Home Cerpen Umum Cinta Sang Petualang
Cinta Sang Petualang
1/7/2014 12:11:39
3,799
Kategori: Cerpen
Genre: Umum
Cinta Sang Petualang

PERMULAANNYA.

INI bukan pertama kali aku datang. Masihku ingat, semua jalan-jalan yang pernah dahulu aku lalui. Biarpun ada sedikit perubahan tapi aku masih dapat mengecamnya. Kota Jakarta persis Kuala Lumpur, pesat dengan bangunan pencakar langit. Jalanraya juga pula macet. Hon kenderaan terdengar bising sekali.

Aku memandang jauh ke arah jalanraya yang sibuk. Di tengah kesesakan itu, beberapa orang kanak-kanak lelaki berpakaian selekeh masih sempat berjualan. Minuman, goreng pisang dan surat khabar. Akibat kemiskinan, mereka mempertaruhkan nyawa untuk menjaja jualan pada kereta yang tersadai dalam kesesakan.

Sesekali aku meraut wajah yang sedikit berminyak. Bahang kepanasan terus terasa menyengat. Udara dan angin panas di sini tidak jauh bezanya dengan Malaysia. Sangat merimaskan. Aku memandang tunak ke arah toko buku yang bertutup rapat. Pintu kaca yang bertutup rapat itu seakan-akan menggamit supaya aku masuk dan menikmati dingin suasana di dalam toko.

Aku melangkah masuk dengan pantas. Terus tubuhku disapa dinginnya suasana di dalam toko. Nyaman. Suasana di dalam toko itu sepi, tidak ramai pelanggan di siang hari bolong.

“Selamat siang pak!” tegur pekerja toko.

“Bisa saya bantu?” dia bertanya ramah.

Aku melempar senyum paksa. Aku masuk bukan untuk membeli buku. Aku sekadar ingin menghabiskan masa sementara menunggu seorang teman. Teman lama yang pernah sama-sama belajar denganku di Universiti Diponegoro. Aku datang atas undangan. Sudah lama tersimpan keinginan untuk kembali ke kota ini. Cuma keadaan tidak mengizinkan.

“Oh... saya hanya mahu liat-liatin dulu. Bisa kan?” balasku secara automatik menukar dialek percakapan.

Aku pernah tinggal di sini selama hampir enam tahun sebelum pulang ke Malaysia. Hanya dua tahun sahaja aku berada di Malaysia. Kini aku menginjak lagi kota Jakarta. Aku tidak dapat memisahkan diri terlalu lama dengan kota ini.

“Ya, bisa saja pak...” jawab gadis jurujual itu dengan ramah.

Tiba-tiba aku teringat sesuatu.

“Oh ya! Ada enggak buku puisinya Chairil Anwar? Dulu saya pernah memilikinya tapi sudah hilang. Bisa saya dapatkan buku itu lagi?”

“Hmmm, nanti saya cari untuk bapak. Tapi saya enggak yakin buku itu masih ada atau enggak. Soalnya buku itu sudah agak lama. Sebentar ya pak!”

Aku sekadar mengangguk. Langkah terus kuatur menuju ke arah rak buku yang tersusun rapi. Aku belek satu persatu dengan penuh minat. Memang aku suka melihat buku-buku yang tersusun rapi. Amat cantik. Bagiku, tiada hiasan yang lebih cantik selain daripada buku-buku yang memiliki pelbagai warna kulit, tersusun kemas di atas rak.

“Maaf pak, buku itu sudah enggak ada lagi dalam stok kami. Bapak bisa cari buku lain.”

“Ya, terima kasih.” Sahutku sambil melempar senyum.

Aku meneruskan langkah mengitari seluruh ruang toko buku yang luas itu. Namun tiada buku yang berjaya menarik minatku. Lagipun aku tidak punya duit lebih untuk dihabiskan dengan sia-sia. Kini membeli sebuah buku meskipun tipis, terasa sangat satu pembaziran. Bukan seperti waktu menjadi pelajar dahulu. Apa jua buku yang bersifat kesusasteraan terutama sekali puisi akan aku buru dan memilikinya. Aku akan mendeklamasikannya di hadapan teman-teman, kala berkumpul.

Tiba-tiba bait dari puisi Chairil Anwar berjodol AKU bermain-main lagi dalam kepalaku.

Kalau sampai waktuku
Kumau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu!

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari

Hingga hilang pedih peri

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi!

Aku terbuai dalam ungkapan bait-bait yang menggetar jiwa. Semangat juangnya terasa menggebu-gebu dalam hatiku kala ini. Aku masih terasa betapa pemuisi hebat itu sedang menentang dan mencari keadilan dengan cara yang tersendiri. Suatu masa dahulu, pasti puisi-puisi meresapi jiwa anak muda untuk bangun dan berjuang menentang ketidakadilan.

Tapi pada zaman kini, masihkah perjuangan itu terus berjalan dengan mulus? Atau semuanya terus terhenti tanpa titik noktah.

Telefon di dalam poket seluarku bergetar dan berbunyi, memutuskan segala bayangan dan mengisi kepala. Aku segera menyeluk dan mengambil telefon bimbitku. Terlihat nama Slamet.

“Kau di mana?” tanya Slamet.

“Aku lagi di toko buku. Kau sudah sampai?”

“Ya, aku menungguin kau di sini. Segera datang ke sini, nanti kita akan telat.”

“Okey, aku datang. Sepuluh menit ya...” ucapku sambil terus bergegas keluar.

Kami menaiki bas untuk pulang ke rumah Slamet. Dia kini tinggal sendiri di Kampung Luar Batang, satu daerah miskin di kota Jakarta. Kampung itu berdekatan dengan pasar ikan. Kota ini pesat membangun dengan gedung-gedung pencakar langit, serta hingar bingar gemerlap dunia malam penuh hura-hura. Kemiskinan dan kemelaratan hidup penghuninya tidak perlu disangkal. Ramai yang tidak memiliki pekerjaan di sini, menjadi pengemis. Dan anak-anak gelandangan juga ada di setiap sudut kota.

Bas penuh sesak dengan penumpang yang baru pulang dari kerja. Aku tidak peduli akan kesesakan itu lagi. Perkara paling penting adalah dapat berehat setelah aku penat menempuh perjalanan dari Kuala Lumpur.

“Kau jangan terkejut ya... aku sekarang tinggal di rumah kumuh,” kata Slamet sambil berjalan mendahului aku.

Kami baru sahaja turun dari bas yang berhenti di pinggir jalan berturap tar yang sudah sedikit rosak. Kini kami berjalan di celah-celah lorong sempit yang dikepung rumah-rumah papan kecil, saling berlaga atap. Kebanyakan rumah hampir-hampir sama sahaja bentuknya. Kelihatan pakaian dijemur di hadapan rumah, berkibar-kibar ditiup angin petang. Angin itu membawa bau busuk yang agak memualkan, hingga aku hampir sahaja muntah.

“Ayo lah! Rumahku masih jauh,” ajak Slamet sambil terus berjalan sementara berhenti sejenak memerhati sekeliling.

Hati kecilku berkata; agh! Suasana di sini jauh lebih terus dibandingkan dengan setinggan di KL. Malah sekarang, setinggan hampir-hampir sudah tiada lagi. Beberapa tahun lalu aku masih melihat wujudnya rumah-rumah setinggan semasa menaiki tren menghala ke Cheras. Kalau tidak silap berhampiran dengan stesen Hang Tuah. Rumah setinggan yang berceratuk rapat, buruk dan kecil itu memang mengganggu pandangan.

Akhirnya kami tiba jua di rumah Slamet. Rumahnya berdinding separuh batu dan papan. Halamannya sedikit kotor dengan sampah sarap dan berdebu. Rumah itu panjang berderet, lebih kurang ada enam pintu semuanya. Rumah Slamet terletak di hujung sekali. Tidak jauh di halaman kecil itu terdapat selokan (longkang). Betapa busuk bau selokan itu yang dihirup oleh hidungku. Kembang kempis hidungku tidak tahan dengan bau yang amat busuk. Nyata suasana itu sangat berbeza dengan suasana di kampungku.

Slamet membuka pintu dan mempelawa aku masuk. Setelah masuk ke ruang tamu yang seluasnya hanya sekangkang kera, aku meletakkan beg sandang berisi beberapa helai baju dan seluar di satu sudut. Tiada televisyen ataupun kerusi meja di ruangan itu. Hanya terbentang sebuah tikar yang sudah usang.

Aku pasrah. Aku akan tinggal di situ untuk beberapa bulan. Aku tidak pasti. Aku harus membiasakan diri dengan suasana di rumah kumuh itu. Semua kesulitan itu telah aku tolak ke samping. Aku nekad setelah keputusan dibuat untuk meninggalkan Malaysia. Bermakna aku harus meninggalkan sebuah kesenangan.

“Kau mahu mandi? Aku ambilkan handuk (tuala) ya?” kata Slamet.

“Biarlah. Aku ingin istirehat duluan,” kataku sambil tersenyum.

Aku duduk berlunjur kaki. Slamet ke dapur dan terdengar dia mencuci piring dan gelas. Katanya dia ingin menyediakan kopi. Tidak lama kemudian dia keluar membawa kopi yang dituangkan ke dalam dua biji gelas kaca.

“Wah, cepat sekali kau bikin kopinya?” kataku dengan nada kagum.

Slamet ketawa.

“Aku ambil saja air dari dalam flash,” balasnya ringkas.

“Tadi, aku fikir kau tinggal di sini dengan isteri dan anak-anak.”

Slamet ketawa. “Masakan. Isteriku enggak lagi di rumah keluarganya. Di Jakarta ini aku sendiri. Enggak mungkinlah aku bawa isteri dan anak-anakku ke sini. Keadaan di sini enggak pantas buat anak-anakku yang masih kecil. Kawasan yang kotor bangat.”

Aku sekadar mengangguk. Mengerti.

“Kau masih kerja di perusahaan yang dulu?”

Slamet menggeleng. “Sudah lama kabur. Aku ini bukan jenis orang yang bisa diatur-atur dan diarah-arah. Aku enggak suka. Ya, kerja sendiri lebih baik. Aku tidak perlu terikat dengan siapa-siapa.”

“Lalu bagaimana kau bisa kenal sama Bung Karto, Pak Jamil dan yang lain-lainnya?”

Slamet bercerita dengan suara rendah sambil meneguk kopi dari gelas. Air kopi itu sudah tidak hangat lagi. Malah boleh sahaja kalau mahu diteguk terus sekali gus. Tapi tidak enak pula ngobrol tanpa kopi. Lalu kami mengambil keputusan untuk meneguknya perlahan-lahan, seiring dengan cerita yang dibentangkan dengan penuh hemat.

Setelah cerita panjang Slamet itu berakhir, aku bertanya.

“Di mana kamar mandi kau Slam?”

“Di belakang,” tunjuk Slamet sambil menuding ke arah pintu dapur.

Aku mengambil handuk yang tergantung di dinding. Tubuhku berlenggeng menghala ke pintu dapur. Slamet memasak nasi. Rajin betul dia. Aku terfikir untuk mengajak dia makan di luar sahaja. Namun tidak sampai hati apabila melihat dia memasak dengan bersungguh-sungguh. Aku menjeling dia sedang menghiris tempe. Tempe goreng yang dicelup tepung menjadi hidangan malam ini. Aku tidak melihat lauk-pauk lain, melainkan seikat daun singkong yang sudah layu. Dia tidak memiliki peti ais. Barang elektrik hampir-hampir tiada. Aku harap malam nanti cuaca tidak terlalu panas lantas membolehkan aku tidur nyenyak.

Aku membuka pintu belakang. Serta merta hidungku menangkap bau yang kurang menyenangkan. Tanah di bahagian belakang rumah terasa lembab dan berair. Terasa jijik meskipun kakiku beralas selipar getah. Berdekatan dengan pintu terdapat beberapa batang pohon singkong. Daunnya melambai-lambai dipuput bayu senja.

Beberapa langkah dari pintu dapur, terlihat sebuah bilik air yang tidak layak dipanggil bilik air. Kawasan itu ditutupi zink yang sudah buruk dan berkarat, berdinding separas pinggang. Terdengar bunyi kocakan air. Aku terlihat bayang-bayang orang sedang mandi dalam suasana samar-samar, di ambang senja. Aku fikir bilik air itu mempunyai air paip. Tetapi ternyata sumber airnya datang dari sebuah telaga. Perempuan itu sedang gagah menangguk air menggunakan timba.

Aku terpaku memerhati. Agak jelas di pandangan mataku seorang perempuan yang sedang berkemban kain batik, sedang menjirus badannya dengan air. Rambutnya dibiarkan lepas hingga ke pinggang. Wajahnya kulihat dari sisi, cantik dan lekuk-lekuk tubuhnya menggiurkan.

“Eh, Abang Slamet! Bikin terkejut Wiwi saja...” kata perempuan itu sambil berpaling ke arahku.

Aku terdiam, tanpa suara. Perempuan itu berpaling sekali lagi dan wajahnya memperlihatkan rasa terkejut bercampur malu. Dia tersalah sangka. Dia fikir aku Slamet. Aku mengukir senyum ramah.

“Maaf ya. Bukan niatku ingin lihat kamu mandi,” ucapku dengan suara yang tertahan-tahan.

“Enggak apa-apa kok. Memangnya enggak bisa dielakkan.” Lanjut perempuan itu lalu cepat-cepat menutup bahunya dengan sehelai handuk yang sudah lusuh. Dia bergerak keluar dari ‘kamar mandi’ itu dan berselisihan denganku. Dapatku hidu bau sabun yang digunakannya. Wangi sekali.

“Saya kawan Slamet,” beritahuku untuk melanjutkan perbicaraan dengannya, enggan melepaskan dia pergi semudah itu.

“Temannya Abang Slamet? Kamu bukan orang Indonesia?”

Entah bagaimana dia tahu aku bukan orang Indonesia sedangkan aku sudah cuba sebaik-baiknya bertutur mengikut dialek dan nada bercakapan mereka.

“Ya, bukan. Saya dari Malaysia.”

Perempuan itu mengangguk dan terus berlalu. Pintu dapur rumahnya bersebelahan dengan pintu dapur Slamet. Agh! Untung kau Slamet! Hari-hari boleh melihat perempuan cantik itu mandi di sumur... bisik hatiku kecilku nakal. Aku tersenyum sendiri.

Hampir dua bulan aku berada di Jakarta. Setiap hari ada-ada sahaja kegiatanku setelah usai bekerja. Aku mengikut Slamet membuat kerja-kerja kontrak membersihkan bangunan. Perusahaan itu milik Slamet sendiri. Dia juga boss dia juga kuli. Sejak aku datang, aku menjadi kuli Slamet. Namun aku rela demi untuk terus berjuang bersama mereka.

Sebelah malam, kami sering menemui Pak Jamil, Bung Karto dan teman-teman lain. Pak Jamil akan memanggil semua ahli-ahli jemaah berkumpul di rumahnya sendiri. Setelah solat Isyak dan makan malam, Pak Jamil akan memulakan syarahannya. Kami yang datang mendengarnya dengan penuh khusyuk.

“Sejak berabad dulu kita ini berjuang melawan manusia-manusia yang ingin merampai perdamaian universal,” kata Pak Jamil.

“Kita tidak bisa terus berdiam diri membiarkan kekuatan besar menindas kita. Meskipun kita miskin, kita punya martabat dan harga diri. Jangan biar mereka menginjak kita. Kita harus bangkit melawan. Kita ini bukan golongan yang lemah. Kita kuat kalau kita bersatu!”

Begitulah di setiap pertemuan Pak Jamil dengan dibantu oleh Bung Karto akan meniup semangat juang dalam diri kami. Ahli-ahli kami sentiasa bertambah hari demi hari. Kenalanku juga bertambah ramah dan ramai. Mereka menyukai aku. Satu-satunya pria dari Malaysia yang hadir bersama kumpulan mereka. Aku mulai terasa menjadi sebahagian dari mereka.

Aku mulai gembira di sini. Lebih-lebih lagi perhubunganku dengan perempuan di sebelah rumah penginapanku dengan Slamet juga turut berkembang. Pun semua itu berlaku tanpa pengetahuan Slamet. Pertiwi atau nama ringkasnya Wiwi akan datang mengunjungiku saat Slamet pulang ke rumah isterinya di Bandung.

Langit terlihat mendung sejak petang. Dan malam ini meniriskan hujan lebat bergendang hebat di atap zink usang rumah. Aku tinggal sendirian. Malam ini aku membatalkan niat untuk ke rumah Pak Jamil.

Pertiwi datang mengetuk pintu dapur, membawakan semangkuk gulai nangka. Baunya harum menyengat. Aku yang kelaparan, segera meminta dia menghidang nasi. Kami makan berdua di dapur sempit itu, dalam suasana senyap. Hanya terdengar bunyi suara hujan yang mencurah-curah.

“Wiwi, kau baik sekali sama aku. Aku tak pernah menduga ada perempuan sebaik kamu,” kataku dengan nada lembut.

Pertiwi tersenyum mendengar pujianku. Dia tersipu-sipu malu sambil meramas nasi di dalam pinggannya.

“Wi, aku cinta sama kamu,” ucapku lirih.

Terus nasi di dalam mulut Pertiwi tersembur. Aku turut terkena tempiasnya. Tidak kusangka dia terkejut mendengar ungkapanku itu. Hubungan kami memang akrab, namun aku belum pernah mengungkapkan kata cinta.

“Kok kamu terkejut, Wi?”

Pertiwi terus berhenti makan. Dia mencuci tangan, lalu duduk bersandar di dinding dengan wajah muram. Beberapa titis airmatanya berguguran lembut. Aku merenungnya penuh tanda tanya. Seleraku turut terbantut. Aku turut membersihkan tangan yang dipaliti nasi dan kuah gulai nangka hasil air tangan Pertiwi.

“Kau kenapa Wi? Apakah aku menyakiti hatimu? Salahkah kalau aku jatuh cinta sama kamu, Wi? Kau perempuan yang baik. Kau cantik. Kau sempurna Wiwi.”

“Enggak. Jangan ucapkan itu Bang Johan. Wiwi enggak sesempurna yang abang fikirin. Wiwi terlalu banyak kekurangannya bang. Wiwi ni perempuan malang. Perempuan yang sudah cacat...”

“Maksudmu Wiwi? Aku enggak ngerti apa maksudmu?” Aku bertanya sambil mendekati dan menyentuh bahunya.

“Bang Johan. Wiwi pernah diperkosa. Wiwi enggak pantas buat abang.”

“Siapa? Siapa memperkosa kau, Wi?” tanyaku bersama rasa terkejut yang amat sangat.

“Ayah tiri Wiwi.”

Rasa hatiku amat marah sekali. Aku rasa kasihan pada Pertiwi. Aku langsung tidak menyangka perempuan cantik itu menyimpan kisah yang sungguh buruk. Aku tidak bisa melelapkan mata malam itu. Aku asyik teringat pada ungkapan Pertiwi. Lewat dinihari itu kala aku hampir-hampir terlelap, aku terdengar suara bising dari rumah Pertiwi.

Suara pertengkaran ibu Pertiwi dan bapanya tirinya terdengar tingkah meningkah. Kemudian diikuti dengan suara tangisan halus ibunya. Aku yakin pertengkaran mereka, penyebabnya pasti berkait rapat dengan wang. Rasa simpati yang melaut membuat aku memberikan Pertiwi sejumlah wang.

“Ni untuk maskahwin. Kita menikah,” bisikku dengan lembut.

“Setelah menikah kita bercinta..” kataku lagi sambil tersenyum.

Pertiwi mengangguk cepat. Bibirnya yang munggil terukir senyum manis.

Biarpun kedatanganku ke kota Jakarta ini sudah sedikit menyimpang dari tujuan asal, namun aku bahagia menikahi Pertiwi. Aku cintakan dia. Aku ingin memilikinya secara sah. Aku ingin menjadikan dia seorang isteri yang bahagia. Tidak ada yang lebih mulia dalam sebuah perjuangan melainkan menyelamatkan maruah seorang perempuan yang teraniaya.

TIGA BULAN KEMUDIAN

“Berapa lama abang ingin pergi?” tanya Pertiwi, dengan suara menyimpan sendu.

Aku terhenti dari membutangkan baju kemeja biru. Aku merenung Pertiwi yang duduk bersandar di dinding. Wajahnya muram. Bagaikan dapat merasai sesuatu, Pertiwi seboleh mungkin ingin menghalang aku pergi.

Pertiwi tidak pernah tahu tentang perjuanganku dan Slamet. Seboleh mungkin aku merahsiakan semuanya dari pengetahuan dia. Aku sering kali menyatakan aku akan keluar bekerja demi untuk mendapatkan kesenangan. Sekarang dia sedang berbadan dua.

“Aku akan segera pulang,” aku berbohong. Aku tidak akan kembali lagi ke sisi Pertiwi. Itu sudah pasti. Namun aku masih ingin membujuknya dengan kata-kata dusta yang manis. Semoga dia percaya.

“Ini perjuangan akhir kita,” aku teringat kata-kata Pak Jamil.

“Kau rela melakukannya, Johan?”

“Ya,” aku mengangguk.

“Aku rela demi nusa bangsa dan pertiwi.”

Ya demi pertiwi, agama dan bangsa Melayu. Juga demi Pertiwi isteriku. Aku terpaksa meninggalkan dia demi meneruskan perjuanganku ini. Perjuangan menentang kejahatan dan kebatilan. Ini adalah jihad. Demi negara tercinta. Dan aku pasti ada tempatku di akhirat kelak, menjadi syuhada.

“Aku sudah meletakkan kalian di bahagian masing-masing. Slamet akan ke Surabaya. Johan, kamu di sini, Jakarta. Kita akan melakukannya esok. Semua peralatan sudah lengkap. Kita berkumpul lagi selepas subuh esok.”

“Wiwi... sekiranya sesuatu terjadi pada aku,” aku berbisik lunak. Pertiwi segera mendekati dan meletakkan jari telunjuknya di bibirku.

“Jangan bilang apa-apa,” kata Pertiwi.

“Aku mahu abang kembali lagi ke rumah kita,” katanya dengan suara lirih dan airmatanya luruh di pipi. Dia membiarkannya air jernih itu terus mengalir lembut menimpa dada.

Tiba-tiba puisi Chairil Anwar bermain lagi dalam kepalaku.

Kalau sampai waktuku
Kumau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu!

“Wiwi!” Aku goncang bahunya.

“Dengarkan ini baik-baik. Kalau aku enggak kembali, kamu pergilah ke Malaysia. Aku sudah sediakan sejumlah wang buat kau. Tempat umpama neraka dunia ini enggak pantas lagi buatmu Wiwi. Biarkan anak kita berada di tempat yang lebih baik. Malaysia.”

Airmata Pertiwi mengalir perlahan. Kemudian aku terus meninggalkan Pertiwi, langsung tidak berpaling lagi. Namun masih terdengar-dengar suara tangisannya di telingaku. Dia memanggilku beberapa kali namun tidak langsung kuhiraukan. Di bawah langit subuh yang suram, aku terus melangkah menghala ke jalan utama. Lalu segera kutahan beca yang baru datang.

Aku terus menuju ke rumah Pak Jamil. Dari sana, seramai lima orang teman-temanku memulakan misi pertama kami. Misi yang sudah lama diatur. Kami menuju ke sebuah hotel mewah yang menjadi tempat penginapan turis atau pelancong. Hasrat dan niat adalah untuk menghapuskan mereka. Mereka penindas golongan yang lemah. Kemiskinan rakyat menjadi mainan. Di hotel ini juga berkumpulnya para pemimpin dari pemerintah yang ingin mengadakan rapat umum.

Ini jihad... bisik hatiku, kala aku melangkah masuk melalui pintu hadapan hotel mewah itu. Jihad terakhir sebagai seorang manusia yang berjuang untuk menegakkan keadilan.

PENYUDAHNYA

Pertiwi tertegun kala dia mendengar berita tentang pengeboman berani mati di sebuah hotel di tengah-tengah jantung kota Jakarta. Hal itu heboh diperkatakan kebanyakan orang, termasuk ibu dan bapa tirinya. Pertiwi membantukan diri di kamar tidur, kala polisi datang menggegar rumah sebelah. Rumah penginapan Johan dan Slamet digeledah mencari maklumat. Namun tetangga rapat semua menyatakan mereka tidak tahu apa-apa tentang kedua-dua lelaki itu.

Pertiwi tidak tertangiskan dirinya lagi. Johan sudah pergi. Dia tahu, dia tidak akan dapat melihat wajah Johan lagi. Diam-diam Pertiwi mengemas kain bajunya dan meninggalkan rumah ibu yang telah didiaminya sejak kecil. Secebis kertas pemberian Johan digenggam erat.

BEBERAPA HARI KEMUDIAN

Kelihatan sebuah teksi berhenti di hadapan sebuah rumah. Seorang perempuan cantik keluar dari perut teksi. Dia memandang lembut ke arah sebuah rumah batu sederhana besar yang tercatuk dalam keheningan sinar matahari pagi.

Dia berjalan lambat menghala ke halaman yang luas. Nafasnya termengah-mengah seperti keletihan. Perutnya tampak sedikit membonjol. Sejak berbadan dua, dia sering kelelahan.

“Assalamualaikum,” serunya dengan lembut sebaik sahaja berdiri di hadapan berenda yang dikepung batu botol bercat kuning muda.

“Waalaikumusalam,” sahut satu suara dari dalam rumah.

Lalu muncul seorang wanita setengah usia tidak lama kemudian. Dia memandang hairan pada perempuan muda yang tercegat di halaman rumah.

“Cari siapa?”

“Ini rumahnya ibu Johan?”

Wanita itu kelihatan terpegun beberapa saat. Wajahnya terus menjadi sugul serta merta kala nama anak lelakinya itu disebut. Sudah hampir setahun anaknya pergi ke Indonesia sehingga kini tiada sebarang khabar berita darinya.

“Ya. Sayalah emak dia,” beritahu wanita itu.

“Ibu... saya... Pertiwi. Isteri Johan.”

“Isteri... isteri Johan?”

“Ya, ibu. Saya bawa khabar buruk dan juga khabar baik.”

“Apadia?” tanya ibu Johan tidak dapat lagi menahan debar yang melanda dada.

“Ibu, abang Johan terkorban. Dia gugur sebagai seorang pejuang.”

“Apa?”

“Abang Johan sudah enggak ada...” kata Pertiwi dengan cekal.

“Saya datang bersama anak ini. Anak saya dan abang Johan. Pesanan terakhir abang Johan supaya saya datang ketemu sama ibu. Izinkan saya jadi pengganti abang Johan, berbakti dan membahagiakan buat ibu selamanya,” ucap Pertiwi dengan lirih.

Ungkapan itu disambut linangan airmata ibu Johan.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.