Home Novel Cinta DIA SAYANG AKU
DIA SAYANG AKU
Hanis Azla
5/12/2012 18:21:56
128,687
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

Bab 19

Kebab yang berbaki separuh aku suakan kepadanya bersama isyarat yang menyatakan aku tidak boleh menghabiskannya. Bimbang pula jika aku terus berhenti makan akan membuatkan entah apa pula reaksi Fir seterusnya. Tentu saja dia akan membuatkan aku berasa tidak selesa. Fir mengambil kebab di tanganku tanpa kata. Pastilah dia memahaminya. Dengan selamba dia menghabiskan makananku. Air yang sudah ku teguk sebahagiannya, aku hulurkan kepadanya juga. Ini kerana hanya itu saja minuman yang ada. Fir tersenyum menyambutnya. Tentulah dia juga memerlukan minuman selepas menghabiskan kebab itu.

“Kenyang bila abang temankan Zaira makan. Semuanya tak habis. Makan tak habis. Minum tak habis.” Omelnya.

“Oh, sebab itulah cuma beli satu set makanan aje.” Usik aku.

Fir tersenyum panjang menyambut usikanku.

“Haah. Boleh jimat dan tak perlu membazir. Dah sah-sah memang boleh berkongsi makanan dengan Zaira. Lagipun abang tahu, Zaira bukannya nak habiskan makanan. Tak habis makan, terus buang. Sayang betul.” Akuinya.

Jujur dan langsung tidak berselindung. Namun sesudah itu tetap dijelaskan juga yang dia sudah makan sebelum ke sini tadi. Tentulah penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan aku dari berfikir yang dia seorang yang kedekut bila hanya satu set makanan yang dibawa. Aku menyengih dengan penjelasan itu dan menyatakan yang aku tidak terfikir langsung tentang perkara itu. Fir tersenyum senang membalasnya.

“Mood Zaira tak berapa baik. Jadinya selera makan pun berkurang. Kalau selalu tu makan asyik tak cukup-cukup aje. Memang takde peluanglah orang lain nak berkongsi dengan Zaira. Sekarang ni makan sikit pun dah rasa kenyang sangat. Dah kenyang makan hati berulam jantung agaknya.” Balasku.

“Perkara dah berlaku Zaira. Bersedih dan berduka takkan dapat memperbaiki keadaan. Ianya juga takkan dapat menahan apa yang dah berlaku dari berlaku.” Bidas Fir.

Memang ada kebenaran dalam kata-katanya. Sampai bila aku mahu bersedih dan berduka mengenang perkara yang sudah berlaku. Perkara yang di mata semua orang sudah aku sendiri relakan.

“Habis tu apa yang Zaira patut buat?” Soalku bertanyakan pendapatnya.

“Teruskan kehidupan.” Balasnya ringkas.

“Cakap senanglah. Tapi untuk menghadapinya tak semudah itu.” Sanggahku.

“Hadapi dulu. Kemudian baru tahu boleh ataupun tidak. Insya-ALLAH, takde yang mustahil dan terlalu susah untuk dihadapi. Kalau Zaira rasa apa yang perlu Zaira lalui ni perit, kenangkan nasib orang yang lebih teruk dari Zaira. Kenangkan nasib orang yang tidak pernah langsung mengecapi bahagia. Hidup ini hanya sekali untuk dinikmati. Ujian itu rencahnya. Bila mendapat kebahagiaan, selalunya kita boleh bersyukur dan terima dengan hati yang terbuka kan? Macam tu juga dengan kedukaan. Kita tetap kena bersyukur dan terima juga. Tak kiralah walaupun ianya pahit dan sukar sekalipun.” Ujar Fir tenang.

Mendalam sungguh kata-katanya. Kata-katanya bukan merupakan pujukan untuk mengubati kesedihanku. Tapi lebih kepada kata-kata perangsang dan saranan untuk aku menghadapi kedukaanku dengan cara yang lebih baik. Mungkin baginya, pujukan bukan cara yang sesuai untuk membuatkan aku melupakan kesedihanku. Makanya cara lain pula yang cuba diguna pakai untuk aku menangani kesedihanku.

“Fir pernah ada pengalaman berdepan dengan masalah dalam perhubungan yang melibatkan soal cinta, hati dan perasaan ke?”

Lama aku memandangnya sebelum mengajukan soalan yang inginku tahu itu. Entah mengapa aku boleh terus bertanyakan soalan itu tanpa menghiraukan rasa malu andai aku dianggap penyibuk. Fir juga memandangku lama sebelum lambat-lambat dia mengangguk mengiyakan pertanyaanku. Kemudian dia tersenyum tawar. Kami berpandangan sambil sama-sama mengetap bibir.

“Patutlah… bercakap dari pengalaman rupanya.” Ulasku.

Sedikit mengusik ayatku. Fir tersenyum kecil menyambutnya.

“Pengalaman itukan guru yang paling baik dan cukup berguna untuk kita.” Sambut Fir.

Aku mengangguk-angguk mengakui kebenaran kata-katanya.

“Bila kita dah ambil atau buat satu-satu keputusan tu, kita kenalah bertanggungjawab dengannya. Macam keizinan yang Zaira berikan pada suami Zaira. Mahu tak mahu, Zaira kena menanganinya jugak. Tentu ada cara yang lebih baik untuk menghadapi segalanya selain daripada terus bersedih dan asyik berduka.” Ujar Fir.

Nampaknya Fir mahu menambah tips yang sudah diberi tadi. Tentunya berdasarkan pengalaman yang pernah dilaluinya.

“Buat masa ni Zaira tak terfikirkan cara lain selain dari terus bersedih dan berduka Fir.” Balasku berterus terang.

“Bila asyik bersedih dan menangis, bila masanya Zaira nak fikirkan perkara lain yang lebih baik lagi.”

Fir membalasnya dengan kata-kata berupa sindiran. Ianya sangat bertepatan dengan keadaanku sekarang. Aku tersenyum tawar sebelum mencebik.

“Waktu Zaira buat keputusan, tentunya Zaira dah fikirkan segalanya dengan masak-masak kan? Keizinan dah diberi. Suami Zaira pun dah menambah isteri saat ini. Jadi, apa gunanya Zaira biarkan kesedihan itu berlarutan. Ianya tentu takkan dapat memperbaiki keadaan.”

Fir kelihatan sedikit emosi. Lagaknya seperti seorang abang yang tidak puas hati dengan sikap dan tindakan adiknya sendiri. Aku merasainya seperti itu. Bagaikan abangku sendiri yang sedang berkata-kata ketika ini.

“Entahlah Fir. Memanglah waktu buat keputusan tu, Zaira dah fikirkannya dengan masak-masak. Tapi waktu itu, Zaira mengharapkan Ikmal menerimanya dengan cara yang lain. Lebih tepat lagi, Zaira mahu Ikmal menolak keizinan itu kerana rasa simpatinya pada Zaira. Lebih baik lagi kalau dia terus berubah fikiran kerana rasa kasihnya pada Zaira. Tapi penerimaan Ikmal yang tidak begitu amat melukakan hati Zaira. Zaira rasa sedih sangat bila Ikmal dengan senang hati meneruskan niatnya setelah mendapat keizinan Zaira.”

Harapan yang aku sandarkan pada sebuah keizinan, aku luahkan kepada Fir. Untuk seketika, wajah Fir nampak semacam menerima ceritaku. Jelas sekali dimataku yang ada teka teki di dalam kepalanya.

“Bukan ke keizinan yang Zaira bagi tu memang tujuannya agar Ikmal boleh meneruskan niatnya?” Soal Fir keliru.

“Sepatutnya begitulah. Tapi Zaira masih tetap mengharapkan keajaiban berlaku setelah Zaira memberikan keizinan. Besar harapan Zaira agar keizinan itu mencuit hati Ikmal untuk menghargai Zaira dengan cara melupakan terus niatnya.” Akuiku.

Tanpa segan aku meluahkan apa yang amat aku harapkan dari keizinan yang telah aku beri.

“Maknanya, tak ikhlaslah keizinan itu? Dalam kata lain, keizinan itu memang tak wujud langsung dalam diri Zaira?” Ungkit Fir.

Sungguh memalukan menerima kata-kata yang sebegitu. Namun aku mengangguk juga kerana itulah hakikatnya. Bukan perkara yang mudah untuk melepaskan suami sendiri kepada orang lain dengan hati yang terbuka. Dengan hati yang tulus ikhlas. Aku cukup kagum dengan wanita yang mampu memberikan keizinan dengan hati penuh ikhlas. Walaupun kadangkala tertanya-tanya juga sendiri. Ikhlaskah mereka? Tapi seandainya mereka boleh benar-benar mengikhlaskan hati, mengapa aku tidak boleh menjadi seperti mereka? Lama aku memandang Fir untuk membaca air mukanya. Manalah tahu kalau-kalau dia sedang mengeji tindakanku. Lantas terpamer riak itu di wajahnya. Namun wajah penuh kesalan yang terpamer. Terus-terusan aku jadi malu sendiri. Ketenangan yang dipamerkan membuatkan aku tahu, dia tidak sedikitpun mahu mengejiku.

“Kalau Ikmal tak bersungguh mahukan keizinan dari Zaira, tentunya dia tidak akan memintannya sejak awal lagi. Sia-sia aje Zaira mengambil keputusan yang tidak ikhlas macam tu. Ianya tak memberi kebaikan pun untuk Zaira. Tapi pastilah memberikan kebahagiaan buat Ikmal. Takkan pula dia mahu berubah hati dan menolaknya.” Bidas Fir.

“Hmm.. betullah kan. Dalam semua perkara kita perlu ikhlas. Perbuatan yang tak ikhlas memang takde maknanya. Ganjarannya pun takde. Bila tak ikhlas beginilah jadinya. Apa yang diharapkan tak menjadi. Takde siapa juga yang akan menghargainya. Sekadar menjadi perkara sia-sia sehingga akhirnya Zaira sendiri yang terseksa makan hati.” Ulasku.

Mula tersedar dan menyesali tindakan sendiri yang tiada keikhlasan. Fir terus tenang memandangku tanpa sebarang komen.

“Baru sekarang Zaira benar-benar faham erti keikhlasan. Ikhlas itu seharusnya datang dari hati yang terbuka. Ikhlas itu perbuatan yang bersungguh yang langsung tidak mengharapkan apa-apa di sebaliknya. Ketidakikhlasan Zaira itulah yang lebih Zaira kesalkan. Ianya membuatkan luka di hati Zaira terus dalam. Membuatkan Zaira terus hanyut dalam tangisan yang penuh sesalan. Sesalan pertama kerana memberi keizinan di luar kemahuan. Yang keduanya pastilah kerana tiada keikhlasan. Tapi lebih kerana terpaksa.” Tambahku lagi penuh kesal.

“Kalau air mata dapat menghilangkan kedukaan, tentunya abang akan biarkan Zaira terus menangis. Tapi menangis bukanlah caranya untuk menghapuskan hati yang nestapa. Menangis dan menangisi nasib juga bukan penyelesai masalah.” Sela Fir.

Lama aku memandangnya. Kalaulah kata-kata manis itu keluar dari mulut Ikmal, alangkah baiknya. Alangkah bahagianya. Kenapalah Ikmal tidak lagi sepeka lelaki di hadapanku ini sekarang? Mengapalah Ikmal sudah tidak pandai menjaga hatiku seperti lelaki ini lagi? Kata-kata dan keprihatinan Fir membuatkan aku tersentuh. Air mataku terasa mahu menitis lagi. Aku cuba menahannya, tapi tak mampu. Aku masih gagal melawan kesedihanku. Akhirnya, air mataku gugur juga.

“Menangislah Zaira, kalau itu boleh melegakan.” Begitu pula reaksi Fir.

Namun nadanya kedengaran sedikit jengkel. Mungkin baginya, tindakanku itu adalah lebih baik bila segala yang dikata bagaikan tiada erti padaku. Tiada siapa yang dapat membantuku keluar dari zon berdukacita andai kata-kata perangsang dari mereka tidak mahu diterima olehku. Aku terus menangis. Dia di sebelah langsung tidak memujuk. Malah terus selamba dia mengeluarkan buku dari dalam beg dan membacanya. Kusyuk. Kemudian telinganya pula disumbat dengan earphone dari I-Phonenya. Tiada langsung dia menunjukkan simpatinya. Ambil peduli juga nampaknya tidak. Reaksinya membuatkan tangisanku tidak berlangsung lama. Elok saja aku mengelap mataku dengan tisu, dia berpaling.

“Dah?” Soalnya sambil memandangku lama.

Agak lawak dan selamba bunyi soalannya. Kiranya, segala tingkahku masih berada di dalam pengamatannya walaupun dia langsung tidak memujuk dan cuba untuk buat tidak peduli. Aku tersengih malu sambil menjelingnya. Dia sekadar tersenyum senang menyambut jelinganku.

“Alergi tengok perempuan yang asyik menangis ya?” Soalku sambil mengelap hidung yang ikut berair dek menangis tadi.

“Eh, taklah.” Fir mengelang sambil menafikan.

“Siapalah perempuan tanpa air mata kan? Lelaki pun menangis juga. Cumanya dalam setiap perkara tu, kita perlu berpada-pada. Nak bersedih dan menangis itu boleh. Tapi biarlah bersederhana. Tak perlu berlebihan.” Rumusnya lagi.

“Pada Fir, Zaira nampak berlebih-lebihan ke?” Soalku menuntut kejujurannya untuk berterus terang.

Dia tersenyum menyambut soalanku. Menggeleng tidak. Mengangguk juga tidak. Lama dia memandangku.

“Abang rasa, mata Zaira yang sembab tu ada jawapannya.”

Dia memilih untuk menjawabnya begitu. Aku menunduk mendengar kata-katanya.

“Zaira tahu tak apa maksud sifat mazmumah?” Soal Fir lembut.

Aku mengangkat muka dan menggeleng. Aku pernah mendengarnya. Tetapi aku tidak pernah tahu apa maknanya.

“Mazmumah itu adalah sifat yang buruk. Zaira tahu tak, bersedih yang berlebih-lebihan itu pun adalah sifat mazmumah. Jadinya kita tak boleh terus melayaninya. Bukanlah tak boleh nak bersedih langsung. Tapi kesedihan itu tidak boleh terus dilayan. Kalau Zaira asyik bersedih, syaitan lagi suka nak dekat. Syaitan akan terus kacau perasaan Zaira. Sudahnya, Zaira takkan dapat apa selain daripada kerugian.” Jelas Fir.

“Selain dari bersedih, ada bermacam-macam cara untuk kita menangani masalah kita. Zaira boleh tenangkan hati dengan membaca Al-quran. Berzikir dan beristigfar banyak-banyak juga sangat membantu melegakan hati yang tidak tenang. Zaira boleh buat solat sunat, selain tidak meninggalkan solat yang wajib. Zaira juga perlu banyak-banyak berdoa. Doa itu senjata yang paling kuat. Jadi, jangan mempersia-siakannya bila kita ada senjata yang satu itu. Yakinlah, ALLAH itu Maha Mendengar. Dengan izin-NYA kedukaan akan berlalu. Kebahagiaan akan menjelma, Insya-ALLAH.”

Panjang lebar Fir meneruskan kata. Aku mula terkesan dengan kata-katanya. Selama ini, semua orang menyuruh aku bersabar menghadapi kemelut rumah tanggaku. Ramai yang ikut berduka dengan kesedihanku. Namun tiada siapa yang menyarankan aku agar jangan bersedih lagi. Tapi hari ini, kata-kata Fir telah membuka mataku untuk melupakan kesedihanku. Itu yang paling baik sebenarnya untuk aku menjadi lebih kuat lagi.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.