“ANAK-ANAK… cepat kemas rumah!” jerit Aisarah setelah
menerima panggilan daripada seseorang. Tangan dia juga turut pantas membuat
kerja. Memang ketika ada tetamu sahaja baru rumahnya tidak seperti tongkang
pecah. Ketika ini jugalah anak-anak akan bersopan santun sikit dan tunjuk
perangai terlebih baik.
“Kenapa ibu? Kawan ibu nak datang ke?” soal Yusof yang sedang
menonton televisyen.
“Jangan banyak tanya, adik dengan abang cepat kemas! Abang,
bakul baju tu tolong bawa masuk bilik,” arah Aisarah lagi.
Tadi, dia baru sahaja mengangkat pakaian di jemuran. Kain
memang cepat kering apabila cuaca agak panas. Kononnya hendak melipat baju,
namun ada sahaja kerja lain yang dia kena buat. Sekejap Wafa merengek hendak air
tamar koko. Selepas itu hendak makan nuggets
pula. Sedang dia sibuk mengoreng, Yusof beritahu Wafa tumpahkan air. Memang
terseksa jiwa raga kalau hari-hari dia begini.
“Bilik mana ibu?” soal Yusof pula.
“Bilik mana lagi? Bilik Sale Super Storelah!” Aisarah
menjeling geram. Kadang-kadang anak sulungnya itu sengaja menaikkan suhu
badannya.
“Hehe… lupa pulak.” Yusof sudah tersengih, sengaja mahu
menduga ibunya.
“Adik dah nak siap kemas semua mainan. Tinggal nak sapu aje,”
beritahu Aireen yang berusia empat tahun pula.
Tidak sampai lima minit, ruang tamu sudah tersusun. Bertambah
wangi apabila Aireen turut menyembur Febreze. Dia memang cekap dalam bab
mengemas dan mewangikan suasana. Begitu juga kalau bab hendak melawa, kalah
model kanak-kanak di TV.
“Huh lega… dah siap.” Yusof menarik nafas panjang setelah membantu
adiknya memasukkan semua mainan ke dalam kotak besar. Kotak itu Aisarah beli
khas untuk menyimpan alat permainan anak-anaknya.
“Ibu… sebenarnya siapa yang nak datang?” soal Aireen menghampiri
ibunya yang sudah duduk di sofa.
“Siapa lagi? Mama Safi la....” Akhirnya Aisarah beritahu
juga. Dia membahasakan Safi Awadah sebagai Mama Safi kepada anak-anaknya.
“La… Mama Safi ke? Penat aje abang tolong adik kemas,” keluh Yusof.
“Apalah abang ni… bagus la kalau Mama Safi datang. Rumah kita
mesti kemas dan cantik. Kalau tak, asyik selerak aje,” sampuk Aireen.
“Adiklah yang selalu sepah-sepah barang mainan. Main-main
jadi cikgulah, paksa orang jadi anak muridlah.” Yusof sudah mula membebel,
tidak padan dengan lelaki!
“Rumah yang selerak, itu tandanya ada anak-anak yang kreatif.
Macam adik-beradik kitalah, bijak dan pandai,” balas Aireen memuji diri
sendiri.
“Dah, dah… jangan nak bergaduh! Nanti ibu jadi angry bird baru tau,” tegur Aisarah sambil buat muka
garang.
“Alah, angry bird
aje pun…” balas Aireen sambil tersenyum. Kenal sangat dengan ibu mereka yang
suka mengugut, tetapi selalu sahaja kalah dengan anak-anak apabila mereka mula
merajuk dengannya.
JAM
dua belas tengah hari, tetamu yang ditunggu sudah menunjuk muka.
“Assalamualaikum…” ucap Safi sebaik tiba dengan kereta Myvinya.
“Waalaikumussalam. Masuklah Mama Safi,” pelawa Yusof setelah
membuka pintu gril.
“Amboi… cantiknya rumah. Akak sihat?” puji Safi sambil
menyalam tangan Aisarah kemudian anak-anaknya pula.
“Hmm… harap orang datang rumah ajelah baru rumah ni
berkemas,” balas Aisarah kemudian turut tertawa.
“Tak fahamlah dengan Abang Arif tu. Dah tahu anak macam
anak-anak tangga, kedekut nak gajikan pembantu rumah,” komen Safi pula.
“Abang Arif tu memang! Sengaja nak dera akak yang dah tinggal
sekeping ni. Lepas tu lagi berangan nak tambah anak,” adu Aisarah.
“Akak larat lagi ke?” Safi tersenyum mendengarnya.
Setahunya, Arif Zikri bukanlah tidak berduit. Kalau hendak
gajikan dua orang pembantu pun lebih dari mampu. Entah kenapa dia tidak mahu
orang lain menguruskan anak-anaknya. Nasib baik bekerja sendiri dan boleh
datang pejabat ikut suka hati.
Selepas mandikan anak-anak dan memberi mereka makan, baru dia
bersiap untuk pergi bekerja. Kalau jumpa dia di pejabat, memang tiada siapa
yang akan percaya Ir. Arif Zikri seorang yang ringan tulang menguruskan
anak-anak.
Tengah hari pula, dia pasti segera balik ke rumah untuk
menghantar makanan. Aisarah memang tidak sempatlah hendak memasak. Mujur juga
jarak perjalanan antara rumah dan pejabatnya dalam sepuluh minit sahaja.
Begitupun setiap hujung minggu, ada pembantu rumah sambilan
yang dia gajikan untuk mengemas rumah, mengemop dan membuat kerja-kerja lain
yang Aisarah tidak mampu lakukan. Pada masa itu, dia akan membawa keluarganya
keluar bersantai dan membeli-belah.
“Hmm… tak larat pun kena paksa diri jugak. Nasib Yusof dan
Aireen sudah boleh diharap. Kadang-kadang akak biar aje anak-anak tak mandi dan
rumah berselerak. Tunggulah kekanda awak tu balik, biar dia kemas sendiri.”
Dalam merungut, senyuman tetap terukir di bibir Aisarah.
“Tak apalah kalau macam tu, dia rajin jugak menolong. Kalau
orang lain, jangan haraplah,” balas Safi yang masak benar dengan perangai Arif
Zikri. Kalau boleh semua benda dia hendak buat. Aisarah memang beruntung
menjadi isterinya.
“Dia terpaksalah buat sebab dah janji dengan akak. Balik aje
kerja, akak terus serah tugas jaga anak-anak ni kat dia. Lantaklah walau dia
masih penat,” beritahu Aisarah lagi.
“Sampainya hati akak buat abang macam tu. Kesian pulak Safi
mendengarnya.” Berkerut dahi Safi sambil memandang anak-anak Aisarah yang comel
dan keletah.
“Yalah, dari celik mata sampai tutup mata, kerja rumah ni
mana pernah habis? Mana nak susukan anak, mandi pun kadang-kadang tak sempat.
Si kecik tu ha, nasib tidur. Kalau tak, bukan boleh letak,” cerita Aisarah
pasal anak bongsunya yang asyik hendak berdukung.
“Aduhai… tak dapat saya bayangkan kalau saya yang berada di
tempat akak. Bukan lagi badan tinggal sekeping, mahu serupa lidi!” Safi juga
berasa lucu dengan cerita Aisarah.
Akhirnya Aisarah dan Safi sama-sama ketawa. Anak-anak pula
hanya tercengang melihat ibu dan Mama Safi mereka berborak sakan.
“Kita nak dapat adik lagi ke ibu?” Tiba-tiba Aireen pula
menyampuk dengan muka ceria. Sukalah dia kerana bertambah anak murid dalam
kelas mainan dia.
“Betullah tu. Tahun depan ayah timang adik lagi.” Aisarah
mengeyakan.
“Bagus kalau ada anak ramai ni, wajah akak pasti awet muda.
Masa anak keempat dan kelima aje penat sikit. Masuk anak ketujuh atau kelapan,
dah senang dah sebab ada kakak dan abang yang tolong uruskan adik-adik.”
“Safi pandailah cakap. Yang sakit badan, akak jugak,” keluh
Aisarah. Andai selepas bersalin terus boleh sembuh tidak apa juga. Ini, kena
berpantang dan pergerakan juga terhad. Makan pun tidak boleh sembarangan.
“Yusof selalu tolong ibu, kan?” tanya Safi pada Yusof yang
leka menonoton televisyen.
“Hmm… memang abanglah yang selalu jadi mangsa,” jawab Yusof
selamba.
“Safi pulak, dari
Rawang ke?” tanya Aisarah pula. Asyik bercerita pasal anak-anak, hampir
terlupa pula bertanya pasal Safi.
“Taklah, sebenarnya dah sebulan Safi menyewa kat Selayang
Bharu.”
“La… tak cerita kat akak pun?” Terkejut Aisarah apabila Safi
beritahu dia sudah berpindah.
“Saja tak nak heboh-heboh. Teringin nak hidup di tempat baru
dengan kawan-kawan,” balas Safi.
“Ni dah dapat kerja ke belum?” Aisarah ingin tahu juga
perkembangannya. Bulan lepas Safi beritahu dia sudah berhenti dari bekerja di
syarikat pembinaan. Tidak pula Safi beritahu sebabnya. Aisarah memang malas
hendak bertanya lanjut.
“Belum. Minggu depan baru ada temu duga.”
“Kerja ajelah dengan abang,” saran Aisarah pula. Setahunya,
syarikat suaminya juga memerlukan ramai staf kerana banyak projek yang masuk.
“Tak naklah. Rasanya kerja dengan orang lain lagi selesa. Tak
adalah asyik kena tegur aje dengan abang bertuah tu.” Safi beralasan.
“Dia tegur sebab sayangkan Safi,” sangkal Aisarah.
“Ya sangatlah tu!”
“Ke… Safi masih tak boleh lupakan kenangan lalu?” duga
Aisarah.
“Tak payah cakaplah kak. Semua tu dah jadi sejarah. Nasib
abang dapat isteri yang memahami. Boleh jugak Safi tumpang manja dengan
anak-anak. Kalau orang lain, rasanya dah masam muka dengan Safi.”
“Kejap aje masa berlalu, kan?” ujar Aisarah. Seketika
kenangan lalu terimbau di ingatan. Punyalah bersusah payah Safi mencari
pengganti, akhirnya sampai sekarang masih sendiri. Langsung tiada terdengar dia
rapat dengan mana-mana lelaki.
“Nanti Safi makan sini tau. Tak lama lagi abang balik makan
tengah hari. Katanya hari ini dia beli makanan istimewa sikit. Bolehlah makan
sekali.”
“Saya okey aje.” Safi memberi persetujuan walau sebenarnya
agak keberatan hendak berjumpa Arif Zikri. Nanti soalan yang sama juga yang
akan diulang-ulang setiap kali berjumpa.
“Safi tengokkan budak-budak ni, akak nak ke dapur,” pesan
Aisarah dan terus berlalu.
“Okey.” Safi memerhati
anak-anak Aisarah. Memang dia sudah melupakan kenangan silam, namun mana
mungkin semuanya terpadam begitu sahaja. Sebaik teringat terkenang jua. Apabila
terdetik, berbagai perasaan tetap menyinggah di hati.
“Hai… bilalah pemilik BMW kuning terpacak kat depan mata aku?
Dah jenuh menunggu ni!” keluhnya. Tiba-tiba insiden enam tahun lalu terlayar di
ruangan mata.