaikan diterkam saja rasanya!

Lesap rasa letih dan kantuknya. Hani Fiqah berdiri lalu melangkah menuju ke bilik pakaian. Dia pun sepatutnya membersihkan diri terlebih dahulu. Hari ini masanya lebih banyak berada di tempat awam. Selepas mandi nanti bolehlah dia turun menjenguk dapur. Malam nanti dia ingin memasak sendiri. Sudah terlalu lama dia tidak makan masakan air tangan sendiri.

Di dalam bilik pakaian, Hani Fiqah termangu-mangu seketika. Tatkala terfikir dia sekali pun tidak pernah memasak untuk suaminya sejak bergelar isteri, terasa alangkah teruk dirinya sebagai isteri. Malam ini dia nekad. Dia akan memasak sendiri. Sebentar nanti akan dimintanya Masnah menyediakan bahan-bahan mentah dan segala rempah sahaja.

Sebelum berkahwin, tanggungjawab Hani Fiqah terhadap keluarga sangat besar. Hampir tidak menang tangan, segala-galanya diurus sendiri. Celik mata saja pada waktu subuh, selepas bersolat dia akan terkocoh-kocoh di dapur menyediakan sarapan. Usai menyediakan sarapan dia berlari ke ladang ternakan dan kebun sayur. Selesai dari ladang dan kebun, dia bagaikan lipas kudung memasak makan tengah hari untuk umi dan adik-adiknya. Makanan hanya perlu dihangatkan selepas adik-adiknya balik dari sekolah.

Menjelang petang pula setibanya di rumah, Hani Fiqah akan bergegas ke kebun sayur-sayuran dan ladang ternakan selepas menyalin pakaiannya. Balik dari kebun, sekali lagi dia bagai lipas kudung menyediakan makan malam. Tugas rutinnya terlalu padat.

Hani Fiqah menghela nafas. Tugas rutinnya itu tidak lagi dilakukan setelah ladang ternakan dan kebunnya lesap, dimusnahkan dengan kejam! Kini setelah menjadi isteri Tengku Daniel, dia tidak lagi terkocoh-kocoh di dapur setiap awal pagi dan lewat petang. Segala-galanya dilakukan oleh pembantu rumah. Masnah memang seorang pembantu rumah yang cekap dan baik.

“Ya ALLAH...isteri abang ni! Dalam bilik pakaian pun boleh termenung panjang?”

Hani Fiqah mengurut dada. “Abang ni kalau tak buat Hani terkejut, tak boleh ke? Asyik buat orang terkejut aje,” rungutnya.

Tengku Daniel ketawa. “Hani tengah fikirkan apa ni sebenarnya? Berat sangat ke perkara tu sampai kat bilik pakaian ni pun boleh termenung panjang?”

“Takdelah termenung...Hani nak ambik pakaian ajelah!”

Bergegas Hani Fiqah mengambil pakaiannya. “Hani mandi dululah,” ujarnya lalu meninggalkan Tengku Daniel di situ.

Tengku Daniel menggelengkan perlahan sambil tertawa. “Gelabah tak tentu pasal aje isteri aku ni” desisnya perlahan.

Hani Fiqah yang sudah lengkap berpakaian keluar dari bilik air tidak lama kemudian. Tengku Daniel yang duduk separuh berbaring di atas sofa mengalihkan pandangan dari kaca TV. Ralit matanya memerhati Hani Fiqah yang sibuk menyikat rambutnya yang baru dikeringkan. Cantik rambut isterinya yang panjang beralun lembut namun rambut isterinya hanya terdedah jika dia berada di rumah.

Usai menyikat rambutnya, Hani Fiqah membalikkan tubuh memandang Tengku Daniel.

“Abang, Hani nak turun...jenguk dapur sekejap,” beritahu Hani Fiqah.

“Hani buat apa kat dapur?” tanya Tengku Daniel pula.

“Hani nak masak.”

“Masak? Hani nak masak?” tanya Tengku Daniel seperti tidak percaya.

“Ya...Hani nak masak untuk abang!”

“Eh, tak usahlah...kan ada Masnah?” Berkerut dahi Tengku Daniel.

“Malam ni Hani nak masak sendirilah, bang. Dah lama Hani tak masak...”

“Alah...Hani masak hari lainlah.”

“Lah...kenapa pulak? Abang tak nak makan masakan Hani ke?”

“Lain hari...Malam ni Hani rehat aje. Kan tadi Hani kata lenguh-lenguh belakang? Dahlah...Hani tak perlu masak. Hani kat sini aje temankan abang!”

“Abang ni...”

“Hani ikut aje cakap abang, sayang. Sini...” Tengku Daniel menepuk perlahan tempat duduk di sisinya.

Besar mata Hani Fiqah menatap wajah selamba suaminya. Pelik sungguh dengan sikap Tengku Daniel sekarang. Cakap dia saja yang perlu didengar. Arahan dia saja yang perlu dipatuhi!

                                                                  ***

DR. RAFIQ masuk ke Unit Kecemasan dengan langkah yang santai. Demi melihat kelibat Hani Fiqah di ruang staf, bibirnya mengukir senyuman. Adik kembarnya itu sudah kembali bertugas rupanya setelah lama bercuti. Dua hari selepas majlis perkahwinan Hani Fiqah dan Tengku Daniel di Kuala Lumpur, dia balik sendirian terlebih dahulu. Dia bercuti hanya tiga hari kerana desakan kerja. Sementelah dia sudah bercuti lima hari ketika majlis sebelumnya.

“Assalamualaikum, Hani. Ceria sangat pagi ni...”

Mendengar sapaan itu, Hani Fiqah mengangkat wajah. Dr. Rafiq sedang tersenyum ceria. Pantas Hani Fiqah membalas salam dengan ceria.

“Aik, pengantin baru dah mula kerja hari ni?” usik Dr. Rafiq. Ralit matanya memerhati adik kembarnya yang sibuk membetulkan tudung di kepalanya.

Hani Fiqah menghulurkan tangan menyalami Dr. Rafiq yang berdiri di hadapan meja. Syura memandang dengan mata terkebil-kebil. Namun didiamkan sahaja rasa pelik yang menjentik hatinya.

“Awalnya Hani sampai? Daniel apa khabar?” tanya Dr. Rafiq.

“Daniel sihat jer. Kebetulan Daniel ada urusan kat pekan awal pagi tadi...Hani pun berangkat sekalilah tadi,” beritahu Hani Fiqah.

“Hah, Dr. Rafiq...doktor nampak tak seri wajah Hani tu...bersinar-sinar tanda sedang dilanda bahagia!” Syura mengusik tatkala Dr. Rafiq dan Hani Fiqah berhenti berbual.

Hani Fiqah hanya tersenyum-senyum. Jika dibalas usikan itu pasti berjela pula panjangnya.

“Tengok tu, Dr. Rafiq. Dia buat tak dengar aje...maklumlah hati masih kat rumah!”

Dr. Rafiq ketawa sambil tergeleng-geleng. “Ya ke? Tu tanda protes ke, Hani? Agaknya Hani belum nak kerja lagi...masih nak bercuti, nak honeymoon berpanjangan!”

“Hmm...selepas ni saya nak ambik cuti lagi panjang, Mungkin dalam dua tiga bulan...Eh, cukup ke lama tu? Ah, nantilah saya fikirkan lagi,” balas Hani Fiqah selamba. Sengaja dijongketkan keningnya.

Dr. Rafiq ketawa lagi. Syura mencebikkan bibir.

“Eh, mengada-ngada betul! Teruk aku kalau kau bercuti panjang, tahu tak? Adakah patut Sister Rosie hantar Staff Nurse junior, ganti kau di sini. Teruk aku buat semua prosedur...budak tu takut-takut aje nak buat!” rungut Syura.

Hani Fiqah tersenyum. “Kan...mula-mula kau masuk kat sini pun macam tulah jugak. Ingat tak? Nak cucuk jarum pun menggeletar tangan! Kejap-kejap panggil aku,” usiknya.

“Hisy...kau ni, Hani. Janganlah sebut terang-terang! Itu cerita dulu...tapi aku cepat aje belajar...sekarang aku dah mahir, kan?” Syura tersengih-sengih macam kerang busuk.

Hani Fiqah ketawa sambil menggeleng apabila Syura mula puji diri sendiri. Namun, Syura memang rakannya yang peramah dan ceria.

“Hani, abang laparlah.” Dr. Rafiq mengusap-usap permukaan perutnya. Semalam dia makan malam terlalu awal mungkin sebab itu dia berasa lapar pagi ini.

“Abang tak sarapan lagi ke?” tanya Hani Fiqah.

“Mana ada masa nak sediakan sarapan...tadi abang keluar awal.”

“Lah...kenapa abang tak datang rumah aje...kita boleh sarapan sama-sama.”

“Alah, malaslah nak ganggu Hani dengan Daniel awal pagi kalau takat nak sarapan. Seganlah abang! Kalau ada umi lainlah...” Dr. Rafiq tertawa perlahan.

“Hisy, nak segan apa pulak? Macam tak biasa pulak!”

“Eh, jom temankan abang sarapan sekejap. Awal lagi ni...” Dr. Rafiq menatap jam tangannya seketika. Masih ada masa 25 minit lagi sebelum memulakan tugas.

“Ehm...okey juga tu. Hani pun dah rindu minuman kat kantin...”

Syura yang sejak tadi tergamam kini terbelalak mata mendengar Dr. Rafiq dan Hani Fiqah berbalas kata. Tadi, bersalaman. Hani Fiqah siap cium tangan Dr. Rafiq. Sekarang, siap panggil abang pula. Sangat mesra!

“Abang? Eh...biar betul apa yang aku dengar ni!” Mulut Syura melopong.

Dr. Rafiq dan Hani Fiqah berpandangan. Kedua-duanya menjongketkan bahu. Muka Syura tampak kalut sahaja.

“Sejak bila pula bukan main mesra ni? Salam cium tangan, siap panggil abang bagai ni?” tanya Syura bersungguh-sungguh. Kebingungan.

“Eh...itu rahsia kita orang. Kau jangan salah faham pulak, yer?” Hani Fiqah mengeryitkan matanya. Sengaja mengusik Syura.

“Dahlah tu...Syura tak nak sarapan dulu ke? Jomlah...” pelawa Dr. Rafiq.

“Tunggu! Sebelum mengisi perut...aku nak tahu, kau orang berdua ni...apa cerita sebenarnya?” Syura mendesak. Dia tidak mahu berburuk sangka.

“Ya ALLAH...kau ni Syura. Takde apa-apalah...sajalah nak panggil abang. Tak salah pun, kan? Hah, mulai sekarang...kau pun belajarlah panggil abang kat Dr. Rafiq ni.” Hani Fiqah sengaja mendera perasaan ingin tahu Syura.

“Hisy...kau ni Hani. Mustahil tak ada apa-apa? Kau beritahu aku, cepat!” Desak Syura lagi.

Hani Fiqah tertawa perlahan. Ditepuk-tepuk perlahan bahu rakannya itu. Syura semakin tidak sabar. Terasa geram.

“Eh, kau jangan main-main, Hani. Seriuslah sikit! Aku tanya betul-betul, tahu tak?” ujar Syura dengan nada merajuk.

“Hisy, janganlah marah...nanti muka masam, tak comel pulak!” Hani Fiqah tetap mengusik walaupun wajah rakannya sudah kelat.

“Hani, sudahlah mengusik Syura tu. Asyik tunggu ni nanti perut abang yang berkeroncong...cakap ajelah kat Syura,” kata Dr. Rafiq. Kasihan pula melihat Syura yang tidak puas hati.

Hani Fiqah ketawa. Diusap-usapnya bahu Syura sebagai tanda pujukan.

“Syura...sebenarnya aku dengan Dr. Rafiq ni adik-beradik. Adik-beradik kembar...Dr. Rafiq abang dan aku adik,” kata Hani Fiqah dengan nada gurauan.

“Eh, otak kau dah tak betul pula sejak dah kahwin ni, Hani. Agak-agaklah juga kalau nak kelentong aku!” Marah Syura.

“Ya ALLAH...aku cakap perkara betul, kau kata kelentong? Eh, dahlah kau paksa aku cakap hal sebenar...aku cakap kau tak percaya pulak. Eh, kau tak dengar ke wali masa aku nikah kan ke Dr. Rafiq?” ujar Hani Fiqah

“Yalah...macam mana aku nak percaya kalau kau cakap benda tak masuk akal? Logikkah kau dengan Dr. Rafiq adik beradik...bin dan binti berlainan? Kau lupa ya...aku kan datang lambat masa kau nikah. Aku tak tahu pun siapa wali kau!”

Hani Fiqah terdiam. Wajah muram Syura ditatap lalu beralih ke wajah Dr. Rafiq.

“Syura...Hani cakap betul. Kami memang adik-beradik kembar, adik-beradik kandung...lahir daripada seorang ibu dan ayah yang sama. Masa saya baru lahir...emak saudara ambik saya jadi anak angkat sebab tu bin saya lain. Begitulah hal sebenarnya...kami tetap adik-beradik walau pun tak membesar bersama.” Dr. Rafiq menjelaskan secara padat. Tidak sabar dia ingin mengakhiri sengketa ringan Hani Fiqah dan Syura. Perutnya bagaikan sudah menjerit minta diisi.

“Kau okey ke, Syura? Dahlah...jangan difikirkan perkara tu lagi. Jom kita pergi minum sebelum naga kat perut Dr. Rafiq mengamuk!” kata Hani Fiqah bergurau sambil tertawa.

“Okeylah...maafkan aku, ya?” Syura tersenyum-senyum.

“Takde apalah, Syura. Aku faham...jomlah.” Hani Fiqah menguis lengan Syura.

Dr. Rafiq yang sudah berlalu dikejar dengan langkah tergesa-gesa.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan