HARI Khamis, Safi sedikit sibuk. Awal-awal lagi Hajar sudah
beritahu yang dia mahu Safi mengikutnya menghadiri mesyuarat projek baharu.
Safi yang tidak sampai seminggu memulakan tugas terpaksa mendapatkan maklumat
berkenaan projek itu. Sejak semalam lagi dia tekun membaca dan meneliti semua fail
berkaitan projek baharu itu.
Kali ini, Hajar sememangnya mahu melatih Safi menjadi ‘Si
Kembang Cina’ yang pandai macam-macam. Dia tidak mahu pembantu peribadinya
hanya tahu buat kerja di pejabat sahaja. Apa jua ilmu dan pengalaman yang berguna,
dia akan kongsikan. Dia mahu asuh Safi menjadi seorang yang serba tahu dan
mahir dalam banyak perkara. Berbagai perancangan sudah ada di kepala Hajar, tinggal
hendak laksanakan sahaja.
“Safi bosan ke?” tegur Hajar ketika gadis itu menemaninya makan
di restoran yang selalu dia kunjungi. Tadi, dia tidak sempat makan tengah hari.
Apabila terasa lapar dan teringin makan mi goreng, terus dia mengajak Safi.
“Apa, kak?” Sebaik perasan, Safi segera memandang bosnya.
“Ni mesti dah berangan hingga ke hujung dunia!” usik Hajar.
“Maaf kak. Banyak benda dalam fikiran,” ucap Safi dengan rasa
segan. Boleh pula dia teralit dalam masa yang singkat.
“Safi fikir apa? Orang bujang bukannya ada banyak masalah.
Lainlah macam akak ni.” Hajar ingin tahu juga apa yang bermain di fikiran
pembantu perbadinya itu.
“Hmm… macam mana nak cakap, ya?” Safi berkira-kira sendiri.
“Cakap ajelah, akak sedia mendengarnya.”
“Hari tu, kenapa akak tak berterus-terang dengan saya pasal Encik
Idan?” Terluah juga pertanyaan yang sering menghantui Safi.
“La… pasal tu ke?” Hajar pura-pura terkejut.
“Yalah, segan saya dengan akak. Dahlah siap kutuk teruk-teruk
adik akak tu,” ujar Safi. Dia memang berasa serba salah sebab sudah terlepas
kata. Andai berbicara yang baik-baik, tidak mengapa juga.
“Akak suka dengan orang yang jujur. Bagus kata bagus. Tak
suka terus kata tak suka,” balas Hajar pula. Padanya Safi seorang gadis yang tidak
suka berpura semata-mata hendak membodek. Apa yang dia tidak berpuas hati,
terus dia beritahu tanpa berselindung.
“Alah, kes saya lain...” balas Safi.
“Apa sebenarnya yang
Safi risaukan? Cuba beritahu akak,” pinta Hajar kemudian sambung menjamah mi
goreng yang sudah tinggal separuh.
“Akak ambil saya bekerja sebab kesian ke?” Akhirnya soalan
itu keluar juga. Wajah Hajar direnung sambil menanti jawapan daripadanya.
“Aduhai Safi… kenapa fikir macam tu pulak?”
“Yalah, adik akak tolak saya mesti sebab saya tak layak dan tak
memenuhi kriteria yang syarikat mahukan.” Safi memberikan alasannya.
“Tak! Adik akak tolak Safi bukan sebab Safi tak layak,
sebaliknya sebab terlebih layak!” jawab Hajar dengan yakin sekali. Dia bukan
tidak kenal dengan adik tunggalnya itu. Sekilas ikan di air, dia sudah tahu ikan
itu sedap dimasak apa. Seketika dia turut tersenyum meleret.
“Macam tu pulak? Tak fahamlah saya.” Safi jadi keliru pula
dengan jawapan yang Hajar berikan.
“Apa yang berlaku adalah takdir yang telah TUHAN aturkan.
Safi perlukan pekerjaan dan akak pulak mahukan pembantu. TUHAN pertemukan kita
kerana kita saling memerlukan,” tutur Hajar. Buat masa ini, itulah jawapan
bernas yang dapat dia berikan. Walaupun ada alasan yang lain, tidak perlu dia
kongsikan dengan gadis itu.
“Entahlah, tak tahu nak cakap macam mana,” keluh Safi pula.
Jarinya mengacau air barli dengan sudu. Kemudian, dia menyisipnya perlahan.
“Pada Idan, Safi tak layak jadi pembantu peribadi dia aje.
Pada akak pulak, Safi sangat layak diserap masuk untuk jawatan apa sekalipun.
Termasuk jawatan yang tak ada dalam senarai!” Hajar sudah tersenyum-senyum.
Berkelip-kelip mata Safi mendengarnya. Bosnya seperti mahu
beritahu sesuatu kepadanya, tetapi berlapik pula. “Akak tak gaduh dengan dia
pasal hal ni?”
“Di pejabat tu, tiap-tiap hari kita orang bergaduh. Tak ada
bendalah bila akak ambil Safi jadi staf akak. Safi bekerja di bawah akak, bukan
dia,” beritahu Hajar bagi menyakinkan gadis itu.
“Dia kan pengarah
urusan di syarikat ni?”
“Sebenarnya, ada pengarah yang lebih besar dari dia. Akak dan
Idan cuma bos kat pejabat aje. Di rumah, dia adalah adik akak dan anak kepada Umi
Hasnah. Umilah bos paling besar dan pengarah paling berkuasa!” balas Hajar
kemudian tertawa pula.
Safi turut tersenyum mendengarnya. Faham apa yang Hajar
maksudkan, tetapi tetap berasa seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
“Safi tak payah risau dan buat kerja seperti biasa. Kalau dia
suruh Safi buat sesuatu, rujuk dengan akak dulu. Kalau akak kata okey, baru
ambil tindakan,” pesan Hajar.
“Kalau dia suruh buat jugak?” soal Safi pula.
“Buat tak tahu aje.” Selamba sahaja Hajar memberikan jawapan.
Padahal, Safi juga perlu mematuhi arahan adiknya selaku pengarah urusan.
“Susahlah saya kalau macam tu,” keluh Safi. Dia bukan langsung
tiada pengalaman bekerja. Andai mahu bertahan lama, arahan daripada semua yang
berpangkat bos perlu diambil berat.
“Apa pulak susahnya? Pejabat dia kat tingkat bawah. Kalau dia
nak Safi buat sesuatu, dia kena datang ke tingkat atas jumpa akak dulu.”
“Okey…” Safi mengangguk. Begitupun masih ada yang bermain di
fikirannya. Mungkin lain kali sahaja dia bertanya pada bosnya itu.