Muka
Qara masam mencuka. Dalam hati tidak putus-putus mengutuk diri sendiri. Kalau
dia tidak gatal-gatal mengaku Ihram itu anaknya, tidaklah dia mendapat malu.
Tapi kata sudah terlepas. Pembohongannya terbongkar dalam masa beberapa minit.
Tidak. Ketika bibirnya mengaku, ketika itu jugalah Haq tahu kalau dia menipu.
Mulut
ni pun, kenapa perlu berbohong? Bibir ditepuk perlahan.
Namun
saat seraut tampang Syahil menyapa matanya, ada senyuman di bibir nipisnya.
Dada yang seakan-akan sendat dengan rasa malu, terasa lapang tiba-tiba. Lantas
kaki dihalakan ke arah Syahil. Mahu menatap seraut wajah kesayangannya itu.
Seingatnya, termasuk hari ini sudah lebih dua minggu mereka berdua tidak bersua
muka. Ada-ada saja alasan Syahil ketika diajak berjumpa. Kali terakhir, Syahil
berkata terpaksa ke Hong Kong.
Sungguh,
dia rindukan Syahil!
Belum
pun langkahnya mendekat, kelihatan Elma merapati Syahil. Langkah kaku
tiba-tiba. Air mukanya berubah keruh. Dada yang tadinya lapang, kini bagaikan
mahu pecah bila lengan Syahil dipegang Elma, sedangkan Syahil hanya tersenyum.
Langsung tidak menolak.
Sampai
bila agaknya Elma akan menjadi bayang-bayang Syahil? Sampai bila juga dia harus
menahan diri melihat tingkah Elma yang keterlaluan bila berada dekat dengan
Syahil?
“Kau
dah nampak kan?”
Qara
berpaling. Seraut wajah dengan senyuman sinis, buat dia menggigit bibir. Kenapa
Datuk Kamil harus muncul ketika ini?
“Kau
dah nampak dengan mata kau sendiri betapa mesranya Syahil dan Elma, kan?”
Sekali lagi Datuk Kamil bertanya dalam nada menyindir. Puas bila Qara yang
selalu tenang, nampak sedih. Memang ini yang mahu dilihat sejak di bibir Syahil
asyik meniti nama Qara. Anak yatim piatu yang baginya tidak akan memberikan
apa-apa keuntungan padanya. Hanya bakal membuatkannya rugi.
Makin
kuat Qara menggigit bibir. Sakit. Tapi itu saja yang dia boleh buat setiap kali
berhadapan dengan Datuk Kamil dan Datin Jalilah.
“Datuk
sihat?” Qara cuba mempamerkan senyuman.
Bibir
Datuk Kamil mencebik. “Cuba alih topik?” sindir Datuk Kamil tanpa menjawab
soalan Qara. Baginya, tidak penting.
“Dhia
jemput saya datang,” kata Qara perlahan, meskipun tidak ditanya. Tidak mahu
dianggap tersua-sua datang ke majlis makan malam orang kaya. Dia sedar siapa
dirinya. Kalaulah dia tahu situasi ini yang perlu dihadapi, dia tidak akan
datang biar Dhia merayu dengan cara apa pun.
Berapa
kali dia hendak membiarkan air mukanya dipijak Datuk Kamil dan Datin Jalilah?
Bimbang, lama-lama dia tak mampu mengangkat kepala di hadapan mereka berdua
kelak.
“Kalau
pun Dhia jemput kau datang, tak boleh ke kau tolak?”
Diam.
Qara tidak tahu harus membalas apa. Seboleh mungkin ditenangkan air mukanya.
“Saya
dah cuba tolak. Tapi Dhia tetap nak saya datang.”
Senget
bibir Datuk Kamil kerana meluat. Dipandang Qara atas bawah sambil menggeleng.
Kecuali nama yang tampak moden, dia tidak nampak apa-apa keistimewaan ada pada
Qara. Syahil dan Dhia saja yang buta.
“Majlis
macam ni tak sesuai untuk kau. Orang macam kau patut pergi kenduri doa selamat
aje. Entah apa yang bagusnya dengan kau sampai Dhia tu sayang sangat pada kau,
aku betul-betul tak habis fikir. Kau guna-gunakan anak aku ya?” tuduh Datuk
Kamil dengan muka geram.
“Astaghfirullah
al-Azim...”
“Dulu
Dhia, sekarang Syahil. Apa yang kau dah buat pada anak-anak aku?” Tajam
pandangan Datuk Kamil.
“Saya
tak buat benda syirik macam tu Datuk. Saya...”
“Kau
ingat aku ni bodoh sangat nak percaya cakap orang macam kau?”
“Saya...”
“Kalau
kau tak guna-gunakan anak-anak aku, kau ingat Dhia dan Syahil akan pandang muka
buruk kau ni?” Jari telunjuk Datuk Kamil membuat bentuk bulat, hala ke muka
putih bersih milik Qara. Dia benar-benar bencikan wanita ini. Kerana Qara, dia
merasakan Dhia dan Syahil semakin hari semakin berubah saja. Tidak lagi mahu
mengikut arahannya kalau dirasakan tidak betul. Gemar pula membantah
kata-katanya.
“Saya
tahu Datuk tak akan percaya pada kata-kata saya. Tapi saya masih tahu dosa dan
pahala.”
“Jangan
nak berceramah depan aku!” tingkah Datuk Kamil perlahan tapi tegas. Tidak mahu
suaranya sampai ke pendengaran tetamunya. “Ceramah murahan kau tu tak akan
mampu buat aku terpedaya.”
Qara
tarik nafas panjang, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Lewat ekor matanya,
dia menjeling Syahil yang masih berbual-bual mesra dengan Elma. Langsung tidak
sedar akan kehadirannya. Jauh sekali menjadi pembelanya di hadapan Datuk Kamil
yang tampak begitu garang. Ikutkan hati dia mahu menangis, tapi menangis di
hadapan Datuk Kamil tidak mungkin. Cukup-cukuplah selama ini dia dipandang
rendah oleh orang tua itu.
“Kalau
Datuk rasa saya salah, saya minta maaf...”
“Aku
tak nak maaf kau tu, tapi aku nak kau tinggalkan Dhia. Tinggalkan Syahil sebab
aku nak dia kahwin dengan Elma!”
“Saya
sayangkan Dhia. Saya sayangkan Syahil.”
“Pergi
mati dengan sayang kau tu!” Gelas berisi air oren sengaja digoyang-goyang
perlahan. Qara di hadapannya dilihat kecil besar saja. Bahkan dia terasa
seperti sudah menjirus air di tangannya ke muka Qara. Biar basah lencun, biar
malu di mata semua orang. Tapi mujur dia masih sedar situasi ketika ini.
Memalukan Qara dia tidak kisah, namun memalukan diri sendiri, tidak mungkin.
Terpejam
mata Qara mendengar sepatah perkataan yang cukup berbisa itu. Sebenci itukah
Datuk Kamil padanya?
“Aku...”
“Uncle
Kamil,” tegur satu suara garau tiba-tiba.
Datuk
Kamil berpaling ke belakang. “Umair Haq!” Terus air mukanya berubah ceria.
Pantas dia menjabat tangan Haq. Tidak sangka Haq sudi datang ke rumahnya.
Pertama kali bersua tempoh hari, dia sukakan Haq. Anak muda seusia Syahil itu
dilihat matang dan berkarisma. Tidak ubah seperti Haji Lukman.
“Uncle
sihat?” tanya Haq ramah sambil bibir mengukir senyum. Dia berdiri berhadapan
dengan Datuk Kamil. Namun matanya dapat melihat seraut wajah Qara yang masih memejamkan
mata, membelakangi ayah Dhia itu. Pada raut Qara, seakan-akan ada garis
kesedihan yang sangat dalam. Sedangkan ketika memegang Ihram tadi, wajah wanita
itu nampak berseri-seri.
Seketika,
mata hitam pekat milik Qara terbuka perlahan-lahan saat telinganya dihidangkan
dengan suara asing. Menjurus terus ke anak mata Haq yang bening, merenungnya.
Untuk masa beberapa saat, masa seakan-akan terhenti. Yang ada, hanya sunyi dan
sepi.
Langsung
kejadian memalukan di tingkat atas tadi hilang daripada ingatannya. Yang dia
tahu, hatinya terasa sangat sedih. Hinaan Datuk Kamil seolah-olah tertusuk
sampai ke hatinya.
“Uncle
sihat. Haq apa khabar?”
Haq
kembali memandang Datuk Kamil. Qara terpanar seketika sebelum kembali berpijak
di dunia nyata. Dengan hati yang libang-libu, dia memesongkan langkah. Mahu
mencari Dhia sebelum meninggalkan rumah agam ini. Tidak betah terus berada di
tempat yang tidak mahukan kehadirannya. Bimbang dimaki-hamun di hadapan Haq.
Cukuplah malunya pada Haq hanya setakat ini saja.
Lagipun,
di sini bukan dunianya. Hanya demi Dhia, ditambah rasa rindu pada Syahil,
digagahkan juga kaki walau tahu kedatangannya tidak pernah dialu-alukan.
Inikah
rasanya bila diri tak punya apa-apa?
Ketika
berpaling ke sisi kiri, Syahil masih bergelak ketawa di sisi Elma. Langsung
tidak sedar akan kehadirannya. Hati yang kecil semakin mengecil jadinya. Terasa
mahu marah, tapi tidak tahu pada siapa. Bukan salah sesiapa, malah tak ada
orang pun yang memaksa dia memberikan hatinya pada Syahil. Dia yang murah hati
memberi bila lelaki itu meminta.
Cinta
memang buta. Tidak! Bukan cinta yang buta, dia yang tidak tahu mengukur baju di
badan sendiri.
“Dhia...”
panggil Qara perlahan.
“Qara!
Kau ke mana? Puas aku pusing satu rumah cari kau tadi,” ujar Dhia. Hatinya lega
bila akhirnya bertemu juga dengan kawan baiknya itu.
“Tak
ke mana-mana. Ada aje. Dah lama sampai Akid?” tanya Qara sekadar berbasa-basi.
Jangan diri dianggap sombong.
“Lama
juga,” balas Akid dengan senyuman.
“Ada
jumpa abang? Dia cari kau tadi.” Kepala Dhia terjenguk-jenguk, cuba mencari
kelibat Syahil.
“Tak
ada,” bohong Qara.
“Tak
ada? Kau tunggu dengan Akid kat sini, biar aku cari abang.”
Baru
Dhia mahu mengayun langkah, lengannya dipegang Qara. Tidak mahu Dhia mencari
Syahil kerana tingkah Dhia sukar dijangka. Melihat Elma memegang lengan Syahil,
tidak mustahil suasana yang memang riuh-rendah dengan tetamu Datuk Kamil akan
jadi bertambah kecoh.
“Tak
payahlah Dhia. Nanti-nanti ajelah aku jumpa dengan Syahil tu.”
“Kenapa?”
Dahi Dhia berkerut. Hairan melihat Qara yang kelihatan sedih meskipun di bibir
kawan baiknya itu, masih ada senyuman. Bertahun-tahun menjadi kawan Qara, dia
tahu membaca air muka Qara. Saat ini, dia yakin Qara sedang menyembunyikan
sesuatu daripada pengetahuannya.
“Tak
ada apa-apa,” dalih Qara.
“Kau
tak gembira datang sini?”
“Tak
adalah,” sangkal Qara.
Muka
Dhia muram. Dia tahu Qara tidak suka datang ke rumahnya, apalagi menghadiri
apa-apa majlis di sini. Tapi kerana dia, Qara datang juga.
“Ada
kau jumpa sesiapa ke tadi?” tanya Dhia menduga.
Qara
geleng laju-laju. Hari ini saja, sudah berkali-kali dia berbohong. Entah berapa
banyak dosa sudah tercatat di bahu kirinya, dia tidak tahu. Tapi dia tidak ada
pilihan lain. Biarlah dia diam daripada Dhia dan Syahil berperang lagi hanya
gara-gara kewujudan Elma di antara dia dan abang Dhia itu.
“Ada
orang marah kau?” Tanpa sebab, tidak mungkin Qara yang tadinya ceria berubah
laku.
“Tak
adalah. Kau ni suka sangatlah sangka yang bukan-bukan. Buat malu aku depan Akid
aje.”
Qara
ketawa, namun Dhia dapat merasakan yang ketawa Qara tidak ikhlas. Mata Qara
yang selalu mengecil bila ketawa, tidak kelihatan. Itu bermakna Qara ketawa
sekadar mahu menjaga hatinya.
“Kau
tipu aku kan?”
“Mana
adalah. Kau ni...”
“Ayah
aku atau ibu aku kali ni?” desak Dhia sakit hati. Geram pula bila Qara hanya
tenang.
“Dhia...”
tegur Akid lembut. Tidak suka Dhia terus memprovokasi Qara seperti itu.
Dhia
pandang muka Akid. Tidak puas hati kerana Akid menegurnya sedangkan dia tahu
ada sesuatu telah berlaku.
“Dhia,
aku nak balik dah ni. Kepala aku sakit,” kata Qara.
Qara
mencubit tangan kirinya kuat. Demi melepaskan diri daripada desakkan Dhia,
sekali lagi dia terpaksa berbohong. Dia sungguh-sungguh tidak suka dengan apa
yang telah dia buat.
“Kau
belum makan pun lagi. Nak balik pula dah!” Dhia jelas tidak puas hati. Dia tahu
Qara sengaja beralasan.
“Kau
janganlah macam ni Dhia.” Qara serba salah. Dia pandang Akid sambil menaikkan
sedikit kening kiri, mengharap Akid membantunya. Namun Akid hanya mempamerkan
muka selamba.
“Aku
tak kira, kau kena makan dulu sebelum balik.” Lengan kanan Qara, Dhia capai.
“Aku
sakit kepala ni.”
“Aku
tak peduli!”
“Aku
dah kenyang.”
“Kau
bercakap lagi, aku merajuk panjang dengan kau nanti.” Makin kuat Dhia menarik
lengan Qara. Hatinya sakit bila Qara tidak henti-henti memberikan alasan.