Hah? Kenapa aku
pula ni yang kena?” tanya Qara tidak puas hati. Panik dengan permintaan Akid
yang dirasakan agak melampau. Bila dia pandang Dhia demi mendapatkan sokongan,
Dhia pura-pura menyanyi sambil memejamkan mata dan menggoyang-goyangkan kepala.
Lagu apa yang Dhia sedang nyanyi, dia tidak pasti. Sepatah pun tidak tembus ke
telinganya.
Nampak benar Dhia
sengaja mengelak daripadanya.
“Tolonglah Qara,
sekali ni aje dan lepas ni aku tak akan minta tolong dengan kau lagi,” kata
Akid bersungguh-sungguh.
“Amboi! Kau ni
macam yakin benar aje ya tak akan mintak tolong aku lagi lepas ni?”
Akid
tersengih-sengih mempamerkan barisan giginya yang tersusun.
“Maksud aku,
untuk bulan ni.”
Qara pegun
seketika. Hanya jari-jemarinya yang bersentuhan sesama sendiri. Cuba mengira
dan mengingatkan sesuatu. Bila ingatannya kembali, matanya membulat merenung
Akid. Tidak menduga dalam pada inginkan pertolongannya, Akid masih sempat
mengenakannya.
“Hari ni hari
terakhir bulan ni. Patutlah kau cakap macam tu,” tempelak Qara geram.
Dhia yang
mendengar tergelak perlahan. Bila Qara menjelingnya, dia kembali memejamkan
mata dan menyanyi-nyanyi perlahan. Tidak tahu lagu apa yang sedang dia
nyanyikan. Sekejap-sekejap dia nyanyi lagu Galau, tapi beberapa saat kemudian
masuk pula lirik lagi Hampa Hatiku. Tapi dia tidak peduli, yang penting Qara
tidak akan cuba meraih simpatinya.
“Boleh eh Qara?”
pinta Akid sekali lagi.
“Alah... kau
carilah orang lain. Bukannya aku tak nak tolong kau tapi... kali ni betul-betul
tak bolehlah. Kau minta tolong orang lain ya?”
“Mana ada orang
lain lagi dah. Rumah aku kosong hari ni.”
“Kalau macam tu
kau ajelah yang ikut,” balas Qara selamba.
Haq? Berdua-duaan
dengan lelaki itu di dalam sebuah kereta? Mungkin untuk masa beberapa puluh
minit atau jam? Tidak. Kejadian seminggu lalu itu masih basah dalam ingatannya.
Tidak mungkin dia akan berhadapan dengan Haq dalam masa terdekat ini.
“Tak boleh!”
Pantas Dhia menjawab bagi pihak Akid.
Bila renungan
Qara tajam, dia telan liur sendiri. Terlupa yang ketika ini dia sedang berlakon
menjadi seorang penyanyi. Tapi bila Qara menyuruh Akid ikut dengan Haq,
mulutnya jadi ringan.
“Bukan kau tengah
hafal lirik ke tadi?” sindir Qara selamba.
Dhia gelak
perlahan. Tidak mahu membalas apa-apa.
“Qara...
tolonglah!”
“Tak naklah. Kau
atau Dhia ajelah yang pergi.”
Dhia siku Akid
kuat. Dia mahu Akid lebih agresif dalam meyakinkan Qara. Saat tunangnya itu
menggigit bibir tanda marah, dia sengaja mempamerkan senyuman paling manis.
“Aku dengan Dhia
kena pergi jumpa Nelly sekarang juga. Esok Nelly nak pergi Jakarta.”
“Pekerja dia kan
ada.”
“Qara...
tolonglah!” Dhia sudah mula campur tangan.
Qara merengus
perlahan. Bukannya dia tidak mahu, tapi kenapa perlu pertolongan yang diminta
berkait dengan Haq?
“Aku bukan tak
nak tolong kau. Tapi Haq...”
“Kenapa kalau
dengan saya?” Tiba-tiba Haq bertanya. Telefon bimbit di tangan dipegang erat.
Hatinya gusar kerana Akid tidak muncul-muncul walaupun sudah beberapa minit
masa berlalu. Sedangkan Rosnah mahu dia segera datang. “Apa masalahnya kalau
awak tolong saya? Apa bezanya kalau awak tolong saya dengan tolong orang lain?
Kalau awak nak suruh saya bayar, saya sanggup bayar tapi tolonglah saya sekali
ni. Saya akan kenang jasa awak sampai bila-bila.”
Haq nampak tenang
dan ketenangan itu menampar halus perasaan Qara. Dia malu sendiri.
“Bukan... bukan
macam tu. Tapi... tapi...”
“Tolonglah.
Tolonglah Qara,” pujuk Dhia lembut. Dia menggeleng perlahan pada Haq.
“Dhia...”
“Saya janji yang
saya tak akan ambil masa awak lama sangat. Kita pergi klinik, ambil Irham, awak
pegang Irham dan kita terus balik rumah, ambil baby car seat. Lepas tu saya akan hantar awak balik semula ke sini.
Calar sebesar jarum pun saya akan pastikan tak ada di tubuh awak.” Haq cuba
meyakinkan Qara kerana dia benar-benar terdesak. Elok saja Irham diberikan
vaksin Polio,Rosnah mendapat panggilan telefon
dari kampung. Ayah saudara pengasuh Irham itu meninggal dunia. Pak Tuah pula
tidak ada di rumah kerana membawa umi dan walidnya ke Melaka.
“Tadi pergi macam
mana?” tanya Qara.
“Saya yang hantar
dan Kak Ros pegang Irham. Sekarang ni sepupu Kak Ros dah ada kat klinik tu, nak
ambil Kak Ros dan mereka nak balik kampung terus. Kalau saya aje yang pergi
klinik tu siapa nak pegang Irham?”
“Keluarga awak
yang lain mana?”
Banyak pula mulut
Qara hari ini. Ikutkan rasa geram, mahu juga Haq cubit-cubit mulut comel itu
supaya tidak banyak tanya. Dia sudahlah hendak cepat, boleh pula Qara
mengajaknya main soal jawab.
“Kau ni banyak
cakap betullah Qara. Pergi ajelah!”
Tanpa sebarang
amaran, Dhia heret lengan Qara menuju ke kereta Haq. Makin lambat Qara
mengheret langkah, makin kuat dia menarik. Sedangkan Haq dan Akid hanya menurut
dari belakang.
“Sejak bila mulut
dia jadi macam murai tercabut ekor?” tanya Haq perlahan.
“Itulah dia yang
sebenarnya. Cuma sejak patah hati dengan Syahil, dia jadi agak pendiam.”
“Pening kepala
aku!”
“Tak payah nak
pening-pening sangatlah, bang. Tu... dia dah duduk pun dalam kereta kau. Tapi
kau bila nak bercakap tu ingat-ingat sikit. Karang dia terjun dari kereta, kau
yang masuk lokap,” usik Akid pada abangnya. Haq, ada masa-masanya boleh saja
berubah mengikut keadaan. Tadi pun abangnya itu dilihat hanya menahan hati
mendengar soalan demi soalan daripada Qara.
Kepala Akid, Haq
tonjol sedikit. Sakit hati diingatkan begitu.
“Tapi kalau dia
yang cari pasal dulu macam mana?”
Akid jongket
kedua-dua belah bahunya. “Jadi apa-apa pada Qara nanti, kau jawab sendiri
dengan Dhia. Tunang aku tu lagi sayangkan Qara daripada aku. Aku tak nak hilang
dia sebab kau, bang.”
“Kau pula lagi
sayangkan siapa? Dhia ke aku?”
Akid pandang ke
atas seketika. Langit biru kelihatan sangat cantik. “Aku sayangkan kau,
tapi...”
“Apa?”
“Aku rasa aku
lagi sayangkan Dhia Imanina!” Usai berkata-kata, terus Akid berlari laju
mendapatkan Dhia yang kelihatan masih mengatakan sesuatu pada Qara. Kelat muka
Qara, buat dia tersenyum sendiri. Kalau Qara dipadankan dengan Haq, dia dapat
rasa yang mereka akan menjadi pasangan yang paling comel.
“Thanks,” ucap Haq pada Dhia sebelum
masuk ke dalam kereta.
Qara hanya
bungkam. Sakit hatinya jadi berganda-ganda mendengar Haq mengucapkan terima
kasih pada Dhia. Patutnya lelaki itu memberikan kata-kata itu padanya. Dia yang
akan memegang Irham nanti, bukannya Dhia. Lalu dia menarik kasar tali pinggang
keledar. Namun puas ditarik-tarik, tetap juga gagal. Tali pinggang keledar itu
seperti tuannya juga, menjengkelkan jiwanya.
“Kenapa?”
“Tak ada
apa-apalah. Pandu ajelah biar cepat balik.” Tali pinggang keledar dilepaskan,
tidak jadi mengenakan di tubuhnya.
“Pakai seat-belt tu.”
“Tak payahlah,”
bantah Qara bosan.
“Pakai! Saya tak
nak kena saman sebab awak. Karang jadi lagi lambat sampai.”
Qara buat-buat
tidak dengar. Bukannya dia tidak mahu pakai, tapi tali pinggang keledar itu
tidak dapat ditarik.
“Qara...”
“Seat-belt awak ni yang tak boleh tarik.
Nak buat macam mana?”
Haq tahan
senyum. Comel pula wajah cemberut Qara
yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Yang pernah dilihat rupa segan dan
sedih. Dia nampak Qara berusaha menarik tali pinggang keledar itu tadi, hanya
dia buat-buat tidak nampak. Mahu melihat sejauh mana Qara berusaha menahan diri
daripada meminta bantuannya. Ternyata hati wanita itu betul-betul keras.
“Mulut ni ada
banyak kegunaannya. Bukan guna untuk membebel aje Cik Qara Nisa,” sindir Haq.
Matanya merenung
bibir nipis milik Qara yang sengaja digigit. Namun makin lama merenung bibir
tanpa dicalit sebarang gincu itu, makin terasa jantungnya berlari pantas.
Sudah, jiwa
celarunya datang lagi!
“Sini... saya
tolong pakaikan,” tawar Haq perlahan. Suaranya seperti bergetar.
“Tak payah. Tak
payah tolong. Hari ni rasanya polis tak ada. Tak akan kena sama punya. Tak
payah...”
Sungguh-sungguh
Qara melarang. Bukannya dia tidak perasan renungan Haq pada bibirnya tadi.
Hampir saja jantungnya berhenti mengepam darah. Kalau Haq memakaikan tali
pinggang keledar ke tubuhnya, bermakna tubuh sasa Haq akan berada rapat
dengannya. Tidak. Dia tidak rela. Bimbang jantungnya benar-benar akan terhenti
berdenyut.
Semua orang akan
mati, itu dia akur. Tapi dia tidak mahu mati hanya kerana Haq.
Namun saat Haq
benar-benar sudah menghampirinya, kemudian melilitkan tali pinggang keledar
tersebut ke tubuhnya, Qara hanya kaku. Nafas hangat Haq yang menampar lehernya
membuatkan dia tidak berkutik langsung. Malah hendak menarik dan melepaskan
nafas pun dia tidak mampu.
“Okey...
selesai!”
Garau suara Haq
membuatkan Qara tersentak. Terpanar seketika sebelum kembali berpijak di bumi
yang nyata. Kemudian terus Qara memandang ke sisi kiri. Tidak sanggup memandang
Haq kerana segan. Sampai ke detik ini pun tangannya terasa seperti sedang
menggeletar.
Kenapa macam ni?
Kenapa aku hanya biarkan Haq tadi? Patut aku luku kepala dia tadi.
Haq jeling Qara
dengan ekor mata. Bibirnya menguntum senyum. Beku Qara membuatkan dia geli
hati. Dia hanya memakaikan tali pinggang keledar, tapi cara Qara macamlah dia
sudah melakukan yang bukan-bukan pada wanita itu.
Tapi bukan ke
masa kau dekat dengan dia tadi fikiran kau agak menyimpang? Tanya hati
kecilnya.
Mana ada! Tingkah
hati yang sama.
Yang kau kata
Qara wangi tu apa?
Ada ke?
Yang kau kata
pipi Qara nampak lembut tu apa?
Haq ketap bibir.
Mujurlah dia berkata-kata hanya dalam hati. Kalau Qara boleh dengar, kata-kata
Akid mungkin akan jadi kenyataan. Tidak mustahil Qara akan melompat keluar saat
ini juga.
“Ehem...” Haq
berdehem sendiri. Tekaknya terasa tersumbat tiba-tiba.
Tidak percaya
dalam pada membantu Qara, masih sempat dia memikirkan tentang bau Qara yang wangi,
bahkan sempat juga dibayangkan yang jari-jemarinya mengusap pipi gebu yang
hanya dioles bedak nipis. Dia tahu, dia agak kurang ajar. Tapi soalnya, dia
tidak dapat mengawal hati dan fikirannya. Rasa-rasa itu datang begitu-begitu
saja.
“Apa perancangan
lepas ni?” tanya Haq tenang. Pandangannya tetap terhala ke hadapan. Rasa-rasa
nakal itu cuba ditolak jauh-jauh.
“Tak ada,” balas
Qara malas.
“Masih ada rasa
nak balik semula pada Syahil?” duga Haq.
“Kenapa saya
perlu ada rasa nak kembali pada dia?”
Haq jongket bahu,
tidak ada alasan kerana dia hanya ingin tahu isi hati Qara. Baginya cinta itu
kadang-kadang pelik, ditolak jauh pun tetap juga mendekat. Kadang-kadang, jenuh
didekati pun, tetap juga jauh.
“Orang bodoh aje
yang akan balik pada lelaki macam Syahil tu. Dan saya yakin awak bukan macam
tu.”
Qara hanya
memakukan pandangan ke hadapan. Balik ke pangkuan Syahil? Tidak mungkin,
kecuali ingatannya sudah hilang.
“Kumbang bukannya
seekor, Qara...”
“Dah sampai nanti
kejutkan saya.” Mata, Qara pejam. Dia hanya mahu bersendiri.