Mei,
2015.
UMI HASNAH yang baru selesai menyiram pokok bunga segera
menuju ke meja makan. Pagi ini dia hanya bersarapan berdua dengan anak
bujangnya. Anak sulungnya pergi bercuti dengan suami dan anak tunggal mereka.
“Idan tak keluar ke?” tegur Umi Hasnah lalu mengambil tempat
di kerusi sebelah anaknya.
“Tak ada moodlah
umi.” Idan menjawab lemah. Sepupunya ada mengajaknya bermain golf, tetapi dia
memilih untuk berehat di rumah sahaja.
Dia pun bukanlah minat sangat bermain golf. Dia terjebak pun
sebab Zahim yang beria-ia mengajaknya menjinakkan diri dalam sukan yang boleh
menyelam sambil minum air. Kononnya sambil bermain golf boleh mengintai peluang
bisnes dan berkawan dengan tokoh-tokoh korporat. Sudahnya tokoh-tokoh keparat
yang banyak dia jumpa!
“Hmm… berangan apa pagi-pagi ni?” tanya Umi Hasnah. Sejak
tadi lagi dia sudah perhatikan anaknya itu. Asyik termenung panjang.
“Tak ada apalah umi,” dalih Idan sambil mengukir senyuman.
“Kalau tak ada apa, kenapa dari tadi asyik menyengih aje?”
tanya Umi Hasnah lagi. Pinggannya diisi dengan mi goreng.
“Saja Idan nak hiburkan hati.” Jawapan spontan yang terlintas
di fikirannya.
“Hati hanya terhibur bila ada teman melayan, bukan melayan
perasaan sendiri!” sindir Umi Hasnah pula.
“Umi ni…” Idan memandang wajah yang amat disayanginya. Buat
masa ini hanya dua wanita yang dia sayang. Apa yang dia buat semuanya untuk
mereka berdua. Diri sendiri jatuh nombor dua.
“Sampai bila Idan nak macam ni? Jangan sampai umi sendiri
buat keputusan dan pilih menantu yang umi nak.”
“Umi janganlah ugut Idan pulak!”
“Bukan ugut, umi cuma mengingatkan. Idan dah janji dengan umi
tak nak sedih-sedih dan mengenang kisah lalu. Mana janji Idan tu?” ungkit Umi
Hasnah.
“Tunggulah dulu. Umi jangan risau, sampai masanya calon
menantu umi akan datang sendiri ke rumah ni. Tak payah susah-susah mencari.”
“Ada aje alasan, kan? Dibuatnya tak panjang umur umi, baru
Idan tau.”
“Umi, janganlah buat Idan rasa serba salah. Idan dan akak
masih perlukan umi. Umi kekuatan kita orang,” rayunya.
“Nak mengambil hati umi, pandailah Idan bercakap
molek-molek!” Umi Hasnah sudah buat muka menyampah.
“Umi… umi. Sampai masanya Idan akan kahwin jugak. Isteri Idan
akan tinggal kat sini, sama-sama dengan Idan jaga umi sampai bila-bila,”
janjinya.
“Itu umi tak kisah sangat. Umi cuma tak nak Idan
terus-terusan begini,” nasihat Umi Hasnah.
“Idan tahu.”
“Itu ajelah jawapan anak umi. Tahu, tapi tak nak buat
apa-apa. Kalau Idan tak nak buka hati Idan, sesiapa pun tak dapat nak bantu,”
nasihat Umi Hasnah lagi. Dia sebenarnya sudah lelah menegur dan menasihati anak
lelakinya ini. Seperti biasa, akhirnya tiada apa yang berlaku dan Idan masih
tidak berumah tangga.
“Umi, pasal jodoh ni bukan boleh ambil mudah. Banyak benda
yang Idan kena fikir. Kena cari yang boleh sesuaikan diri dengan Idan dan
bermacam lagilah.”
“Tak payah menyenaraikan kriteria yang Idan nak. Andai dia
menyenangkan hati Idan, boleh buat hidup Idan ceria, cukuplah,” ujar Umi
Hasnah.
“Perempuan yang asyik fikir menyenangkan dirinya sendiri
banyaklah!” balas Idan pula.
“Idan ni terlalu berprasangka. Tak baik macam tu! Lagipun tak
ada orang yang mahu hidupnya susah.”
Idan diam sahaja. Wajah uminya dipandang dengan pelbagai
rasa. Faham sangat dengan keinginan uminya yang satu itu.
“Umur umi ni bukannya
semakin berkurang, naklah jugak timang cucu dari anak bongsu umi ni. Tak
faham-faham lagi ke?” sambung Umi Hasnah.
Hanya itu sahaja impiannya yang masih belum tercapai.
Benda-benda lain memang dia sudah tidak kisah. Dia cuma mahu melihat Idan
berbahagia di samping isteri dan anak-anak.
“Umi?” tegur Idan apabila uminya senyap sahaja.
“Okeylah, kali ini umi
serahkan sepenuhnya pada Idan. Suka hatilah siapa yang Idan nak pilih, umi akan
setuju,” ujar Umi Hasnah agar anaknya itu senang membuat keputusan. Tetapi
dalam hati, andai tiada apa yang berubah, memang Idan kena dengar cakap dia
juga!
“Tengoklah macam mana,” balas Idan kemudian menyisip air
tehnya. Tiba-tiba terasa tawar dan payau pula.
“Tak naklah tengok-tengok. Idan nak buat mata umi ni tak
tutup rapat bila meninggal ke?” Sedikit beremosi ketika Umi Hasnah
menuturkannya.
“Umi, janganlah cakap macam tu. Bukan mudah untuk Idan lupa
kenangan lalu.” Idan segera memegang lengan uminya.
“Umi faham apa yang Idan rasa. Memang bukan mudah untuk
melaluinya, tapi hidup ini kena diteruskan,” nasihat Umi Hasnah. Kini nada
suara Umi Hasnah juga sudah mengendur.
“Sebenarnya Idan dah cuba, tapi memang susah. Idan tak nak
buat orang lain terseksa sebab Idan,” luah Idan agar uminya lebih mengerti.
“Tak bolehlah cepat sangat berputus harap. ALLAH tak suka
orang yang mudah putus asa,” nasihat Umi Hasnah.
“Umi dah lupa ke? Bukan sekali, tapi dua kali. Dua kali umi!”
tutur Idan.
“Sepuluh kali sekalipun, Idan
tak boleh mengalah. Kena buang semua kenangan lama tu. Kita hidup untuk
hari ini dan hari esok, bukan sejarah yang dah lepas tu,” nasihat Umi Hasnah
lagi. Bukan dia tidak tahu penderitaan yang anaknya lalui. Dia juga turut sama terkena
tempiasnya. Namun, itu cerita beberapa tahun lepas.
“Idan tahu. Tapi kalau asyik teringat dan terbayang-bayang,
apa lagi yang mampu Idan buat?” keluhnya.
“Idan, berkahwin itu sunnah Nabi. ALLAH ambil apa yang kita
sayang sebab nak bagi yang lebih baik. Yang boleh bahagiakan dan ceriakan anak
umi ni.” Umi Hasnah mengulangi kata nasihatnya.
“Ya umi, Idan faham semua tu. Hmm… Idan nak rehat kat biliklah,” beritahunya dan
terus bangun.
“Mi tu tak habis lagi,” tegur Umi Hasnah.
“Dah kenyang.”
Umi Hasnah memandang anaknya yang berlalu. Kini dia terpaksa
bersarapan sendirian. Mi di pinggan anaknya hanya sedikit yang terusik. Dirinya
pula terpaksa meneruskan suapan walau seleranya telah lama hilang.
DI
BILIK, Idan melepaskan pandangan ke taman mini uminya. Landskap yang indah,
belum tentu mampu memberi ketenangan pada yang cuba menghayati keindahan alam.
Wang yang banyak juga tidak menjamin kebahagiaan. Namun, andai tiada wang,
banyak perkara juga tidak boleh dicapai dalam hidup ini.
Idan meraup wajahnya.
Tipulah andai dia tidak mahu berkeluarga. Kebanyakan rakan dan sepupu yang
sebaya dengannya sudah berumah tangga dan beranak-pinak. Tinggal dia sahaja
yang masih terkontang-kanting tidak berteman.
Dia perlu mencari seseorang yang boleh faham keadaan dirinya.
Apabila berkenalan, dia memang suka berterus-terang sebab tidak mahu timbul
masalah di belakang hari. Andai mereka sudah tahu sejarah hidupnya, mudah
sahaja mereka mengundur diri. Lebih tepat tidak mahu mengambil risiko memulakan
hubungan dengan lelaki sepertinya.
Sebenarnya dia bukanlah jenis yang terlalu memilih. Dahulu
pun dia dikenenkan dengan anak kawan baik uminya. Dia tetap berlapang dada
dengan calon pilihan uminya. Namun, takdir TUHAN tiada siapa yang dapat
menduganya. Sofea memang bukan jodohnya walau dia menyintai gadis itu.
Seketika dia cuba memahami perasaan sendiri. Belajar dari
kesalahan-kesalahan pada masa lalu adalah lebih baik dari asyik menyalahkan
diri sendiri. Namun, kesilapan yang sama juga yang dia ulang.
Akhirnya dia menuju ke meja kerjanya. Laci ditarik perlahan.
Ada dua kotak cincin permata yang tidak pernah menjadi milik mana-mana gadis.
Impian untuk mendirikan mahligai indah bagai tinggal bayangan.