“KAWAN kau merangkap kawan baik
Dhia. Qara. Ya, aku nak Qara jadi isteri aku dan aku nak Qara jadi ibu pada
Irham. Aku tak nak orang lain, aku nak dia dan aku percaya dia aje yang boleh
jaga Irham dengan baik,” jawab Haq tenang walau hati di dalam bagaikan dipalu.
Lapang sedikit rasanya bila sudah berterus terang dengan Akid. Tidaklah dia
terus sesak sendiri.
“Qara?”
“Ya... aku ulang sekali lagi. Aku
nak Qara Nisa jadi isteri aku!” Tegas Haq bila Akid nampak seperti tidak
percaya dengan sepotong nama yang baru disebut. Mungkin di dalam kepala Akid,
bukan nama itu. Barangkali fikir adiknya, dia akan menyebut nama kawan-kawan
yang pernah sama-sama belajar dengannya di London. Ataupun, kawan-kawan sekolah
yang telah lama tidak ditemui. Lebih sadis lagi, dia akan menyebut nama
perempuan London yang pernah menjadi rakan sekerjanya.
“Kau ni mimpi ke mengigau ni?”
Akid masih rasa tidak percaya.
Bukan ke Haq menggelarkan dia gila
ketika dia menyebut tentang idea itu sebelum ini? Kenapa tiba-tiba pula
abangnya boleh berubah fikiran?
“Aku tak tidur dan itu bermakna
aku sangat sihat masa aku cakap aku nak kahwin dengan Qara.”
“Tapi, bang...”
“Yang kau ni nampak macam tak puas
hati dengan idea aku ni kenapa? Kau tak suka ke kalau Qara jadi salah seorang
daripada ahli keluarga kita? Kata... kau dan Dhia suka benar dengan Qara tu.
Jadi apa masalahnya kalau aku pilih dia untuk lengkapkan hidup aku dah Irham?”
Akid bungkam sambil menggoyang-goyangkan
kakinya laju-laju. Mula berfikir tentang banyak perkara. Tentang Qara. Tentang
Dhia. Tentang dirinya sendiri dan tentang Haq juga Irham. Tidak ketinggalan
tentang penerimaan Hajah Yasirah yang tentunya tidak seperti apa yang diharap
dan Haji Lukman yang selalu rasional dalam memutuskan sesuatu perkara. Pendek
kata, mereka berdua memang sangat serasi. Seorang selalu bersikap seperti api
dan orang itu tentu saja uminya, seorang lagi bersikap seperti air dan itu
memang ada di dalam diri walidnya.
Dia dan Dhia, akankah begitu
nanti?
“Apa pendapat kau, Akid?” tanya
Haq tenang. Dia inginkan buah fikiran adik merangkap kawannya itu.
“Kalau Qara, memang aku suka
sangat digandingkan dengan kau sebab aku kenal dia walaupun taklah seperti Dhia
kenal dia. Dah bertahun-tahun aku jadi kawan dia, banyak juga sikap dan sifat
dia yang aku tahu. Insya-ALLAH kalau semua berjalan lancar, kau akan hidup
gembira dan bahagia dengan dia.” Akid meraup tangan ke muka. Apa yang bakal
berlaku di hari depan, dia memang tidak tahu. Tapi dia bersyukur kerana Haq
sudah membuat pilihan yang tepat.
Dibandingkan perempuan lain, dia
lebih rela melihat abangnya itu bersanding di atas pelamin dengan Qara. Lebih
daripada itu, dia memikirkan tentang Irham melebihi Haq. Anak itu memerlukan
sebuah keluarga yang sempurna. Ada papa dan juga mama. Bukannya hanya ada papa
semata-mata.
Sekarang mungkin tidak wujud
sebarang masalah kerana Irham masih sangat kecil. Tapi lambat-laun Irham akan
besar. Anak itu akan belajar di sekolah. Mula tahu apa makna sebuah keluarga
dan di dalam sesebuah keluarga, siapa ahlinya. Kemudian Irham akan bertanya
tentang seorang mama. Apa yang abangnya itu akan jawab? Bila Irham jadi lebih
besar dan tahu lebih banyak tentang hidup, ada lagi yang akan anak itu tanyakan
dan persoalan itu akan jadi lebih rumit. Ketika itu, tidakkan Haq memerlukan
seseorang di sisi sebagai penyokong dan pemberi semangat?
Kalau bukan sekarang, bila baru
abangnya hendak mencari seseorang itu?
“Kenapa kau cakap macam tu? Macam
yakin aje gaya kau tu.”
Akid senyum lebar. Ada begitu
banyak yang Haq tidak tahu tentang Qara. Yang abangnya tahu, mungkin kisah
kasih Qara dan Syahil yang tidak kekal lama. Sedikit tentang latar belakang
kawannya itu. Lain-lain, Haq tidak tahu dan perlu diambil tahu supaya di
kemudian hari kelak, tidak akan timbul rasa kesal.
“Tak ada orang di dalam dunia ini
yang lebih menghargai erti sebuah kegembiraan dan kebahagiaan, melainkan orang
tu dah lama tak rasa dua perasaan tu. Qara salah seorang daripada orang tu,” jelas
Akid lancar seolah-olah dia dilantik Qara untuk menyebarkan cerita hidup Qara
pada Haq. Sedangkan, dia berkata untuk membuatkan abangnya faham.
“Kesian, kan dia?”
Lain yang Akid sangka, lain pula
yang Haq tanyakan padanya.
“Tapi kau tak suka dia, kan?” duga
Akid ingin tahu.
“Aku akan belajar untuk sukakan
dia mulai hari ni. Nanti-nanti tentu aku akan sukakan dia juga bila dah jadi
isteri aku. Suami bodoh aje yang tak ada rasa nak suka dan sayangkan isteri
sendiri.”
“Dia pun tak suka kau juga. Kalau
dengan kau dia selalu marah-marah. Selalu dengan orang lain dia tak macam tu
pun.”
“Aku akan buat dia sukakan aku.
Nanti-nanti tentu dia dah tak marah-marah lagi. Dia akan sayangkan aku macam
nak rak. Silap-silap lagi sayangkan aku daripada Dhia sayangkan kau,” usik Haq
pada Akid.
Qara mungkin suka marah-marah bila
berhadapan dengannya. Bengis juga seperti singa. Tapi Qara sangat sayangkan
Irham. Kalau Qara boleh sayangkan Irham, tentu saja wanita itu boleh sayangkan
bapa kepada Irham. Dia akan usahakan supaya Qara sayangkan dia lebih daripada
Irham.
Tamak? Peduli apa! Anak mana boleh
lebih daripada bapa. Dan isteri, wajib sayangkan suami melebih anak-anak. Kalau
Qara sayangkan Irham 100%, Qara harus sayangkan dia 150%. Dalam apa pun
keadaan, dia tidak mahu diabaikan Qara hanya semata-mata disebabkan anak-anak.
Ingat, orang lelaki seperti dia
tidak perlu dimanjakan ke?
“Umi?”
“Hal umi aku akan uruskan. Umi
suruh aku kahwin, aku ikut. Jadi umi tak boleh marah kalau aku pilih Qara.”
“Tapi kau tahu yang umi tak suka
Qara walaupun dia tak kenal sangat pun Qara tu.”
“Tak apa, pandailah aku nak cari
jalan sampai umi kena mengalah dengan aku kali ni.”
“Kalau kau dah cakap macam tu, aku
ikut ajelah asalkan semuanya berjalan lancar.”
“Nanti aku akan cakap dengan
Qara yang aku nak dia jadi isteri aku.
Kena yakinkan dia betul-betul sebab aku tahu Qara bukannya percaya sangat pada
aku. Lagilah bila aku pernah tengking-tengking dia hari tu. Mesti dia meluat
gila kalau tengok muka aku ni. Apa pun jadi, aku tak nak kahwin dengan orang
lain. Qara aje yang aku nampak boleh terima Irham dengan senang hati. Kalau aku
balik lambat atau balik malam, tak adalah aku malu dengan Kak Ros sebab kena
jaga Irham. Kau tau ajelah budak kecil tu kerenah dia macam mana. Bukan calang-calang
orang boleh layan.”
“Kau nak Qara sebab Irham aje ke,
bang?”
“Maksud kau?”
“Aku bukannya apa, kalau kau nak
Qara semata-mata sebab Irham, aku rasa tak adil untuk Qara. Takkanlah peranan
dia hanya sebagai pengasuh anak kau aje sedangkan dia pun ada hati dan perasaan
juga. Tentu dia nak juga rasa perasaan disayangi dan menyayangi suami dia.”
Muka Akid yang tadinya ceria
berubah sedikit muram. Qara itu kawannya. Kawan rapat isterinya. Suka macam
mana pun dia kalau Haq berkahwin dengan Qara, tetap juga dia tidak rela jika
Qara dipergunakan sewenang-wenangnya. Tidak peduli sekalipun orang itu abang
kandungnya. Qara sudah lama hidup sendiri, sekurang-kurangnya dia mahu juga
melihat Qara hidup gembira dan bahagia jika sudah punya keluarga.
“Kau fikir aku macam tu ke?”
“Qara tu baik, bang...”
“Sebab dia baiklah aku nak dia.
Kalau perangai dia tak semenggah, baiklah aku pilih calon pilihan umi tu. Tak
pun pejam mata dan capai aje salah seorang pekerja kat Sutera Printing Sdn.
Bhd. tu. Tak payah nak fikir berhari-hari sampai kepala aku rasa macam nak
pecah.” Terasa juga hati Haq dengan kata-kata Akid. Dia tahu adiknya itu
sayangkan Qara sebagai sahabat, tapi tidak adil jika menganggap yang
bukan-bukan padanya. Lainlah dia punya niat jahat pada Qara. Ini... dia
mengajak Qara mendirikan masjid. Bukannya meruntuhkan masjid yang sudah dibina!
“Kau marah aku ke ni abang?”
“Habis kau ingat aku ni kayu ke?”
“Kalau kau marah, aku minta
maaflah. Tak niat macam tu. Cuma aku rasa tak seronok kalau kau pilih Qara sebab
Irham. Kalau betul kau nak dia, biarlah sebab kau memang nak dia dan dalam masa
yang sama dia mampu jadi mama yang baik untuk Irham. Dia kawan aku. Kawan baik
Dhia. Kalau dia sedih, Dhia pun tak akan gembira. Kalau yang kecewakan dia
abang aku sendiri, macam mana aku nak berhadapan dengan Dhia nanti? Silap-silap
rumah tangga aku pun roboh.”
Keluhan Haq kedengaran. Kalau Akid
pun tidak yakin padanya, Dhia macam mana? Qara?
“Aku tak nak menipu kau. Aku
memang nak Qara sebab Irham. Tapi bukan cuma untuk Irham, untuk aku juga. Untuk
dia juga!”
Merenung terus ke mata Haq, Akid
semakin yakin. Haq tentu dapat menjaga Qara dengan baik. Bersama abangnya itu,
Qara mungkin tidak akan hidup sendiri. Kehadiran Irham pula merupakan bonus
yang tidak ternilai. Tidak perlu susah payah mengandung dan melahirkan,
tahu-tahu sudah punya anak.
“Untuk dia? Maksud kau, aku kurang
jelas. Cuba kau detilkan lagi supaya aku tak buat andaian yang bukan-bukan.”
“Dia tak ada keluarga. Bila kahwin
dengan aku dia dapatlah keluarga yang dia tak ada tu.”
Kali ini, barulah Akid nampak
lebih jelas. Tidaklah abangnya itu hanya memikirkan kepentingan diri sendiri
dan Irham semata-mata. Lega sedikit hatinya walaupun rasa ragu-ragu tetap juga
menjengah. Tidak ada angin tidak ada ribut tiba-tiba saja berkata mahukan Qara.
sesiapa pun di tempatnya, akan merasakan perasaan yang sama.
“Kau bukan nak kahwin kontrak
dengan Qara, kan?”
“Aku tak fahamlah apa yang kau nak
sampaikan ni.” Kadang-kadang Akid ini cakapnya berbelit-belit juga.
“Macam dalam drama tu. Kahwin,
lepas tu sign kontrak. Tak boleh itu,
tak boleh ini dan lebih haru lagi, tak boleh kongsi bilik. Kalau kongsi pun,
tak boleh kongsi katil walaupun katil tu boleh muat tiga ke empat orang,” ujar
Akid berterus terang. Tidak mahu cakap berkias-kias macam orang zaman dulu.
Zaman ini zaman orang akan meluahkan apa-apa saja yang terbuku di hati tanpa
ada rasa bersalah. Paling penting, maksud yang mahu disampaikan jelas dan
padat.
Haq bungkam. Inilah padahnya bila
akhir-akhir ini dilihat masa Akid dan Dhia lebih banyak dihabiskan di hadapan
TV. Macam-macam drama yang mereka berdua ikuti. Bersambung-sambung sebelum
masuk tidur. Kadang-kadang di meja makan pun, mereka boleh mengulas kembali apa
yang sudah ditonton. Selepas itu, mulalah timbul aksi kutuk-mengutuk sesama
sendiri.
“Rugilah kalau kau dah kahwin tapi
buat hal sendiri. Tidur pula entah kat mana-mana. Padahal kalau sejuk boleh
juga kau...”
Kemudian Akid tergelak-gelak
nakal. Tidak perlu diteruskan kata-kata, Haq tentu tidak bodoh untuk faham.
Lelaki dan lelaki bila menyebut soal perempuan, sedikit sebanyak memang tidak
akan lari jauh jalan fikiran. Tidak kira adik-beradik, tidak kira kawan, hatta
musuh sekalipun.
Mata Haq mencerun. Otak Akid sejak
kahwin sudah bertukar kuning. Mungkin perlu dicuci sehingga bersih biar kembali
jernih.
“Kau rasa aku baik macam tu?”
“Nampak gaya memang ada
sikit-sikit,” usik Akid berani.
“Sorrylah Akid, telahan kau silap sebab aku tak baik sangat pun.
Kalau aku dah jadi suami Qara nanti, jangan kata bilik, bantal pun hari-hari
aku nak kongsi dengan dia,” balas Haq selamba. Sudah sah sebagai suami isteri,
apa perlunya tidur asing-asing lagi? Dia bukan malaikat yang tidak mempunyai
nafsu. Lebih daripada itu, dia lelaki normal yang mempunyai fitrah mahu dibelai
dan membelai seorang perempuan yang bergelar isteri.
“Abang... kau?” Akid hilang
kata-kata. Benarkah Haq yang ada di sisinya ini? Selambanya gaya Haq!
“Tak payah nak terkejut sangatlah.
Kurang-kurang, aku nak juga ada anak dua tiga orang dengan Qara tu. Kalau boleh
biar ikut muka Qara, ada lesung pipit kiri kanan. Bukan ikut muka aku yang
sebiji macam muka kau ni. Jemu tengok!”