SEBAIK
tiba di muka pintu bilik pengarah urusan, Safi memberi salam. Dalam
berdebar-debar, dia cuba untuk memaniskan wajah. Maklumlah, baru beberapa hari
bekerja di sini, sudah bermacam yang dia dengar pasal Encik Idan. Paling buat
dia terkejut, rupanya dia adalah adik kepada Hajar!
Dia berasa sungguh malu sebaik teringat sesi meluah perasaan
kepada bosnya tempoh hari. Kini dia turut berasa segan, apatah lagi Hajar
sering membahasakan dirinya akak sahaja. Kalau ada orang lain atau klien, baru Safi
bahasakan dirinya puan.
“Assalamualaikum…” ulang Safi apabila salamnya masih tidak
berjawab. ‘Orangnya ada, tetapi pekak badak kut?’ desisnya.
“Waalaikumussalam. Awak siapa, nak apa?” tanya Idan tanpa memandang
Safi. Dia masih meneruskan kerjanya. Padahal, boleh sahaja menoleh. Macamlah
sibuk sangat mengalahkan pak menteri.
“Saya Safi Awadah, pembantu peribadi Puan Hajar. Datang sini
nak hantar dokumen ni kat encik.”
“Tak ada orang lain yang boleh hantar ke?” tanya Idan lagi.
Matanya masih memberi tumpuan pada skrin komputer ribanya.
“Ini dokumen sulit, encik,” jawab Safi.
“Huh! Letak aje kat situ.”
“Situ, mana encik?” soal Safi. Karang dia main letak, kena
marah pula.
“Atas bumbung!” Idan menjawab geram. Kali ini baru dia
menoleh memandang Safi.
“Agak-agaklah encik. Saya bukannya spiderman!” Safi juga mahu
jadi loyar buruk. Sudah alang-alang Idan mengenakan dirinya, biarlah dia
kenakan lelaki itu balik. Begitupun perlahan-lahan dia meletakkan dokumen yang
dibawa berhampiran fail berwarna kelabu.
Sebaik mendengar jawapan Safi, entah kenapa Idan tidak dapat
menyembunyikan senyumannya.
Safi yang baru perasan terus ternganga. Senyuman lelaki itu
sungguh menawan walau cuma sebentar terukir di bibirnya. Alangkah bagusnya
andai setiap hari dia begitu? Sesiapa pun pasti senang hati berurusan dengannya.
“Perempuan yang baik tidak memandang
orang lain macam tak pernah tengok orang!” tegur Idan buat Safi tersedar.
Safi segera menutup mulutnya. Dia pernah mendengar
ayat yang hampir sama dengan apa yang Idan ucapkan tadi. Dia cuba mengingat
kembali namun hampa.
Tiba-tiba, telefon pintar Idan berdering.
Sebelum menjawab panggilan, dia mengarahkan Safi agar segera beredar dengan
isyarat tangan.
‘Kurang asam punya bos!’ kutuk Safi dalam
hati. Kalau orang lain yang berbuat begitu, memang kena sembur dengannya.
Macamlah dia anak ayam yang boleh dihalau-halau guna tangan! Nasiblah adik bos.
Ketika menuju ke pejabat Hajar, Safi
tersenyum sendiri. Walaupun hatinya berasa sedikit geram, dia tetap tidak dapat
melupakan senyuman Idan. Senyuman yang terukir memang manis sungguh!
SUDAH
lebih setengah jam Safi termenung di tempatnya. Sejak Idan tahu dia adalah
pembantu peribadi Hajar yang baharu, lelaki itu sering pandang semacam
terhadapnya setiap kali berselisih. Kalau boleh ditelan, memang sudah lama dia
kena ngap.
Nasib dia bekerja di bawah Hajar dan
pejabat mereka berlainan tingkat. Sungguhpun begitu, setiap kali mesyuarat
pasti akan berjumpa dan bertentang mata. Bilik mesyuarat di pejabat Hajar lebih
besar dan selesa. Semua mesyuarat penting memang diadakan di situ.
Sebenarnya, Safi masih memikirkan kenapa semasa temu duga
tempoh hari Idan menolaknya mentah-mentah. Memanglah lelaki itu telah membaca
maklumat tentang dirinya sebelum dipanggil temu duga. Peliknya, kalau sudah
tidak layak, kenapa tidak memberi jawapan melalui e-mel atau menghubunginya
melalui telefon? Kenapa perlu bercakap depan-depan? Atau si Idan itu mahu
tengok wajah dirinya terlebih dahulu? Tapi untuk apa?
“Wei! Kau ni… berangan aje bila Puan Hajar tak ada,” sergah
Ina yang mahu meregangkan otot setelah lama duduk di hadapan komputer.
Safi hanya tersengih. Memang sempat juga dia mengelamun
hingga ke serata alam.
“Tadi aku tengok kau sengih sorang-sorang, pak we mana pulak
yang kau sedang fikir?” usik Ina.
Baru sahaja kenal, Ina dan Safi memang mudah mesra. Apatah
lagi Safi seorang yang ramah dengan semua staf.
Kak Zaitun, tukang bancuh teh dan bersihkan pejabat pun rapat dengannya.
“Tadi tu aku teringatkan kat abang seri.” Safi beritahu
sahaja, malas hendak berselindung. Sebentar tadi, tiba-tiba sahaja panggilan
itu muncul di benaknya.
“Abang seri? Siapa pulak gerangannya?” Ina sungguh berminat
hendak tahu. Nada suaranya juga menunjukkan dia begitu teruja mendengar
panggilan itu.
“Encik Idan Jauhari kita la…” beritahu Safi dengan senyuman
manis.
“Hmm… apasal kau panggil adik bos tu, abang seri? Macamlah
berseri sangat, padahal pudar dan kelam aje” kutuk Ina sebaik mengetahui siapa
yang Safi maksudkan.
“Tolong jangan kutuk
abang seri aku tu, ya?”
“Amboi! Sejak bila pulak dia jadi abang kau?” usik Ina walau
menyedari Safi sekadar bergurau.
“Bila ya? Sejak hari inilah,” jawab Safi dengan gembira
sekali. Senyumannya juga sudah meleret-leret.
“Sudahlah! Macam serigala jadian aje aku tengok,” perli Ina.
Dalam hati tetap berasa hairan dengan bicara Safi sebentar tadi.
“Betullah tu. Haha… tapi aku dah tersuka tanpa sengaja pulak!”
Safi tertawa pula.
“Apa yang buat kau tersuka tu? Rupa diakah atau senyuman dia?”
Terkejut Ina mendengarnya. Tempoh hari bukan main lagi Safi bercerita pasal
sesi temu duga yang mengecewakannya. Habis semua ayat mengutuk dia hamburkan.
“Rahsia, mana boleh beritahu...” Safi sengaja mahu berteka-teki
pula.
“Tak acilah kalau macam ni. Aku dah banyak kongsi cerita
pasal dia dengan kau. Nanti aku tak nak cerita lagi,” ugut Ina pula.
“Sekarang ni malulah nak cerita kat kau. Bila dah okey nanti,
aku akan beritahu,” janji Safi.
“Kau ni potong stim betullah! Ni mesti ada apa-apa,” duga
Ina. Dia berkobar-kobar hendak tahu, si Safi ini mahu berahsia pula.
“Tak ada apa-apalah. Tiba-tiba aku nak jadi baik. Tak nak
benci kat orang. Tak nak geram-geram kat orang.”
“Abang seri? Hmm… kira pandai jugaklah kau pilih gelaran tu.”
Ina tetap memuji Safi walau gadis itu tidak mahu bercerita apa yang menyebabkan
dirinya tiba-tiba suka pula dengan si Idan itu.
“Apa yang kita sebut, kan doa? Mana tahu nanti wajahnya akan
sentiasa berseri-seri.” Pandai sahaja Safi menyusun ayat terbaik.
“Abang seri pun abang serilah! Sedap sikit daripada kita
gelar dia serigala jadian.”
Safi tertawa mendengarnya. Riuh sekejap pejabat Hajar.