KEDUA-DUA gadis itu saling berbalas salam sambil
tangan bertaut erat seolah-olah sudah lama tidak bersua. Lalu mereka ketawa
ceria. Ada sahaja cerita yang berlaku pada mereka hari ini.
“Maaflah Sue, Shim... aku terlambat. Aku tak
sengaja.” Seperti selalunya, Mariah tetap rasa bersalah kerana kelewatannya.
“Kami pun baru sampai.” Seperti selalu juga Sue menyenangkan
perasaan Mariah.
“Hmm, patutlah kau tak sabar-sabar tadi. Rupanya
abang sayang kau ada sama,” usik Mariah sambil tertawa.
“Apa khabar, Mariah?” tanya Shimrul sambil
tersenyum.
“Aku sihat, Shim. Kau apa khabar?” tanya Mariah
pula.
“Alhamdulillah... aku pun sihat.” Shimrul turut
tertawa.
“Bila kau sampai, Shim? Sue tak cakap pun kau
datang,”
tanya Mariah lagi lalu mengalihkan pandangan ke
wajah sahabatnya. Sue pula tersengih-sengih.
“Tengah hari tadi. Sebenarnya aku pergi beli buku rujukan
kat Eaton sambil tu ambil peluang jumpa kau orang,” beritahu Shimrul.
“Hmm... betul ke ni? Bukan nak jumpa Sue aje ke?” usik Mariah.
Ditatapnya wajah Sue sambil menjongket keningnya.
Sue menguis lengan Mariah. Malu-malu diusik begitu. Hubungannya dengan Shimrul memang bukan
rahsia lagi. Mengikut perancangan yang
dipersetujui oleh keluarga kedua-dua belah pihak, mereka akan mengikat tali
pertunangan setelah Shimrul menamatkan pengajiannya di UiTM.
“Mariah... aku ni jenis berterus-terang. Aku memang rindu
sangat pada buah hati aku tapi aku rindukan kau juga. Kau kan adik aku.”
Mariah ketawa lagi. Dia sangat bersyukur, Shimrul memang
sangat baik padanya. Sejak usianya 10 tahun, Shimrul sudah menganggapnya
sebagai adik malah mahu Mariah menjadi adik angkatnya. Shimrul anak tunggal dan
sering bertandang ke rumahnya kerana kesunyian. Mariah terima dengan senang
hati lebih-lebih lagi dia sangat rapat dengan Sue, gadis kesayangan Shimrul.
“Shim, aku minta tolong sikit, boleh tak?” Mariah bersuara
sejurus pelayan selesai mengambil pesanan mereka.
“Banyak pun boleh?” Shimrul memandang wajah Mariah.
“Aku nak ambil peperiksaan STPM tak lama lagi. Kalau kau
sudi, aku nak pinjam nota tingkatan 6 kau dulu tu.”
“Boleh, tak ada masalah. Kenapa sekarang baru kau nak
pinjam? Sempat lagi ke kau nak belajar, Mariah?” Tanya Shimrul.
“Terima kasih, Shim. Aku pun tak tahu tapi aku akan cuba
sedaya upaya,” ujar Mariah.
“Mariah, kau pasti boleh. Kau janganlah risau nanti kau stres
pula, ya.” Sue menyentuh lengan Mariah, memberi
semangat kepada sahabatnya itu.
“Aku yakin kau boleh, Mariah. Otak kau bijak tak macam otak
aku ni,” sambung Sue lagi sambil tersenyum malu. Sedar akan kelemahan dirinya.
“Alah, kau tak payah pandai sangat Sue. Pandai jadi isteri aku
cukuplah!” Shimrul berlawak, menyakat buah hatinya.
“Eh, bila masa aku kata nak jadi isteri kau?” Sue menjeling.
Rona wajah jadi kemerahan.
“Jangan nak berdalih pula. Mungkir janji tu berdosa!”
Shimrul memang suka mengusik. Mariah ketawa, menyerlahkan lesung pipit di
pipinya.
Wajah Sue merah bagaikan udang dipanggang. Riang hati Mariah
setiap kali bersama Shimrul dan Sue. Mereka bertiga bersahabat semenjak di
sekolah rendah hinggalah tamat
tingkatan lima, dia dan Sue tetap bersama. Shimrul pula senior
mereka, tiga tahun lebih tua daripada mereka.
Shimrul mendapat tawaran di UiTM cawangan Kota Kinabalu
selepas mendapat keputusan cemerlang peperiksaan STPM. Sue pula berhijrah ke
Kota Kinabalu, mencari pekerjaan apabila keputusan peperiksaan SPMnya tidak
menggalakkan dia melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam. Di bandar, Sue mengambil
kursus hingga mendapat sijil kesetiausahaan. Sue berjaya mendapat pekerjaan di
salah sebuah syarikat swasta. Akhirnya Mariah mengikut jejak Sue, berhijrah ke
bandar mencari pekerjaan. Itu pun atas jasa Sue mencarikannya pekerjaan. Mariah
rasa bertuah menjadi sahabat Sue yang prihatin. Sue tidak pernah jenuh memberi semangat
kepadanya.
“Shim, bila pengajian kau selesai?” tanya Mariah.
Hidangan di depannya belum diusik lagi.
“Jika tidak ada halangan, empat bulan lagi pengajian aku selesai.”
“Syukur alhamdulillah. Aku tumpang gembira. Tak lama lagi
kau dapat ijazah. Lepas tu boleh lanjut ke peringkat sarjana. Kau mampu, tak
macam aku ni.” Mariah tetap tersenyum, menutup hati yang tercuit.
“Kau pun pasti boleh, Mariah. Aku yakin suatu hari nanti kau
pasti boleh kejar cita-cita kau.”
Mariah mengangguk. Dia tahu, Shimrul ingin menghiburkan
hatinya. Niatnya memang begitu, namun keluarganya tidak berkemampuan seperti
keluarga Shimrul.
Beruntung Shimrul, belajar hingga tinggi mana pun pasti tiada
halangan dan masalah dari segi kewangan. Dia tetap berdoa saban waktu walau dia
belum melihat ada jalan yang
membolehkan dia mencapai impiannya.
AZIZAN sedar jiwanya sedang bergolak. Jika diturutkan kata
hati, tidak ingin dia mengalihkan pandangan mata. Sudah hampir setengah jam dia
dan Syamsul duduk menikmati minuman petang di Habour City sambil matanya
sesekali melirik menikmati pemandangan yang lebih bermakna.
Syamsul merenung wajah Azizan. Dia tersengih memerhati
telatah sahabatnya itu. Anak mata Azizan seakan-akan sudah melekat pada wajah
seorang gadis yang sedang tersenyum ceria bersama dua orang rakannya. Memang strategik
tempat duduk yang dipilihnya kerana Azizan mampu melihat dengan jelas gadis ‘idaman’
kalbunya.
“Betul tak apa yang aku cakap? Dia tu cantik... menarik, kan?”
Suara Syamsul mengembalikan Azizan ke alam nyata. Kembali ke
persekitaran restoran di Habour City itu.
Pandangannya segera dialihkan ke wajah Syamsul.
“Hmm, cantik...” balas Azizan selamba.
Syamsul merenung tepat ke anak mata Azizan, ingin mencari
sesuatu kelainan namun wajah Azizan sangat tenang, terlalu sukar baginya
membuat tafsiran.
“Kau ni Izan...” Syamsul mendengus.
“Kenapa?” tanya Azizan lalu ketawa.
“Tak ada perasaan! Cubalah kau berterus-terang. Kau tu lelaki,
nak pikat perempuan bukan begini caranya. Kaulah yang mulakan langkah, tahu
tak?”
Azizan menggeleng. Kata-kata Syamsul itu agak mendesak. Ah,
Syamsul tidak faham kehendak jiwanya.
“Syam, jangan nak mulakan lagi syarahan kau tu, okey?
Kenapa kau ajak aku ke tempat ni?”
Azizan menjongket kening sambil matanya mengerling ke
sekeliling mereka. Sebenarnya tidak ada yang sangat istimewa dengan restoran
itu melainkan ia berhampiran dengan KK Times Square, di mana letaknya pejabat
syarikat tempat gadis itu bekerja!
“Aku hairanlah dengan kau ni. Ahli korporat yang hebat tapi
otak lembap dalam soal kecil macam ni,” perli Syamsul.
Syamsul memang tidak pernah menapis kata jika berbicara
dengannya. Terlalu berterus-terang tetapi itulah yang disenangi Azizan. Dia
tidak pernah terasa hati pada kata-kata Syamsul.
“Takkan semua perkara aku perlu jelaskan secara terperinci,
Izan. Kau tengoklah gadis tu puas-puas! Buka mata tu luas-luas, perhati dan
nilai dengan mata kasar kau. Ni asyik
aku aje yang tengok. Eh, aku pun dah jenuhlah kerja jadi pengintip... asyik
tangkap gambar. Aku ni dah beristeri. Bimbang
juga lama-kelamaan iman aku tergugat!”
“Habis tu kau nak aku buat apa? Kau ni...”
“Hah, itulah kau.. tak pernah fikir panjang. Tadi dah ditakdirkan
bersemuka sepatutnya kau ambillah peluang tu berkenalan dengan gadis pujaan tu
tadi. Kau ni sebenarnya nak macam mana lagi? Dia tu tak cukup cantik ke? Sudah terbentang
di depan mata tapi kau tak tahu menghargai. Nak mengurat pun sembunyi-sembunyi!”
Syamsul membebel dengan suara perlahan. Matanya menatap
tepat pada mata Azizan. Wajah Azizan yang selamba membuatkan Syamsul menjadi
geram.
“Syam...” Ayat Azizan terbantut tatkala Syamsul
mengangkat sedikit tangannya.
“Aku belum habis cakaplah! Tadi sudah berlanggar pun kau
buat selamba lagi. Kan elok kau berkenalan dengan dia tadi. Tanya nama, minta
nombor telefon dia... selesai kerja! Tidaklah perlu mengekori dan mengintip...”
Syamsul mengeluh di hujung bicaranya.
Azizan terdiam. Ditadahkan telinga, mendengar syarahan Syamsul.
Dia faham maksud kata-kata Syamsul. Malah dia akui apa yang Syamsul katakan itu
benar belaka.
“Syam, bukan macam tu. Sebenarnya... aku tak suka tergesa-gesa.
Belum sampai masanya lagi.” Syamsul menghela nafas.
Azizan tahu tentu Syamsul tidak berpuas hati dengan sikapnya.
Apatah lagi kian kerap dia perlukan bantuan sahabatnya itu.
“Nak tunggu sampai bila? Tunggu sampai dia dah jadimilik
orang? Masa tu nanti baru putih mata kau!”
“Itu tandanya tak ada jodoh. Bunga bukan sekuntum!” balas
Azizan lalu ketawa.
“Hmm, suka hati kaulah, Izan. Betullah, hati dan perasaan
tak boleh dipaksa-paksa, kan? Tapi aku harap kau serius kali ni,” kata Syamsul.
“Aku faham, Syam. Maafkan aku sebab selalu menyusahkan kau,”
pinta Azizan.
“Ini bukan soal susah senang, Izan. Aku ikhlas nak tolong.
Aku sengaja telefon kau tadi bila ternampak teman dia tu ada kat sini. Aku
yakin dia tu pasti datang jugak. Aku sebenarnya nak kau tengok sendiri... tak
perlulah ambik gambar dah. Aku nak kau bertindak tapi kuasa di tangan kau sendiri.”
Syamsul menjongketkan bahunya tanda berserah.
“Terima kasih, Syam. Aku tahu niat kau baik. Aku janji, akan
selesaikan perkara ni secepat mungkin.”
Anggukan Syamsul melegakan hati Azizan. Dia tahu Syamsul
memang sahabat yang memahami.
“Buah hati kau dah nak pergi tu.” Syamsul menjuihkan sedikit
bibirnya.
“Biarlah... nak buat apa pulak?” jawab Azizan selamba.
Syamsul menghela nafas dengan respon lelaki itu. Namun perlahan-lahan Azizan mengalih
pandang. Terpaku pada wajah ayu pada
saat gadis itu sedang memandangnya. Secebis senyuman manis terukir di bibir gadis
itu, mempamerkan lesung pipitnya. Azizan terpaku
sejenak. Bertentang mata beberapa detik namun terkesan di
jiwanya. Memang benar kata Syamsul, gadis itu cantik menawan hati. Sesungguhnya
dia sempat meneliti raut wajah itu sebentar tadi. Anehnya, wajah gadis itu
menyebabkan paluan jantungnya berubah rentak buat beberapa saat. Memang aneh
namun itulah yang dirasainya.
“Sudahlah tu. Tak perlu direnung lagi. Dia dah pergi pun.”
Azizan tersenyum meleret. Dipadamkan bayangan wajah ayu itu
dari mindanya. Kopi yang masih berbaki di dalam cawannya segera diteguk hingga
habis.
“Syam, marilah kita balik.”
“Yalah, nak tunggu apa lagi. Pujaan hati kau sudah pergi!”
“Syam!”
“Okey... okey... jomlah!”
Mereka melangkah beriringan. Bersalaman erat sebelum menuju
ke kereta masing-masing.