Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,683
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Bab 5

Rambut yang masih lembab aku sikat berulang kali. Selepas itu aku menyapukan krim malam ke muka. Disambung pula dengan krim yang perlu aku sapukan di bawah mata. Kemudian krim tangan dan badan aku lumurkan di seluruh tangan dan kaki. Itulah rutinku setiap malam sebelum tidur. Sememangnya aku begitu menitik beratkan penjagaan wajah dan kulit. Ini kerana aku tidak mahu menjadi tua sebelum waktunya. Terasa rugi mahu mensia-siakan anugerah kurniaan ALLAH ini tanpa penjagaan yang rapi. Dari cermin solek yang sedang ku tatap, aku dapat melihat kelibat Ikmal memasuki bilik. Melalui cermin itu kami saling bertatapan. Dia dengan wajah kosongnya. Aku pula dengan wajah polosku. Aku dapat lihat dia mendekat. Tanpa kata bahu dan tengkukku diurut penuh lembut dan perlahan. Namun cukup melegakan lagi menenangkan.

“Dah solat?” Soalnya.

Tidak lembut. Namun tidak juga kasar. Santai saja bunyinya. Aku mengangguk. Dia ikut mengangguk-angguk mendengar jawapanku.

“Jom tidur,” ajaknya.

Kali ini nadanya lembut. Sekali lagi aku mengangguk. Selepas kembali menyikat rambutku berkali-kali barulah aku bangun meninggalkan almari cermin.

“Kenapa berangin sangat tadi tu?” Soal Ikmal.

Ketika itu kepalaku sudah mendapat keselesaan bertemu dengan bantal yang lembut di atas tilam empuk. Tilam yang menjadi lapik tidur kami sejak hari pertama kami bergelar suami isteri 9 tahun yang lalu. Bersama keluhan panjang, berkali-kali aku menggeleng. Malas mahu mengulang bercerita kisah yang hampir sama setiap kali. Dia yang sejak tadi memandang ke siling membalikkan tubuhnya mengadap padaku. Tangannya sudah mendarat di pinggangku. Mata kami bertentangan.

“Mama?” Soalnya lembut.

Tanpa menjawab soalannya aku mengetap bibir. Nafasnya dihela panjang menerima reaksiku.

“Janganlah ikutkan sangat perasaan tu. Lain kali tak perlu nak ambil kisah tentang sikap mama. Lagipun awak dah memang masak benar dengan perangai mama. Jadi tak perlulah nak terasa hati sangat. Tak baiklah ada rasa sakit hati dengan mama sendiri.” Pujuknya penuh pengertian.

Sememangnya Ikmal benar-benar arif dengan masalah yang aku hadapi bersama mama. Sudah terlalu kerap aku bercerita dan mengadu padanya. Cerita yang tidak pernah aku luahkan mahupun aku kongsikan bersama orang lain. Namun tidak sekali pun dia mahu aku membalas kekasaran mama terhadapku. Tidak pernah juga dia menyokong sikap tidak puas hatiku kepada mama terus berterusan. Mahunya, aku tetap menghormati ibuku sepenuh hati. Tanpa ada perasaan dendam dan tidak puas hati. Dia tidak mahu aku menjadi anak yang tidak tahu diri. Anak yang tidak menghormati mama yang wajib ditaati. Apa yang penting, dia mahu mengelak aku dari menjadi anak yang derhaka kepada ibu kandungnya sendiri.

“Zaira dah cuba. Tapi masih macam tak menampakkan hasil.” Aduku pada Ikmal.

“Cubalah lagi.” Balasnya dengan nada memujuk.

Ikmal memang lelaki yang baik buatku. Juga menantu yang baik untuk mamaku. Pujukannya yang penuh lembut selalu saja mampu membuatkan rasa amarah yang aku simpan terhadap mama pudar dengan sendirinya. Mudah saja kata-katanya meresap ke dalam hatiku lantas menyejukkan. Malah kerana dia jugaklah aku jarang berkasar mahupun membentak-bentak di hadapan mama bagi menunjukkan protesku. Dengan bimbingannya sebagai suami, dia mampu membuatkan isterinya ini menjadi anak yang baik dan patuh kepada mamanya.

“Takkanlah dengan mama pun nak dibuat musuh. Tak eloklah macam tu.” Nasihat Ikmal.

Sungguh, dia lelaki dan suami yang baik. Apalagi yang aku perlukan selain mendapat suami yang menyayangi dan menghormati ibuku setanding dengan ibunya sendiri. Walau bagaimanapun rajukku pada mama, walau apa pun aduanku tentang mama, tetap juga dia mahukan aku mentaati mamaku sebagaimana dia mahu aku mentaatinya sebagai suami. Aku bersyukur kerana memiliki suami sepertinya. Lama aku memeluknya tanda aku menghargainya. Namun pelukanku mula mengendur setelah mendengar tegurannya.

“Saya tak sukalah awak lepaskan kemarahan awak pada anak-anak macam petang tadi.”

Aku terdiam sebentar sebelum mula mempertahanku diriku. Disamping mahu dia tahu apa yang ada di dalam hatiku ketika itu. Juga tentang apa yang menyemarakkan api kemarahanku petang tadi.

“Okey, Zaira mengaku yang Zaira rasa tak puas hati dengan mama. Tapi kemarahan Zaira pada Zarif dan Zaril petang tadi bukannya sebab Zaira nak lepaskan kemarahan Zaira pada mereka. Tak terniat langsung nak jadikan mereka sasaran Zaira untuk lepaskan geram.” Aku cuba membela diri.

“Habis tu, yang puting beliung petang tadi tu sebab apa?” Soalnya bagaikan tidak mempercayai kata-kataku.

“Iyalah, siapa yang tak naik angin. Rumah dah jadi macam tongkang pecah berseleraknya. Sedangkan masa Zaira keluar tadi semuanya elok teratur. Penat tau Zaira kemas. Dah bersih Zaira siapkan semua. Tapi bila balik semuanya jadi tunggang terbalik. Siapa yang tak melenting?” Balasku.

“Biasalah tu. Budak-budak kan. Kalau nak rumah sentiasa bersih, sentiasa kemas, baik tak payah ada anak.” Kata-katanya membuatkan darahku mengelegak.

Berdesing telingaku mendengarnya. Aku jadi tercabar.

“Kenapa Ikmal cakap macam tu pulak?” Soalku bengang.

“Iyalah, bila rumah bersepah, awak nak marah-marah. Bila rumah tak bersih, awak naik angin. Bosanlah saya. Takpelah kalau rumah kita tak sentiasa kemas. Bukannya ada orang dari Majalah Impiana nak datang buat liputan pun.” Bidasnya.

Semakin mendidih darahku dibuatnya.

“Ikmal…” suaraku sudah mengigil menahan geram.

“Zaira bukannya nak rumah kita sentiasa bersih dan sentiasa kemas setiap masa. Zaira faham, anak-anak kita kecil lagi. Masing-masing tengah naik. Lelaki pulak tu. Lasak bukan main. Tapi biarlah rumah ni sentiasa sedap mata memandang. Kalau nak main, mainlah. Lepas main kemaslah balik. Sudahlah semuanya Zaira kena buat sendiri. Ikmal bukannya nak tolong. Sudahlah susah sangat nak tolong kemas dan nak tolong buat kerja rumah. Minta tolong tengokkan anak-anak biar jangan bagi buat kecah pun susah sangat.” Omelku berserta rungutan buatnya.

“Maknanya awak lepaskan marah kat budak-budak tu sebab sayalah ya?” Duganya.

Aku terdiam. Nak kata ya, tidak sepenuhnya kemarahanku yang mahu aku luahkan terhadapnya aku hamburkan kepada anak-anak. Ini kerana anak-anak juga punya tanggungjawab untuk sama-sama menjaga kebersihan rumah. Maka sebab itulah aku rasa mereka patut dimarahi. Nak kata tidak pula, sememangnya ada juga niat di hati mahu dia sedar yang dia bertanggungjawab di atas segala yang berlaku. Sudahnya aku diamkan saja. Ikmal juga turut terdiam sama. Tentulah dia tidak puas hati bila anak-anaknya menjadi mangsa kemarahanku hanya kerana sebab yang bagi dirinya amat tidak penting.

“Kalau Ikmal nak sama-sama ambil peranan tentang hal ehwal dalam rumah ni, tentu Zaira tak selalu marah-marah macam tu.” Ungkitku.

“Isteri orang lain pun buat kerja rumah sendiri. Takde pun kecoh-kecoh macam awak.” Balas Ikmal dengan nada bosan.

Sejak berkahwin, segala tugas di rumah aku lakukan sendiri. Memasak, membasuh, mengemas, melipat, menyusun dan segala hal ehwal rumah tangga terletak di bahuku. Jika dahulu takpelah juga kerana hanya kami berdua. Waktu itu aku masih berkemampuan melakukan segalanya sendiri. Maka dengan penuh keikhlasan aku merelakan hatiku untuk melakukan segalanya dengan senang hati. Tanpa mengharapkan bantuan apatah lagi meminta-minta bantuan darinya. Ikmal tidak pernah tahu apa-apa tentang kepenatanku melakukan tugas di rumah. Aku juga tidak pernah mengeluh di hadapannya. Tapi itu bukanlah bermakna aku akan terus mampu melakukan segalanya tanpa ada yang mahu sama-sama menjaganya. Ya, sekadar ‘menjaganya’. Bukannya aku mahukan dia melakukannya pun. Aku tahu tanggungjawabku. Aku boleh melakukannya sendiri.

“Saya penatlah awak.” Itulah yang selalu keluar dari mulutnya.

Macamkan aku ini tidak tahu penat. Ikmal bekerja. Aku juga bekerja. Kami sama-sama memandu sendiri ke tempat kerja. Pulang ke rumah pada waktu yang hampir senja selepas seharian keluar dari rumah sejak matahari belum menampakkan cahayanya. Kalau dia penat di pejabat, aku juga begitu. Tiada bezanya antara kami berdua. Pulang dari pejabat, bolehlah dia berkubang di katil. Berbaring di sofa sambil mengulit akhbar yang tidak sempat dihabiskan bacaannya semasa di pejabat. Aku pula perlu berkejar ke dapur. Mengulit periuk belanga di atas dapur sambil melakukan tugas lain yang tidak pernah ada tarikh luputnya. Siap yang ini, yang itu pula sudah sedia menunggu. Siap yang itu masih ada juga yang mengamit perhatianku tanpa suara meminta aku menguruskannya pula.

Anak-anak juga perlu aku tengok-tengokkan kerja sekolah mereka. Kena juga aku tumpukan perhatianku bila mereka mahu mengaji di rumah. Namun, walau bagaimana sibuknya aku menguruskan rumah tangga, bagaimana pentingnya semua tugas itu bagiku, juga betapa penatnya tubuhku melakukan tugas-tugas itu, bagi Ikmal semua itu langsung tidak penting. Bagaimanalah aku tidak selalu naik angin? Memang Ikmal lelaki dan suami yang baik untukku. Namun dalam baik itu tetap ada juga buruknya. Lumrah manusia. Ada lebih juga ada kurangnya. Begitulah juga dengan Ikmal. Bab kerja rumah memang tak pernah menjadi tanggungjawab bersama. Pada aku, itulah kekurangannya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.