Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,596
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4

ARASH melangkah berat ke ruang tamu. Dia perlu mengambil kesempatan ini untuk  menyatakan hasratnya kepada papanya. Dia tidak mahu bertangguh lagi.

“Hujung bulan depan siaplah rumah Rash tu.” Susah juga dia hendak membuka mulut. Ketika melabuh punggung di sofa, wajah papanya cuma sipi-sipi dia pandang.

“Rash cakap dengan papa ke?” Tuan Bakri menoleh pada anaknya yang tiba-tiba sahaja mengajaknya berbual. Buku yang sedang dibaca, dia letak di atas meja sisi.

“Hmm...” Arash menyandar kepalanya di sofa sambil memejam mata.

“Selagi tak ada surinya, jawapan papa tetap sama,” tegasTuan Bakri.

“Papa... sampai bila Rash kena duduk dengan papa? Rash bukan aje boleh jaga diri sendiri, kalau nak jaga orang lain pun boleh!”

“Ya ke? Tak pernah nak kenalkan kat papa pun.” Tuan Bakri mengorak senyum. Ia satu perkembangan yang cukup baik.

Arash cuak dengan respons papanya. Dia sengaja memberi alasan, tak sangka pula papanya akan bertanyakan hal yang sensitif itu.

“Aik, dah senyap pulak?”

“Susahlah kalau macam ni! Rash beli rumah tu sebab nak duduk, bukan nak jadi rumah persinggahan.”

“Rumah yang cantik tak bermakna kalau tak ada surinya.”

“Papa ni, tak habis-habis dengan isu yang satu tu!”

“Kalau tak ada calon, papa boleh aje pinangkan anak dara kawan papa.” Tuan Bakri sengaja provok anaknya.Nak tahu juga apa pula helahnya.

“Kenapalah masih tak nak bagi peluang kat anak papa ni? Rash boleh aje hidup sendiri!” tekannya.

“Cuba tengok adik kamu tu.Hidup Haris lebih bahagia dan terjaga sejak ada isteri. Tak lama lagi dah nak timang anak. Rash pulak nak timang apa, bantal?”

“Nak kahwin ni bukan boleh petik jari aje, berduyun calon datang.” Arash tidak senang apabila dirinya dibandingkan dengan adiknya.

“Kalau dah tahu, carilah. Ingat jodoh tu datang melayang ke depan pintu?”

Arash mengeluh berat. Dia kecewa lagi dengan keputusan papanya yang masih tidak mahu berganjak. Dia bukannya mahu berhijrah ke luar negara, nak pindah ke rumah lain saja. Itu pun papanya tak benarkan!

“Jangan memilih sangat. Kalau cari yang bijak, nanti banyak berselisih pendapat. Kalau nak yang baik saja, baik dia mungkin tak sama dengan baik kita,” nasihat Tuan Bakri.

“Habis tu nak cari yang macam mana lagi?” soal Arash, sedikit geram dengan papanya.

“Carilah si dia yang boleh menyentuh hati kita. Yang buat kita lebih sayang dan yakin dengan diri sendiri. Paling penting kita berasa selesa dan buat diri kita lebih baik lagi.” Banyak pula kriteria yang Tuan Bakri senaraikan.

“Itu yang susah nak cari!”

“Memang susahlah kalau Rash tak nak siapkan diri untuk jadi ketua keluarga. Cinta dan iman bukan dari mata atau fikiran, tapi dari hati. Cari dan binalah cinta, pada masa yang sama bekalkan iman,” tutur Tuan Bakri penuh makna.

Arash mengeluh dalam hati. Mana nak cari si dia yang akan jadi teman perjalanan hidupnya? Ada ke gadis yang menerima dirinya dengan keyakinan yang dia mampu menjadi lebih baik? Dia sendiri takut berjanji dan belum tentu mampu memegang tangannya dalam langkah menjadi insan yang lebih baik.

Sepi seketika. Tiba-tiba Puan Sharifah muncul menatang dulang di tangan.

“Bang, kopinya. Sorry lambat hantar,” pohon Puan Sharifah sambil menuang air kopi ke dalam cawan.

“Arash nak? Nanti umi ambilkan cawan lagi,” tanya Puan Sharifah.

“Tak apalah, Rash ke atas dulu.” Dia terus bangun dan berlalu menuju ke biliknya di tingkat atas.

Tak semena-mena Puan Sharifah sebak sendiri. Dia yang memang mahu minum sekali dengan Tuan Bakri menarik nafas dalam-dalam. Bagaimana lagi dia mahu mengambil hati Arash? Susah sangat ke mahu meluang masa berbual dengannya?

Tuan Bakri yang menyedari perubahan di wajah isterinya segera memeluk bahunya. “Sabarlah,” pujuknya.

Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjernihkan keadaan yang sedia keruh. Pernikahannya dengan Puan Sharifah mendapat tentangan Arash. Walaupun anaknya menuduhnya macam-macam, dia pekakkan telinga. Tapi dia paling tidak sangka sampai ke hari ini anak sulongnya masih susah menerima kehadiran isteri baharunya.

“Saya memang tak boleh dan tak layak ganti tempat arwah mamanya,” tutur Puan Sharifah sambil mengesat matanya yang sudah berkaca.

“Janganlah cakap macam tu.Kalau awak bersedih, sedih saya lagi berganda. Bersalah pada awak, bersalah pada semua orang,” pujuk Tuan Bakri lagi.

“Saya sedar saya bukannya sesiapa, sekadar menumpang bahagia dalam keluarga ni...”

“ALLAH... awak isteri saya, tak ada istilah menumpang.Janganlah buat saya berasa amat bersalah. Bagilah dia masa untuk terima semua ni.”

“Berapa lama lagi saya perlu tunggu? Tadi mesti dia cakap nak pindah rumah, kan?” soal Puan Sharifah.

“Awak dah dengar?”

“Agaknya dia langsung tak nak tengok muka saya ni, sebab tu nak pindah rumah,” ujar Puan Sharifah.

“Abang betul-betul minta maaf. Arash anak yang baik sebenarnya. Kematian mamanya buat dia rasa amat kehilangan. Dia sayang sangat dengan arwah, tu yang susah nak terima bila abang berkahwin lain.”

“Kita dah kahwin bukan sebulan dua bang, dah bertahun!”

“Nak buat macam mana? Kita sama-sama doa semoga TUHAN lembutkan hati dia. Dah! Jangan sedih-sedih lagi,” pujuk Tuan Bakri lalu membawa isterinya ke dalam pelukan.

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.