Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 19

CUTI hujung minggu, pagi-pagi lagi Safi sudah keluar. Tidak merancang hendak ke mana-mana destinasi, dia hanya memandu mengikut naluri hati. Nasiblah hari ini dia sampai ke mana. Dari Selayang Bharu dia memandu menuju ke MRR2. Sesekali mahu mengikut jalan lain, malas hendak melalui Jalan Kuching. Ada tol atau tidak, tiada banyak beza pun. Setiap hari sentiasa sahaja jalan itu sesak dengan kenderaan.

Nana yang juga teman serumahnya, ada program selama dua hari di Port Dickson. Itu yang buat dia bosan sendirian berada di rumah. Ketika dia leka melayan lagu yang diputar di corong radio, tiba-tiba dia ternampak sesuatu yang sudah lama dia lupakan. Sepantas kilat dia bagai mendapat tenaga baru.

‘BMW kuning, BMW kuning… cepat kejar! Kut-kut kereta lelaki tu,’ detik Safi sambil memegang stering dengan kemas. Dia kena cepat dan pandai mencelok apabila ada ruang, nanti terlepas pula.

Bukan mudah dia dapat terserempak dengan kereta sport yang sudah bertahun juga menanti kehadirannya di mana-mana. Hari ini memang rezeki dia boleh terjumpa pula.

Tiba-tiba Safi berasa bengang sangat. Waktu ini jugalah jalan raya hendak sesak dan bergerak macam siput, padahal bukan hari bekerja pun. Penat-penat dia mengejar BMW itu, sudahnya dia terlepas juga.

Tadi semasa mengejar kereta itu, tidak sempat pula dia meneliti nombor platnya. Seketika dia menepuk dahi. Nombor plat kereta BMW yang dia cuba jejaki itu pun dia sudah lupa. Kereta boleh sahaja sama jenama dan warna, tetapi platnya lain-lain. Nampaknya dia kena selak balik diari tahun 2008. Buku catatan kenangan manisnya itu sudah lama tersimpan di dalam kotak.

Akhirnya dia mengambil keputusan meneruskan perjalanan dan mahu singgah di rumah Kak Aisarah sahaja. Berjumpa anak-anaknya dan melayan kerenah mereka lagi baik. Tidak pun, boleh juga mengajak mereka keluar berjalan-jalan. Pasti anak-anak itu akan gembira.


KETIKA sampai di rumah Arif Zikri di Bukit Tunku, lelaki itu telah keluar. Aisarah dan anak-anaknya gembira sekali dengan kedatangan Safi.

“Datang rumah akak ni, ada apa-apa ke?” tanya Aisarah sebaik Safi mengambil tempat di sofa.

“Tulah, cadangnya nak bawak budak-budak pergi berjalan-jalan.”
“Betul ni?” Yusof sudah teruja mendengarnya. Begitu juga dengan Aireen dan Wafa.

“Kalau nak ikut Mama Safi, pergi siap cepat,” suruh Safi.

Tanpa berlengah, anak-anak Aisarah segera mahu bersiap. Aisarah hanya menggeleng melihat telatah anak-anaknya yang begitu manja dengan Safi.

“Safi duduk dulu, ya. Akak nak tengok si kecil kat bilik tu. Takut dah terjaga pulak.”

Sementara menunggu anak-anak Aisarah bersiap, Safi menonton televisyen. Dua tiga kali juga dia menukar siaran, namun tiada cerita yang menarik. Akhirnya dia melayan perasan sambil melepaskan pandangan ke halaman rumah.

“Amboi anak dara sorang ni, berangan sampai tak nampak orang!” Arif Zikri yang baru balik dari kedai segera menegur. Tadi, lama juga dia perhatikan gelagat Safi.

Sebaik tersedar, Safi tersipu malu. “Apalah abang ni, buat terkejut orang aje!”

“Hari ini baru ingat nak datang rumah abang ke?” tanya Arif Zikri sambil meletakkan makanan yang dibeli di atas meja kopi. Malas pula hendak terus ke dapur.

“Alah, Safi pun ada hal sendiri. Takkan asyik nak menempel kat sini aje?” balas Safi bersahaja.

“Menempel apanya? Hendak menyinggah sebulan sekali ke sini pun payah. Apa yang disibukkan sangat tu?” tanya Arif Zikri sambil merenung wajah yang pernah mengisi ruang-ruang sepinya.

“Adalah… takkan semuanya nak cerita kat abang?” Apabila sudah tidak serapat dahulu, Safi berasa sedikit janggal pula.

“Dah jumpa?” tanya Arif Zikri sambil tersenyum.

“Jumpa apa?” Safi pura-pura tidak faham.

“Mana nak tahukan, tadi tu sempat berterbangan di awan biru. Kut ternampak pujaan hati. Tadi bukan main senyum sorang-sorang,” usik Arif Zikri.

“Abang ni… saja tau!” Safi tidak suka diusik begitu, segan juga dia dibuatnya.

“Ke… nak abang tolong carikan?”

Safi menggeleng. “Tak maulah. Safi nak cari sendiri.”

“Dah bertahun abang tunggu. Kalau hujung tahun ni tak ada jugak, memang kena mandi bunga!” seloroh Arif Zikri.

“Kalau mandi kat spa, okey. Kalau suruh mandi kat sungai dan di bawah jambatan, memang tak ingin!” balas Safi pula.

“Kenalah mandi bunga di tempat yang strategik. Andai dilakukan pada waktu tengah malam dan ketika bulan mengambang, lagi berkesan,” giat Arif Zikri.

“Dah! Abang tak payah nak mengarut pulak. Jomlah kita ke dapur. Safi dah lapar ni,” potong Safi pula. ‘Bulan mengambang? Alamak! Macam ada kaitan dengan serigala jadian aje,’ desisnya.

“Safi ajelah yang bawak makanan ni ke dapur. Hari ni abang nak cuti sekejap.”

“Abang ni… jadi suami dan ayah tak boleh cuti langsung. Hendak-hendak bila ada tetamu macam Safi ni.”

“Yalah, cik adik manis.” Dalam kemalasan, Arif Zikri menurut langkah Safi sambil menjinjing makanan yang dibeli.

“Apa yang riuh sangat tu? Dari dapur boleh dengar korang bertekak,” tegur Aisarah sambil mengeluarkan mangkuk dan pinggan dari kabinet. Tadi, setelah memastikan anak bongsunya masih lena, dia mahu mengemas dapur pula.

“Akak tak nak tukar kabinet baru ke?” Tiba-tiba Safi sengaja hendak bercanda.

“Jangan nak ubah topik pulak, ya?” jeling Aisarah. Safi ini ada sahaja helahnya.

“Nasihatkan sikit adik awak ni. Suruh dia cepat kahwin! Tak payah kita nak risau asyik fikir pasal dia,” sampuk Arif Zikri pula.

“Safi tak pernah pun susahkan abang dan akak, tau.”

“Akak tahu Safi boleh aje hidup sendiri, tapi kalau berteman, kan bagus?”

“Nana ada jadi teman Safi.” Pantas Safi membalas.

“Ada aje jawapan!” tegur Aisarah.

“Okeylah, mulai hari ini Safi akan usahakan. Insya-ALLAH akhir tahun nanti Safi kahwin.”

“Aamiin… abang doakan Safi dapat suami yang soleh,” ucap Arif Zikri pula.

“Safi hanya boleh janji kahwin hujung tahun ajelah, ya. Tahun berapa tu tak tentu lagi!” selorohnya.

“Budak ni… karang ada jugak yang kena dengan senduk akak ni!” marah Aisarah.

Safi hanya tertawa.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.