Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,851
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

TAN Sri Zukri menarik nafas sedalam-dalamnya. Cadangan Azizan memang mengejutkannya. Namun cepat sahaja dia memahami kehendak Azizan. Dia tahu Azizan terbeban dengan tanggungjawab.

“Papa bersetuju dengan cadangan Izan tu.” Tan Sri Zukri memberi kata putus.

Azizan menatap wajah Tan Sri Zukri dengan perasaan berbaur. Sayu hatinya setiap kali merenung wajah yang semakin disapa usia itu. Sepatutnya Tan Sri Zukri tidak lagi bersusah payah untuknya dan Azrina. Namun tidak dapat dinafikan, dia amat memerlukan mereka dalam hidupnya.

“Papa, maafkan Izan. Izan tak bermaksud nak melukakan hati papa. Izan lakukan demi kebaikan kita semua.” Azizan segera memeluk tubuh Tan Sri Zukri.

“Papa faham lagipun hanya separuh daripada saham syarikat tu bukanlah apa sangat. Jika kita lepas pun kita tak akan mengalami sebarang kerugian. Cuma…” Tan Sri Zukri menatap wajah tampan Azizan.

“Apa dia, papa?”

“Papa terkenangkan arwah ayah Izan. Dulu dia berusaha keras menubuhkan syarikat ini hinggalah berjaya membuka banyak anak-anak syarikat.” Kedengaran nadanya sayu terluah.

Azizan bungkam seketika. Kata-kata Tan Sri Zukri itu menyengat jiwanya.

“Izan tak berniat nak lupakan usaha arwah ayah itu. Tak apalah kalau papa tak setuju, kita tak perlu teruskan. Lagipun itu sekadar cadangan Izan saja.”

“Teruskan cadangan Izan itu. Kita tak boleh tamak walaupun ia membawa banyak hasil. Kita masih banyak sumber lain.”

“Izan sebenarnya tak sanggup tengok papa bersusah payah lagi. Papa perlu berehat. Luangkan masa untuk mama yang selama ini banyak menjaga Rina.”

Niatnya memang ikhlas, mahu Tan Sri Zukri berehat. Dia ingin Tan Sri Zukri dan Puan Sri Marisa hidup gembira dan bahagia seperti dulu. Sudah tiba masanya untuk dia mengembalikan kehidupan sebenar suami isteri itu.

“Papa juga nak kita hidup hidup gembira, bersatu seperti arwah ayah dan ibu Izan masih ada dulu,” kata Tan Sri Zukri.

Terkenang waktu mereka sekeluarga mengecap bahagia suatu ketika dahulu. Azizan amat terharu. Dia tidak dapat menolak hakikat sebenar, jiwanya mudah tersentuh apabila mengenang ayah dan ibu kandungnya. Terlalu awal kasih mereka terpisah.

“Izan, buatlah apa yang patut. Papa izinkan. Lagipun ini semua milik Izan dengan Rina. Papa tak perlukan apaapa lagi. Papa dengan mama dah tua. Kami hanya ingin menumpang kasih Izan dengan Rina.”

“Papa, semua ini milik kita bersama. Harta dan kemewahan ini tak bermakna buat Izan tanpa papa dan mama.”

Tan Sri Zukri terharu. Tubuh gagah Azizan didakap erat. Dia dan Marisa tidak pernah menyalahkan takdir kerana tidak dikurniakan zuriat. Mereka redha dengan ketentuan-NYA.

Kepergian Johan dan Sarah terlalu cepat. Arwah adiknya meninggalkan Azrina dan Azizan untuknya. Anugerah yang sungguh bermakna buatnya dan Marisa.

PETANG itu cuaca kelihatan cerah. Namun petang yang mendung bagi Mariah. Meranapkan segala yang indah waktu paginya. Tubuhnya sudah menggeletar. Peluh bagaikan memercik di segenap tubuhnya.

“Ya ALLAH, tolonglah aku... apa aku nak buat ni,” bisik Mariah berkali-kali.

Laci mejanya sudah diselongkar berkali-kali. Semua benda dikeluarkan hingga kosong tetapi yang dicari tetap tidak ditemui. Dia tidak silap letak. Dia pasti dokumen penting dan telefon bimbitnya memang ada di dalam laci mejanya. Namun kini semuanya sudah lesap.

“Mariah, telefon kau tu dah tak aktif. Kau cubalah telefon lagi,” beritahu Faizal. Sejak tadi dia terus menekan nombor telefon Mariah.

Faizal menghulurkan telefon bimbitnya pada Mariah. Gadis itu pantas menyambut. Nombor telefon bimbitnya ditekan. Memang benar, hanya kedengaran pesanan peti suara.

“Macam mana ni, Zal? Saya tak tahu nak buat apa lagi,” luah Mariah dengan suara yang bergetar.

“Sabarlah Mariah. Kita cari lagi. Mungkin kau salah letak,” pujuk Mary.

Mariah menatap wajah rakan-rakannya. Dia rasa takut dan ingin menangis. Dia tidak kisah telefon bimbitnya tapi dokumen itu yang membuatkan perasaannya bagaikan dipilin-pilin.

“Kenapalah malang sungguh nasib aku hari ini?” Mariah mengeluh sayu.

Ketika Ramli menghampiri, hati mereka masing-masing tersentap. Sangat bimbang jika lelaki itu mengamuk lagi.

“Mariah, macam mana? Sudah jumpa dokumen dan telefon bimbit awak?”

Pertanyaan Ramli itu membuatkan Mariah semakin tidak tentu arah. Hendak dicari di mana? Fikirannya buntu.

“Encik Ramli, saya...” Mariah tidak meneruskan katakatanya.

Dia tidak mampu mengawal nadanya yang bergetar.

“Awak salah letak agaknya.” Ramli memicit dahinya. Sebenarnya dia turut bingung. Dokumen itu sangat penting dan diperlukan segera. Mariah pula tidak mungkin melakukan kesilapan lagi sejak beberapa kejadian berlaku padanya sebelum ini. Tanpa sedar renungan mata Ramli melekat pada raut wajah gadis itu. Wajah ayu itu menggamit rasa simpatinya malah menjentik perasaan lelakinya.

Dayang, Mariah dan Faizal berpandangan. Ramli tidak menyedari dirinya diperhatikan. Mariah pula sudah mematungkan diri, sesaat pun tidak berani memandang ke wajah lelaki itu. Faizal berdeham lantas menyedarkan Ramli.

“Mariah, saya sangat perlukan dokumen itu. Pelanggan kita akan datang petang nanti.” Encik Ramli laju bersuara.

Melihat gadis itu tidak memberi respons, Mary lalu menyentuh bahu gadis itu. “Mariah...” panggilnya.

Mariah tersentak. Kepalanya pantas mendongak namun fikirannya seolah-olah kosong, tidak mampu untuk memberikan sebarang ayat bagaimana untuk menjawab.

“Maafkan saya. Encik Ramli cakap apa tadi?” tanya Mariah dengan nada sayu.

“Saya perlukan dokumen tu segera. Kita usahakan jugak untuk selesaikan masalah ini. Awak okey ke?”

“Maafkan saya, Encik Ramli. Saya hampakan Encik Ramli sekali lagi. Saya tak sengaja hilangkan dokumen tu.

Saya...” Mariah menahan sebak. Air matanya hampir luruh.

“Saya percayakan awak, Mariah. Tak mengapalah tapi sekarang awak terpaksa kerja keras. Cetak semula semua dokumen perjanjian itu dan susun kemas-kemas. Boleh tak awak siapkan dalam masa dua jam? Kita dah tak cukup masa.”

Mariah seperti dihempap demi mendengar arahan itu. Dua jam? Setengah hari masa dia peruntukkan bagi menyiapkan dokumen itu. Bagaimana pula hendak menyiapkan dalam tempoh dua jam? Hanya ALLAH sahaja yang tahu bagaimana pedih dan sakit perasaan Mariah ketika itu.

Jika tidak memikirkan rasa malu, memang dia ingin menangis. Selama ini dia terlalu bersabar dengan karenah rakan setugasnya yang busuk hati. Meski tidak diketahuinya ‘kejahatan’ itu angkara siapa, marahnya kepada si ‘penganiaya’ kini sudah ke tahap maksimum.

“Mariah... saya harap sangat awak dapat siapkan dokumen itu. Kita tidak ada alasan kalau kerja kita tak siap. Awak cetaklah dulu, nanti kita sama-sama susun.”

“Baiklah Encik Ramli,” kata Mariah perlahan. Hampir luruh air mata yang ditahan-tahan.

Ramli menghela nafas. Wajah ayu yang kian mendung itu semakin menggamit simpatinya.

“Maafkan saya, Encik Ramli.”

“Tak apa, kita selesaikan dulu masalah ini. Nanti saya akan siasat perkara ini angkara siapa.”

Ramli berlalu masuk ke bilik kerjanya. Mariah menarik nafas berat lantas memulakan tugasnya. Hari yang malang baginya. Bertungkus-lumus dia menyiapkan dokumen itu hingga tidak sempat makan tengah hari dan akhirnya semua menjadi sia-sia. Panas tubir matanya apabila mengenang susah payahnya itu.

“Mariah...”

Mariah tersentak. Dia mendongak tanpa sempat menyeka air matanya. Laju tangannya menarik sehelai tisu lalu ditekapkan ke matanya.

Ramli tercegat di tepi meja. Hatinya sungguh terusik melihat Mariah bagaikan lipas kudung. “Awak okey? Maafkan saya sebab susahkan awak dengan kerja ni.” Ramli menatap simpati.

“Err... saya okey. Ada sikit saja lagi yang belum cetak,” beritahu Mariah sambil memandang sekilas wajah lelaki itu.

“Okey, yang dah cetak tu awak beri pada saya. Saya susunkan. Awak cetak lagi yang lain tu.” Ramli menyambut timbunan kertas bercetak yang dihulurkan Mariah kepadanya.

“Encik Ramli, biar kami saja yang bantu Mariah.”

Faizal dan Mary sudah berdiri tegak di sebelah Ramli.

“Baiklah, terima kasih Faizal, Mary...” ucap Ramli sebelum berlalu masuk ke bilik kerjanya.

“Mariah, elok sangat pulamoodEncik Ramli tu, kan? Kalau dulu, dah tentu dia melenting bagai nak runtuh pejabat ni,” umpat Faizal.

“Agaknya dia pun sudah jenuh marahkan saya ni,” jawab Mariah.

“Elok sangatlah angin dia baik. Kami pun dah jenuh mengumpat dia selalu,” bisik Mary .

“Eh, tak baik buat macam tu,” tegur Mariah.

“Harap muka aje kacak tapi perangai... eei...” Mary mengomel lagi.

“Sedap mulut kau cakap. Aku jauh lagi kacaklah banding dia tu tapi tak pernah pula kau puji aku.” Faizal mencebik.

“Eleh! Puji kau buat apa? Kau tu suami orang… bukannya aku dapat apa-apa pun!” Mary tidak mahu mengalah.

Mariah tersenyum. Tahu perangai rakan-rakan kerjanya itu, memang suka bertekak tapi hati mereka sangat baik.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan