Home Cerpen Cinta Rahsia Cinta Julia
Rahsia Cinta Julia
13/9/2014 12:22:26
5,669
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

RAHSIA CINTA JULIA

AKU merenggangkan bukaan daun pintu. Perlahan-lahan aku mengintai dari rekahan pintu kayu yang renggang. Aku mendapati lelaki itu duduk membaca akhbar di hadapan meja tulis yang besar. Sejak pulang dari kerja jam lima petang tadi, dia cenderung duduk di bilik kerjanya itu. Begitulah rutin hariannya pulang dari kerja dia akan memerap diri di situ tidak mahu diganggu hingga waktu makan malam tiba.

“Abang Imran!” Aku menyeru lembut.

“Makanan dah Jue sajikan.”

Musim dingin baru bermula. Langit begitu cepat menjadi gelap. Memang kebiasaan Abang Imran akan makan malam jam tujuh.

Semasa mula-mula datang ke daerah Chambesy ini aku terasa amat asing dengan cuaca dan suasana di sini. Aku datang ketika awal musim dingin tahun lepas. Kak Jiha sedang menunggu kelahiran putera sulungnya Rayyan Haiqal. Dia amat perlukan seseorang untuk menjaga bayinya, meskipun mereka sudah punya pembantu rumah. Namun Abang Imran sukar mempercayai orang asing untuk menjaga bayi yang bakal lahir.

Aku sudah lama menganggur. Sebaik sahaja tamat tingkatan lima, aku bekerja sementara di sebuah kilang kertas. Apabila keputusan SPM keluar, aku mendapat keputusan yang kurang memberangsangkan. Lalu aku terus bekerja di kilang kertas itu selama tiga tahun. Hingga akhirnya kilang itu mengalami kerugian dan ramai pekerja terpaksa diberhentikan, termasuklah aku. Sejak berhenti aku sukar mendapat kerja baru.

Abang Imran pulang ke kampung ingin menjemput ibunya, Mak Tua. Namun ibunya yang juga sepupu kepada emakku sibuk enggan mengikut anak lelaki itu.

“Hisy, jauh sangat rumah kau tu, Im. Kalau kau duduk Kuala Lumpur, mak nak lah pergi. Tapi kau duduk luar negeri. Mak takut naik kapalterbang.”

“Habis siapa yang akan tolong jaga Jiha dan baby kami nanti, mak?”

Mak Tua memandang wajah aku dan emak. Petang itu kami bertandang ke rumah keluarga Abang Imran kerana ingin mendengar khabar tentang Kak Jiha. Aku benar-benar tidak sangka apabila Mak Tua mencadangkan supaya aku mengikut Abang Imran ke Geneva.

“Kau pun dah lama menganggur kan?” katanya sambil tersengih lebar.

“Tapi... Jue tak pandai jaga orang lepas pantang. Jue bukan biasa dengan baby pun.” Aku sekadar memberi alasan.

Sebenarnya hatiku melonjak. Aku memang teringin ke luar negara. Ehhh... siapa yang tak mahu? Nak pulak kalau pergi secara percuma.

“Eh, kau bagi ke Jue pergi ke sana? Boleh juga Jue cari pengalaman baru kat tempat orang.” Kata Mak Tua.

“Aku tak kisah, We. Lampu hijau aku bagi kat dia kalau dia nak kerja. Dah lama ‘makan anggur’ kat rumah. Nak aku kahwinkan tak ada calonnya. Kalau ada yang masuk meminang, aku terima je. Tapi tak ada pulak yang masuk melamar.” Panjang lebar jawapan emak.

Abang Imran yang mendengar celoteh emak tersengih sahaja.

“Kalau macam tu, biar Imran uruskan dokumen perjalanan Jue esok.” Kata Abang Imran dengan pantas. Dia gembira urusan mencari penjaga bayinya dapat diselesaikan segera. Menurutnya, dia cukup bimbang meninggalkan Kak Jiha sendirian di rumah mereka di Chambesy, biarpun di sana isterinya itu ditemani seorang pembantu rumah dari Indonesia.

“Eh! Kenapa Jue termenung lagi tu? Tadi panggil abang makan.” Teguran Abang Imran mengejutkan aku dari lamunan.

Aku terus bergerak meninggalkan bilik kerjanya menghala ke ruang makan. Rumah milik Abang Imran di Chambesy agak besar. Dia seorang pegawai eksekutif di Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu beribu pejabat di Geneva. Sudah hampir sepuluh tahun dia bertugas di sini. Kala itu dia belum pun berkahwin dengan Kak Jiha.

Aku tinggal di salah satu bilik di rumah ini. Sejak Rayyan Haiqal lahir hingga ke hari ini dia tidur bersamaku. Aku sendiri takjub kerana dapat menjaga Rayan Haiqal seperti anakku sendiri walaupun aku tiada pengalaman. Namun aku menjaga dia dengan penuh kasih sayang dan simpati yang melaut. Anak itu kehilangan ibu.

Rasa simpatiku pada Rayyan begitu besar. Aku tidak sampai hati untuk meninggalkan dia. Abang Imran pernah berbicara denganku dari hati ke hati.

“Jue sanggup jaga Rayyan? Abang nak tanya, sampai bila Jue sanggup jaga dia?”

“Jue sanggup bang. Jue akan jaga Rayyan sampai bila-bila.”

“Abang rasa tak adil pada Jue kalau Jue terus jaga Rayyan. Takkanlah Jue nak terus jaga Rayyan sampai besar?”

“Bukanlah sampai besar. Jue akan jaga dia sampai abang kahwin lagi.”

Abang Imran tersenyum kecil.

“Kahwin lagi? Entahlah Jue.” Abang Imran mengeluh.

“Kenapa entah? Kak Jiha dah tak ada. Abang patut cari pengganti.”

“Pengganti senang cari Jue. Tapi takkan sama dengan Kak Jiha kamu.”

Memang lah tak sama, bisik hatiku.

Begitu besar cintanya pada Kak Jiha. Aku jadi cemburu. Apakah di dunia ini ada seorang lelaki yang akan mencintaiku seperti itu? Walaupun aku sudah tiada kelak, suamiku akan terus setia sehingga kami bertemu kembali di Jannah. Aku pernah mendengar orang berkata, jangan diharap kesetiaan dari seorang lelaki. Lelaki tidak akan pernah setia. Tapi aku melihat sendiri kesetiaan lelaki di hadapanku ini. Dia tidak segera berkahwin biarpun sudah hampir setahun isterinya pergi.

“Suatu hari nanti mungkin abang akan jatuh cinta lagi,” kataku cuba menduga hati dan perasaannya.

Dia tertawa pendek.

“Ada ke perempuan yang mahu pada duda dengan anak satu?”

Aku diam dan menggigit bibirku dengan kuat. Ada... bisik hati kecilku sahaja.

“Mungkin Jue yang akan jatuh cinta. Bukannya abang.” Teka Abang Imran sambil tertawa kecil.

Benar bang! Jue yang dah jatuh cinta. Jue jatuh cinta pada abang, seorang lelaki yang amat Jue kagumi. Rasa hormatku pada dia telah bertukar menjadi cinta. Mungkin kerana duniaku hanya di rumah ini. Walaupun duduk di luar negara, tetapi aku jarang keluar dari rumah yang kudiami sejak setahun lalu. Aku tidak dapat bebas ke mana-mana. Lagipun aku tidak kenal sesiapa di sini melainkan Abang Imran.

Kak Jiha seorang wanita yang baik, penyayang dan lemah lembut orangnya. Aku menyayangi dia seperti kakak kandungku sendiri. Aku sanjung budi dan tunjuk ajarnya selama aku berada di rumah ini.

Namun kini abang Imran bersendirian ke mana-mana jua. Aku tahu, dia masih mencintai Kak Jiha walaupun wanita itu sudah tiada. Saban petang kulihat dia duduk termenung dan merenung bingkai gambar Kak Jiha di sudut meja.

Rayyan baru berusia enam bulan ketika ibunya kembali kepada Tuhan. Kini anak itu sudah hampir setahun umurnya. Dia amat rapat dan akrab denganku. Malah kami tidak dapat dipisahkan. Aku merenung wajah Rayyan yang sedang nyenyak tidur. Kemudian aku meniarap di atas katil sambil mencapai diari yang menjadi temanku, apabila bersendirian.

Malam ini terasa begitu dingin dan sepi. Di luar angin bersiul gemersik, di celah-celah ranting yang telah botak. Dari tingkap cermin yang langsir dikuak, aku nampak derai salji mulai berguguran ke bumi. Patutlah sejuknya terasa kian mencengkam. Aku bergerak ke arah alat pemanas lalu menaikkan sedikit suhunya. Kemudian aku menyelimuti Rayyan dengan sehelai lagi selimut agar dia tidak kedinginan.

Aku kembali ke katil dan menulis di perut diari yang kosong.

28 Mac 2013.

Musim dingin datang menyapa dan rinduku pada kampung halaman tidak akan pernah padam. Sudah setahun, aku tidak pulang bertemu keluarga. Abang Imran enggan kembali ke Malaysia. Dia sering memberi alasan sibuk dengan tugas. Aku tahu dia terbang hampir separuh dari dunia ini kerana tugas, namun dia tidak pernah menjejaki Malaysia.

Aku memang tidak cukup berani untuk pulang sendiri. Aku datang dahulu dengan Abang Imran. Lelaki itu merajuk panjang dengan keluarganya apabila tiada seorang pun saudara mara yang datang ke sini kala dikhabarkan berita pemergian Kak Jiha.

Aku turut merasai kehilangannya, sungguh-sungguh. Semasa dia baru pergi, aku kekok kala berhadapan dengan Abang Imran tanpa kehadiran Kak Jiha. Aku bukannya biasa sangat dengan Abang Imran. Lebih-lebih lagi jarak usia kami hampir lima belas tahun. Umur abang Imran tiga puluh lima tahun dan aku baru menyambut lahir lahir yang ke dua puluh. Dia kahwin lambat, awal 30an baru bertemu jodoh dengan Kak Jiha. Sayangnya, isteri Abang Imran meninggal dunia pula setelah berkahwin beberapa tahun.

Aku sangat menghormati Abang Imran, sebagai seorang saudara dan majikan. Aku sedar siapa diriku di sisinya. Dia tidak pernah ‘melihat’ aku lebih dari seorang saudara. Namun hatiku yang degil ini mulai jatuh pada dia! Aku tak ingat sejak bila... tapi aku tidak boleh lagi memandangnya tanpa debaran di dada. Setiap kali mata bertentang mata dengannya, jantungku pasti berdegup kencang.

***

LA LA LA... Kau dah jatuh cinta! Hatiku mengejek diri sendiri. Tapi cintaku padanya cinta yang penuh rahsia. Tiada sesiapa yang akan tahu, melainkan diariku ini.

Aku menulis segala rahsia hatiku di sini. Aku tidak punya teman, tidak punya saudara di sini. Aku benar-benar bersendirian. Tidak mungkin aku akan berbicara dengan Rayyan yang belum pandai bercakap. Dia hanya tahu menangis dan bercakap bahasanya yang tidak kufahami ulas butirnya. Bahasa bayi. Kadang-kadang terdengar lucu sekali.

Tiba-tiba Rayyan mengintai wajahku dari celah-celah penghadang katilnya. Matanya yang bulat kelihatan bersinar ceria.

“Mmmaammmaaa...” serunya sambil tertawa manja.

Aku memandang ke arah Rayyan. Dia panggil mama sebentar tadi? Aneh! Aku tidak pernah mengajarnya perkataan itu, meskipun aku selalu berceloteh kala membedakkan tubuhnya selepas mandi. Aku juga selalu berceloteh kala memberi dia susu. Memang ajaib, apabila dia menyebut perkataan pertamanya. Mama!

Apakah aku salah dengar? Tidak. Memang jelas dia memanggil aku mama.

“Mama!” panggil Rayyan lagi dari arah katilnya. Dia berusaha untuk berdiri sambil memegang penghadang katil.

“Mama!” panggilnya lagi sambil ketawa lucu. Butiran kata-katanya semakin jelas kini.

“Rayyan! Ni bukan mama kau sayang! Panggil Acik! Acik!” seruku lagi tapi dia tetap menyebut perkataan ‘mama’ berulang kali. Apabila aku tidak menghiraukannya dia mulai meraung.

“Suka hati kaulah. Nak panggil mama pun mama lah. Tapi jangan panggil mama depan ayah kau ya?” Kataku sambil mengambil dan mendukungnya. Entah dia faham ataupun tidak kata-kataku itu. Dia ketawa apabila aku mendukungnya. Kedua-dua tangannya memeluk leherku dan kepalanya mendarat di atas dada.

“Hisy, manja sangat ni. Nak susu ya? Nanti acik buat ya...” aku tetap membahasakan diriku ‘acik’.

“Mama... cucu...” kata Rayyan lagi.

Tergenang airmataku. Tetap dia memanggil aku mama. Dan perkataan susu menjadi cucu. Lucu sekali. Dalam linangan airmata akhirnya aku ketawa.

Rayyan asyik menghisap susu botolnya. Aku merelus rambutnya yang hitam dan lebat. Rambut itu persis rambut Abang Imran. Rayyan pasti akan menjadi seorang pemuda yang kacak suatu hari nanti, teka hatiku.

Kala itu terdengar pintu bilik tidurku diketuk. Aku meninggalkan Rayyan untuk membuka pintu. Pembantu rumah Abang Imran, Bik Suli ada di luar pintu.

“Pak Imran pulang,” beritahu Bik Suli.

“Eh, awal pulak dia balik petang ni.” Kataku sambil spontan mata beralih ke jam dinding. Belum sampai jam lima petang.

“Pulang bersama teman-teman sekantor. Katanya mahu merayakan hari lahirnya, Rayyan.”

“Ya Allah! Lupa saya hari ni hari jadi Rayyan.”

“Nanti saya siapkan dia dan bawa dia keluar ya, Bik.”

Bik Suli mengangguk. Katanya Imran ingin mengadakan sedikit jamuan kecik. Kek harijadi juga sudah dibelikannya bersama dua kotak pizza. Aku terus mendapatkan Rayyan. Sudah habis sebotol susu dikerjakannya. Lalu aku membuka baju dan lampinnya dan menggantikan yang baru. Kemudian kubawa dia keluar agar dapat bertemu dengan bapanya yang baru pulang.

Di ruang tamu terdengar suara perbualan. Aku melangkah masuk ke ruang itu. Hidungku terhidu bau makanan. Bik Suli kelihatan baru datang dari dapur, menatang dulang minuman.

“Hei! Anak papa!” Seru Imran kala melihat aku datang sambil mendukung Rayyan.

Di ruang tamu ada beberapa orang teman-teman Abang Imran. Aku perasan ada seorang perempuan di ruang itu. Dia kelihatan duduk dengan tertib di sofa tunggal. Matanya memandangku tidak berkelip. Wajahnya cantik dan manis. Pakaiannya juga melambangkan seorang wanita yang berkerjaya dan moden. Aku dipagut cemburu kata mata kami saling berlaga.

Abang Imran mengambil Rayyan dari dukunganku. Dengan wajah ceria Abang Imran memperkenalkan Rayyan Haiqal pada teman-teman. Aku rasa diriku tidak diperlukan di ruang itu, lalu kuatur langkah menghala ke dapur. Melihat aku beredar pergi, Rayyan terus melalak.

“Mama!!! Mammaaa!!” jerit Rayyan sambil melonjak-lonjak dari atas dukung bapanya.

Dahi Abang Imran berkerut. Dia terkejut mendengar ungkapan perkataan ‘mama’ yang terbit dari bibir anaknya. Dia tidak sangka Rayyan sudah pandai bercakap perkataan mama. Abang Imran memandang ke arahku. Aku melarikan mataku. Dalam hati secuit sedikit rasa kesal, malu dan geram. Bukan aku yang mengajar anaknya memanggil perkataan itu! Bukan! Hatiku membentak.

No... no... Tu bukan mama kau sayang! Ni... mama... ni!” Abang Imran menunjuk pada Rayyan wanita anggun yang duduk tenang di sofa. Wanita itu menghulur tangannya ke arah Rayyan, namun anak itu memeluk leher bapanya sambil terus memandang ke arahku. Matanya kelihatan berkaca-kaca sebelum airmata mengalir ke pipi.

“Mama!” seru Rayyan enggan menerima pelukan wanita yang menjadi teman Abang Imran.

***

“Kenapa Jue ajar Rayyan panggil Jue mama?” tanya Abang Imran.

Wajahnya begitu seriuus. Dia menyimpan rasa marah padaku. Aku tahu. Setelah teman-temannya pulang dia terus memanggil aku masuk ke bilik kerjanya.

“Jue takk pernah ajar...”

“Agh! Takkanlah Rayyan pandai sendiri panggil mama kalau Jue tak ajar? Jangan nak memperbodohkan abang Jue. Apa maksud Jue ajar Rayyan macam tu?”

Aku diam. Memang aku tidak berniat hendak mengambil tempat Kak Jiha. Tidak. Aku rasa amat terhina. Aku sedar kedudukan di sini. Aku hanya pengasuh. Aku tidak layak berada di samping dia, sebagai isterinya. Aku tahu. Airmataku hampir-hampir jatuh di pipi, tetapi aku menahannya dengan sebaik. Jangan menangis! Bentak hatiku. Jangan menangis di hadapan dia. Itu hanya akan membuat Abang Imran fikir aku ada hati padanya. Walaupun hakikatnya memang aku sudah lama jatuh cinta padanya.

“Jue nak balik Malaysia.” Kataku tanpa berfikir panjang.

“Nampaknya abang dah ada pengganti Kak Jiha. Biarlah Jue balik sebab Rayyan akan dapat emak baru.”

Abang Imran bersetuju dengan mudah.

“Okey, abang akan uruskan kepulangan Jue secepat mungkin.”

Seminggu kemudian dia memberikan aku tiket penerbangan pulang. Sejak malam sambutan hari lahir Rayyan, anak itu tidak lagi tidur bersamaku. Walaupun dia melalak ingin tidur bersamaku seperti biasa tetapi Abang Imran berkeras membawa Rayyan tidur sebilik dengannya. Aku tidak membantah dan tidak mampu berbuat apa-apa. Terserah. Rayyan itu anak lelakinya. Aku hanya pengasuh yang tidak diperlukan lagi.

Aku memberanikan diri pulang sendirian. Abang Imran menghantarku ke Geneva Airport. Berkali-kali dia berpesan supaya aku menghubunginya apabila sudah tiba di Malaysia. Ternyata dia bimbang jua melepaskan aku pulang sendirian. Sebenarnya untuk pulang ke Malaysia tidaklah sesusah yang aku sangka. Penerbanganku berhenti sebentar di Abu Dhabi. Di lapangan terbang Abu Dhabi aku bertemu dengan ramai orang-orang Malaysia yang baru pulang dari Umrah, transit di situ.

Beberapa hari setelah tiba di kampung, aku menyedari diariku tertinggal di Geneva. Pasti diari itu berada di dalam laci di dalam kamar tidurku. Entah bagaiman diari itu boleh tertinggal aku pun tidak mengerti. Seingatku semua barang-barang penting sudah aku masukkan ke dalam beg pakaian sebelum keberangkatan pulang.

Oh! Tuhan... semoga diari itu tidak ditemui oleh sesiapa, terutama sekali Abang Imran. Di dalam diari itu aku mencurahkan semua rahsia hatiku. Malunya aku Tuhan sahaja yang tahu sekiranya diari itu dibaca oleh dia. Oh! Tuhan... lindungi hambaMu dari rasa malu dan aib.

Meskipun Abang Imran meminta aku menghubunginya dan memberitahu bahawa aku sudah selamat sampai di tanahair, tetapi aku enggan berbuat demikian. Aku tidak akan menghubungi lelaki itu. Tidak. Aku merasakan bahawa dia tidak punya hati dan rasa, dengan mudah melepaskan aku pulang sendirian.

Saban malam airmataku menetes sedih apabila teringatkan Rayyan. Aku benar-benar rindu pada anak itu. Aku terkenang suara dan aksinya yang manja. Aku tersedu kala teringat Rayyan menangis saat aku mahu meninggalkannya. Entah bagaimana keadaan dia sekarang? Apakah dia sedang berbahagia bersama wanita yang bakal menjadi ibu tirinya?

Seminggu kemudian

“Jue! Imran nak cakap dengan kau ni!” teriak Emak.

Aku sedikit terkejut dan menyangka Abang Imran akan menghubungiku. Niat di hati hendak membisu seribu bahasa tidak menjadi apabila emak berkata; “Rayyan demam lepas kau balik kampung. Kata Imran, dia asyik panggil kau saja.”

Aku terus melonjak bangun, berjalan menghala ke telefon di sudut ruang. Emak hanya menggelengkan kepala apabila melihat aku menerkam telefon yang baru ditinggalkannya.

“Jue! Kenapa tak contact abang langsung?”

“Jue sibuk. Jue tengah cari kerja...” aku sekadar memberi alasan.

“Abang ada kat KL ni.”

“Kat KL?” terkejut aku mendengar kata-katanya.

“Ingatkan abang dah tak nak jejak kaki ke Malaysia lagi. Kan abang merajuk dengan orang di sini?”

“Siapa yang merajuk? Abang tak merajuk. Jue yang merajuk agaknya!”

“Ehhh... Jue pulak yang dikatakan merajuk,” aku setengah membentak.

Abang Imran hanya tertawa kecil dan berkata; “Rayyan rindukan Jue. Sampai demam-demam dia. Terpaksalah abang bawak dia balik sini jumpa Jue.”

Hmmmm.... aku mengeluh. Rayyan yang rindukan aku, bukan bapanya. Dia pasti sedang menyulam bahagia dengan wanita anggun itu. Siapalah aku nak cemburu. Aku diam sahaja kemudian meletakkan telefon setelah mengucapkan selama malam.

Keesokan harinya, Abang Imran pulang ke kampung. Tanpa sempat ke rumah ibunya dia terus singgah di rumahku terlebih dahulu. Rayyan menghulur tangannya ke arahku minta didukung. Aku memeluk dan menciumnya bertalu-talu sambil diperhati oleh Abang Imran dan emak. Mereka tersenyum sahaja melihat aksi manja Rayyan yang memeluk leherku dengan erat.

“Berapa lama cuti ni Imran?” tanya emak ingin tahu.

“Lama juga, ambil cuti panjang sikit. Dah lama tak balik kampung. Rayyan pun belum pernah lagi jumpa dengan neneknya.”

Emak mengangguk.

“Saya... saya nak kahwin, Mak De.”

“Ehhh, eloklah. Memang dah lama kau tu menduda. Kahwinlah Imran. Anak kau ni ada orang yang akan menjaganya.”

Imran diam, menundukkan wajahnya seperti malu pula. Aku menjeling sekilas ke arahnya, kemudian membawa Rayyan turun ke tanah. Malas aku hendak mendengar cerita tentang bakal isteri Abang Imran. Mestilah dia pulang untuk meminta restu daripada emaknya untuk berkahwin lagi.

“Mamaaaa!” ucap Rayyan sambil jari kecilnya menuding ke arah bunga raya yang sedang kembang. Aku membawa Rayyan mendekati rimbunan bunga raya yang terletak di sudut halaman.

“Cantik kan? Bunga!” aku mengajar Rayyan bercakap.

“Munga.”

“Bukan munga. Bunga.”

“Munga.”

Aku tertawa mendengar kata-katanya yang pelat. Lucu benar mendengar sebutannya itu. Memang comel sangat. Geram aku jadinya. Lalu aku cium pipinya yang montel. Tidak dinafikan aku sangat sayangkan dia.

“Mama...”

“Bukan mama. Ni acik!”

“Mama...”

“Acikkkk!!!” Aku merenung mata bulat bundar Rayyan. Dia tertawa dan terus menyeru nama mama.

“Biarlah dia terus panggil Jue, mama!” aku mendengar suara Abang Imran yang berada di belakangku. Aku tidak sedar bilakah dia turun ke halaman dan mengikut aku dan Rayyan dari belakang dalam keadaan senyap.

“Buat apa? Kan abang tak suka dia panggil Jue mama. Kan abang dah ada pengganti?”

“Jue,” seru Abang Imran dengan suara yang lembut.

“Abang baru sedar yang abang sama juga macam Rayyan, tak boleh hidup tanpa Jue. Lepas Jue balik Malaysia, abang terasa sangat Jue tak ada. Abang sayangkan Jue.”

Bibirku mencebik tanpa sedar.

“Abang jumpa diari Jue ya? Abang dah baca diari Jue, sebab tu lah abang cakap gitu.”

“Diari? Tak ada,” jawab Abang Imran dengan wajah terpinga-pinga.

“Jangan nak tipulah. Kan abang dah ada calon? Jue ni hanya menyibuk je. Tak layak mencintai abang.”

“Jue, abang ikhlas. Memang mulanya abang tak sedar perasaan abang pada Jue. Tapi bila Jue tak ada abang terasa sangat. Abang nak Jue ikut abang balik Chambesy, sebagai isteri abang.”

Aku diam kelu lidahku. Kulihat emak tersenyum dari arah berenda, memerhati kami bertiga.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.