Home Novel Cinta Kekasihku Jangan Marah
Bab 29


USAI solat zuhur, Safi mahu menyambung kerjanya. Dia tersenyum sebaik menyedari Ina menghampiri mejanya.

“Encik Idan suruh kau pergi ke pejabat dia,” beritahu Ina tanpa membalas senyuman Safi.

“Alamak! Tadi dia datang sini ke?” Safi sudah gelabah.

“Yup. Harap kau siap sedia. Wajah dia sangat-sangatlah tidak ceria.” Ina mengingatkan.

“Kau ada beritahu yang aku pergi solat tak?”

“Mestilah aku beritahu.”

“Okeylah, aku turun sekarang,” ujar Safi dan terus mencapai pen dan buku notanya.

Tiba di bilik Idan, dengan perasaan yang bercampur baur dia mengetuk pintu.

“Masuk!”

“Sorry Encik Idan, tadi saya pergi solat.” Safi terus beritahu sebelum kena marah dengan lelaki itu.

“Duduk!” arah Idan lagi.

Perlahan-lahan Safi melabuhkan punggungnya. Tiba-tiba dia rasa berdebar semacam pula. Wajah Idan bukan sahaja persis serigala jadian, macam singa pun ada juga! Itu yang buat dia jadi bertambah gabra.

“Baca senarai nama depan mata awak tu,” arah Idan.

Safi segera mencapai dokumen yang dimaksudkan. Rupanya senarai staf yang akan pergi menyertai rombongan ke New Zealand. Safi membaca senarai nama itu satu persatu. Sampai angka yang terakhir, bagai hendak terjojol mata dia apabila mendapati namanya ada tertera di situ.

“Apa ilmu yang awak pakai, hah?” jerkah Idan.

“Encik Idan cakap pasal apa? Saya tak faham.” Ketika ini Safi memang blur.

“Orang lain yang kerja bertahun pun tak terpilih, macam mana awak yang bekerja tak sampai tiga bulan, dapat pergi pulak?” tanya Idan dengan perasaan geram.

“Sumpah! Saya tak tahu-menahu pun pasal benda ni.”

“Tolonglah Safi. Jangan pura-pura dengan saya, boleh tak?” marah Idan.

“Betul Encik Idan, Puan Hajar tak pernah sebut pun kat saya pasal percutian ke New Zealand ni.”

“Awak ingat saya akan percaya?”

“Ya ALLAH… saya tak bohong!” Safi juga tidak tahu bagaimana lagi mahu membuat lelaki ini faham.

“Mula-mula dulu kakak saya, sekarang umi saya pulak. Pandai awak, ya?” perli Idan.

“Suka hati Encik Idanlah. Saya memang tak buat apa-apa dan tak tahu apa-apa pun pasal hal ini,” jawab Safi.

“Awak keluar sekarang! Ambil sekali senarai tu,” arah Idan tanpa memandang wajah gadis itu. Ini yang membuat dia geram dengan kakak dan uminya.

Safi melangkah longlai balik ke tingkat atas bersama senarai nama yang buat dia terkejut sungguh.

“Kenapa kau sedih semacam?” tegur Ina sebaik Safi kembali ke tempatnya.

“Aku pun tak tahu nak buat apa. Nak ketawa sambil melompat atau menangis sambil guling-guling,” ujar Safi tanpa sebarang reaksi di wajahnya.

“Kenapa ni? Tak faham aku.” Ina berasa hairan dengan apa yang Safi beritahu sebentar tadi.

“Kau tahu tak pasal percutian ke New Zealand tu?”

“Tahu. Tapi tulah, hanya staf tertentu aje yang dapat pergi. Awal bulan oktober kut, dia orang pergi,” terang Ina.

“Cuba kau tengok senarai ni,” suruh Safi sambil menghulurkannya kepada Ina.

Ina terus meneliti senarai tersebut. “Untungnya kau Safi…. macam mana kau dapat pergi pulak?”

“Itu yang abang seri mengamuk dengan aku. Aku tak tahu apa-apa pun. Kau pun tak pernah cerita, kan?”

“Kalau staf lain tahu, confirm tak puas hati. Kau ada tanya Puan Hajar?” tanya Ina pula.

“Nak tanya macam mana kalau dia tak ada?”

“Entah-entah Umi Hasnah yang nak kau ikut. Kalau ikut senarai ni, kau akan satu bilik dengan dia,” duga Ina.

“Kalau ya pun, kenapa aku tak diberitahu langsung? Ni tak pasal-pasal aku kena tuduh macam-macam. Rasa nak balik rumah aje sekarang ni.”

“Relaks, tarik nafas dalam-dalam. Ini namanya rezeki.”

“Hmm… rezekilah jugak!”



SELEPAS makan tengah hari di Ampang Point, Nana mahu pergi ke Ampang Park pula. Dia ada temu janji dengan klien di sana. Hari ini dia terpaksa meminjam kereta Safi kerana kerana keretanya masuk bengkel.

Ketika melalui Jalan Ampang, jalan sesak teruk. Dia mula mencari jalan alternatif. Apabila melihat banyak kereta yang masuk ke simpang kiri, dia pun ikut sama. ‘Belasah ajelah asal tak terperangkap kat sini,’ bisik hatinya.

Ikut punya ikut, baru perasan dia berada di Taman U-Thant. Dia pula memang tidak pernah melalui jalan-jalan di taman ini. Lebih lima minit juga dia mengikut sebuah kereta Honda Accord, namun akhirnya kereta itu sudah sampai ke destinasi yang dituju.

Aduhai, terpaksalah Nana mencari jalan keluar sendiri. Hendak bertanya kepada orang lain, memang tidak nampak sesiapa di tepi jalan raya. Kelibat teksi juga tidak ada. Kalau dengan pemandu teksi, tidaklah dia berasa segan sangat.

Tiba-tiba, sebuah kereta BMW memotong keretanya. Akhirnya dia memutuskan untuk mengikut kereta itu sahaja. Harap-harap kereta itu menuju ke jalan besar. Sekarang ini Nana cuma berharap dapat tembus ke Jalan Tun Razak. Selepas itu, pandailah dia hendak menuju ke arah mana.

Apabila kereta di hadapannya belok ke kiri, dia pun mengikutnya. Nana memang ikut sahaja ke simpang mana kereta itu membelok. Sudahnya Nana tepuk dahi kerana sekarang ini dia berada di jalan mati. Saat ini memang Nana berasa bengang dengan diri sendiri. Hendak cepat langsung bertambah lambat!

Baru dia hendak mengundur dan mahu berpatah balik, tiba-tiba kereta BMW itu menghalang keretanya pula. Nana terperangkap dan dadanya berdebar-debar sebaik menyedari pemandu kereta BMW itu keluar dan menuju ke arahnya.

Seorang lelaki berkaca mata hitam mengetuk cermin keretanya. Hendak tak hendak, terpaksalah Nana menurunkan cermin kereta.

“Kenapa awak ikut kereta saya?” Lelaki itu bertanya dengan wajah serius.

“Mana ada saya ikut?” dalih Nana.

“Ingat saya tak tahu? Ini bukan kali pertama awak ikut saya!” marahnya.

“Sebelum ni, mana pernah saya ikut kereta encik?” Nana berasa hairan dengan apa yang lelaki itu katakan.

“Tak pernah konon! Bila saya beli kereta baru, alih-alih awak ikut lagi. Tak ada kerja lain ke?” marahnya.

“Encik salah faham ni. Sebenarnya saya dah tersesat dan sedang mencari jalan keluar. Jadi, saya ikut ajelah mana-mana kereta yang saya rasa akan membawa saya keluar dari taman ni atau…”

“Atau menuju ke rumah? Lepas tu apa?” jerkah lelaki itu.

“Bukan macam tu, saya memang mencari jalan keluar. Saya ikut kereta encik sebab ingat akan tembus ke Jalan Tun Razak,” terang Nana.

“Tolonglah! Macamlah saya tak tahu siapa awak.”

“La… encik kenal saya ke? Macam mana boleh kenal? Saya tak pernah jumpa encik pun.” Nana semakin hairan dengan bicara lelaki itu.

“Awak ni mesti balaci Safi, kan?”

Nana ternganga. ‘Takkan dia kut?’ desis hatinya.

“Saya pernah jumpa awak dengan Safi joging dekat Taman Tasik Perdana. Takkan pura-pura tak ingat?”

“Maknanya, ni Encik Idan, ya?”

“Lagi nak tanya!”

“Maaf Encik Idan, saya memang kawan baik Safi, tapi saya bukan balaci dia untuk misi mengurat Encik Idan tu!”

“Ulang balik apa yang awak cakap!” suruh Idan yang sudah berubah wajahnya.

“Alamak!” Nana menutup mulutnya. ‘Aduhai… macam boleh terlepas cakap ni?’ Nana mengutuk dirinya.

“Kalau saya nampak lagi awak kat kawasan ni, siap!” ugut Idan.

Sebaik Idan mengalihkan keretanya, Nana terus memecut. Begitupun dia sempat mencatat plat nombor kereta BMW lelaki itu. Mengingatkan bicara Idan, buat Nana tertanya-tanya. Lelaki itu beritahu sebelum ni ada kereta yang sama ikut dia, ada kemungkinan juga Safi pernah mengekori keretanya. Tapi, seingatnya Safi mencari BMW kuning dan bukannya berwarna perak.

Akhirnya Nana melupakan sebentar isu tadi dan terpaksa menghubungi kliennya. Dia kena beritahu yang dia lambat tiba sebab tadi ada hal yang tidak dapat dielakkan. Nana tersenyum dengan alasan yang datang di fikiran. Terpaksalah kelentong klien gara-gara salah diri sendiri.
Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.