SUHU yang panas membuat kepala berasap juga. Ditambah pula dengan
bos yang sengaja mencari salahnya memang buat Safi tertekan. Tetapi, suka punya
pasal, dia terpaksa buat tidak tahu sahaja.
Dia hairan. Kenapa dia harus melayan kerenah lelaki itu?
Begitupun, sudah alang-alang memulakan langkah, biar jatuh tergolek, dia akan
teruskan juga misinya. ‘Mengurat bos kerek satu misi?’ Dia tersenyum dalam
hati.
“Awak marahkan saya ke? Takkan awak nak tarik muka empat
belas sampai ke KL?” Akhirnya Idan membuka mulut.
“Muka saya satu ajelah!” balas Safi yang bengang dengan Idan.
Idan tertawa sinis mendengar jawapan balas daripada gadis
itu.
“Lain kali sila pandang apa yang saya buat dengan mata hati,
bukan dengan kaca mata Rayban Encik Idan Jauhari tu!” ujar Safi, geram.
“Awak nak cakap apa sebenarnya, Safi Awadah?” soal Idan. Dia
cuba mengawal suaranya.
“Yalah, apa aje yang saya buat, Encik Idan asyik nak
pertikaikan. Ada agendalah, hendak bodeklah.”
“Awak memang ada niat lain pun, kan?”
“Saya sentiasa ikhlas bila buat sesuatu. Encik aje yang asyik
berprasangka.”
“Saya dari awal dah boleh agak rancangan awak dengan Kak
Hajar.”
“Kita orang mana ada rancang apa-apa?” Safi segera menafikan.
“Tengok macam sekarang, akhirnya saya terpaksa balik dengan
awak. Mariam kena demam panaslah, entah ya, entah tidak,” ungkit Idan.
“Tak baik Encik Idan tuduh kakak sendiri macam tu. Saya
sendiri yang jawab panggilan telefon dari pihak sekolah. Lepas tu baru bagi
telefon kat Kak Hajar,” jelas Safi. Disebabkan dia terpaksa menumpang lelaki
itu balik ke Kuala Lumpur, tidak habis-habis Idan memarahinya.
“Huh!” Idan merengus.
Petang tadi, dia memang terkejut apabila mendapati hanya Safi
yang ada dalam bilik mesyuarat. Kakaknya hanya sempat menghantar Safi ke
pejabat Datuk Kamal. Kemudian terus berpatah balik menuju ke Negeri Sembilan.
Sebelum mesyuarat bermula, Safi beritahu apa yang terjadi.
Memang susah Idan hendak percaya. Habis mesyuarat, Datuk Kamal belanja mereka
minum petang di hotel pula. Walaupun dia lapar, namun tidak banyak makanan yang
masuk ke dalam perut. Asyik memikirkan perjalanan balik ke Kuala Lumpur bersama
Safi.
Bukan kakaknya tidak tahu yang sudah lama tidak ada penumpang
perempuan duduk di sebelahnya ketika memandu. Apatah lagi dia masih fobia
dengan peristiwa yang pernah menimpanya. Entah apa tujuan sebenar kakaknya.
IDAN
dan Safi makan malam dahulu sebelum singgah di masjid. Usai solat maghrib, baru
mereka bertolak ke Kuala Lumpur.
Dalam perjalanan, Safi berasa amat bosan kerana terpaksa main
kerling-kerling dengan abang seri. Memang bosan tujuh petala langit, tujuh
petala bumi. Boleh pula si Idan ini berlagak macam orang bisu? Sudahlah radio
juga tidak dipasang, lagilah Safi berasa hendak tumpang sahaja kereta orang
lain ataupun menaiki teksi.
Tiba-tiba, mereka saling berpandangan. Idan segera memandang
ke hadapan. Dalam hati dia sudah dapat mengagak kenapa kakaknya pulang lebih
awal. Pandai sungguh Hajar memerangkap dirinya.
Namun begitu, dia berasa pelik juga kerana Safi seperti biasa
sahaja. Tidak seperti selalu, ada sahaja perkara yang buat dia bertambah
berangin.
“Bos...” panggil Safi perlahan. Akhirnya dia terpaksa
memulakan bicara.
Dalam tidak mahu, Idan terpaksa menoleh memandang gadis di
sebelahnya.
“Boleh tak, nanti berhenti kat mana-mana? Saya nak pergi
tandas,” pinta Safi. Dia sudah lama menahan, sejak setengah jam tadi.
Idan tidak membalas apa-apa, sebaliknya hanya berwajah
selamba.
Safi merungut dalam hati. ‘Dia ni dengar ke tidak apa aku
cakap?’ gumamnya.
Akhirnya Safi menarik nafas lega sebaik sahaja Idan memberi
isyarat untuk membelok ke kiri. Di hadapan sana memang ada perhentian.
Sebaik sahaja kereta berhenti, Safi segera keluar dari kereta
dan bergegas menuju ke tandas perempuan. Sempat juga dia merungut kerana
terpaksa berjalan jauh. Sudahlah tandasnya agak terpencil, lampu jalan juga
tidak banyak dan malap pula.
Keluar dari tandas, buat seketika Safi mematikan langkah.
Terkejut dia apabila mendapati Idan berdiri berhampiran pintu masuk tandas
perempuan.
“Bos ni… buat terkejut saya aje! Nasib tak pengsan,” bebelnya
sambil mengurut dada.
“Nah kunci! Tunggu saya dalam kereta. Jangan lupa kunci
pintu,” pesan Idan.
Safi menyambutnya tanpa banyak soal walaupun berasa agak
pelik dengan arahan Idan. Setelah masuk ke dalam kereta, baru dia nampak Idan
melangkah menuju ke tandas lelaki.
Safi tertanya sendiri kenapa Idan sanggup menunggunya
sehingga keluar dari tandas? Kadang-kadang susah dia hendak faham dengan lelaki
ini. Dalam dia ingat abang seri tidak peduli hal orang lain, rupa-rupanya ada
juga sifat prihatinnya.
Minggu lepas, Safi ada ternampak lelaki itu belikan nasi
bungkus untuk pengawal keselamatan, siap dengan teh ais lagi. Setakat ini, dia
tidak pernah nampak lagi Idan belanja mana-mana staf. Asyik keluar berdua
dengan Zahim sahaja. Pergi tapak projek bersama, malah kalau ada mesyuarat di
luar pun dengan Zahim juga.
Tidak lama kemudian, Idan sudah kembali ke kereta. “Berangan?
Kan saya pesan kunci kereta?” sergah Idan dengan muka serius.
“Saya tak kunci ke?” Safi yang baru tersedar daripada lamunan
terkebil-kebil.
“Kalau awak kunci, macam mana saya boleh masuk? Sekarang ni
tengah malam, kalau terjadi sesuatu kat awak, apa saya nak jawab dengan
keluarga awak?” marah Idan.
Mendengar leteran Idan, baru Safi sedar kelalaian diri. Baru
dia perasan suasana perhentian itu agak sunyi walaupun ada kereta lain yang
turut berhenti.
“Maaf sebab tak dengar cakap bos,” tutur Safi perlahan.
“Lain kali, kalau saya bagi arahan tu, dengarlah. Awak tu
bukan budak kecik lagi, asyik nak kena ingatkan aje.”
“Kan saya dah mintak maaf? Tak payahlah nak membebel. Saya
nak cepat sampai rumah ni,” jawab Safi pula.
Idan tidak membalas apa-apa lalu meneruskan pemanduan. Dia
juga mahu cepat sampai ke destinasi. Namun, dalam keadaan sekarang bukan boleh
memandu laju. Tiba-tiba hujan pula dan membataskan pandangan.
Safi di sebelahnya sedang menahan ngantuk. Kalau boleh memang
mahu sahaja dia tidur tanpa mempedulikan orang sebelah. Namun, masakan boleh?
Dia pun risau juga andai Idan terlena ketika memandu. Dari pagi sampai ke
petang mereka sibuk sampai tiada rehat secukupnya. Sepatutnya bermalam sahaja
di Johor Bahru, tetapi Idan mahu balik juga.
Dalam berfikir-fikir tentang keselamatan diri, akhirnya Safi
tertewas juga. Dia sedap buat tahi mata, Idan pula terpaksa membuntangkan mata.
Sesekali mata lelaki itu mencuri pandang wajah Safi. Nasib gadis itu tidak
berdengkur.