Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,698
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Bab 18

Pagi-pagi lagi Azrai sudah menungguku di lobi hotel. Menurutnya semalam, pagi ini dia mahu membawa aku ke Kings Park Botanical Garden. Katanya, mungkin aku akan menemui sedikit ketenangan di sana. Teruja benar aku mahu ke tempat yang dikatakan indah dan mendamaikan itu. Tiada kelas pada sebelah pagi hari itu membuatkan Azrai mencuri waktu sibuknya untuk menemaniku. Pagi itu kami hanya keluar berdua. Tiada Fir mahupun teman-teman Azrai yang lain ikut bersama kami. Keadaan itu membuatkan aku rasa lebih selesa. Bila hanya bersama Azrai, apa-apa saja boleh aku luahkan.

“Subhana-ALLAH. Cantiknya tempat ni.” Pujiku.

Seperti kata Azrai, memang Kings Park Botanical Garden dapat membuatkan hatiku berasa tenang. Kawasannya berbukit dengan rumput yang menutupinya bagaikan hamparan indah yang luas. Kehijauannya yang dipenuhi dengan pokok-pokok besar dan tumbuhan pelbagai warna membuatkan aku rasa begitu segar. Kedamaian dan keindahannya menceriakan hatiku. Aku seronok menjelajah ke setiap kawasannya bersama Azrai dengan ditemani tiupan angin sejuk. Pokok-pokok kayu dan tumbuhan yang berlainan dari yang aku selalu lihat di tempat sendiri memukau pandangan. Suasananya membuatkan aku berasa damai. Kedamaian itu meresap sehingga ke hati. Sungguh menenangkan.

“Kita rehat kat sini dulu, jom.”Ajakku.

Penat berjalan kami berhenti melepaskan lelah. Aku duduk di rumput yang sejuk sambil melemparkan pandangan ke seluruh kawasan yang berbukit itu. Aku dapat lihat bandar Perth dari kejauhan. Kamera kompakku aku keluarkan dari beg untuk merakam keindahan di situ. Tidak banyak perbualan yang berlangsung antara aku dan Azrai. Mungkin Azrai mahu membiarkan aku melayani perasaanku dan menikmati keindahan di tempat yang cantik dan menenangkan ini.

“Betul Acu tak nak balik ke hotel sekarang?” Tanya Azrai untuk kali yang kedua.

Aku mengangguk. Hampir 2 jam kami di situ. Azrai harus pulang untuk kelas yang perlu dihadirinya. Keengananku untuk pulang bersamanya pastilah menimbulkan rasa risau di hati anak saudaraku itu.

“Acu rasa seronok kat sini. Kalau duduk kat bilik hotel, Acu rasa macam serabut. Rasa rindu pada dia orang yang jauh tu lagilah terasa tak tertanggung. Rasa sakit hati pun boleh datang balik nanti. Kat sini Acu rasa tenang. Tenang sangat. Azrai baliklah dulu. Jangan risau pasal Acu. Insya-ALLAH, Acu tak apa-apa.” Balasku.

Dengan berat hati Azrai terpaksa pulang terlebih dahulu tanpa aku ikut serta. Itupun setelah dimaklumkan segala maklumat yang perlu aku ketahui secara berulang kali. Bas apa yang perlu aku ambil untuk balik ke hotel. Di mana aku perlu menunggu. Juga di mana boleh aku dapatkan maklumat tentang jadual perjalanan bas untuk aku pulang nanti. Aku menyengih panjang melihat kerisauannya.

“Jangan risaulah. Acu boleh jaga diri sendiri. Insya-ALLAH Acu akan selamat pulang ke hotel sebelum Azrai habis kelas nanti.” Janjiku.

Aku menolak belakang bahunya yang nampak tidak bersemangat untuk berganjak dengan kedua-dua belah tanganku sehingga ke tempat menunggu bas. Aku menemaninya sehingga bas sampai dan sehingga dia bertolak pergi. Dari dalam bas sebelum bas bertolak pergi, sempat lagi Azrai mengingatkan perkara-perkara yang sudah diingatkan padaku berulang kali tadi. Dia menyengih bila aku mula menunjukkan wajah bosanku.

“Okey, take care.” Jeritnya.

Aku membalasnya dengan menunjukkan isyarat ‘OK’ saja.

SETELAH Azrai pulang aku kembali menjelajah kawasan yang tadinya menarik perhatianku untuk melepak lebih lama. Berseorangan di sini membolehkan aku untuk berlama-lama di satu-satu kawasan yang aku sukai. Orang ramai yang datang bersama keluarga dan teman-teman mereka di sini membuatkan aku langsung tidak berasa takut walaupun aku bersendirian. Setelah puas menikmati satu-satu kawasan, barulah aku beralih ke tempat-tempat yang lain pula. Bila ada pandangan yang menarik untuk aku abadikan sebagai kenangan, aku keluarkan kameraku untuk mengambil gambar. Ketika aku sedang leka merakam gambar, dari kejauhan aku terlihat seseorang di skrin kameraku. Gayanya santai. Beberapa hari ini, memang begitulah gayanya. Berseluar jeans,dengan t-shirt dan kemeja yang disarungkan di luarnya. Hari ini dia bertopi pula. Kelihatan langkahnya menuju ke arahku. Aku mengalihkan kamera yang di depan mata untuk melihat sendiri secara langsung dan bukan melalui skrin kamera. Senyuman yang terukir diwajahnya dari kejauhan membuatkan aku menekan butang kamera untuk merakamkan gambarnya.

“Cukup ke sekeping aje ambil gambar abang?” Soalnya ketika dia datang menghampiri.

Tentunya dia perasan yang aku sudah merakam gambarnya tadi. Aku menyengih malu kerana sangkaku dia tidak terperasan tentang perkara itu. Dia tersenyum manis membalas reaksiku.

“Nak tengok boleh?” Pintanya sambil mendekatkan dirinya denganku untuk sama-sama melihat gambarnya yang telah aku rakam di skrin kameraku yang cinonet itu.

“Ala, jauh sangat gambar ni. Tak clear Zaira nak tengok. Nanti Zaira ambil yang lain ya.” Komennya.

Aku sekadar menyengih. Aku tahu dia sengaja berkata begitu untuk membuatkan aku rasa tidak bersalah dan segan selepas curi-curi merakam gambarnya.

“Azrai minta temankan Zaira di sini ye?” Soalku cuba memusing cerita lain.

Lelaki itu menggeleng.

“Takdelah. Azrai tak minta abang datang temankan Zaira. Dia cuma cakap, Zaira ada di sini berseorangan dan dia risau.” Jelas Fir.

“Samalah tu.” Sambutku.

Sekali lagi Fir menggeleng.

“Mana pulak sama. Pada Zaira, Azrai yang minta abang datang ke sini untuk temankan Zaira. Tapi yang sebetulnya, memang abang sendiri yang mahu ke sini untuk temankan Zaira.” Sambut Fir.

Aku mengangkat bahu sambil tersenyum tanda walau apa pun sebabnya, aku amat menghargai kesudiannya menemaniku. Juga tanda tidak kisah walau apa pun juga penyebabnya. Fir membalasnya dengan mengangkat keningnya pula. Kemudian ikut mengangkat bahunya juga.

Lunch.” Pelawa Fir sambil menghulurkan bungkusan makanan yang mengandungi kebab di dalamnya kepadaku.

Sebotal air jus oren juga disuakan. Teragak-agak aku mengambil dan meletakkannya di tepiku. Bukan kerana tidak sudi, tapi terasa segan dengan pemberiaannya. Rasa cukup tersentuh dengan keprihatinannya. Aku sendiri tidak terfikir tentang makan tengah hariku walaupun sekarang ini sudah melebihi waktunya.

“Azrai minta Fir tolong belikan juga ya?” Sekali lagi aku menyoal.

Manalah tahu andai kerisauan Azrai telah membuatkan dia merancang dan meminta Fir melakukan itu dan ini untukku. Cepat-cepat Fir menggeleng lagi.

“Zaira, ada perkara memang Azrai minta abang lakukan dan abang buat kerana Azrai. Tapi ada juga perkara yang memang abang lakukan untuk Zaira bukan atas permintaan Azrai. Abang cuma nak Zaira tahu, kalau Zaira rasa Azrai cukup mengambil berat pasal Zaira, abang pun macam tu jugak. Zaira kan adik abang. Jadinya, tentulah abang kena ambil berat tentang Zaira. Jangan lupa tentang tu.” Tekan Fir.

Aku mengangguk-angguk. Cuba menerima kata-katanya yang bukan segala perkara yang dilakukan untukku atas dasar memenuhi permintaan Azrai. Aku juga cuba membuka hatiku untuk menerima kebaikannya yang mengambil berat tentang diriku kerana hubungan yang dikatakan antara abang dan adik itu.

“Terima kasih banyak ya, Fir.” Setelah seketika barulah aku mampu mengucapkan ucapan yang sepatutnya diucapkan sejak tadi.

“Jangan risau. Kasih Zaira diterima dengan banyak juga.” Sambut Fir sedikit melawak.

Dia tersenyum panjang sesudah itu. Aku juga begitu walaupun terasa sedikit segan menerima jenakanya yang begitu.

“Tak bestnya bila kat sini Zaira asyik menyusahkan Fir aje.” Keluhku.

“Eh, mana ada. Zaira tak menyusahkan pun. Cuma abang ni yang suka mengambil berat. Jadinya tak payahlah Zaira nak rasa bersalah sangat bila rasa macam abang susah-susah nak ambil berat tentang Zaira. Lagipun Zaira bukannya seberat mana. Jadinya, lagilah tak menyusahkan langsung.” Balasnya dengan wajah yang beria menafikan kata-kataku.

Pujian tentang dirinya pula tentulah sengaja ditekankan bagi mengelak aku dari terus rasa bersalah. Plastik makanan yang sudah diberikan kepadaku diambil semula. Aku hanya memandang kerana tidak terduga apa pula yang ingin dilakukan. Tadi sudah diberikan kepadaku. Kini diambil pula kembali. Tidak menghiraukan pandanganku yang sedang tertumpah sepenuhnya pada dirinya, Fir membuka bungkusan makanan yang mengandungi kebab itu. Kertas pembalutnya dilipat keluar. Kemudian kebab yang separuh terbuka itu dihulurkan kepadaku semula.

“Zaira makanlah,” suruhnya.

Pandangan pelik yang aku lemparkan tidak dihiraukan. Malah dia terus selamba mengambil air minuman pula. Botol minuman yang belum terusik itu diambil dan dibuka penutupnya sebelum kembali disuakan kepadaku. Terpempan aku jadinya. Walaupun mahu mengambil berat, tidak perlulah sampai berlebihan begitu layanannya. Ini kerana aku berasa sungguh tidak selesa.

“Zaira tak selesa bila Fir layan Zaira macam ni.”

Untuk melegakan perasaanku, aku berterus terang saja.

“Abang tahu. Eloklah Zaira rasa tak selesa. Sekarang makan.” Balasnya bersahaja sambil mengarahkan aku untuk makan.

Aku makan juga dengan rasa yang tidak selesa. Matanya terus mengawal segala gerak geriku. Bila sudah begitu, tentunya dia jadi cukup peka. Kali ini tisu pula dihulurkan kepadaku bila dilihat ada sos yang kelihatannya mahu menitis keluar.

“Fir, Zaira rasa tak selesa. Serius.” Ulangku lagi dengan nada yang menekan.

“Ya, abang tahu. Macam itulah abang rasa bila tengok Zaira terus bersedih. Abang tak selesa. Jadinya lebih baik Zaira makan sebelum abang terus buatkan Zaira rasa tak selesa.” Balas Fir.

Kata-katanya bagaikan satu ugutan pula. Tidak mahu terus rasa tidak selesa, cepat-cepat aku meneruskan makan. Dari kerlingan mata aku nampak Fir menyengih sendiri. Wajahnya nampak puas.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.